27 January, 2020

MANGSA KORONAVIRUS WAJAR SAMAN KERAJAAN MALAYSIA


Rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus wajar menyaman Kerajaan Pakatan Harapan atas kelalaian menghalang punca wabak itu daripada merebak ke negara ini.

Banyak negara, kecuali Malaysia, telah mengambil langkah menyekat kemasukan pelancong dari Negara China.

Wabak maut ini telah meragut begitu banyak nyawa di China, terutamanya di Wuhan. Ramai di Wuhan berada dalam ketakutan dan mencari destinasi negara luar untuk melarikan diri.

Sudah pasti Malaysia menjadi tumpuan mereka kerana wujud peraturan longgar pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong China yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia Baru.

Tambahan pula Perdana Menteri Malaysia sudah memberi lampu hijau bahawa kemasukan pelancong China tidak akan disekat, walaupun mendapat bantahan dari rakyat.

Kira-kira 150,000 rakyat telah menandatangani petisyen di laman web change.org semalam bagi menuntut agar kerajaan menyekat kedatangan pelancong China ke dalam Malaysia bagi mengelak wabak itu daripada terus merebak dengan lebih teruk.

Sehingga kini dilaporkan empat orang rakyat Malaysia telah dijangkiti Koronavirus dipercayai berpunca daripada bawaan pelancong China.

Jangan tunggu lagi. Keluarga mangsa yang telah dan akan dijangkiti virus itu wajar bertindak segera menyaman Kerajaan Malaysia yang gagal melindungi keselamatan dan nyawa rakyatnya.

Inilah kerajaan paling buruk dalam sejarah 63 tahun Malaysia merdeka kerana gagal meredakan ketakutan rakyat daripada ancaman wabak yang boleh membawa maut.

Kerajaan PH ini ibarat zombie yang mahu meratah darah dari tengkuk rakyat.

Saman tetap saman. Saman sampai rata.

18 January, 2020

BUAL PEMANDU GRAB DI KK


Malam tadi saya sengaja naik Grab di Kota Kinabalu. Pemandunya Kadazan. Jaraknya 30 minit. 

Mulanya dia control perbualan. Bila saya bgtau saya berkempen untuk BN di Kimanis, baru dia buka habis mulutnya. Bukan sekadar suara, malah 'api' pun nampak keluar di tengah malam.

"Kami Sabahan takut banar dengan PSS ni. Mana boleh PATI dilayan begitu? Kami anak tampatan ni nanti dianaktirikan," api pertama keluar.

"CM kata cadangan mula dari BN lagi. Tapi itu hanya cadangan. Saya nampak pada karatas ditulis 'CADANGAN'. Sudahpun ditolak BN cadangan itu. Apa paloi Warisan mahu kanalkan samula?" suara pemandu Grab semakin kuat.

Saya sampuk sikit, "Dia bilang BN tak bikin apa-apa sebelum ni di Sabah. Saya dulu lama di Sabah dari 1987 sampai 1994. Masa tu jalan Batu 32 Sandakan ke Bukit Garam hingga ke Kampung Paris di Kinabatangan sampailah ke Lahad Datu masih jalan gravel. Berlumpur musim hujan. Sekarang sudah diaspal jadi highway".

Bersembur pula bola api keluar dari mulut pemandu, "Banar ba itu. Apa yang BN indak bikin di Sabah. Dia (CM) dulu mantri BN bah. Mantri Luar Bandar lagi. Dia tau apa BN sudah bikin. Saja mau politik saja. Kuat buyuk ba ini CM".

Banyak lagi yang pemandu Grab ni cakap. Saya rasa mcm nak ubah saja laluan biar jauh sikit perjalanan supaya dia boleh luahkan habis isi hatinya.

Tapi saya risau pula keretanya meletup terbakar. Bahang dah macam 50°C walaupun keretanya ada aircon. "Aircon rosak kot," bisik hati saya.

Setiba di destinasi, sebelum keluar kereta, dia sempat lagi lepaskan gumpalan api terakhir dari mulutnya... "Esok saya mau kasi manang BN di Kimanis. Mau kasi tanam itu Warisan dan PSS!!!".

"Pengundi ke?" tanya saya.

"Saya undi di Membakut, bah" jawabnya.

Kalau tau dari awal, bagus saya bawa dia naik Kundasang malam-malam begitu. Lebih lama dapat berbual, suhupun lebih sajuk.

Selamat mengundi BN. Benamkan PSS di Sabah. Selamatkan Sabah dan Sabahan. Selamatkan Malaysia.

