20 August, 2015

KOMPLOT LEBIH BERKESAN JATUHKAN KERAJAAN

Sejak beberapa hari lalu, teka teki terus berlegar sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mendedahkan komplot pihak tertentu mahu menjatuhkan Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) melalui cara tidak demokratik.

Jika benar, ini adalah komplot kali kedua seumpamanya. Kali pertama telah digerakkan oleh mantan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah mendakwa bahawa seramai 30 Ahli Parlimen BN akan melompat parti dan kerajaan baru bakal dibentuk pada 16 September 2008.

Sebaik selesai Pilihanraya Umum Ke-12 pada 2008, Anwar terus melancarkan strategi menggula-gulakan Ahli Parlimen BN dengan matlamat untuk mengambil alih Putrajaya secara tidak demokratik. Harapan menggunungnya untuk menjadi Perdana Menteri melalui proses pilihanraya pada PRU12 berkecai apabila BN terus menerajui pentadbiran negara dengan kemenangan 140 kerusi Parlimen berbanding 82 dimenangi parti-parti pakatan pembangkang.

Setelah hampir enam tahun gerakan  Anwar itu tidak menjadi kenyataan, kini dikatakan muncul pula satu komplot baru yang digerakkan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada kemelut politik tanahair. Komplot kali ini nampak lebih serius kerana membabitkan tokoh dari kalangan pimpinan UMNO, sebagaimana didedahkan oleh Zahid.

Yang pasti, pakatan pembangkang dan pihak berkepentingan sudah serik dengan kegagalan demi kegagalan yang mereka alami sebelum ini untuk menjatuhkan BN secara sah, iaitu melalui pilihan rakyat di peti undi. Berkomplot mungkin cara terbaik bagi mereka menjatuhkan kerajaan, berbanding mengharapkan sesuatu yang belum pasti pada PRU14.

UMNO telah melalui pelbagai krisis sebelum ini. Setiap kali UMNO berhadapan krisis dan dilihat lemah, banyak pihak, khususnya pembangkang cuba mengambil kesempatan untuk menolak parti Melayu itu hingga ke dinding. Namun sejarah membuktikan bahawa UMNO telah berjaya melepasi pelbagai rintangan dan terus mendapat kepercayaan rakyat bagi menerajui kepimpinan negara melalui proses demokrasi.

Bermula dari Pilihanraya Umum Pertama (PRU1) pada 27 Julai 1955, Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC telah berhadapan dengan cabaran Parti Negara yang diterajui oleh pengasas UMNO, Dato' Onn Jaafar. Pada 1951, Onn Jaafar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) setelah kecewa apabila cadangannya untuk membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak.

Dalam pilihanraya itu, UMNO yang mengetuai Parti Perikatan menang bergaya di 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi lagi dimenangi calon PAS di Kerian, Perak. Onn Jaafar ternyata gagal menyaingi Perikatan dan parti UMNO yang beliau sendiri asaskan. Kesemua 33 calon Parti Negara termasuk Onn Jaafar telah tewas. Itulah kegagalan pertama pembangkang untuk menewaskan UMNO dengan cara pilihanraya.

UMNO dan Perikatan sekali lagi berhadapan saat getir semasa PRU3 pada 10 Mei 1969. Kesan daripada strategi parti DAP dan Gerakan yang mengapi-apikan sentimen anti Melayu-Bumiputera, ditambah pula hasutan para pemimpin Parti Buruh yang berkiblatkan komunisme, Perikatan hilang majoriti dua pertiga buat kali pertama di Parlimen biarpun memenangi pilihanraya itu. Perikatan menang 76 kerusi, termasuk 10 di Sabah, sementara pembangkang menang 37, masing-masing melalui DAP 13, PAS 12, Gerakan 8 dan PPR 4.

