20 April, 2010

DUA WANITA PKR PERAK KELUAR PARTI


Dato' Ahmad Maslan bercakap sesuatu dengan Roshanita (berbaju pink) dan Suraya (coklat). Suami Roshanita (kiri) turut keluar PKR dan menyertai Umno. Dato' Rusnah (baju putih) dan Puan Zanazat (kanan sekali)

Dua pemimpin PKR Negeri Perak keluar parti dan menyertai Umno. Mereka ialah Puan Suraya Sulaiman dari Tanjong Malim dan Roshanita Mohd Basir dari Bagan Serai. Mereka berbuat demikian di Rumah Umno Perak, Kampung Masjid Sungai Selisek, dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Pengisytiharan itu mereka buat di hadapan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Dato' Ahmad Maslan yang turut dihadiri oleh ramai rakan media.
Suraya berjawatan Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Pengarah Pilihanraya Wanita PKR dan Ketua Wanita Cabang (Bahagian) PKR Tanjong Malim. Beliau bekas exco Wanita PKR Pusat.
Roshanita pula adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Bagan Serai, Timbalan Pengerusi Pilihanraya Wanita PKR Perak dan ahli Jawatankuasa Strategik Wanita PKR Perak.
Mereka keluar PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu dan akan membantu jentera Wanita Umno Perak berkempen dalam PRK P094 Hulu Selangor.
Turut hadir menerima kemasukan mereka adalah Ketua Wanita Umno Perak, Dato' Hajah Rusnah Kassim dan Ketua Wanita Umno Bahagian Bukit Gantang, Puan Zanazat Abdul Samad (yang memainkan peranan penting kemasukan kedua-dua mereka).

Ramai pemimpin Wanita Umno Perak dan pemimpin Wanita Umno Cawangan dari Hulu Selangor turut menyaksikan penyertaan rakan baru mereka ke dalam Umno.

Antara Ketua Umno Bahagian yang turut hadir adalah Dato' Yusoff Kassim (Batu Gajah) dan Dato' Zaim Abu Hassan (Parit).

19 April, 2010

DAULAT TUANKU!


Patik dan seluruh rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Slim dan Parlimen Tanjong Malim menjunjung kasih dan mengucapkan selamat menyambut ulangtahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Didoakan semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan ke bawah duli Tuanku sekeluarga. 
Amin Ya Rabbal 'Alamin.

17 April, 2010

GANAS! PENYOKONG PKR BALING BATU.


GANAS! Dua orang ahli Pemuda Umno menderita akibat dibaling dengan batu sebesar penumbuk oleh penyokong PKR semasa penamaan calon Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor pagi tadi.

Penyokong PKR dan PAS yang berkubu di masjid Kuala Kubu Baru tidak dapat menahan provokasi, lalu mengambil tindakan membaling batu ke arah penyokong Barisan Nasional yang berkumpul di hadapan Bangunan Umno Bahagian Hulu Selangor.

Eddy Safuan, 26, ahli Pemuda Umno dari Bahagian Marang bersama seorang lagi ahli Pemuda dari Tanjung Karang dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Baru akibat luka yang agak serius yang mereka alami akibat terkena balingan itu.

Ketika ditemui, Eddy berkata, beliau cuba mengambil gambar dan membuat rakaman video di sekitar pagar masjid berkenaan ketika berlaku kekecohan melibatkan penyokong kedua-dua parti.

Ketika itulah Eddy merasakan satu objek keras mengenai dahi kanannya dan apabila melihat ke bawah, beliau melihat seketul batu sebesar penumbuk bergolek di kakinya.

Eddy terus menjerit memanggil kawannya dan merasai darah mula memenuhi muka. Beliau sempat mendengar dan melihat seorang lagi di hadapannya menjerit kesakitan juga akibat terkena balingan batu dari penyokong PKR.

Eddy berkata, kejadian itu adalah satu sejarah bagi dirinya kerana mengalami kecederaan ketika memikul amanah menyokong parti kesayangannya, BN.

“Kejadian ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan calon BN dalam pilihanraya ini. Malahan sebaik sahaja doktor menjahit luka di dahi saya, saya terus bergegas ke bangunan Umno Hulu Selangor semula bagi mendengar amanat Tan Sri Muhyiddin dan ucapan calon BN, Kamalanathan,” katanya penuh semangat.

