15 February, 2010

RAYA CINA DI RUMAH MB


Buat pertama kalinya dalam sejarah, kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh mengadakan rumah terbuka sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina semalam, hari pertama perayaan itu bermula jam 1.00 hingga 3.00 petang.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan isterinya Datin Seri Saripah Zulkifli menjadi tuan rumah kepada perayaan kebudayaan Cina itu, yang belum pernah majlis seumpamanya diadakan sebelum ini oleh seorang pemimpin dari keturunan Melayu di negeri ini.

Pastinya kediaman rasmi Menteri Besar Perak dihiasi dengan eleman menggambarkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina, khususnya tanglung dan riben berwrna merah yang dipasang di sana sini.

Majlis penuh meriah itu dihadiri lebih 8,000 rakyat berbilang kaum, khususnya masyarakat Cina, termasuk pemimpin-pemimpin NGO dan persatuan peniaga dan pendidikan Cina.

Turut kelihatan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Dato’ R. Ganesan, Exco Kerajaan Negeri Dato’ Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Pengerusi Parti Gerakan Dato' Chang Ko Youn, Pengerusi MIC Perak Dato’ S. Veerasingam dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong.

Pelakon Hollywood dalam filem James Bond Dato’ Michelle Yeoh yang berasal dari Ipoh turut hadir bersama suaminya, Dato' Seri Jean Todt.

Semua wajah nampak gembira, dan Dr. Zambry yang mengenakan pakaian tradisi Cina kelihatan tidak kekok melayan tetamu – memberi ang pau, bersama menggaul yee sang dan melakukan aksi kung foo bersama sami-sami muda dari Shaolin Temple!

Segalanya menggambarkan semangat 1Malaysia yang semakin dapat diterima oleh rakyat berbilang kaum di negara ini, selain menguatkan lagi agenda Perak Amanjaya yang dicetuskan oleh Dr. Zambry.

Majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Menteri Besar Perak juga pastinya akan dianjurkan pada perayaan Deepavali, Krismas selain majlis rutin Hari Raya ‘Idil Fitri.

 Foto-foto yang diambil oleh Mat Shahar di bawah ini menceritakan segalanya.
 
  
  
 

12 February, 2010

YB ZUL TELANJANGKAN DAP


YB Zul bersama Anwar. Amoi mana pulak yang duduk di sebelah kiri Anwar tu?

Menarik sungguh pendedahan sikap buruk DAP yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru (PKR), Zulkifli Noordin. Beliau berpendapat Pakatan Rakyat perlu mengkaji semula kedudukan dan kerjasama dengan DAP kerana kepimpinan DAP ini telah mula menjadi duri dalam daging bagi Pakatan Rakyat.

"Ramai rakyat bawahan yang saya temui sudah mula mencurigai DAP, dan merasa muak dan loya dengan sikap mereka yang saperti kaduk naik junjong!", kata YB Zul dalam blognya.

Menurutnya, tindak-tanduk kepimpinan DAP sejak 08 Mac 2008 sehingga kini membuktikan sikap angkuh, sombong, chauvinis, ekstremis dan diktatorial yang bukan sahaja keterlaluan, malahan bercanggah dengan semangat dan persefahaman diantara Pakatan Rakyat; "dan bertentangan dengan dasar dan matlamat reformasi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, khususnya oleh DSAI sendiri".

