09 November, 2010

PROJEK JALAN BESOUT-KUALA SLIM TERTANGGUH LAGI


Projek pembinaan jalan baru Felda Gugusan Besout ke Kuala Slim sejauh 11 km tertangguh lagi buat kali kedua. Kerja-kerja pembinaan jalan ini yang terletak dalam Parlimen Tanjong Malim dan Dewan Undangan Negeri Slim dimulakan pada Julai 2008 dan sepatutnya siap dalam tempuh 2 tahun. Tetapi setelah tertanggung kali pertama selama 8 bulan pada Ogos 2009 hingga April 2010, tidak nampak bayangnya ia boleh disiapkan pada jadual baru iaitu pada April 2011 setelah penangguhan kali kedua sejak lebih sebulan lalu.

Projek ini pada mulanya berharga RM46 juta dan setelah ditangguhkan nilainya meningkat kepada harga syiling RM50 juta. Nilainya menjadi hampir RM60 juta jika dicampurkan dengan pampasan yang telah dilangsaikan kepada 40 pemilik tanah terdiri dari peneroka Felda Gunung Besout 2 dan Felda Gunung Besout 3, selain pemilik tanah pinggir berkelompok, sebilangan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Teras dan tanah milik Felda Plantation. Ini angka yang cukup besar bagi pembinaan jalan sejauh 11 km.


Projek ini telah saya cadangkan pada tahun 2005, kira-kira setahun setelah saya dipilih selaku Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Slim pada Pilihanraya Umum 2004. Pembinaan jalan ini boleh mendekatkan jarak antara Felda Gugusan Besout ke Slim River daripada kira-kira 50 km kepada hanya 17 km, jika dicampurkan jalan sedia ada sepanjang 6 km dari Kampung Kuala Slim ke bandar berkenaan. Perjalanan yang kini memakan masa selama 45 minit boleh dijimatkan kepada hanya sekitar 15 minit.

Penduduk Felda Gugusan Besout yang mempunyai populasi hampir 20,000 orang kebanyakannya berurusan di Slim River sebagai bandar pentadbiran kerana di sini terletaknya Pejabat Daerah dan Tanah Slim River, Hospital Daerah, Pusat Kesihatan Daerah, Pejabat Pendaftaran Daerah, Pejabat Agama Daerah, Ibupejabat Polis Daerah Tanjong Malim, pejabat bomba, pejabat wakil rakyat, bank, klinik, stesyen KTM, supermarket, pasar basah, stesyen bas dan lain-lain. 

Jalan ini juga mendekatkan Felda Gugusan Besout ke bandar Tanjong Malim yang menempatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Bandar Proton, Politeknik Sultan Idris Shah dan Institut Tadbir Tanah Negara (INSTUN). Sebab itulah pembinaan jalan baru ini begitu dinanti-nantikan oleh mereka.

Ketika membuat dua lawatan setelah kerja-kerja dilaksanakan semula selepas ditangguhkan selama lapan bulan pada Ogos lalu, saya menaruh sedikit keyakinan bahawa projek ini boleh disiapkan pada jadual baru iaitu pada April 2011. Harapan ini diberikan oleh pengarah urusan Azam Teknik Sdn Bhd, kontraktor dari Negeri Kedah yang melaksanakan projek ini. Begitu juga harapan yang diberikan oleh Jurutera JKR Daerah dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah pada Ogos lalu.

LAWATAN SAYA PADA 15 OGOS 2010





LAWATAN MENGEJUT 26 OGOS 2010
(3 jam selepas letupan bom memecahkan batu) 







Dalam perbualan telefon terbaru saya dengan pihak kontraktor tiga hari lalu, beliau meletakkan faktor ketidaksepakatan antara pihaknya dengan JKR mengenai kuantiti tanah, khususnya kerja-kerja pemecahan batu bagi meruntuhkan sebuah bukit yang menjadi jajaran jalan berkenaan. Menurutnya tuntutan bayaran tambahan berkaitan kerja-kerja berkenaan tidak dipersetujui oleh JKR Negeri, menyebabkan beliau selaku kontraktor terpaksa sekali lagi bertindak menghentikan kerja dan membawa jenteranya keluar dari tapak projek.

Apapun, saya mengharapkan jalan penyelesaian dapat diambil segera oleh pihak kontraktor dan JKR. Dalam soal ini, saya meminta Pengarah JKR Negeri Perak supaya terlibat secara langsung dalam mengatasi masalah berkenaan. Sebagai penjawat yang boleh membuat keputusan, beliau sewajarnya mempengerusikan setiap mesyuarat berkaitan projek ini.

Sudah pastinya isu ini akan menjadi topik utama saya dalam perbahasan Bajet Negeri Perak dalam Sidang DUN Perak bermula pada 30 November ini.  Sehingga tarikh berkenaan, saya mahu mendengar satu keputusan positif berkaitannya, dan semoga ada tanda kerja-kerja di tapak projek dijalankan semula. Berpeganglah kepada semangat 1Malaysia – rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

3 comments:

Anonymous said...

Kalau mcm ni Datuk, perlu cari Kontraktor penyelamat.DAA tak kan tak bolih bagi Burget Baru.

Anonymous said...

Susah YB nk berpegang pada janji kalau yg lain x prihatin... jika berjaya jgn lupa ya YB janji naik taraf jalan Felda trolak ke Slim..(susur keluar)..kami kena pusing 8 ke 10 km lebih kurang dato kalau nk ke slim..

Anonymous said...

ni semua pasal perak jatuh sekejap kat PR tu yg project ni dihentiakan(pembangkang x dpt kepentingan atas project tu)semoga lepas ni diharap tiada masalah lagi.