Begitulah sikap penyokong fanatik pembangkang. Mereka tidak memikirkan keselamatan orang lain akibat sikap ekstrim dan ganas yang ada dalam diri mereka. 

  Saya mengambil kesempatan bergambar dengan seorang Pemuda Umno berhati waja

16 April, 2010

KAMALANATHAN CALON 1MALAYSIA

Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan berkata, beliau adalah calon 1Malaysia dan akan berpegang teguh kepada konsep muafakat kaum.

Beliau juga bertekad akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kerusi parlimen itu kepada BN, dan menjadikan kejayaan itu sebagai hadiah MIC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Calon kali ini bukan calon BN sahaja tetapi calon 1Malaysia. Kita berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia ini dan akan memperkukuhkan konsep ini di Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kamalanathan, 44, yang juga Ketua Penerangan MIC dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera MIC, sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu yang akan diadakan pada 25 April ini.

Sambil berjanji tidak akan mengecewakan BN, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib, Muhyiddin, dan semua ketua-ketua parti komponen BN di atas kepercayaan penuh yang diberikan mereka.
“Perjuangan BN biasanya kalau nak bersihkan sungai, dimulakan dari hulu. Kita mulakan dari Hulu Selangor ini untuk membersihkan Selangor,” katanya.

Kamalanathan, atau dikenali lebih mesra dengan panggilan Kamal, bukanlah muka baru dalam politik, di mana blogger aktif itu menyertai MIC sejak 25 tahun lalu.

Beliau dicalonkan bagi merebut kerusi parlimen Hulu Selangor, yang pernah dimenangi oleh Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, iaitu dari 1990 hingga 2008, sebelum kalah pada pilihan raya umum Mac 2008.

Kamalanathan yang mengendalikan blog http://www.pkamalanathan.com/ pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Penggalakan Minyak Sawit Malaysia (MPOPC) sebelum menyertai syarikat Serba Wangi Sdn Bhd (JATI),(anak syarikat Bernas) pada 2001.

Pada tahun 2004, beliau diberi penghormatan oleh Institut Perhubungan Awam Malaysia yang memberi pengiktiradan terhadap usahanya membangunkan “Majlis Pelbagai Kaum Terbaik di Malaysia bagi tahun 2004″.

Kamalanathan dilantik sebagai ketua penerangan MIC pada perhimpunan agung parti itu September lepas sebagai sebahagian daripada langkah presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mengukuhkan parti.

Beliau yang berkahwin dengan S.Shobana, seorang pengurus kanan perhubungan awam sebuah hospital swasta, memulakan kariernya sebagai kerani di Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd pada 1985 sebelum menjadi pegawai perhubungan awam dengan MPOPC selama enam tahun.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus perhubungan awam bagi syarikat Carotino dan lain-lain syarikat milik kerajaan.

Beliau memiliki sijil dalam bidang perhubungan awam dari London Chambers of Commerce and Industry in England dan juga diploma dalam bindang penterjemahan (Dewan Bahasa dan Pustaka), dan Ijazah Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Edith Cowan University di Australia.

Kamalanathan juga merupakan Anggota Majlis Perbandaran Selayang dari 2004 hingga 2006.

Baru-baru ini beliau menghasilkan sebuah dokumentari yang bertajuk ‘The Truth’ untuk RTM yang memaparkan kejayaan dan pencapaian komuniti India di Malaysia. HS

15 April, 2010

JENTERA BN PERAK DILANCAR

Jentera Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Negeri Perak bagi menghadapi Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor telah selamat dilancarkan oleh Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN Negeri, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River sebentar tadi.

Walaupun bilangan jentera BN Perak yang bertugas sepenuh masa di PRK itu berjumlah kira-kira 200 orang, namun kehadiran di majlis berkenaan dianggarkan melebihi 700 orang. Kesemua jentera BN Perak telah mula bertugas dari hari ini sehinggalah tarikh pembuangan undi pada 25 April nanti.

Slogan pilihanraya BN Negeri Perak, "GEGOR GEMPOR" berkumandang dalam dewan yang hanya boleh menampung kira-kira 500 hadirin. Ramai yang berdiri di belakang dan di luar dewan. Slogan itu diperkenalkan oleh Dr. Zambry dalam satu kursus kepimpinan di Janda Baik baru-baru ini.

