14 November, 2019

PENGEDAR T-SHIRT MERAH, MAKCIK DAN PENIAGA

Al kisah ada dua drama berlaku depan mata saya di Jalan Parit Adnan, Pontian petang tadi. Sebuah kereta di hadapan kenderaan saya sedang bergerak mengedarkan t-shirt merah tertera tulisan 'Pakatan Harapan'.

Mereka menahan dua orang makcik di pinggir jalan. Tangan lelaki menghulurkan sehelai t-shirt merah dari dalam keretanya.

Riak muka makcik tu macam keberatan menerima. Tetapi mungkin untuk tidak mengecilkan hati si pemberi, makcik akhirnya menyambut t-shirt merah itu. Sepantas itu juga lelaki dalam kereta melonggokkan beberapa helai lagi t-shirt merah ke tangan makcik tu. 

Apabila kenderaan saya menghampiri makcik tu, saya membuka skrin tingkap. 

"Banyak dapat t-shirt kak," kata saya sambil melemparkan senyuman.

"Orang bagi, ambik le," balas makcik tu. Manis senyumnya.

"Apapun jangan lupa undi BN ye kak," kata saya.

Lambat makcik tu membalas. Mukanya macam kehairanan. Mungkin mulanya dia ingat saya jadi pengiring kereta di hadapan. Apabila dia perasan rakan di sebelah saya memakai baju biru BN, wajah makcik tu tiba-tiba bertukar ceria.

"Owhhh... itu sudah pasti!!!" jawab makcik dengan nada tegas tapi girang.

Hati saya lega.

Di persimpangan jalan di depan sikit, seorang peniaga sedang tercegat berdiri di depan kedainya yang tidak beroperasi. Nampak seperti kedai sederet itu sedang diubahsuai. 

Kereta sama berhenti agak jauh dari kedai itu. Pemandunya melambai-lambaikan tangan kepada peniaga yang sedang berlenggeng itu. Pemandu mengibas-ngibas t-shirt merah dan memberi isyarat supaya peniaga itu datang mengambil pemberiannya. 

Isyarat dibalas isyarat. 

Peniaga menggerakkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Dia memberi isyarat tidak mahu dan lantas bergegas masuk ke dalam kedai.

Kenderaan lelaki segera bergerak membelah badai!!!

Apa agaknya petanda kepada calon PH dalam PRK Tanjong Piai menjelang 16hb ini?

Selamat beradu pengundi Tanjong Piai.

13 November, 2019

PRK TANJONG PIAI - PH PERALAT SPR


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan peraturan baru dipercayai bagi mengekang corak kempen tradisional UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang semakin mendapat sambutan pengundi di P165 Tanjong Piai.

Setelah diperalatkan oleh Pakatan Harapan (PH) yang menjadi parti pemerintah, peraturan baru SPR itu antaranya mahukan supaya kempen merayu undi dari rumah ke rumah hendaklah mendapat permit dari pihak polis terlebih dahulu.

Peraturan baru ini jelas bertujuan mahu mengekang pergerakan jentera kempen BN dan Muafakat Nasional di Tanjong Piai, dan tidak pernah wujud dalam 14 pilihanraya umum, beberapa pilihanraya negeri, dan beratus pilihanraya kecil sebelum ini. 

Merayu undi dari rumah ke rumah adalah antara gerakkerja paling berkesan dan dapat dijayakan dengan begitu baik oleh jentera UMNO, melalui Jalinan Rakyat (JR).

Berkempen secara tradisi ini memerlukan sikap tabah, cekal dan yang paling penting punya semangat pejuang. Hanya yang kuat dan cekal saja yang mampu menguruskan corak kempen ini. Sikap ini telah lama tertanam dalam diri pendokong setia UMNO. Tetapi sikap ini tidak wujud dalam diri kalangan pemimpin dan jentera PH, khususnya Bersatu. 

Hairannya kebanyakan pemimpin, ahli dan pengikut Bersatu itu adalah bekas ahli UMNO. Takkanlah mereka tak pernah lalui dan sertai kempen tradisional yang sudah lama diamalkan oleh UMNO? Bukankah corak merayu undi rumah ke rumah ini juga pernah mereka lalui ketika bersama UMNO dulu?

Jawapannya ada pelbagai. Samada Bersatu telah mencuba tetapi tak ada sambutan dari jentera kempen sendiri yang lemah, tidak mendapat sambutan daripada pengundi dan dilayan secara hambar di mana saja mereka pergi kerana pengundi tak mahu menghidu bau hancing akibat janji-janji PH yang telah dikencing.

Paling mereka tidak tahan apabila pengundi mendapat peluang bersemuka, mengasak dan mengkritik keputusan dan dasar kerajaan yang dianggap amat gagal dan janggal. Itulah yang dilalui oleh MB Perak Faizal Azumu dan calon PH dalam video yang tular beberapa hari lalu.

