31 March, 2013

RAHSIA JACEL KIRAM IKUTI TWITTER ANWAR


'Princess' Jacel Kiram, anak perempuan 'Sultan' Jamalul Kiram 111, ketua perancang pencerobohan tentera Sulu ke atas Lahad Datu dan Semporna di Sabah mula membuka akaun twitternya sejak 13 Mac lalu.

Jacel sudah terbukti begitu celupar terhadap Kerajaan Malaysia setiap kali memberikan komennya mengenai peristiwa di Sabah, selain turut menyelar secara sinis Kerajaan Filipina pimpinan Benigno Aquino.

Biarpun baru 17 hari, akaun twitter Jacel ( @jacelkiram ) sudah mempunyai seramai 7362 pengikut (followers), dan 'puteri' itu telah membuat 21 tweets yang kebanyakannya menyentuh isu pencerobohan tentera Sulu di Sabah.

Jacel hanya mengikuti (following) enam rakan twetter. Dua daripadanya adalah akaun twetter yang dipercayai milik warga Filipina bernama Dennis Cabral Datu dan Edwin P. Salve. Dua yang lain adalah akaun twitter milik syarikat, Inquirer Group (Manila) dan UN Sys Staff College (Turin, Itali).

Mungkin beliau begitu meminati Jennifer Lopez, maka Jacel turut mengikuti akaun twitter penyanyi keturunan Latin yang seksi itu.

Yang terakhir, Jacel mengikuti twitter Anwar Ibrahim!

Jacel Kiram
Wah!! Agak menghairankan kenapakah Jacel begitu berminat mengikuti Anwar, ketua pembangkang di Malaysia yang sedang bercita-cita besar mahu menawan Putrajaya selepas Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Apakah Jacel mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Anwar sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan ayahnya, 'Sultan' Jamalul Kiram 111? Atau Jacel mahu mengambil hati Anwar yang bakal menabalkannya menjadi 'Princess of Sabah' dalam sebuah kerajaan autonomi sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memerintah Malaysia nanti?

Berdasarkan intimnya Jacel dengan Anwar sehingga menjadikan Ketua Umum PKR itu satu-satunya ahli politik di dunia ini yang diikuti melalui twitter, tidakkah boleh mereka dikaitkan mempunyai matlamat dan perancangan yang sama dalam peristiwa pencerobohan tentera Sulu di Sabah?

Apa yang pasti, Jacel dan keluarganya dilihat mempunyai hubungan yang cukup akrap dengan Anwar. Ibaratnya, melihat Anwar samalah dengan melihat Sultan Jamalul Kiram 111, Princess Jacel Kiram dan Nur Misuari.

Siapa taja Jacel naik jet peribadi?
Jacel pernah dilihat menaiki jet peribadi entah milik siapa, yang menimbulkan seribu tanda tanya kepada rakyat negaranya, bagaimana 'puteri raja' itu tiba-tiba menjadi kaya raya sedangkan 'ayahanda'nya mendapatkan rawatan dialisis hasil ehsan Jabatan Kebajikan Filipina.

Semua jawapannya ada dalam diri Princess Jacel Kiram. Jika ada sesiapa yang pandai menyanyi seperti Anwar, bolehlah dendangkan lagu kepada Jacel untuk mendapatkan jawapan pasti.

Tanya sama Jacel
Apa sebab senang
Nanti jawab Jacel
Anwar yang hidang??

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.











28 March, 2013

INIKAH BUKTI FELDA BANKRUP?

Sebelum FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, berdegar-degar suara pihak pembangkang menuduh langkah Felda itu akan membuatkan tanah para peneroka tergadai dan Felda sendiri akan bankrup.

Mazlan Aliman dan pertubuhannya, Anak telah berjaya mempengaruhi sebahagian kecil peneroka supaya membantah penyenaraian FGV, biarpun merekalah dahulu yang berada di barisan hadapan untuk menerima cek durian runtuh fasa pertama RM5,000 daripada tiga fasa yang telah dilangsaikan oleh Felda.

Rupanya benarlah anggapan Mazlan dan kuncu-kuncunya bahawa akan berlaku kebankraban dengan penyenaraian itu. FGV bukan sahaja dapat menyuntik dana RM61 juta ke dalam tabung amanah yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan para peneroka, malahan FGV juga telah dapat membayar zakat RM10 juta kepada tujuh buah negeri iaitu Sabah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Lebih 112,000 peneroka di seluruh negara yang masing-masing memegang 800 unit saham FGV, bakal menerima bonus kira-kira RM600 hasil keuntungan anak syarikat Felda itu, iaitu bayaran kali kedua. Tahun lalu mereka menerima kira-kira RM400.

