Ketika Pengerusi BN Dato' Seri Najib Tun Razak berucap di hadapan lebih 2,000 pemimpin kanan parti di Dewan Merdeka PWTC tengahari ini, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 di Putrajaya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon adalah pada 20 April 2013, dan pembuangan undi pada 5 Mei 2013. Pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April.
Tan Sri Aziz membuat pengumuman itu pada pukul 12.30 tengah hari di ibu pejabat SPR di Putrajaya, yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan TV3. Pada waktu yang sama, Dato' Seri Najib sedang memberikan amanat penting kepada semua pemimpin kanan BN di PWTC, terdiri daripada pengerusi-pengerusi parti komponen, ketua-ketua BN di peringkat Negeri dan Bahagian serta para pemimpin kanan UMNO dari seluruh negara.
Berdasarkan pengumuman SPR, PRU13 akan melibatkan seramai 13,268,002 pengundi berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan esok (11 April). Daripada jumlah itu, 12,992,661 adalah pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.
Tempoh berkempen bagi PRU13 ialah selama 15 hari, lebih dua hari berbanding PRU12 pada 2008. Peraturan baru SPR menetapkan tempoh berkempen adalah tidak kurang daripada 11 hari.
Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebaik Dato' Seri Najib selesai berucap di PWTC, Pengerusi Penerangan BN Dato' Ahmad Maslan memaklumkan pengumuman SPR mengenai tarikh-tarikh keramat PRU13 itu, dan ianya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin dan laungan "Hidup BN", "Gelombang Biru", "1Malaysia", "Sokong Najib" dan "Undi BN".
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments:
Post a Comment