Biarpun prestasi Perikatan merudum, hakikatnya pembangkang gagal sekali lagi menumbangkan parti pemerintah melalui peti undi. Api kekacauan kaum semakin marak sebaik keputusan diumumkan, dengan pelbagai tindakan provokasi dilakukan oleh pemimpin dan penyokong DAP terhadap orang Melayu di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang akhirnya mencetuskan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Pihak pembangkang sekali lagi mengintai peluang menjelang PRU8 pada 1990, setelah merasakan bahawa perpecahan Melayu yang berlaku di dalam UMNO sejak 1987 begitu serius dan memungkinkan mereka mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Serpihan UMNO, Parti Melayu Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah dijadikan sandaran untuk merealisasikan harapan mereka.

Dilihat selaku bakal Perdana Menteri, Tengku Razaleigh berjaya menyatukan parti-parti pembangkang kerana masing-masing mempunyai satu matlamat yang begitu lama diidamkan, iaitu menewaskan UMNO dan BN. Namun penyatuan tanpa daftar itu dibuat dalam dua kelompok - Angkatan Perpaduan Ummah (APU) terdiri daripada Semangat 46, PAS, Hamim, Berjasa dan Kimma, sementara kelompok kedua dinamakan Gagasan Rakyat dianggotai Semangat 46, DAP, PRM dan IPF. 

Atas keyakinan bahawa perancangan dan kredibiliti Tengku Razaleigh mampu menewaskan UMNO dan BN dalam pilihanraya itu, maka Parti Bersatu Sabah (PBS) bertindak keluar daripada BN dan menyertai Gagasan Rakyat beberapa hari sebelum pembuangan undi.

Kehadiran Tengku Razaleigh ke Kota Kinabalu sehari sebelum pengundian disambut begitu meriah oleh para pemimpin PBS, yang ketika itu baru beberapa bulan sahaja meraikan kemenangan mereka dalam Pilihanraya Umum Negeri Sabah. Di Dewan Auditorium Bangunan Yayasan Sabah, Tengku Razaleigh disarungkan 'sigah' (tengkolok kaum Kadazan) di kepalanya.

Mungkin mahu dijadikan penyebab, corak sigah yang kelihatan seperti salib telah dimanipulasi dengan begitu berkesan oleh jentera kempen UMNO. Poster foto pemimpin Semangat 46 itu dengan tajuk 'Ku Li junjung salib' tersebar dengan begitu pantas ke seluruh pelusuk negara. Biarpun tak sepantas saluran media sosial ketika ini, poster itu telah memberi impak besar terhadap keputusan pilihanraya keesokannya, terutama di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.

Sekali lagi pembangkang gagal menggapai cita-cita mengambil alih kepimpinan negara melalui peti undi, apabila mereka hanya memenangi 53 kerusi Parlimen berbanding 127 kepada BN. Namun BN tewas mutlak di Kelantan, dan pencapaian DAP meningkat di Pulau Pinang dengan menguasai 14 kerusi, berbanding BN melalui UMNO 12 dan Gerakan 9. Hubungan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan pula menjadi semakin dingin dan merugikan rakyat negeri itu sehinggalah BN mengambil alih pentadbiran pada 1994.

Pembangkang terus menaruh harapan untuk menggulingkan BN melalui peti undi dalam PRU10 pada 1999. Berikutan pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan perlucutan keahliannya di dalam UMNO pada 1998, pembangkang melihat satu tokoh baru telah muncul untuk diperkudakan bagi mencapai cita-cita yang tak pernah padam itu. Dengan strategi yang hampir sama seperti diusahakan oleh Tengku Razaleigh pada 1990, Anwar menyatukan DAP, Parti Keadilan dan PAS dalam satu pakatan tanpa daftar, Barisan Alternatif (BA) bagi mengganyang UMNO dan BN.

Ringkasnya, harapan pembangkang sekali lagi kecundang apabila BN terus mengungguli dengan 148 kerusi, berbanding pembangkang masing-masing PAS 27, DAP 10 dan Keadilan 5. Tiga lagi kerusi dimenangi PBS. Prestasi PAS begitu memberangsangkan dari 7 kerusi sebelumnya, dan berjaya menawan Terengganu. DAP pula kehilangan dua tokohnya, Lim Kit Siang dan Karpal Singh, yang tewas akibat kekeliruan pengundi Cina terhadap kerjasama parti itu dengan PAS dalam gabungan BA.