Turut hadir wakil-wakil kepimpinan dari parti komponen BN Negeri Perak. Antaranya Dato' Mah Han Soon dari MCA, Dato' Chang Ko Youn (Gerakan), Encik Jayagophi (MIC), Puan Jennifer (PPP). Wakil dari IPF dan Makkal Sakhti juga hadir.

Beberapa Ketua Umno Cawangan dari daerah mengundi dari Hulu Selangor seperti Kawasan SKC, Ladang Lima Belas, Kampung Gesir, Sungai Selisek dan Gedangsa juga hadir menyaksikan pelancaran jentera BN Perak itu.

Kepada jentera BN Negeri Perak, saya mengucapkan selamat bertugas dengan penuh dedikasi bagi memastikan kemenangan calon BN dalam pilihanraya kecil ini.

13 April, 2010

ZAID CALON PKR, SIAPA PANDAI?

"PKR Selangor, sekarang siapa pandai?"

Hampir pasti PKR meletakkan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim sebagai calonnya dalam Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor. Beberapa media melaporkan mesyuarat biro politik PKR di rumah Anwar Ibrahim pagi tadi sebulat suara bersetuju bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu dicalonkan.

Maka menggigit jarilah pemimpin-pemimpin kanan PKR yang telah lama berjuang bermati-matian bersama Anwar selama ini. Tindakan Anwar jelas menunjukkan bahawa PKR kini semakin ketandusan pemimpin berkaliber, sehingga terpaksa memilih tokoh yang baru sahaja menyertai parti itu.

Pemilihan Zaid Ibrahim anak jati Kelantan itu juga pasti membuka mata penyokong PKR di Selangor bahawa Anwar tidak melihat seorangpun tokoh dari negeri ini yang boleh diketengahkan sebagai calon bagi membawa panji-panji PKR yang semakin lusuh itu. Jauh sekali untuk mengetengahkan calon dari kalangan anak jati Hulu Selangor.

Zaid Ibrahim adalah tokoh Umno yang telah ditolak oleh ahli-ahli Umno Bahagian Kota Bharu, apabila percubaannya untuk menduduki semula jawatan Ketua Bahagian pada 2008 tidak kesampaian apabila pencalonannya tidak mencukupi.

Beliau pernah tewas sebanyak tiga kali bertanding dengan Dato' Rastom Ahmad Maher bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, sebelum menang buat kali pertama pada 2004. Tahun yang sama juga beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Bharu atas tiket Barisan Nasional. 

Beliau meletakkan jawatan Ketua Umno Bahagian selepas itu dengan alasan mahu menumpukan kepada tugasnya selaku Ahli Parlimen Kota Bharu, tetapi ahli-ahli Umno bahagian itu faham sangat kenapa beliau mengambil tindakan berkenaan. Jawatannya dipangku oleh Dato' Fatmi Che Salleh, yang ketika itu menjadi Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas Pilihanraya Umum 2008, bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi melantik Zaid selaku Senator pada 18 Mac 2008 dan menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang peranan khususnya adalah berkaitan perundangan, memandangkan beliau seorang peguam terkenal.

Semasa perebutan jawatan Umno di peringkat Bahagian pada 2008, beliau cuba merampas semula kerusi Ketua Umno Bahagian tetapi gagal kerana tidak cukup pencalonan di peringkat cawangan, yang memberi kemenangan kepada Dato' Fatmi yang kini Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Zaid meletakkan jawatan sebagai Menteri di JPM pada September 2008 kerana kononnya tidak berpuas hati dengan dasar pentadbiran Pak Lah, khususnya berkaitan dengan undang-undang serta penahanan tiga individu di bawah ISA, iaitu Ahli Parlimen DAP Teresa Kok, bloger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng.

Ironinya, sebaik sahaja meninggalkan jawatan Menteri, beliau berjinak-jinak dengan PKR dan Anwar. Beliau yang ketika itu masih anggota Umno telah menghadiri beberapa program PKR. Ini membawa kepada pemecatan beliau daripada Umno pada Disember 2008. Beliau menyertai PKR pada Jun 2009.

Maka rakyat di Hulu Selangor kini disogokkan oleh PKR dan Anwar dengan seorang tokoh, Zaid Ibrahim yang telah ditolak oleh rakyat di negerinya sendiri, iaitu Kelantan. 

Undi di tangan anda.