27 June, 2011

BERSIH 2.0 - SIAPA SEBENARNYA AMBIGA?



KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, terutama orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan (foto) sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat supaya mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak-tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam, terutama orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.

Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincang dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan orang Islam, Majlis Peguam yang diterajui Ambiga tetap meneruskan forum itu.

Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuainya. 
 
Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam, berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit polis, maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu, walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak,” katanya.

Tegasnya keperluan untuk menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik, bukannya mengadakan demonstrasi haram.

Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling pula menyifatkan semua golongan yang terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram itu adalah tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin, termasuk Ambiga.

Katanya, mereka terlampau mengikut parti politik tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing sedangkan mereka sendiri pun tidak ’bersih’.

“Mereka sebenarnya lebih baik melakukan tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan sebagai NGO.

“Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik), terutama orang awam mengenai kacau bilau dalam parti masing-masing seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka,” katanya.

Zainal turut menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi ‘kekotoran'’ yang sedang berlaku dalam parti pembangkang.

“Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau-bilau, huru-hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan mereka meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara,” katanya.

Rakyat patut mengambil iktibar dan memerhati perilaku serta taktik parti pembangkang yang menggunakan politik semata-mata untuk kepentingan kekuasaan mereka sendiri, katanya. – BERNAMA
 

05 June, 2011

KINI ENDORGAN KUASAI PAS


KUALA LUMPUR: Golongan bukan ulama menguasai kepemimpinan PAS Pusat apabila golongan terbabit menyapu bersih jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta lebih separuh daripada 18 Ahli Jawatankuasa Pusat (AJK) dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewar di sini. 
Pemimpin akar umbi PAS, Mohamad Sabu tanpa diduga memenangi jawatan nombor dua dalam parti dengan merampas jawatan Timbalan Presiden daripada penyandang dua penggalnya, Nasharuddin Mat Isa. 


Mohamad yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan lebih dikenali sebagai Mat Sabu memperoleh 420 undi menewaskan dua calon ulama iaitu Nasharudin yang memperoleh 224 dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 399 undi.

Jawatan Naib Presiden juga dikuasai bukan ulama apabila Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar diisytiharkan menang pada pertandingan enam penjuru.

Ini sekali gus memberi gambaran kepemimpinan Jawatankuasa PAS Pusat 2011-2013 menyaksikan penguasaan besar golongan berfikiran agak liberal dan dilihat pro pembangkang yang diberi jolokan kumpulan Erdogan.

Ini membawa mesej kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Hadi Awang untuk jawatan Presiden bagi penggal kelima tidak membayangkan golongan ulama dengan mudah dapat menguasai kepemimpinan ketika parti itu bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berkemungkinan diadakan tidak lama lagi. 


Pemilihan yang mencetuskan tsunami kepemimpinan PAS itu dilihat memecah tradisi apabila Mat Sabu menjadi pemimpin bukan ulama pertama menduduki jawatan nombor dua parti selepas 20 tahun jawatan itu diduduki golongan ulama.

Kekalahan Nasharudin dikaitkan dengan perpecahan undi golongan ulama antara Tuan Ibrahim yang difahamkan mendapat sokongan pucuk pimpinan dalam usaha mengekang kemaraan bukan ulama menduduki jawatan nombor dua parti.

Dua penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Salahudin, dikelompokkan dalam kumpulan profesional mendapat undi terbanyak dan Mah-fuz, digembar-gemburkan pro-Erdogan. Pengaruh Erdogan juga dapat dilihat apabila Husam memperoleh undi kedua terbanyak.

Keputusan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abd Rahman jam 10.20 pagi semalam.

Kejutan yang membayangkan kehendak akar umbi, diterjemahkan menerusi undi perwakilan juga dapat dilihat menerusi keputusan barisan AJK PAS Pusat apabila mereka yang memperoleh undi paling banyak terdiri daripada kumpulan Erdogan dan penyokongnya.

Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang dikatakan penyokong kuat Mat Sabu serta mendapat sokongan kuat kumpulan Erdogan memberikan kejutan apabila memperoleh undian terbanyak (804) daripada 1,036 undi sah. - Berita Harian Online

09 May, 2011

NEGARA KRISTIAN : TIADA PENAFIAN JEFF OOI


Jeff Ooi (tengah) bersama Lim anak beranak

Ahli Parlimen DAP kawasan Jelutong, Jeff Ooi sekadar menyifatkan laporan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian sebagai cerita dongeng, tanpa menunjukkan kesungguhan untuk menafikan dakwaan bahawa beliau telah mendalangi satu ikrar yang dilafazkan dalam jamuan makan malam di Hotel Red Rock, Jalan Macalister, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Sebaliknya Jeff Ooi yang terdesak itu menjadikan Utusan Malaysia dan dua blog yang melaporkan upacara ikrar itu sebagai ‘kambing hitam’ bagi menutup rahsia yang telahpun bocor ke pengetahuan umum.

Laporan muka depan Utusan Malaysia pada 7 Mei menyiarkan pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang antara lain dikatakan membawa agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, dan Perdana Menteri dari penganut agama Kristian.

Utusan Malaysia memetik pendedahan dua laman blog ‘bigdog’ di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk Making Christianity the official religion? Dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.

Inilah sebenarnya sikap DAP yang sering menganggap perbuatan dan perancangannya tidak dapat dihidu oleh kaum dan penganut agama lain. Sama seperti PAS yang cuba memperalatkan Islam dalam menarik sokongan orang Melayu terhadap partinya, DAP pula nampak cenderung memperalatkan Kristian dengan tujuan mendapatkan laba politik di kalangan penganut-penganut agama itu.

Seperti mana strategi PAS, DAP juga mengambil pendekatan melacurkan agama untuk tujuan politik. Majoriti umat Islam menolak politik sempit keagamaan yang dibawa oleh PAS, begitu jugalah hendaknya sikap majoriti penganut beragama Kristian terhadap DAP yang cuba memperalatkan agama dalam mengejar cita-cita politiknya.

Pemimpin-pemimpin Kristian tempatan dari mazhab Kristian Evagelical, Katolik dan Protestan sudahpun menyatakan pendirian untuk mengakui agama Islam sebagai agama rasmi negara sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Dr. Eu Hong Seng.

Tumpuan pemimpin-pemimpin Kristian ini sewajarnya tidak terarah untuk menyalahkan laporan Utusan Malaysia atau dua blog berkenaan, tetapi lebih kepada menyelidik samada benar DAP telah mendalangi ikrar yang dilaporkan. Pepatah Melayu berkata, “kalau tak ada angin, takkan pohon bergoyang”.

Kita berharap supaya isu ini tidak menyemarakkan perasaan negatif di kalangan rakyat berbilang agama di negara ini. Kita mahukan sebuah negara yang aman damai dan ditadbir berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub.

25 April, 2011

TPM DI IPOH ESOK

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berada di Ipoh esok (Selasa) bagi menutup program Minggu Saham Amanah Nasional 2011 di Stadium Indera Mulia. Beliau dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada jam 3.00 petang.

TPM dijangka tiba di tapak program jam 3.30 petang.

Semua dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan.

Program itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada 20 April lalu.

15 April, 2011

'JIPPA' DI SIDANG DUN PERAK

LAPORAN NEW STRAITS TIMES
LAPORAN THE STAR
Saya agak terkejut hari ini membaca laporan dua akhbar perdana, New Straits Times dan The Star berhubung pakaian tradisional masyarakat India, jippa yang dipakai oleh ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Sungkai, A. Sivanesan ketika menghadiri Sidang DUN Perak semalam.

Berdasarkan laporan, seolah-olah saya membantah kedua-dua ADUN DAP itu memakai pakaian tradisional memasuki Dewan sempena Puthandu (Tahun Baru Tamil). Apa yang sebenarnya berlaku hanyalah satu salah faham spontan yang tidak disengajakan. 