#PRKP176Kimanis #RaduTatapRadu #UndiBN #TolakPSS #UbahBalik

16 January, 2020

PAIRIN NAFI WUJUD PSS DALAM RCI

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata tidak wujud istilah Pas Sementara Sabah (PSS) di zaman BN bagi mengatasi masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

Beliau yang juga Huguan Siou (Pemimpin Agung) KDM itu menceritakan mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu PATI di Sabah semasa berucap dalam Himpunan Muafakat Negeri Sabah di Kimanis Commercial Centre malam ini.

"Siapa saja yang mengatakan ada wujud PSS di dalam buku RCI berkaitan PATI adalah satu penipuan," kata Pairin yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal berkaitan masalah PATI.

Bekas Presiden PBS itu merujuk kepada ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafei Apdal yang mengatakan Kerajaan BN sebelum ini ingin melaksanakan PSS seperti tercatit di dalam buku RCI itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah Parti Warisan meluluskan perlaksanaan PSS bermula pada 1 Jun tahun ini melibatkan 600,000 PATI di negeri ini.

PSS dilihat seolah-olah mengiktiraf kehadiran PATI yang menjadi masalah besar sejak sekian lama di Sabah.

Pairin menyeru pengundi supaya menyokong calon BN, Datuk Mohamad Alamin dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kimanis sebagai satu bentuk referandum menolak PSS dilaksanakan.

Himpunan itu dihadiri para pemimpin dan penyokong parti UMNO, MCA, PBS, PAS dan PBRS. #PRKP176Kimanis.

15 January, 2020

PG CLINTON KELUAR WARISAN

Parti Warisan menerima tamparan hebat apabila seorang pemimpin kanannya dari Bahagian Kimanis bertindak keluar parti itu dan mengisytiharkan dirinya menyokong Barisan Nasional.

Pengiran Yusof Pengiran Abdullah atau lebih mesra dipanggil PG Clinton bertindak demikian setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Warisan.

Beliau bersama 200 pengikutnya yang merupakan pengundi P176 Kimanis menyatakan pendirian mereka dalam satu sidang akhbar khas Pengerusi BN Sabah, Dato' Sri Bung Moktar Radin di CC BN malam ini.

Pengiran Yusof mendakwa antara 3,000 hingga 4,000 lagi akan mengikuti jejaknya meninggalkan Warisan dan menyokong calon BN, Datuk Mohamad Alamin sempena Pilihanraya Kecil Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Beliau adalah salah seorang pengasas parti Warisan di Kimanis dan menang tempat pertama dalam pemilihan ahli jawatankuasa parti bahagian itu sebelum ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

24 December, 2019

CAMERON HIGHLAND DAN PENEROKA HARAM


Isu tindakan pengusiran 48 peneroka haram tanah Kerajaan Negeri Pahang melibatkan 300 ekar kawasan tadahan air di Kuala Terla yang berkait Sungai Ichat, Cameron Highland tidak sepatutnya dikaitkan dengan soal kepartian dan perkauman.

Ianya lebih kepada keselamatan 8,332 pemilik akaun Pengurusan Air Pahang (PAIP) yang bergantung hidup kepada air Sungai Ichat dan tahap kebersihan di kawasan tadahan air Kuala Terla. 

8,332 pemilik akaun jika diganda secara purata kepada lima pengguna, jumlahnya 41,600 jiwa. Jika diambil kira hotel, chalet dan homestay yang menggunakan satu akaun, jumlah penggunanya jauh lebih besar, terutamanya para pelancong yang datang ke Cameron Highland. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Malayu, Cina, India, Orang Asli termasuklah pekerja asing Bangla, Nepal, Indon dan lain-lainnya.

Di kalangan mereka ini pastinya terdiri daripada ahli dan penyokong parti UMNO, DAP, PPBM, MCA, MIC, PAS, PKR, PAN dan mungkin di atas pagar.

Samada Kerajaan Pusat yang diterajui Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional (BN), tindakan terhadap 48 peneroka haram itu adalah untuk menyelamatkan nyawa 41,600 pengguna air PAIP di Cameron Highland.

Membalas ganjaran tanah lain bagi mengambil semula tanah yang diteroka secara haram tak sewajarnya dibenarkan kerana ini hanya akan menggalakkan lagi aktiviti pencerobohan tanah milik kerajaan.

Janganlah pula 41,600 rakyat Cameron Highland minum air tercemar, sedangkan rakyat di Singapura makan stawberri dan sayuran yang ditanam secara haram oleh 48 atau lebih pengusaha di tanah tinggi itu.

Selamatkan nyawa rakyat Cameron Highland.


03 December, 2019

PAU2019 BERBEZA SEMANGAT


Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) yang akan bermula esok sehingga Sabtu sudah pasti membawa semangat baru bagi perwakilan dan pemerhati, berbeza dengan PAU2018 tahun lalu.