Mereka yang meninggalkan UMNO itu sebenarnya tidak punya darah pejuang. Dalam diri mereka hanya ada darah mengintai peluang untuk tembolok sendiri. Sikap inilah yang menyebabkan mereka meninggalkan UMNO dan sanggup menjadi katak melompat ke sana sini serta mengkhianati mandat dan undi rakyat.

Peraturan baru ini juga bertentangan dengan norma hidup bermasyarakat, khususnya di kalangan orang Melayu yang sejak berzaman mengamalkan konsep ziarah. Amalan baik ini boleh terjejas kerana bimbang perbualan dianggap ada unsur kempen politik.

PH gagal teruk pertahankan Semenyih kerana mereka tidak mampu bersaing dgn jentera bergerak UMNO. Begitu juga situasinya di PRK Cameron Highlands dan Rantau menyebabkan PH tewas.

Ternyata PH memperalat SPR untuk menyekat strategi kempen BN dengan harapan untuk mengelakkan kekalahan teruk parti kerajaan itu dalam PRK Tanjung Piai kali ini. Jika strategi ini berjaya, tidak hairan peraturan yang sama akan kekal sehingga PRU15 nanti. 

Para pengundi di Tanjung Piai perlu menolak peraturan tidak matang ini di kertas undi pada 16 November ini dengan cara menolak calon PH dan mengundi calon BN di petak 2.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

#PRKP165TanjungPiai #SPR

10 November, 2019

MB PEJA DIHENTAM SI COWARD


Semalam MB Perak, Faizal Azumu dihentam secara berjemaah oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan berikutan tular video beliau melabun dan mengutuk DAP ketika berkempen di PRK Tanjung Piai.

Antara yang teruk menghentam Peja Azumu adalah DAP Perak melalui Setiausahanya YB Wong Kah Woh dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga tak kurang garangnya melanyak Peja yang dianggap blue eyes boy Tun Mahathir itu.

Cuma yang menjadi tandatanya saya adalah kenyataan Pemuda Sosialis DAP Malaysia (DAPSY) yang juga mengganyang Peja dengan teruknya. 

Berbeza dengan Guan Eng, Kah Woh dan Farhash, kenyataan DAPSY tidak menyebut nama penuturnya. 

Siapa Ketua DAPSY Malaysia? Namanya YB Howard Lee Chuan How, ADUN DAP kawasan Pasir Pinji Perak, dan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Belia dan Pembangunan Sukan Negeri Perak. Selaku Exco Kerajaan Negeri, Howard sepatutnya menganggap MB Peja bosnya. 

Tapi Howard pandai. Dia tak letak namanya dalam kenyataan DAPSY menghentam Peja. Sorok nama mungkin dengan harapan harimau boleh menyorokkan diri di belakang sebatang pokok kelapa.

Atau adakah Howard ini sebenarnya bukan harimau? Dia dah bertukar dari Howard ke Coward Lee?

Biar sesama mereka memberikan jawapan. Popcorn satu!!!

LABUN MB PEJA DI TG PIAI


1. "Saya buat jer itu pelan2 tapi alhamdulilah kat sana kawan-kawan UMNO saya takdela marah saya macam ni".

Dah berulang kali pemimpin UMNO di Perak menegur dasar pentadbiran MB Peja dan Kerajaan Negeri khususnya sewaktu Sidang DUN Perak dalam pelbagai isu. Samada beliau faham atau buat-buat tidak faham. Menegur dan mengkritik bukan semestinya dalam nada marah. Malah penduduk kampung di Tg Piai dalam video itu bercakap dalam nada mengkritik, bukan marah. Mereka meluahkan rasa tak puas hati terhadap kebobrokan pentadbiran PH selama setahun lima bulan lalu. 

2. "Masa saya kat Perak, saya sorang terkontang kanting nak melawan puak-puak DAP."

MB satu kerusi PPBM dengan majoriti menang 39 undi dah tentulah rasa terkontang kanting berhadapan 18 puak DAP. Rasa gah kononnya menguasai puak-puak DAP, tetapi hakikatnya menjadi boneka parti chauvinis itu. Nak rombak barisan Exco pun tak ada daya upaya. Kata-kata nak melawan puak-puak DAP itupun dah menunjukkan ada konfrantasi dalam pentadbiran negeri antara Bersatu dan DAP. Kalau dah pemimpin penting Bersatu sendiri kutuk DAP, apa ke bodohnya penyokong DAP di Tg Piai nak mengundi calon Bersatu?