Pakatan pembangkang tidak menaruh sebarang harapan menewaskan BN dalam PRU11 pada Mac 2004 atas beberapa faktor. Antaranya imej bersih Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, ditambah pula Anwar ketika itu sedang meringkuk di Penjara Sungai Buloh atas hukuman salahguna kuasa dan meliwat. BN menang 198 dari 218 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, pencapaian terbaiknya sejak 1978.

Pembebasan Anwar dari penjara pada September 2004, iaitu enam bulan selepas pencapaian cemerlang BN dalam PRU11 membuka lambaran dan harapan baru pakatan pembangkang untuk merampas Putrajaya. Anwar berjaya menyatukan PKR, DAP dan PAS, dan melancarkan serangan bertali arus terhadap kepimpinan Pak Lah sehingga PRU12 pada 8 Mac 2008. 

Populariti BN dan Pak Lah jatuh merudum serta merta, sesuatu yang di luar jangkaan mata kasar politik. Selain serangan pihak pembangkang, Pak Lah juga dibelasah dengan begitu teruk oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Media sosial juga menjadi medium baru yang amat berkesan bagi penyebaran fitnah dan mehmah terhadap kerajaan.

Biarpun berhadapan cabaran yang cukup sengit dalam PRU12, BN masih mampu mengekalkan kemenangannya di Parlimen walaupun gagal memperolehi majoriti dua pertiga. BN menang di 140 kerusi sementara pakatan pembangkang 82. Buat kesekian kalinya pakatan pembangkang gagal merampas tampuk pemerintahan negara melalui proses  pilihanraya.

Enam bulan selepas itu, timbul komplot Anwar untuk membentuk apa yang beliau namakan 'kerajaan dalam penantian' dengan cara mahu menarik 30 ahli Parlimen BN melompat menyertai kelompok pembangkang. Anwar menanam keyakinan kepada sekutu pembangkangnya bahawa kerajaan baru akan dibentuk melalui pintu belakang pada tarikh 16 September 2008, sempena ulangtahun kemerdekaan Sabah dan Sarawak melalui pembentukan Malaysia.

Seperti dijelaskan sebelum ini, komplot itu tidak berjaya, biarpun Anwar berusaha bersungguh-sungguh mengepung 30 Ahli Parlimen BN itu sehingga sanggup menghantar wakilnya ke Taiwan membuntuti lawatan sambil belajar BNBBC ke sana dari 8 - 19 September.

Keputusan pilihanraya terbaru pada 2013 yang pertama kali diterajui oleh Dato' Seri Najib Tun Razak tidak jauh bezanya dengan sebelumnya. Biarpun kemenangan kerusi BN di Parlimen berkurang dari 140 kepada 133, namun UMNO berjaya menambah 9 kerusi, menjadi 88. Malahan BN berjaya merampas semula Negeri Kedah dan Perak yang dimenangi pakatan pembangkang pada PRU12. Hakikatnya, sekali lagi pakatan pembangkang gagal mengalahkan BN, biarpun dalam keadaan yang sengit dengan sokongan pengundi Cina terhadap parti itu tinggal hanya 10 peratus.

Kegagalan bertali arus untuk menumbangkan Perikatan dan BN sejak 1955 melalui proses pilihanraya sudah pasti meninggalkan kesan cukup pahit kepada pakatan pembangkang. Kerjasama ampuh dan ikhlas antara parti-parti komponen BN begitu sukar dirobek. Kekuatan UMNO yang terus mendominasikan bilangan kerusi di Dewan Rakyat berbanding parti lain, disokong pula dengan kejayaan parti-parti komponennya terutama di Sabah dan Sarawak membolehkan BN terus menerajui Kerajaan Pusat dalam 13 kali pilihanraya. Biarpun dalam keadaan berkrisis dan kelihatan lemah, BN masih mampu bertahan dan kembali ke tampuk kuasa.