Felda telahpun melunaskan pinjaman peneroka dengan pihak bank untuk 800 unit saham itu, di mana para peneroka hanya perlu membayar semula kepada Felda RM50 sebulan, yang hingga kini merka belum diminta berbuat demikian.

Yang bankrup rupanya bukan Felda, kerana mana ada dalam hukum Islam pihak yang bankrup perlu membayar zakat? Felda sudah sekian kali membayar zakat, kini FGV juga membayar zakat.

Yang bankrup rupa-rupanya Mazlan Aliman dan juak-juaknya, kerana mereka semakin bankrup idea untuk merudumkan keyakinan para peneroka terhadap Felda.

Saya harap Mazlan Aliman tidak melontarkan cabaran seperti mana yang telah dibuat oleh salah seorang peneroka yang berjaya beliau pengaruhi. Kata peneroka itu, "Kalau betul peneroka dapat durian runtuh tu, aku lari telanjang dari Besout 1 ke Besout 4". Apabila bayaran pertama durian runtuh RM5,000 disampaikan, peneroka inilah yang berbaris di hadapan untuk menerima cek berkenaan, dan terlupa dengan janjinya nak lari telanjang.

Kebimbangan saya, ramai yang mungkin akan termuntah melihat Mazlan Aliman lari tanpa seurat benang!

Untuk maklumat lanjut, sila baca di sini http://www.feldavoice.com/?p=2093

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

NAJIB YAKIN BN MENANG 2/3

Ketika ramai tertanya-tanya bilakah Dewan Rakyat akan dibubarkan, Financial Times dan Reuters membawa berita baik untuk rakyat Malaysia iaitu, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib, telah menyatakan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) mampu memenangi majoriti 2/3 di dalam Pilihanraya ini.

Keyakinannya amat bererti bagi kebanyakan golongan peniaga, terutamanya, kerana golongan inilah yang amat gusar dengan kredibiliti dan kebolehan pembangkang dalam menerajui ekonomi.

Hakikat bahawa Anwar Ibrahim juga menyatakan bahawa ini adalah peluang terbaik baginya untuk menang, dilihat sebagai satu kenyataan politik semata-mata daripada seorang yang asyik tertembak kaki sendiri di saat-saat genting ini.

Dengan mengenepikan skandal seksnya, rakyat Malaysia kini memerhatikan Anwar secara 'dekat' apabila namanya berkali-kali disebut dalam penyiasatan pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Sehingga ke hari ini, Anwar gagal menjelaskan kenapa beliau berjumpa dengan pemimpin MNLF beberapa kali dan apa yang dibuat oleh 'orang-orangnya' di Filipina beberapa hari sebelum pencerobohan tersebut.

Ia tidak mungkin satu kebetulan untuk Anwar membangkitkan isu Malaysia akan kehilangan Sabah dan membuat bising mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah tanpa mengikut prosedur, sebelum peristiwa berdarah tersebut tercetus di Sabah.

Tetapi, kesilapan Anwar yang paling besar dalam menangani isu ini ialah beliau cuba menutup mulut media dari mengorek cerita sebenar darinya dengan cara mengugut untuk menyaman jika mereka bertanyakan kenapa beliau tidak menyaman pihak yang pertama sekali mendedahkan pendalangannya iaitu Reuters dan media Filipina?

Beliau mungkin meraih keuntungan politik jika berbuat demikian, tetapi hakikat bahawa beliau tidak melakukannya, menunjukkan yang laporan tersebut pastinya berasas.

Tiada siapa yang waras akan mengundi seorang yang tidak tahu menghargai nyawa manusia. Tiada siapa yang sanggup mengundi seorang yang sanggup menggadaikan sebuah negeri kepada pengganas demi untuk menjadi Perdana Menteri.

Negara jenis apakah yang Perdana Menterinya sendiri seorang pengkhianat?

Seperti juga masalah-masalah lain yang menimpa Anwar, tiada siapa yang menganiaya dirinya melainkan dirinya sendiri. Ini adalah masalah biasa bagi seorang yang begitu terdesak, tidak tertahan-tahan, teruja dan tergila-gila untuk berkuasa.

