
PENYOKONG PAS YANG MEMBANTAHHairan dengan kehadiran kira-kira 3,700 pengundi baru dalam daftar pemilih yang tidak dapat dikesan di DUN N11 Permatang Pasir, Pemuda Umno dan Barisan Nasional bertindak memasang banner memprotes perkara itu di hadapan bilik gerakannya dalam kawasan Peti Undi Permatang Pauh.
Banner dengan tulisan “Awas Pengundi Hantu Pas” itu mengundang rasa tidak puas hati penyokong-penyokong Pas lalu mencetuskan perang mulut selama hampir tiga jam antara penyokong kedua-dua parti. Seramai kira-kira 50 penyokong Pas menjerit meminta supaya banner itu diturunkan, tetapi tidak dihiraukan oleh Pemuda Umno dan Barisan Nasional.
Cabar mencabar terjadi sepanjang tempuh itu, yang mengundang pihak polis hadir mengurangkan ketegangan, serta mengawal lalulintas yang semakin sesak.
Kehadiran Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke tempat itu pada kira-kira jam 4.30 petang telah dapat meredakan ketegangan itu seketika. Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno itu telah meminta supaya banner itu diturunkan, dan Pemuda BN akur dengan arahan bos UMNO Pulau Pinang itu.
Cumanya apabila banner itu diturunkan, dan apabila Zahid menunjukkan tanda bagus kepada penyokong Pas, tidak ada respon positif dari pihak itu, sebaliknya terus mencemuh dengan kata-kata biadap.
Setelah Zahid beredar, saya juga beredar menaiki kereta, dan semasa mahu meninggalkan tempat itu, saya melihat penyokong BN dan Pas terus dengan perang mulut kerana bilik gerakan masing-masing hanya bersebelahan antara satu sama lain. Polis terus berkawal.
Ironinya, kenapakah Pas rasa fobia sangat melihat banner berkenaan? Bukankah mereka sebelum ini sering menuduh BN yang mengamalkan strategi membawa pengundi hantu. “Kenapa Pas takut sangat pasal pengundi hantu,” rungut seorang pemuda yang melihat kejadian itu.
Malahan setiap kali pilihanraya kecil beberapa tahun lalu, Pas menubuhkan skuadnya sendiri untuk menghalang bas yang bergerak memasuki kawasan pilihanraya. Ketegangan selalu berlaku akibat tindakan Pas, termasuk tindakan mereka menyerbu masuk ke dalam bas, merampas kad pengenalan penumpang dan mengambil kunci bagi menghalangnya dari meneruskan perjalanan.
Kehadiran lebih 3,800 pengundi baru ke kawasan Permatang Pasir cukup menghairankan jentera BN. Perkara itu dapat dikesan seminggu sebelum penamaan calon. Rata-rata pengundi bukannya rakyat Permatang Pauh, meminjam alamat rumah tanpa diketahui oleh penghuninya, malahan ada kes pengundi Cina menggunakan alamat rumah Melayu. Malahan ramai di antara mereka menggunakan alamat yang sama di Permatang Pasir.
Kewujudan nama mereka dalam daftar pemilih nampak seperti dirancang, dan ianya berlaku dari dalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) itu sendiri. Apakah gejala ini juga wujud di kawasan-kawasan lain?