Ketika Sivakumar bangun mencelah perbahasan ADUN Kampung Gajah, Dr. Wan Norashikin, secara spontan saya berasa hairan kenapakah mantan Speaker itu memakai baju lengan panjang tanpa mengenakan tali leher dan lounge suit. Saya langsung tidak perasan beliau memakai pakaian tradisional masyarakat India, sebaliknya seperti dia memakai baju putih berambu yang selalu beliau pakai semasa menjadi Speaker dahulu.

Ketika itu Sivanesan tidak berada di dalam Dewan. Maka nampak jelas pakaian Sivakumar berbeza sama sekali dengan ADUN-ADUN lain yang rata-rata memakai lounge suit bertali leher.

Fobia dengan sikap ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming yang enggan mengenakan pakaian No1 dress semasa istiadat pembukaan rasmi Sidang DUN Perak oleh DYMM Pemangku Raja pada Selasa lalu, saya merasakan seolah-olah Sivakumar sengaja mahu mengikut jejak Nga yang mahu menguji Speaker, Dato’ R. Ganesan.

Saya meminta laluan dari ADUN Kampung Gajah dan bertanya kepada Speaker kenapakah ADUN Tronoh tidak mengenakan pakaian mengikut etika Dewan dan sama ada beliau boleh dikenakan apa-apa tindakan.

Ketika Ganesan mula memberi penjelasan dengan berkata “hari ini adalah Tahun Baru masyarakat India”,  darah saya mula berderau dan lantas sedar bahawa pakaian yang Sivakumar kenakan adalah costume tradisional kaum India. Saya mula berasa serba salah, ditambah pula melihatkan ADUN Sungkai, A. Sivanesan melenggang masuk Dewan dengan pakaian yang sama, jippa dan dothi (kain putih dari pinggang ke kaki).

Setelah Speaker selesai memberikan sebab kenapa beliau membenarkan jippa dipakai hari itu, saya lantas bangun mengucapkan terima kasih atas penjelasan berkenaan.

Bukan mahu menyalahkan sesiapa, cuma ada sedikit rasa tidak puas hati kenapakah Speaker tidak memaklumkan perkara ini semasa aturcara pengumuman oleh Yang Dipertua. Saya pasti seisi Dewan tidak akan terkeliru jika dimaklumkan lebih awal.

Saya memohon maaf kepada S. Sivakumar dan seluruh rakan dan masyarakat India atas kekeliruan ini. Malahan saya juga masih menyimpan baju tradisional masyarakat India seperti jippa berwarna orange yang dihadiahkan oleh Ketua Pemuda MIC Tanjong Malim, S. Gunaselan beberapa tahun lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Puthandu Valtukhal kepada seluruh masyarakat India di negara ini.

14 April, 2011

WANTED - DI MANA NGA KOR MING?

WANTED!!

Di mana ADUN Pantai Remis dari DAP, Nga Kor Ming? 

Setelah hadir ke Istiadat Pembukaan Rasmi Sidang DUN Perak pada Selasa lalu tanpa mengenakan pakaian rasmi No-1 dress, beliau terus menghilangkan diri dan tidak hadir Sidang DUN dua hari berturut-turut, termasuk hari ini.

Dengarnya dia kini sedang rancak berkempen di Sarawak. Tugas hakiki sebagai wakil kepada rakyat Pantai Remis diabaikan, nasib parti DAP di Sarawak diutamakan.

Berita utama dalam akhbar New Straits Times muka surat 6 hari ini, ada disiarkan : "Regent of Perak Dr Nazrin Shah is said to be upset by the lack of decorum shown by assemblyman Nga Kor Ming when he did not wear the ceremonial uniform and songkok at the opening of the legislative assembly on Tuesday. Instead, the Pantai Remis DAP representative was dressed in a grey suit and tie". 


Nga Kor Ming berada di ceruk mana di Sarawak sekarang? Pengundi Pantai Remis sedang mencari anda.