Anwar boleh saja berjuang dengan cara yang betul, iaitu bekerja bersungguh-sungguh untuk membuktikan kredibiliti partinya dan berkhidmat kepada rakyat di kawasannya dengan baik. Dengan cara ini, tidak mustahil suatu hari nanti beliau akan berjaya memenangi hati rakyat Malaysia di mana mereka mungkin akan melupakan segala kisah-kisah buruk, jijik lagi membusukkan mengenai dirinya.

Tetapi, beliau memilih untuk berjuang secara kotor, menggunakan pintu belakang dan mencetuskan suasana tidak aman. Malah, 'Arab Spring' merupakan impiannya, lalu bagaimana kita tidak melihat adanya hubungan antara dirinya dengan pertumpahan darah di Lahad Datu?

Sedang Anwar sentiasa berada di dalam 'mode' menyerang kerajaan dan apa saja yang berbunyi BN, Dato' Seri Najib pula amat bertentangan dengannya.

Berbeza dari Anwar, Perdana Menteri lebih suka bercakap mengenai pencapaian kerajaan daripada menyerang musuh politiknya.

Di dalam wawancara dengan Financial Times, misalnya, Dato' Seri Najib jelas begitu bersungguh-sungguh bekerja sebagai Perdana Menteri mahupun sebagai pemimpin parti. Beliau menjelaskan bagaimana sebuah kerajaan yang kuat amatlah perlu bagi mempercepatkan proses transformasi bagi negara ini.

Beliau juga menekankan bagaimana beliau telah melakukan perubahan dari segi undang-undang di dalam UMNO begi memudahkan ahli untuk mengetengahkan pemimipin yang berpotensi.

Sebenarnya, beliau tidak perlu bercakap besar pun kerana angka-angka yang tercatat, dengan sendirinya membuktikan kesungguhan beliau bekerja. Malaysia kini didorong oleh sebuah program ekonomi yang dilancarkan pada 2010 bagi menggandakan pendapatan perkapita sehingga RM15,000 menjelang 2020. Ini membawa kepada peningkatan keyakinan pelabur asing di mana pegangan asing meningkat kepada 550% kepada RM215 billion (USD69 billion) sejak 2009, mengikut laporan HSBC.

Satu-satunya perkara yang Perdana Menteri sebut mengenai pembangkang dalam wawancara tersebut ialah beliau merasakan bahawa ia merupakan satu risiko yang besar untuk menaruh keyakinan kepada Pakatan yang tidak punya hala tuju yang jelas dan dengan manifesto yang tidak ada kredibiliti.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa adalah tidak perlu bagi sesiapa untuk melihat kepada angka-angka, tetapi melihat kepada personaliti kedua-dua pemimpin ini sahaja sudah cukup bagi rakyat untuk membuat pilihan. Anwar adalah seorang yang tidak patriotik, tidak sensitif, pengkhianat dan selamanya tergila-gila kuasa manakala Dato' Seri Najib pula adalah seorang yang tenang, rasional, elegan dan bijak.

Justeru, tidak syak lagi, majoriti 2/3 bukanlah satu masalah bagi Barisan Nasional.

Oleh NHZ MY (Dipetik daripada portal Perak Today)

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

KAMPUNG TANDUO DITUTUP, PENDUDUK KE LOKASI BARU

LAHAD DATU - Pasukan keselamatan memutuskan untuk menutup Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas.

"Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini Rabu.

Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.

Hamza turut memaklumkan bahawa kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing.

Beliau berkata proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan yakin proses itu mampu diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya.

Terdahulu, Hamza berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas berlaku pertempuran di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi Rabu.

Beliau berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.

"Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya. - BERNAMA

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

25 March, 2013

LAWATAN KERJA DR ZAMBRY KHAMIS INI DIBATAL

Lawatan kerja Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ke Parlimen Tanjong Malim pada Khamis ini dibatalkan atas sebab yang sangat-sangat tidak dapat dielakkan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk Ketua-Ketua Jabatan yang telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi untuk menjayakan program tersebut.

"Maklumkan kepada DO dan lain-lain, program kita Khamis ini terpaksa dibatalkan," kata Dr. Zambry ketika menghubungi saya kira-kira jam 7.15 malam tadi.

Beliau dijangka menghadiri aturcara penting di ibu negara pada Khamis ini.