Berikut adalah keburukan DAP yang didedahkan oleh YB Zul :

1. tindakan YB ADUN DAP Kedah mengugut Kerajaan Negeri Kedah dan mengisytiharkan keluar daripada Kerajaan Pakatan Rakyat semasa isu perobohan pusat penyembelihan babi di Alor Setar;

2. kenyataan YB Jeff Ooi melabelkan Sdr. Razali, Ahli Majlis Pulau Pinang dan Jemaah Islah Malaysia sebagai ekstremis, fundamentalis dan teroris kerana mengkritik kerajaan pimpinan YAB Lim Guan Eng;

3. kenyataan YB Jeff Ooi melabelkan PKR dipenuhi sampah-sarap kerana kritikan terbuka beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan PKR terhadap kerajaan YAB Lim Guan Eng;

4. kegagalan kerajaan Pakatan Rakyat melantik YB Ust Salleh Man, ADUN PAS Permatang Pasir kedalam Exco ataupun sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang sebagaimana dijanjikan didalam pilihanraya kecil Permatang Pasir;

5. aduan tiga orang YB ADUN-ADUN di Perak yang tidak berpuashati dengan tindak-tanduk dan sikap kepimpinan DAP yang akhirnya menyebabkan mereka keluar daripada Pakatan Rakyat dan menyebabkan tumbangnya Kerajaan Pakatan Rakyat Perak;

6. tindakan biadap YB Tony Pua yang mendesak YB Datuk Hasan Ali, Ahli Exco dan Pesuruhjaya PAS Selangor dipecat selepas pertikaian mengenai Selcat dan kebenaran penjualan arak di kedai serbanika di dalam negeri Selangor;

7. tindakan YB Ronnie Liu mencampuri urusan dan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam dalam isu perampasan arak di kedai serbanika di Shah Alam;

8. tindakan YB Ronnie Liu yang tidak menghormati langsung YB Speaker Teng Chang Kim dalam sidang jawatankuasa Selcat mengenai aduan terhadap perbelanjaan peruntukkan YB Ronnie Liu yang mencurigakan;

9. Tindakan YAB Lim Guan Eng yang mahu YB Datuk Seri Zahrain Hashim dipecat sebagai Pengerusi KGBJ selepas dikritik dengan tegas oleh YB Datuk Seri Zahrain;

10. Perisytiharan dasar 'Middle-Malaysia' oleh YAB Lim Guan Eng yang pada asasnya bercanggah dengan dasar dan aspirasi Pakatan Rakyat;

Dan banyak lagi insiden, kelakuan, tindak-tanduk kepimpinan DAP yang jelas membuktikan mereka memang bersikap angkuh, sombong, chauvinis, ekstremis, diktatorial dan, meminjam kata-kata YB Datuk Seri Zahrain, berfikiran ala komunis.

"Dan yang paling peliknya, sehingga kini tiada sebarang tindakan disiplin diambil terhadap kepimpinan DAP walaupun jelas sikap mereka membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mereka. Apakah kepimpinan DAP ini sudah menjadi golongan 'untouchables', sehingga menyebabkan keangkuhan mereka semakin menjadi-jadi mutakhir ini!," kata YB Zul.

Komen saya, itulah sikap sebenar DAP yang sanggup menikam rakan dari dalam selimut. Tambahan lagi DAP menyedari bahawa Pakatan Rakyat adalah satu ikatan yang terlalu longgar, dan merasakan PKR dan Pas bergantung dengan undi kaum Cina untuk kemenangan, sebagaimana yang berlaku di PRK Parlimen Bukit Gantang apabila calon Pas Nizar Jamaluddin menewaskan calon BN Ismail Saffian.

Para pemimpin DAP mengganggap diri mereka supremo dalam pakatan itu, mengatasi ketokohan Nik Aziz, Anwar, Hadi Awang dan Wan Azizah. Janganlah Anwar terlalu mengharapkan sangat dirinya menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah, kerana Kit Siang juga dah lama mengimpikan jawatan itu.

