22 June, 2017

CARA NAJIB SENTUH HATI

Tak pernah saya rasa sebak ketika mengikuti berita di TV. 

Malam ini hati saya begitu tersentuh dengan ketulusan PM menyediakan sebuah rumah lengkap dengan perabut baru untuk seorang ibu tunggal, Ummi Kalthom Ayub, 37 dan dua anaknya.

Wanita ini tidak menjangka sebuah unit kediaman di Pangsapuri Putra Damai di Presint 11 Putrajaya yang dia dan anak-anaknya kunjungi dan disambut sendiri oleh PM akan menjadi miliknya.

Ungkapan kata PM ketika menyerahkan tempat berteduh baru kepada wanita ini begitu menyentuh hati dan jiwa. 

Hati saya bertambah sebak melihat wajah dua anak kecil, terutamanya anak bongsunya Sofea Qaisara berusia 5 tahun yang mengalami masalah penglihatan, cacat fizikal dan pembelajaran (dandy walker syndrome). 😭 

PM berkata beliau tersentuh apabila berjumpa Sofea Qaisara ketika beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada golongan kelainan upaya di Bazar Ramadan di Putrajaya pada 8 Jun lalu.

"Setelah mengetahui keadaan rumah yang diduduki mereka, saya meminta pegawai-pegawai untuk mendapatkan unit baharu untuk keluarga kurang bernasib baik ini. Saya harap rumah baharu ini membolehkan anda sekeluarga meneruskan kehidupan dengan lebih selesa," kata Najib.

Syabas dan terima kasih PM. Terbukti insan bernama Mohd Najib Razak sekali lagi mengotakan janji untuk berusaha menyentuh hati rakyat.
#welovepm #najibrazak

09 June, 2017

TERKINI - RAJA AHMAD MENINGGAL DUNIA

Pagi tadi ketika sedang memandu kereta ke pejabat, hati saya begitu tergerak untuk menelefon Dato' Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Dah agak lama saya tak menghubunginya. Saya dial tiga nombornya yang tersimpan dalam list, kesemuanya tidak dapat dihubungi. 

Selepas itu saya menghubungi Encik Rozahan Osman, Pegawai Kewangan Majuperak Holdings Berhad bertanyakan satu urusan. Encik Rozahan beritahu saya yang Dato' Seri Raja Ahmad baru sahaja meninggal dunia sejam lalu, iaitu pada 8.45 pagi tadi di Hospital KPJ Ipoh akibat jangkitan virus. Saya amat terkejut dengan berita sedih ini. 

Allahyarham punya rentetan jasa yang tak ternilai harganya kepada negara dan Negeri Perak. Pernah jadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Politik MB Perak, mantan Ketua UMNO Bahagian Larut, aktif dalam dunia bolasepak negeri (Pengurus PAFA) dan negara (Naib Presiden FAM), berjasa kepada syarikat-syarikat kerajaan selaku pengarah seperti di Majuperak Holdings Berhad. 

Jenazahnya dibawa ke kediamannya di Lot 77329, Persiaran Sri Ampang 5, Kg. Sri Ampang B, Ipoh, dan akan disemadikan selepas solat Jumaat. Salam takziah kepada keluarga allahyarham. Innalillahi wa innalillahi rajiun. Al Fatihah.

(Alhamdulillah saya sempat menziarah dan solat jenazah selepas solat Jumaat di surau diri Jumaat bersebelahan kediaman arwah di Sri Ampang, Ipoh.)

07 June, 2017

ZIARAH RAMADHAN DI KUALA SLIM

Petang tadi sempat berkunjung ke 10 buah rumah dalam program 'Ziarah Ramadhan' di Kampung Kuala Slim, sebuah kampung tradisional dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Slim, Perak yang saya wakili.

Baru-baru ini Kampung Kuala Slim dinobatkan sebagai juara pertandingan Anugerah Desa Perdana 2017 Peringkat Negeri Perak. Tahniah saya ucapkan.

Sebagai wakil Negeri Perak ke pertandingan ADP2017 Peringkat Kebangsaan, Kuala Slim kini menjadi tumpuan pelbagai pihak yang datang bagi membantu persiapan. Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri juga turut sama menghulurkan bantuan daripada pelbagai sudut.

Program ziarah sempena bulan Ramadhan telah saya lakukan sejak lebih 10 tahun lalu, termasuk ke Kampung Kuala Slim. Selain sedikit sumbangan wang raya, warga uzur yang saya kunjungi turut menerima kotak makanan yang disediakan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU) Negeri Perak. Bukan sangat pada nilai pemberian, tetapi lebih penting adalah atas rasa keikhlasan dan peluang untuk saya bertanya khabar. 

Petang tadi saya berbuka puasa di Surau Tok Wan, Kampung Jaya, Kuala Slim. Hajat saya untuk berbuka puasa dan bertarawih di masjid baru Kampung Kuala Slim tahun ini masih belum kesampaian. Masjid bernilai RM2.7 juta atas peruntukan khas yang diluluskan oleh Perdana Menteri pada tahun 2014 masih lagi dalam pembinaan. Kontraktor asal telahpun ditamatkan kontraknya dan kini pihak JKR sedang memproses perlantikan kontraktor baru. InsyaAllah semoga tahun hadapan hajat saya tertunai.

02 June, 2017

ZIARAH RAMADHAN DI TROLAK UTARA

Alhamdulillah petang tadi dapat menziarah empat keluarga di Felda Trolak Utara dan menyampaikan sedikit sumbangan. Selebih enam rumah lagi diteruskan oleh Pengarah Seranta Perak, Puan Salina Shamsuddin, kerana saya bergegas pula ke masjid untuk menyerahkan sumbangan beras kepada 40 keluarga yang menunggu.

Sempat juga meninjau ke belakang masjid melihat team memasak menyediakan juadah berbuka puasa. Menu yang saya suka tiap kali berbuka di sini pun ada, daging rebus cicah sambal air asam.

Berbuka pula bersama khariah masjid disertai pegawai-pegawai ibupejabat Felda termasuk Timbalan Pengarah Besar (Komuniti) Encik Anuar Malik.

Terima kasih kepada semua warga Felda Trolak Utara atas layanan mesra.