3. "Sebenarnya kita dah dekat, tak payah gaduh, sebenarnya ok, sebenarnya benda ni tak lama akan selesai. Sebab yang dok kat atas semua dah ok dah. Sebenarnya tak nak cerita. Paham-pahamlah".

Ayat ni khusus untuk pengundi Melayu. Depan pengundi Cina DAP, pasti ayat lain mula muncul. Samalah dengan pemimpin DAP. Depan pengundi Cina cakap lain, depan pengundi Melayu cakap lain. Sebenarnya tak ada apa yang ok. Jangan cuba redakan kemarahan rakyat terhadap kepincangan PH dengan mengadakan cerita yang tak ada. Sejauh manalah sangat keberanian Bersatu nak singkirkan DAP? Bersatu parti suam-suam kuku saja dalam PH.

Cukuplah tiga tu dulu. 

#UndiBN #TolakPPBM

19 October, 2019

PERAK FA DIHARAMKAN?

Surat terbuka kepada Persatuan Bolasepak Perak (PERAK FA)

Saya mengambil masa yang amat panjang bagi mengemukakan satu persoalan kepada Perak FA. Sudah bertahun ianya berligar di fikiran saya. Untuk makluman Perak FA, saya peminat setia sukan bolasepak tanahair, dan pendokong tegar team The Bos Gaurus. 

Setelah musim Piala Malaysia tahun ini berakhir, dan tidak lagi mengganggu kempen Negeri Perak mempertahankan piala berprestej itu, kini saya terpanggil untuk mengemukakan surat terbuka ini kepada Presiden Perak FA, YAB Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengurus Perak FA, Dato' Adly Shah.

Sudah hampir 10 tahun Persatuan Bolasepak Daerah Slim River (PBDSR) tidak mengadakan mesyuarat agungnya. Tetapi amatlah menghairankan bagaimana persatuan ini masih menganggotai Perak FA dan boleh pula menghantar wakil ke AGM Perak FA? Siapakah yang memilih perwakilan dari PBDSR yang sepatutnya dilakukan di dalam mesyuarat agung? Bukan sekadar menghantar perwakilan ke AGM Perak FA, malah perwakilan PBDSR yang disyaki haram itu dibenarkan pula bertanding dan menang jawatan dalam Perak FA sejak beberapa penggal lalu.

Adakah kepimpinan PBDSR menipu Perak FA dengan hanya sekadar membuat mesyuarat agung di atas kertas dan menghantar laporan dan minit mesyuarat palsu kepada pihak Perak FA? Adakah PAFA pernah menghantar pemerhati ke mesyuarat agung persatuan bolasepak daerah bagi memastikan mesyuarat itu berlaku?

Jika perkara menghantar perwakilan haram ini berlaku, Perak FA telah melanggar peraturan FAM kerana membenarkan persatuan daerah yang tidak sah menghantar perwakilan dalam AGMnya. Jika perkara ini diketahui lebih awal oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS), mungkin Perak FA telah diharamkan sejak bertahun-tahun lalu. Malah Perak FA juga tidak layak menjadi anggota FAM.

Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa PBDSR adalah kenalan saya. Mereka juga menjadi penggerak dan urusetia Liga Bolasepak Piala Dato' Khusairi (LBPDK), liga tahunan yang saya anjurkan di Slim River sejak lima tahun lalu. Mereka juga tertanya-tanya hal yang sama, biarpun berjawatan AJK persatuan.

Saya tidak pasti adakah persatuan daerah yang lain juga mengambil sikap sama, iaitu sambil lewa terhadap peraturan dan undang-undang FAM dan Perak FA. Saya dapati Persatuan Bolasepak Daerah Tanjong Malim, satu lagi persatuan dalam Daerah Muallim, juga terikut-ikut sikap begini, iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung, sebaliknya menghantar wakil ke AGM Perak FA, wakilnya bertanding dan menang pula jawatan kanan dalam Perak FA.

Saya pernah mengemukakan perkara ini kepada Dato' Adly kira-kira setahun lalu dan meminta beliau berbuat sesuatu bagi mengelakkan Perak FA diharamkan. Namun sehingga kini tidak ada tindakan konkrit diambil oleh pihak Perak FA.

Saya sayangkan Perak FA dan pasukan bolasepak Negeri Perak. Tetapi jangan pula disebabkan kegagalan individu melaksanakan tanggungjawab selaku Yang Dipertua dan Setiusaha persatuan bolasepak daerah, maka kesannya terpalit kepada Perak FA sehingga persatuan kesayangan rakyat Negeri Perak ini diharamkan.