11 February, 2010

PINDAAN ATURCARA MAJLIS KESYUKURAN


MAJLIS KESYUKURAN DAN PERHIMPUNAN RAKYAT

TARIKH
12hb Februari 2010 (Jumaat)

TEMPAT
Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh

ATURCARA
6.00 petang  - Ketibaan orang ramai

Slot Penjelasan Alasan Penghakiman 
(oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun)

Ucapan YAB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir
Menteri Besar Perak YANG SAH

Jamuan

Solat Maghrib berjemaah
Sujud Syukur
Tahlil
Tazkirah (Penghayatan Konsep Syukur)
Solat Isya' berjemaah

Bersurai

SEMUA DIJEMPUT HADIR

10 February, 2010

MAJLIS KESYUKURAN DAN PERHIMPUNAN RAKYAT

 
Atas rasa bersyukur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan YAB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, satu majlis dinamakan MAJLIS KESYUKURAN DAN PERHIMPUNAN RAKYAT akan diadakan mengikut butiran di bawah :
         
TARIKH
12hb Februari 2009 (Jumaat)

TEMPAT
Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh

ATURCARA
6.00 petang  - Ketibaan orang ramai

Slot Penjelasan Penghakiman 
(oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun)

Solat Maghrib berjemaah
Tahlil
Tazkirah (Penghayatan Konsep Syukur)
Solat Isya' berjemaah

Ucapan YAB Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir
Menteri Besar Perak YANG SAH

Jamuan dan Bersurai

SEMUA DIJEMPUT HADIR
             

09 February, 2010

DR. ZAMBRY MB PERAK YANG SAH


PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak dan menolak permohonan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disambut baik oleh banyak pihak, khususnya rakyat di Negeri Perak.

Keputusan sebulat suara itu (5-0) dibacakan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria.

Selain Ariffin, keputusan menolak rayuan Mohammad Nizar itu disokong oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

 
 
Hampir seribu Pemuda dan badan NGO memakai t-shirt kuning berkumpul seawal pagi di perkarangan mahkamah dan melaungkan slogan 'Daulat Tuanku'. Tahniah diucapkan.

Bernama melaporkan,  para pemimpin Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak dan berharap semua pihak menerima keputusan berkenaan.

Mereka berkata adalah penting bagi semua pihak membenarkan Zambry menumpukan perhatian untuk membangunkan dan melaksanakan program dirancang bagi memajukan Perak.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata semua pihak mestilah menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

"Keluhuran undang-undang mestilah ditegakkan. Dalam tempoh setahun lepas, kita telah melihat bagaimana perkara ini dimainkan. Apabila keputusan memihak kepada mereka, tiada bantahan satu perkataan pun, tetapi bila ia tidak memihak mereka, ketika itu mereka cuba mencetuskan kacau bilau," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ong, yang sedang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan minggu lepas, berharap dengan keputusan hari ini, kerajaan Perak pimpinan BN akan terus gigih berkhidmat untuk rakyat.

Presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau gembira dengan keputusan itu kerana ia membawa perkembangan positif untuk Perak.

Samy Vellu, bekas anggota parlimen Sungai Siput di Perak, berkata Zambry telah menunjukkan kualiti kepimpinan yang kuat sejak menjadi Menteri Besar.

"Saya yakin beliau (Zambry) akan dapat memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau berlaku adil kepada semua kaum dan membawa pembangunan," katanya.

Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Kong Cho Ha berkata MCA negeri berharap semua pihak menerima keputusan mahkamah dan tidak cuba menimbulkan kekacauan di negeri itu.

"Saya memohon setiap orang menghormati keputusan mahkamah dan bertenang. Sudah tiba masanya rakyat Perak melangkah ke hadapan," katanya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi MIC Perak Datuk S. Veerasingam berkata lunas-lunas demokrasi iaitu pihak yang majoriti perlu mentadbir negeri dan bukannya pihak minoriti, harus sentiasa dikekalkan.

Beliau berkata prinsip demokrasi berkenaan telah ditegakkan dengan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan Selasa.

Katanya pihak pembangkang di Perak hendaklah memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri BN dan menunggu pilihan raya umum akan datang jika berhasrat menawan semula negeri itu daripada BN.

