Pada 1988, sebuah kampung terpencil di Pantai Timur Sabah dicerobohi
sekumpulan lelaki bersenjata dari Selatan Filipina menyebabkan kesemua penduduk
lari dan berpindah ke kawasan lebih selamat. Kejadian itu berlaku di Kampung
Bongon Kecil, sebuah perkampungan nelayan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri
Sukau, Kinabatangan.
Dalam peristiwa itu, kesemua barangan berharga penduduk kampung termasuk
enjin sangkut, barang kemas, wang tunai dan peralatan elektrik dirompak.
Badaron Siong yang menjadi ketua kampung ketika itu telah mengarahkan anak
buahnya segera berkemas dan melarikan diri ke Kampung Tanjung Aru, Sandakan
kerana bimbang terhadap ugutan kumpulan penceroboh yang mahu datang semula ke
kampungnya. Perompak umpama lanun ini lebih popular dengan panggilan 'mundu' di kalangan masyarakat Sabah.
Ketua Kampung Tanjung Aru, Haji Omar Montol telah bersetuju menerima
perpindahan 13 keluarga dari Kampung Bongon Kecil atas dasar simpati dan
kemanusiaan. KK Badaron dan anak buahnya
membina rumah di atas air di hujung kampung itu, meninggalkan keselesaan
tinggal di rumah di atas tanah serta semua binatang peliharaan seperti lembu
dan kambing di kampung mereka yang diceroboh.
Saya yang ketika itu bertugas selaku Pegawai Media ADUN Sukau, Datuk Dr.
Zaki Gusmiah telah pergi ke Kampung Bongon Kecil bersama beberapa wartawan
media arus perdana dan tempatan bagi meninjau sendiri keadaan perkampungan itu.
KK Badaron dan KK Haji Omar kini telah
meninggal dunia, namun kejadian pencerobohan bersenjata dari kumpulan tertentu
dari Selatan Filipina terus berlaku selepas itu, termasuklah terbaru di Lahad
Datu dan Semporna oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka tentera Kesultanan
Sulu.
Niat penceroboh berubah dari semasa ke semasa. Sehingga akhir abad ke-20,
kumpulan kecil bersenjata yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Sulu dari
Kepulauan Mindanao ini sekadar melarikan harta benda, khususnya enjin bot laju.
Pada awal abad ke-21, kumpulan yang menamakan diri mereka Abu Sayyaf bertindak
lebih canggih dengan melarikan individu-individu tertentu khususnya di kalangan
ahli perniagaan dengan tujuan peras ugut bagi mendapatkan sejumlah wang yang
besar.
Namun dalam kes terbaru di Lahad Datu, niat penceroboh dari Selatan Filipina
ini jauh lebih besar, iaitu atas nama Kesultanan Sulu, mereka mahu melarikan
sebuah wilayah merdeka dalam negara Malaysia!

Sempadan di Pantai Timur Sabah yang begitu panjang dari Pulau Bangi, Kudat
di utara hinggalah Pulau Sebatik, Tawau
di selatan Sabah pastinya menyukarkan kawalan keselamatan dilakukan bagi
mengawasi pencerobohan. Ianya memanjang dari Laut Sulu di utara hingga ke Laut
Celebes di selatan. Terlalu banyak 'laluan tikus' di sepanjang sempadan yang
biasa digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina untuk
masuk ke Sabah.
Pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menubuhkan
Zon Keselamatan Khas yang merangkumi Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan
Tawau agak melegakan. Namun sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia menempatkan
sebuah pengkalan tentera di Pantai Timur Sabah bagi mengawal kemasukan warga
asing secara haram, khususnya dari Selatan Filipina.
Tempat paling strategik untuk penubuhan pangkalan tentera itu adalah di
sekitar Tambisan, yang boleh diibaratkan ‘muncung Sabah’ berdasarkan
kedudukannya dalam bentuk peta Negeri Di Bawah Bayu itu. Kedudukan Tambisan
tidak jauh dari Kampung Tanduo, Lahad Datu yang diceroboh oleh tentera
Kesultanan Sulu. Ianya juga terletak di tengah-tengah antara Kudat dan Tawau.
Semoga dengan wujudnya pengkalan tentera itu, Pantai Timur Sabah akan lebih selamat daripada ancaman pencerobohan anasir-anasir militan luar, khususnya dari Kepulauan Mindanao.

No comments:
Post a Comment