“Lihat dan baca dengan teliti isi kandungan surat yang ditulis oleh Nizar kepada Vale”.
Demikian penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir setelah mendapati Nizar Jamaluddin cuba menegakkan benang yang basah selain menambah satu lagi penipuan berkaitan penglibatan beliau dalam projek Vale ketika Pakatan Rakyat memerintah.
Sebagai Menteri Besar ketika itu, setiap surat yang dikeluarkan oleh Nizar adalah menunjukkan sesuatu yang serius atau ia boleh dilihat sebagai keputusan rasmi.
“Bagaimana seorang pemimpin boleh membuat surat rasmi dan mengganggap ia sebagai satu surat kepada rakan atau ‘Pay Pal’ sahaja… ia adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
“Cuba anda teliti, apakah isi kandungan surat tersebut yang jelas menunjukkan Nizar sudah melakukan satu persetujuan antara kerajaan negeri dengan Vale,” katanya.
Daripada dokumen itu, ada dinyatakan bahawa Nizar selaku Menteri Besar ketika itu mengutus surat sokongan kepada Pengarah Pemasaran Komersial Vale, Renato Neves.
Selain itu, antara isi kandungan surat yang menyatakan hubungan dua hala antara kerajaan negeri ketika itu dengan Vale adalah seperti berikut:
“Let me reassure you again that the State Government of Perak will response accordingly to the decision of MITI on this project by providing all the necessary supports and assistance needed for it to be implemented successfully here”
“The state will process the transfer of the said land to Vale and conversion of the land to industrial use once the appropriate application received by the Department of Land and Mines”
Inilah bukti Nizar bersetuju dengan pelaburan projek itu di Perak ketika beliau memerintah namun ia dibantah sekeras-kerasnya hari ini.
Sudahlah menipu, beliau masih lagi mahu menegakkan benang yang basah. Itulah sikap sebenar Nizar yang hanya pandai bercakap terlolong-lolong tanpa sebarang bukti.
Sumber :
PERAK TODAY
Bernama pula melaporkan begini :
Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS diingatkan supaya menghentikan perbuatan hiprokrasi, kepura-puraan dan pendustaan berhubung projek pelaburan bijih besi oleh Vale International.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tindakan itu boleh memberi kesan buruk terhadap pelaburan, pertumbuhan negeri dan pembangunan rakyat.
"Jika kita berusaha untuk menegakkan benang yang basah ia tidak ke mana. Lagi kita cuba 'bersilat' lagi menampakkan kelemahan sebagai pemimpin," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di Ipoh.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohammad Nizar hari ini yang mendakwa surat bertarikh 17 Disember 2008 yang ditandatanganinya ketika menjadi menteri besar Perak bukan menandakan persetujuannya terhadap pelaksanaan projek berkenaan di Teluk Rubiah, sebaliknya bagi tujuan "public relations" (menjalin perhubungan awam) dengan pelabur.
Zambry menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai tidak munasabah kerana Mohammad Nizar pada ketika itu merupakan seorang menteri besar dan kandungan surat tersebut merupakan satu perkara yang serius.
"Ia satu alasan yang tidak munasabah. Beliau adalah seorang bekas menteri besar, beliau perlu tahu bahawa setiap surat yang ditulis oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah negeri adalah bukan surat 'pen pall' atau kawan biasa yang suka-suka tulis. Surat itu adalah surat berjadual dan berjilid...ini bukan surat bagi tujuan 'marketing' atau 'public relations'," katanya.
Semalam, semasa persidangan dewan, Mohammad Nizar mengakui menandatangani surat bertarikh 17 Disember 2008 itu berhubung sokongan terhadap projek pusat pengagihan bijih besi oleh Vale International dan mengakui kesahihan kandungan surat berkenaan.
Surat berkenaan telah dikelaskan semula oleh kerajaan negeri berikutan dakwaan pembangkang kononnya mereka tidak terlibat dan tidak menyokong pelaksanaan projek itu di Teluk Rubiah.
Zambry berkata kandungan surat itu yang menyebut bahawa kerajaan negeri akan memproses pemindahan tanah berkenaan dan mengubah statusnya menjadi tanah perindustrian selepas permohonan diterima oleh Jabatan Tanah dan Galian, jelas menunjukkan sokongan Muhammad Nizar terhadap projek itu.
Zambry berkata kerajaan negeri tidak akan mendedahkan semua dokumen dan surat berkaitan projek berkenaan seperti yang diminta oleh pakatan pembangkang kerana ia bukan amalan pentadbiran yang baik.
Mengenai desas desus kononnya Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, dan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming, kedua-duanya daripada DAP, ada berjumpa beliau untuk meminta maaf dan mengatakan mereka tidak mengetahui tentang kewujudan surat bertarikh 17 Dis 2008 itu, Zambry hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, pada sidang media berasingan, Mohammad Nizar meminta kerajaan negeri mendedahkan semua dokumen berkaitan projek berkenaan.
Pada Sabtu lepas, Mohammad Nizar, Ngeh dan Adun Tronoh, V. Sivakumar, menyertai 100 anggota Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak mengadakan bantahan terhadap operasi syarikat bijih besi Vale SA di Teluk Rubiah yang didakwa akan memusnahkan alam sekitar di kawasan itu.