Saya memberi muka kepada PBSR selaku penganjur bersama LBPDK sebelum ini, biarpun dalam hati saya tertanya-tanya samada persatuan itu masih sah atau tidak pendaftarannya. Penganjur bersama tanpa perlu persatuan itu mengeluarkan satu sen modal. Namun ada yang memberitahu saya kononnya persatuan ini pernah membuat tuntutan peruntukan daripada Perak FA kerana menganjurkan Liga Daerah Slim River, walhal itu adalah LBPDK yang telah saya taja sepenuhnya.

Janganlah ada pula yang menuduh saya menulis surat terbuka ini kerana inginkan apa-apa jawatan di dalam persatuan bolasepak daerah ataupun Perak FA. Saya tak mahukan jawatan-jawatan itu. Saya hanya peminat tegar bolasepak Negeri Perak, dan mahu melihat sukan ini berkembang pesat di peringkat daerah. Saya mahu lihat lebih ramai anak muda Perak menjadi pemain negeri hasil usaha mencungkil bakat mereka dari liga daerah.

Majulah bolasepak untuk Perak.


Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib

ADUN Slim

Penaung LBPDK

(19 Oktober 2019)


#FAM #PAFA #LIGAMALAYSIA

09 October, 2019

PILIHAN RAYA NEGERI PERAK?

Al kisah, sejak semalam tular sepucuk surat dari Kementerian Pendidikan Malaysia (Negeri Perak) yang memberi kebenaran kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak untuk membuat lawatan awal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi dalam Negeri Perak.

Semasa singgah makan tengahari di Restoran Pak Ya Bistro di Kampung Kuala Slim dalam perjalanan pulang melawat kawasan banjir di Felda Besout, seorang penyokong kerajaan menunjukkan kepada saya surat yang sama di layar telefonnya. 

Awal sungguh SPR mahu meninjau pusat mengundi di Negeri Perak. Tempoh akhir bagi mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 ialah pada Mei 2023, iaitu 3 tahun 6 bulan lagi. Masih lama.

Kenapa di Negeri Perak? Rasanya SPR tidak memohon perkara yang sama di negeri-negeri lain. Istimewa sungguh Negeriku Perak ni.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak dibentuk selepas PRU14 pada Mei 2018 setelah dua ADUN Barisan Nasional (BN) dari parti UMNO keluar dan mengisytiharkan diri ADUN bebas dan menyokong Faizal Azumu menjadi Menteri Besar.

Kedudukan 59 kerusi DUN Perak selepas PRU14 ialah 29 PH, 27 BN dan 3 PAS. Untuk membentuk Kerajaan Negeri, perlu sejumlah 30 kerusi untuk majoriti mudah. Tindakan ADUN BN dari Sungai Manik dan Tualang Sekah menyeberang membolehkan PH membetuk kerajaan dengan 31 kerusi. BN kini tinggal 25 kerusi dan 3 PAS menjadikan jumlahnya 28 kerusi di pihak pembangkang. 

Kelebihan 3 kerusi bukanlah terlalu selamat buat sebuah Kerajaan Negeri dianggotai empat parti yang rapuh pakatannya. Tambah lagi ketua kerajaan, iaitu Menteri Besar, hanya mewakili satu kerusi dari partinya (kini menjadi dua apabila ADUN Sungai Manik diterima menyertai PPBM), selain iparnya ADUN Tualang Sekah yang masih kekal bebas pro-PH.

Bukan rahsia umum lagi empat parti kerajaan di Negeri Perak sedang berantakan sesama sendiri. Pengerusi PKR Perak secara terbuka mengkritik kepimpinan MB Faizal Azumu. 

Perantakan itu bukan sahaja antara parti, malah di dalam parti sendiri juga berganyang sakan. Paling ketara dalam kepimpinan DAP Perak, apabila ADUN Malim Nawar dan ADUN Pokok Assam melepaskan jawatan di dalam parti itu kerana tidak puas hati terhadap Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming. Kepimpinan Parti Amanah Nasional (PAN) Perak pula ibarat api di dalam sekam yang hanya menunggu masa merebak.

Ada ura-ura beberapa ADUN pihak kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku ADUN bebas. Dikhabarkan jumlahnya lapan orang, tetapi paling mendesak empat. Jika dua sahaja ADUN meninggalkan pihak kerajaan, ada dua kemungkinan akan berlaku iaitu samada Kerajaan Negeri Perak bertukar tangan seperti berlaku pada 2009, atau Pilihanraya Negeri (PRN) perlu diadakan.

Atas kemungkinan inilah maka SPR sudah mula menggerakkan jenteranya bagi meninjau pusat-pusat pembuangan undi di seluruh Negeri Perak, yang kebanyakannya di sekolah-sekolah. 

Sasaran Muafakat Nasional (MN) adalah untuk merampas Negeri Perak dari PH samada dalam PRU15 ataupun PRN yang mungkin diadakan pada bila-bila masa. 

40 kerusi DUN Perak insyaAllah milik MN.