Antara program yang telah dirancang sempena lawatan kerja beliau adalah perjumpaan tertutup bersama jentera pilihanraya BN Tanjong Malim, 'job fair' di Proton, taklimat penyambungan projek jalan baru Besout-Kuala Slim dan jamuan rakyat di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi Slim River.

Selain itu Dr Zambry dijadual menyampaikan cek RM400,000 bagi pembinaan menara Masjid Sultan Idris Shah 11, Slim River dan cek-cek bagi beberapa surau sekitar Tanjong Malim dan Slim River, menyampaian bantuan kepada mangsa ribut di Trolak Pekan dan Kampung Kuala Slim dan menyampaian hak milik tapak rumah kepada 28 penerima di Trolak Pekan.

Bagaimanapun program penyampaian bantuan kepada mangsa ribut akan diteruskan tanpa kehadiran Menteri Besar. InsyaAllah program-program lain yang bersesuaian akan diatur dalam tempoh kempen Pilihanraya Umum ke-13 nanti.


Dr. Zambry telah beberapa kali melakukan lawatan kerja ke kawasan ini, termasuklah tidur di Masjid Jameq Tanjong Malim sebelum program qiamulail pada Februari 2012, yang fotonya menarik perhatian ramai ketika itu.

Kira-kira sebulan lalu, beliau turut hadir bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Proton City dan mengadakan himpunan rakyat di Padang UPSI dihadiri lebih 20,000 orang.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

LAHAD DATU : SAH ANGKARA MNLF, MISUARI DAN 'SEKUTU'

"Benarlah kata orang, bahawa untuk menilai seseorang kita perlu melihat kepada rakan-rakannya. Maka, tidak hairanlah apabila Nur Misuari, Ketua Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro merujuk kepada Anwar Ibrahim sebagai 'sahabat lama' kerana ternyata mereka mempunyai perwatakan yang sama iaitu suka berbohong.

Di awal kejadian pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu, dan ketika rakyat Malaysia masih terpinga-pinga, media Filipina dan agensi berita antarabangsa pantas melaporkan sumber risikan yang menunjuk kepada pembangkang Malaysia, sebagai dalangnya.

Bertitik-tolak dari itu, kita menyaksikan bagaimana Anwar Ibrahim yang telah terasa cili begitu 'bersungguh-sungguh' menafikan laporan tersebut sehingga membawa kepada 'parody' "You ulang, I saman" yang menjadi popular di laman-laman sosial.

Pendedahan tersebut dikuatkan dengan laporan risikan termasuk gambar yang menunjukkan Anwar telah membuat pertemuan sulit dengan Nur Misuari beberapa kali.

Untuk itu, Anwar menjelaskan bahawa pendedahan itu tidak wajar dianggap bukti kerana bukan MNLF yang menceroboh Lahad Datu tetapi 'tentera Sulu'. Tidak lama kemudian, Nur Misuari sendiri membuat kenyataan menawarkan bantuan untuk membantu kerajaan Malaysia berunding dengan pihak Sulu dan ditolak oleh Malaysia.

Namun, perkembangan seterusnya telah membuktikan bahawa kedua-dua sahabat lama ini telah berbohong apabila ramai di antara pengganas yang ditangkap atau terbunuh telah dikenalpasti sebagai anggota MNLF. Sebenarnya, siapapun mereka tiada bezanya iaitu pengganas kejam yang ingin merampas negeri Sabah.

Dan hari ini kita melihat bagaimana Nur Misuari menyerlahkan warnanya yang sebenar apabila menuduh Malaysia sebagai memperalatkan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menjadi penghalang kepada usaha penyatuan bangsa Moro serta tuntutan kemerdekaan wilayah selatan Filipina. Beliau juga turut menuduh Malaysia sebagai telah menjajah Sabah dan Sarawak.

Beliau seterusnya mencabar Malaysia membuktikan hak ke atas kedua negeri itu melalui dokumen undang-undang.

Justeru, siapakah sebenarnya yang menuntut Sabah? Pihak Sulu atau MNLF? Kenapa Nur Misuari berbohong pada mulanya? Apakah cakap seorang pembohong dan pengganas kejam yang tidak bertamadun perlu dilayan secara diplomasi?