Situasi inilah yang menjadi taboo kepada pihak pembangkang, seolah ada tangan-tangan ghaib menarik BN keluar dari dasar sungai yang deras dan mengapungkannya di permukaan air. Pilihanraya bukanlah proses yang memihak kepada pembangkang. Sudah 13 kali ianya berlaku, dan tak mustahil ianya akan berulang buat kali ke 14.

Jadi usahlah hairan jika ada pihak yang cuba menafikan penguasaan UMNO dan BN bukan secara demokrasi melalui proses pilihanraya, sebaliknya mencari jalan lain melalui pintu belakang seperti didedahkan oleh Zahid.

Apabila semakin ramai Ahli Parlimen BN menafikan mereka terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan, maka pihak yang sudah lama menaruh harapan akan terus menggigit jari sambil mengintai peluang berikutnya.

Khusairi Talib
20 Ogos 2015



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

14 August, 2015

SKMM BERTINDAK KE ATAS MALAYSIAKINI

Syabas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said dan SKMM atas tindakan.

PRESS RELEASE

CYBERJAYA, 14 Ogos 2015 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan notis kepada portal berita Malaysiakini untuk menurunkan dua artikel yang bertajuk 'Report filed against Chief Sec, PSD Head' pada pukul 5:31 petang yang diterbitkan pada 13 Ogos dan 'Laporan terhadap KSN, Ketua Pengarah JPA' yang diterbitkan pada pukul 6:17 petang hari yang sama.

MCMC mendapati, berita dalam kedua-dua artikel yang diterbitkan itu adalah tidak benar berdasarkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun menafikan wujudnya pegawai-pegawai SPRM membuat laporan terhadap Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mengikut peruntukan Seksyen 48 Akta SPRM 2009.

Sehubungan itu, MCMC ingin mengingatkan portal-portal berita untuk lebih bertanggungjawab dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum ia disiarkan. MCMC juga mengingatkan, sebarang perbuatan menghantar kandungan palsu melalui aplikasi laman sesawang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

13 August, 2015

1MDB UNTUNG RM180 BILLION?

Malam ini saya mendapat maklumat baru berkaitan 1MDB. Saya rasa maklumat ini adalah punca kenapa pihak-pihak tertentu bersungguh-sungguh mahu menjahanamkan 1MDB.

Maklumat sahih yang saya perolehi ini menyatakan bahawa aset dan perniagaan 1MDB memungkinkannya menjana keuntungan sehingga RM180 billion dalam tempoh 12 tahun.

Patutlah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan BN dan menawan Putrajaya berasa gerun dan ingin memastikan 1MDB dikuburkan.

Wawancara Arul Kanda di TV3 malam ini juga pastikan membuatkan pemutar fakta 1MDB tak lelap tidur.

Ikuti laporan Astro Awani di bawah :

KUALA LUMPUR:  Biarpun ekonomi negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk penyusutan nilai ringgit, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tetap yakin syarikat pelaburan negara itu mampu melangsaikan hutangnya dalam tempoh enam bulan.

Keyakinan itu adalah berdasarkan aset-aset miliknya yang boleh dilupuskan, antara lain, RM16 bilion hingga RM20 bilion milik syarikat subsidari 1MBD, Edra Global Energy Bhd; RM16 bilion dalam International Petroleum Investment Company (IPIC), dan RM11 bilion hingga RM12 bilion dalam projek hab ekonomi Bandar Malaysia di ibu negara.

"Saya yakin tempoh masa yang diberikan Perdana Menteri untuk 1MDB melangsaikan hutang bersesuaian dengan keadaan masa syarikat dan pasaran semasa," jelas beliau dalam satu program temu bual 'Soal Jawab' di TV3 lewat Rabu.

1MDB, katanya, mempunyai aset yang kukuh dan syarikat itu juga mempunyai pelabur-pelabur tempatan dan luar negara yang berminat dengan jangka masa panjang pelaburan dalam 1MDB.