Veerasingam, yang juga Penasihat Khas Menteri Besar Perak, berkata ketika ini pembangkang di Perak sewajarnya menumpukan kepada kepentingan rakyat Perak yang inginkan pembangunan dan keamanan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri BN, Datuk Nadzri Ismail berkata keputusan sebulat suara itu menunjukkan segala tindakan ketika proses BN mengambilalih pentadbiran negeri dilakukan mengikut saluran yang betul.

"Keputusan sebulat suara, 5-0, menunjukkan satu keputusan yang cukup kuat terhadap kesahan kerajaan negeri BN," katanya.

Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak, Dr Naran Singh berkata pembangkang seharusnya mengajak rakyat Perak untuk sama-sama menghormati keputusan mahkamah tertinggi dalam negara.

Beliau berkata ini kerana isu siapa Menteri Besar Perak yang sah telah dibawa oleh pembangkang sendiri ke mahkamah yang menunjukkan mereka percaya dan mahu mahkamah membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

"Jadi, apabila mahkamah sudah buat keputusan, mereka kena terima dan percaya dengan keputusan itu," kata beliau yang juga seorang peguam.

"Keputusan sebulat suara, 5-0, menunjukkan satu keputusan yang cukup kuat terhadap kesahan kerajaan negeri BN," katanya.

Timbalan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak, Dr Naran Singhberkata pembangkang seharusnya mengajak rakyat Perak untuk sama-sama menghormati keputusan mahkamah tertinggi dalam negara.

Beliau berkata ini kerana isu siapa Menteri Besar Perak yang sah telah dibawa oleh pembangkang sendiri ke mahkamah yang menunjukkan mereka percaya dan mahu mahkamah membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

"Jadi, apabila mahkamah sudah buat keputusan, mereka kena terima dan percaya dengan keputusan itu," kata beliau yang juga seorang peguam.

Di KUCHING, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan yakin kepimpinan BN yang diterajui Zambry akan terus membawa kestabilan dan kemakmuran kepada Perak.

Dr Chan, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, berkata semua pihak hendaklah menghormati keputusan mahkamah yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ia menjadi satu petanda baik bagi BN, khususnya untuk membawa pembangunan kepada rakyat, katanya.

08 February, 2010

NIZAR VS ZAMBRY - SIAPA PEMENANG?





Esok 9 Februari 2010, satu keputusan penting akan diumumkan oleh Mahkamah Persekutuan mengenai rayuan Dato' Seri Nizar Jamaluddin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengisytiharkan Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada 22 Mei 2009, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang memihak kepada Dr. Zambry secara sebulat suara dengan undi 3-0 sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak. 

Atas rasa tidak berpuas hati, Nizar merayu pula kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu, sebagai langkah terakhirnya untuk menduduki kerusi penting Kerajaan Negeri Perak.

Laporan Agenda Daily di bawah menarik untuk dibaca : 

"Semua orang menanti apa ceritanya esok bila Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan siapa sebenar yang sah sebagai Menteri Besar Perak.

Keputusan yang dinanti dengan penuh debar itu akan dibuat setelah mahkamah berkenaan menangguhkan penghakimannya pada 5 Nov tahun lepas setelah selesai mendengar hujah para peguam yang mewakili Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ini merupakan rayuan peringkat terakhir bagi Nizar dalam cubaannya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun, pihak yang kalah dalam sesuatu kes mahkamah, boleh memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula penghakimannya mengikut Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan bagi mencabarnya berdasarkan hujah daripada sudut perlembagaan.

Itu cerita bab mahkamah.Namun dari segi politiknya apakah keputusan yang dibuat kelak akan diterima baik oleh kedua pihak Dr Zambry dan Nizar.

Dr Zambry yang baru saja menyambut setahun Barisan Nasional kembali berkuasa di Perak selepas tewas dalam pilihanraya umum Mac 2008 nampaknya mengambil sikap ‘ tenang-tenang’ saja an berserah pada mahkamah.

Namun lain pula gerak langkah Nizar dan pakatan pembangkang di Perak.