Apa tidaknya, banyak rentetan peristiwa pilu yang dilalui UMNO pada tahun lalu telah diimbangi satu persatu dengan pencapaian positif parti keramat kaum Melayu berusia 73 tahun itu di sepanjang 2019.

Semangat ahli UMNO teruk dirobek bermula kekalahan perit Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018. Bukan sahaja kalah di beberapa negeri yang sebelum itu dikuasai UMNO seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Sabah, malah gagal mempertahankan Kerajaan Pusat yang dikuasai sejak pilihanraya pertama 61 tahun lalu.

Kepiluan itu ditambah lagi dengan kerakusan rejim kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mengenakan tekanan bermotif politik terhadap UMNO dan para pemimpinnya termasuk bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak dan bekas Timbalannya, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tekanan di luar kebiasaan politik daripada pihak kerajaan yang tidak pernah berlaku terhadap parti pembangkang itu terpaksa dihadapi UMNO. Paling tragis apabila akaun bank UMNO dibekukan sehingga hampir melumpuhkan perjalanan parti itu.

Bilangan parti komponen BN mengecil dengan begitu mendadak kepada hanya tiga parti teras sahaja, iaitu UMNO, MCA dan MIC apabila parti-parti lain mengangkat kaki dan membawa haluan masing-masing.

Tiga bulan selepas PRU14, sekali lagi UMNO dikecewakan dengan kekalahan calonnya mewakili BN dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor pada 4 Ogos 2018.

Ini diikuti kemenangan PH dalam dua lagi PRK di Selangor iaitu di Seri Setia dan Balakong pada 8 September 2018, biarpun BN tidak meletakkan calon. Di Seri Setia ditandingi parti PAS, sementara Balakong oleh MCA yang menggunakan lambang partinya sendiri.

Selepas peristiwa-peristiwa pahit inilah UMNO mengadakan PAU2018 pada 28 hingga 30 September tahun lalu. Itulah buat pertama kalinya perhimpunan UMNO, parti Melayu terbesar itu diadakan ketika kuasa negara tidak lagi di tangan. UMNO berada di bawah kepimpinan baru diterajui Zahid dan Timbalannya Dato' Seri Utama Mohamad Hasan selepas pemilihan parti pada 30 Jun 2018.

PAU2018 diadakan ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim berkempen selaku calon PRK di kerusi Parlimen Port Dickson yang sengaja dikosongkan bagi membolehkan Presiden PKR itu meletakkan dirinya sebagai pengganti Perdana Menteri. Sama seperti di PRK Seri Setia, UMNO dan BN sekali lagi tidak meletakkan calon di Port Dickson. 

Biarpun kerjasama UMNO dan PAS mula berputik ketika PRK Sungai Kandis dan Seri Setia dengan masing-masing tidak meletakkan calon menentang antara satu sama lain, namun kedua-dua parti telah mengorak langkah dengan lebih ke hadapan selepas itu. Tujuannya untuk memperkukuhkan kesepakatan dua parti Melayu terbesar itu bagi maksud penyatuan ummah dan bersama menghadapi rejim PH.

Buat pertama kalinya para pemimpin dua parti Melayu terbesar disatukan di atas pentas yang sama dalam program Himpunan Penyatuan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak pada 17 November 2018. Himpunan yang turut disertai Zahid dan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dihadiri hampir 50,000 umat Melayu-Islam dari seluruh negara. Sudah pasti tidak lengkap jika pujian tidak diberikan kepada pengerusi penganjur, Dato' Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak selaku tuan rumah yang bertungkus lumus menjayakan himpunan yang bersejarah itu.

Penyatuan ummah PAS-UMNO bertambah kukuh melalui satu lagi himpunan pada 8 Disember 2018 bersebelahan Dataran Merdeka Kuala Lumpur, iaitu himpunan membantah tindakan Kerajaan PH merektifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). 

Seramai kira-kira 500,000 umat Melayu Islam yang terdiri daripada penyokong PAS dan UMNO serta badan-badan NGO hadir dalam himpunan terbesar dalam sejarah tanahair dekad ini.

Namun UMNO kembali muram sepanjang Disember 2018. Pada 12 Disember, lima Ahli Parlimen UMNO Sabah iaitu dari Kudat, Beaufort, Libaran, Beluran dan Sipitang mengumumkan keluar parti. 

Dua hari kemudian pada 14 Disember, enam lagi Ahli Parlimen, iaitu dari Larut, Sabak Bernam, Tanah Merah, Hulu Terengganu, Mersing dan Tasek Gelugor pula meninggal, iaitu meninggalkan UMNO.

Beberapa bulan sebelum itu enam Ahli Parlimen bertindak keluar UMNO. Bermula pada 24 Jun 2018 (Bagan Serai), 26 Jun 2018 (Bukit Gantang), 1 Julai 2018 (Tanah Merah), 18 September 2018 (Jeli), 19 September 2018 (Kimanis) dan 11 Oktober 2018 (Labuan).