"Kira-kira 40 syarikat terkemuka daripada China, Australia dan Timur Tengah telah menunjuk minat dalam pembangunan Bandar Malaysia," kata Arul Kanda.

Jelasnya lagi, pelan rasionalisasi hutang 1MDB tidak akan terjejas disebabkan oleh penurunan nilai ringgit kerana syarikat itu memiliki aset dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang akan membolehkan ia membayar hutang luarnya dalam nilai dolar AS.

"Kita mempunyai syarikat janakuasa terbesar di negara asing seperti di Bangladesh dan Mesir. Kami juga mempunyai aset janakuasa di Abu Dhabi dan Pakistan dengan semua aset itu dalam dolar Amerika. Jadi kita ada kelebihan iaitu aliran tunai dalam dolar Amerika yang mempunyai nilai sama jika dilupuskan," katanya.

Ditanya adakah sentimen semasa akan menjejaskan keyakinan pelabur, Arul Kanda menjelaskan masalah tohmahan dan isu politik sememangnya merisaukan pelabur namun keadaan ekonomi juga penting dalam melaksanakan pelan-pelan rasionalisasi bagi mengurangkan beban hutang 1MDB.

"Aset 1MDB pada asasnya adalah kukuh dan kekukuhan itu menyakinkan pelabur. Kalau lihat ahli perniagaan dan pelabur, mereka fokus terhadap asas dan aset. Contohnya, Edra aliran tunainya lebih RM5 bilion setahun melalui penjanaan kuasa dan penjualan tenaga. Itu adalah aliran tunai yang dilihat jangka panjang sebagai mempunyai nilai," tambahnya.

Justeru cabaran utama 1MDB ketika ini adalah untuk menstabilkan kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya dan pada masa sama berharap dapat menjana pendapatan dan operasi serta keuntungan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak berkata beban hutang syarikat 1MDB mampu dikurangkan dalam tempoh lima bulan akan datang secara berperingkat.

Menurut Perdana Menteri, isu hutang 1MDB telah disensasikan di media dan media sosial sehinggakan ia menjadi isu panas biarpun tiada kerugian yang dicatat syarikat pelaburan negara itu.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

09 July, 2015

Maklumat Bocor - Gesaan BNBBC

KENYATAAN MEDIA 
KELAB PENYOKONG KERAJAAN BN (BNBBC) NEGERI PERAK 

Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri Perak hari ini menggesa pihak berkuasa supaya segera mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan seperti didedahkan oleh Peguam Negara dalam satu kenyataannya semalam.

Semua agensi yang terbabit dengan siasatan, iaitu Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menjejaki dan membawa individu yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan supaya tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang negara. 

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan. 

Menurutnya, membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana individu yang mepunyai akses pada dokumen siasatan atau maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan. 

Beliau juga berkata, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas. 

Menurut Abdul Gani, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan. 

Kelab BNBBC Perak menyokong penuh kenyataan Peguam Negara itu dan menggesa supaya tindakan segera diambil oleh ketiga-tiga agensi terbabit bagi menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan. 

Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu amat serius, tambahan lagi ianya disalurkan kepada pihak luar negara, khususnya Wall Street Journal dan Sarawak Report yang berpangkalan di London, dengan niat mahu menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya berlandaskan sistem demokrasi. 

Malahan Peguam Negara sendiri memaklumkan bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal, "Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib" bertarikh 7 Julai 2015 merupakan hal perkara suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam. 

 Individu yang membocorkan maklumat itu boleh dianggap sebagai dalang dan pengkhianat kerana terlibat dalam satu konspirasi di peringkat antarabangsa untuk meranapkan kerajaan sebuah negara dan juga mensabotaj siasatan yang sedang dijalankan. 

Pepatah yang paling tepat adalah 'harapkan pegar, pegar makan padi' kerana individu berkenaan berkemungkinan besar turut terbabit dalam pasukan petugas khas siasatan yang dibentuk. 

 Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia, PDRM dan SPRM perlu membekalkan maklumat secukupnya kepada Peguam Negara bagi membolehkan individu terbabit didakwa secepat mungkin. 

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB Pengerusi BNBBC Perak 
ADUN Slim, Perak 
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim 
9 Julai 2015 

05 July, 2015

WSJ: PENDIRIAN UMNO PERAK


Berikut adalah kenyataan media Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat petang tadi di Ipoh.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat pada hari ini memandang serius perkembangan muktakhir yang bersifat serangan terancang dan bertali arus kepada kepimpinan parti dan negara. 

Tuduhan-tuduhan keterlaluan ini bertujuan untuk menjejaskan kepercayaan rakyat kepada parti dan negara serta usaha untuk mensabotaj ekonomi negara dengan memberikan imej negatif kepada kerajaan dan kepimpinan di kalangan para pelabur.

Sehubungan itu Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian sudah sampai masanya tindakan perundangan diambil terhadap pihak-pihak terbabit yang terus menerus menyebarkan laporan mengelirukan dan berniat jahat. 

Justeru, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Abd Razak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang terbabit. 

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian, segala tuduhan dan laporan yang diterbitkan perlu disiasat secara terperinci dan telus bagi menjamin kewibawaan dan integriti kepimpinan, kerajaan dan parti. 

Sesuai dengan pendirian Perdana Menteri yang mendukung tinggi ketelusan, siasatan pasukan khas yang melibatkan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah seliaan Peguam Negara, diharapkan dapat merungkai permasalahan dan menjernihkan suasana. 

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat pemantauan laporan dan pengaliran maklumat yang bersifat serangan-serangan peribadi dan berunsur sabotaj di laman-laman media sosial yang boleh mencetuskan keresahan di kalangan rakyat. 

Mesyuarat turut melahirkan harapan agar semua pihak bertenang dan memberikan ruang kepada proses siasatan berjalan dan tidak terburu-buru untuk menjatuhkan hukuman. 

Dato Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak 5 Julai 2015 

(Kenyataan media ini turut ditandatangani Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri Perak)

WSJ : JAWAPAN PM NAJIB

SABTU, 4 JULAI 2015 - 12:00AM : DAKWAAN terbaharu kononnya Dato Sri Najib Razak menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi, dianggap sebagai satu lagi pembohongan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan kerajaan. Justeru, Perdana Menteri memberi amaran, pihak yang terus menggunakan taktik sedemikian bakal berdepan tindakan undang-undang. Berikut adalah kenyataan penuh Najib yang dikeluarkan malam ini. 1. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan - semuanya tidak berasas dan kebanyakannya mengarut - dilakukan terhadap saya dan keluarga. 2. Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar bagi Malaysia ditadbir secara proksi. 3. Tun kemudian mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion. 4. Dakwaan terbaharu ialah kononnya saya mengambil dana berkaitan kerajaan untuk kepentingan peribadi. Saya percaya Tun berada di belakang pembohongan ini, berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog politik Sarawak Report yang semakin diragui kredibilitinya. 5. Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik - baik daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh semua syarikat terbabit. 6. Jelas sekali, tuduhan palsu seperti ini adalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi. 7. Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar hanyalah dakwaan berasaskan kebocoran dokumen dan penyiasat tanpa nama. Tiada sekali pun sumber dokumen ini ditampilkan, manakala dokumen berkenaan juga tidak pernah dikemukakan untuk pengesahan pihak berkuasa. 8. Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikannya. Hakikat ini besar kesannya terhadap kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk memburuk-burukkan kerajaan serta negara kita. 9. Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk berdepan tindakan berikutan perbuatan mereka. Taktik kotor - termasuk taktik jenayah dalam beberapa keadaan - untuk menumbangkan kerajaan akan gagal. Dalam beberapa keadaan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang. 10. Malang sekali serangan palsu bertubi-tubi yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki pelbagai kelebihan unik - kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan status negara maju yang semakin hampir dicapai. Saya kekal dengan fokus untuk membangunkan negara demi rakyat.