Segala bentuk perang saraf sudah diambil awal-awal lagi termasuk mengerakan jentera pilihanraya atas andaian pilihanraya mengejut bakal diadakan di Perak ekoran keputusan mahkamah.

Keputusan yang mereka dakwa ‘ bocor’ mengatakan Nizar menang juga disebarkan.

Ini dikatakan sebagai strategi untuk mendakwa jika kalah maka keputusan itu sudah ‘ diterbalikkan”.

Nizar dan pemimpin pakatan juga bagai lipas kudung ke hulu ke hilir mengadakan roadshow ceramah di berbagai tempat di Perak untuk memberi penerangan tentang kes mahkamahnya.

Beliau juga dikatakan akan menurunkan 10 buah bas penyokong pakatan untuk ke Putrajaya esok untuk mendengar keputusan mahkamah.

Kalangan pemimpin BN pula dikatakan geleng kepala melihat gelagat Nizar yang dianggap tidak sudah-sudah nak bikin gempak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan esok akan ditentukan oleh panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Selain Alauddin, panel hakim berkenaan dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Penghakiman itu juga akan merungkai isu perlembagaan sama ada ketua negeri boleh membuat pertimbangan dengan mengatasi undang-undang sedia ada, dalam menentukan sama ada ketua kerajaan telah hilang kepercayaan daripada majoriti wakil-wakil yang dipilih.

Konflik tentang siapakah yang sebenarnya berhak menjadi Menteri Besar Perak, timbul tahun lepas apabila tiga wakil rakyat daripada pakatan DAP-PKR-PAS meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil Bebas dan menyebabkan kedua-dua pihak mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28, dalam Dewan Undangan Negeri Perak yang mempunyai 59 kerusi.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Jan dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP mengikut jejak mereka empat hari kemudian.

Berikutan perkembangan itu, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar, iaitu anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang, supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar dan menitahkan Dr Zambry mengangkat sumpah menduduki kerusi itu pada Februari tahun lepas setelah mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti dalam dewan undangan negeri itu.

Pada 13 Feb tahun lepas, Mohammad Nizar, 52, mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Dr Zambry daripada menunaikan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada Mei tahun lepas, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut perlembagaan.

Soalnya apa jadi jika keputusan memihak kepada Dr Zambry dan sebaliknya jika memihak kepada Nizar?

Nizar sudah awal-awal memberitahu jika menang ,beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri agar pilihanraya semula Perak dapat diadakan segera.

Untuk tujuan itu beliau perlu mendapat restu dari dari Sultan Perak kerana kuasa mutlak membubarkan DUN terletak ditangan baginda.

Apa jadi jika beliau tidak dapat restu Sultan Perak?

Ada yang mengatakan kemungkinan besar Nizar tidak memanggil sidang DUN selama enam bulan.Ini kerana mengikut perlembagaan negeri jika sidang DUN tidak diadakan dalam tempoh berkenaan ia terbubar dengan sendirinya.

Dalam pada itu ada yang bertanya bagaimana dari segi teknikal kerana sekalipun (jika) menang beliau tidak mempunyai majoriti di DUN.Pakatan pembangkang tetap 28 manakala BN dan tiga bebas yang sokong BN tetap 31.

Bolehkah beliau pegang jawatan Menteri Besar tanpa majoriti?

Keadaan dikatakan tidak akan berubah apa-apa jika Dr Zambry menang.

Jika demikian beliau sah Menteri Besar dan tetap memegang 31 majoriti di DUN.

Namun Nizar sudah membuat ramalan sendiri-sendiri mendakwa BN merancang untuk mengadakan sidang DUN tergempar Rabu atau Khamis ini bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya sebagai “ Menteri Besar yang sah’.

Apapun tunggu saja Rabu ini dan babak drama seterusnya politik Perak selepas itu.- Agenda Daily 8/2/2010