Seharusnya, Nur Misuari bersyukur kerana atas usaha Malaysia akhirnya 15 juta penduduk Islam di selatan Filipina kini mampu merasai keamanan dan mendapat hak ke atas bumi yang mereka pijak dan usahakan selama ini iaitu sejak penjajahan Sepanyol pada kurun ke-17. Perjanjian Damai tersebut telah memastikan tiada pihak yang teraniaya dan atau dipinggirkan tanpa menafikan terus kuasa kerajaan Filipina.

10 prinsip utama telah digariskan dengan intipati penting iaitu mengiktiraf Bangsamoro serta mewujudkan entiti autonomi politik di Mindanao yang membolehkan Bangsamoro mentadbir sendiri melalui sistem demokrasi dengan menggunapakai Undang-undang Asas Bangsamoro seiring dengan undang-undang negeri.

Jelaslah bahawa Nur Misuari tidak suka kepada keamanan. Maka tidak hairanlah beliau mengkritik perjanjian tersebut dan terus mengasak untuk menimbulkan huru-hara di mana saja peluang yang ada. Dan Sabah adalah peluang yang terbaik baginya.

Perjanjian British North Borneo 22 Januari 1878, menjelaskan dengan terperinci penyerahan oleh Sultan Sulu iaitu Sri Paduka Maulana Al Sultan Mohamet Jamal Al Alam Bin Sri Paduka Al Marhom Al Sultan Mohamet Fathlon, wilayah dan jajahan di Borneo daripada Sg. Pandassan di pantai barat sehingga ke pantai timur Sibuko di selatan termasuk negeri-negeri seperti Paitan, Sugut, Bangaya, Labuk, Sandakan, Kina Batangan, Mumiang dan semua jajahan dan negeri di selatannya bersempadan dengan Teluk Farvel sehingga Sungai Sibuko dan juga semua pulau-pulau di tiga marina di sepanjang pantai dengan harga RM5,000 setahun, kini ditambah menjadi RM5,300 .

Pada 22 Januari 1978, Sultan Sulu telah melepaskan kuasanya ke atas wilayah dan jajahan seperti yang tersebut di atas secara rasmi. Pada 22 April 1903, satu lagi dokumen telah ditandatangani bagi menambahkan beberapa lagi wilayah yang telah tidak disebut atau tertinggal di dalam perjanjian terdahulu.

Setelah Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, dengan persetujuan rakyatnya, maka Malaysia meneruskan pembayaran wang 'pajakan' terhadap Sultan Sulu sepertimana yang termeterai dalam perjanjian-perjanjian dahulu.

Justeru, bagi Nur Misuari untuk bersuara bagi pihak Sulu dilihat sebagai sikap seorang yang gila kuasa. Dengan percanggahan kenyataan dari pihak Sulu ditambah dengan kekeliruan mengenai waris sebenar kesultanan tersebut maka, apa yang dituntut atau disuarakan oleh Nur Misuari tidak membawa apa-apa makna kerana beliau bercakap tanpa asas dan tanpa hak yang pasti.

Apatah lagi dengan terbuktinya kewujudan tangan-tangan asing yang menaja keganasan yang dibawa oleh Nur Misuari ke Sabah. Ini menunjukkan bahawa tuntutan yang dibuat adalah tidak ikhlas dan mempunyai tujuan yang jauh lebih besar dari sekadar ingin merampas kembali Sabah.

Malaysia tidak sebodoh itu untuk melihat semua ini sebagai agenda sempit sepasukan pengganas MNLF. Tetapi, kita dapat membaca akan agenda kuasa asing untuk menguasai rantau ini melalui pihak pembangkang sama ada di Filipina mahupun di Malaysia.

Jika benar, demokrasi yang dijulang maka, pihak yang menaja Nur Misuari pastinya bukanlah pihak yang layak bercakap tentang demokrasi. Dan pihak mana lagi yang mempunyai begitu banyak dana untuk dilabur dan dilebur begitu saja demi cita-cita untuk menakluk dunia, jika bukan pihak yang mempunyai kaitan dengan kuasa besar dunia?

Oleh itu, kesimpulan yang kita dapati dari episod Lahad Datu ini ialah Nur Misuari adalah alat Amerika, seperti juga sahabatnya, Anwar Ibrahim."

Artikel ini dari blog Medan Tempur Kedah yang wajar dikongsi bersama. http://medantempurkedah.blogspot.com/2013/03/sah-keganasan-di-lahad-datu-angkara-mnlf.html?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter&m=1


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.