Perkembangan politik yang tidak menentu ini, ditambah desakan dalaman telah menyebabkan Zahid menyerahkan tugas selaku Presiden UMNO kepada timbalannya Mohamad Hasan. Pelbagai andaian dibuat oleh pendokong dan pemerhati politik berikutan keputusan Zahid itu, namun UMNO perlu terus mengorak langkah ke hadapan.

Apa yang berlaku di dalam UMNO itu tidak merencatkan usaha penyatuan ummah bersama PAS. Di bawah teraju Tok Mat, penyatuan umat Melayu melalui UMNO dan PAS menjadi semakin kukuh dan dibuktikan dalam tiga pilihanraya kecil pada awal tahun 2019. 

BN telah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highland pada 26 Januari, merampas kerusi DUN Semenyih (2 Mac) dan mengekalkan kerusi DUN Rantau (13 April).

Kejayaan-kejayaan besar inilah menjadi penyebab pemimpin parti kerajaan jadi tak keruan, terutamanya daripada DAP yang mula menghidu sesuatu yang buruk bagi mereka hasil kerjasama erat umat Melayu melalui UMNO dan PAS ini.

Kebimbangan mereka di tambah pula dengan populariti Najib yang semakin meningkat di hati rakyat sejak awal Januari 2019, khususnya di kalangan orang muda melalui troll-troll di sosial media yang penuh fakta dan ada masanya melucukan. Slogan 'Malu Apa Bossku' yang digunakannya juga menjadi trending yang menyenangkan hati rakyat, tetapi menimbulkan rasa gundah gulana di pihak PH.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menggangap kerjasama UMNO dan PAS ini sebagai satu pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu. Niatnya untuk menakutkan orang bukan Melayu, terutamanya Cina. 

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga cuba menakutkan rakyat bukan Melayu dengan mengatakan bahawa jika UMNO dan PAS menang dalam PRU15, Malaysia akan ditadbir oleh sebuah kerajaan ala-Taliban di Afghanistan.

Selepas istilah kleptokrasi berjaya mengelirukan rakyat sebelum PRU14, pemimpin vateran DAP Lim Kit Siang cuba pula memperkenalkan istilah baru, klepto-teokrasi bagi mengambarkan "doktrin politik di Malaysia yang menyalahguna Islam untuk menyokong rompakan, rasuah, tiada toleransi, ketaksuban, pembohongan dan penipuan". Kit Siang seolah-olah menggambarkan kerajaan yang bakal dipimpin oleh UMNO dan PAS dipenuhi pemimpin yang korup menggunakan kuasa dan kononnya akan muncul pentadbiran ulamak yang akan menarik negara ini mundur ke belakang.
 
Namun Kit Siang seperti kucing tua menyorok di bawah kerusi ketika menolak untuk berdebat dengan Najib, debat yang pada awalnya dicadangkan oleh Kit Siang sendiri. Cadangkan debat tapi kucing tua ini yang 'lari malam'.

Biar apapun tohmahan PH dan DAP terhadap kerjasama UMNO dan PAS, kepimpinan dua parti Melayu-Islam itu tidak lagi menoleh ke belakang dan mengambil langkah memeterai satu gagasan kerjasama politik yang lebih membingungkan pihak kerajaan.

Piagam kerjasama yang dinamakan Muafakat Nasional dimeterai oleh kepimpinan UMNO dan PAS pada 14 September 2019 di Dewan Merdeka, PWTC, tempat PAU diadakan setiap tahun sejak sekian lama. Dua Presiden parti Melayu menandatangani piagam ini, iaitu Hadi dari PAS dan Zahid yang mengumumkan kembali memimpin UMNO pada 30 Jun.

Muafakat Nasional bukan sahaja sebuah gagasan kerjasama antara UMNO dan PAS, tetapi melibatkan parti-parti politik lain di Malaysia termasuk parti anggota BN dan Gagasan Sejahtera.

Selepas termeterainya gagasan Muafakat Nasional, berlaku satu lagi PRK, iaitu di Parlimen Tanjong Piai, Johor. BN yang meletakkan calon dari parti MCA mencapai kemenangan besar dan merampas kerusi itu dari PH dengan majoriti 15,086 undi pada 16 November 2019.

PAU2019 diadakan 18 hari selepas kejayaan cemerlang BN di PRK Tanjong Piai. Sudah pasti semangat Tanjong Piai akan menguasai PAU kali ini. Semoga semangat ini berkekalan sehingga Muafakat Nasional berjaya menawan Putrajaya dalam PRU15 nanti.

Selamat bersidang.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan N58 Slim