13 August, 2015

1MDB UNTUNG RM180 BILLION?

Malam ini saya mendapat maklumat baru berkaitan 1MDB. Saya rasa maklumat ini adalah punca kenapa pihak-pihak tertentu bersungguh-sungguh mahu menjahanamkan 1MDB.

Maklumat sahih yang saya perolehi ini menyatakan bahawa aset dan perniagaan 1MDB memungkinkannya menjana keuntungan sehingga RM180 billion dalam tempoh 12 tahun.

Patutlah pihak-pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan BN dan menawan Putrajaya berasa gerun dan ingin memastikan 1MDB dikuburkan.

Wawancara Arul Kanda di TV3 malam ini juga pastikan membuatkan pemutar fakta 1MDB tak lelap tidur.

Ikuti laporan Astro Awani di bawah :

KUALA LUMPUR:  Biarpun ekonomi negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk penyusutan nilai ringgit, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tetap yakin syarikat pelaburan negara itu mampu melangsaikan hutangnya dalam tempoh enam bulan.

Keyakinan itu adalah berdasarkan aset-aset miliknya yang boleh dilupuskan, antara lain, RM16 bilion hingga RM20 bilion milik syarikat subsidari 1MBD, Edra Global Energy Bhd; RM16 bilion dalam International Petroleum Investment Company (IPIC), dan RM11 bilion hingga RM12 bilion dalam projek hab ekonomi Bandar Malaysia di ibu negara.

"Saya yakin tempoh masa yang diberikan Perdana Menteri untuk 1MDB melangsaikan hutang bersesuaian dengan keadaan masa syarikat dan pasaran semasa," jelas beliau dalam satu program temu bual 'Soal Jawab' di TV3 lewat Rabu.

1MDB, katanya, mempunyai aset yang kukuh dan syarikat itu juga mempunyai pelabur-pelabur tempatan dan luar negara yang berminat dengan jangka masa panjang pelaburan dalam 1MDB.

"Kira-kira 40 syarikat terkemuka daripada China, Australia dan Timur Tengah telah menunjuk minat dalam pembangunan Bandar Malaysia," kata Arul Kanda.

Jelasnya lagi, pelan rasionalisasi hutang 1MDB tidak akan terjejas disebabkan oleh penurunan nilai ringgit kerana syarikat itu memiliki aset dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang akan membolehkan ia membayar hutang luarnya dalam nilai dolar AS.

"Kita mempunyai syarikat janakuasa terbesar di negara asing seperti di Bangladesh dan Mesir. Kami juga mempunyai aset janakuasa di Abu Dhabi dan Pakistan dengan semua aset itu dalam dolar Amerika. Jadi kita ada kelebihan iaitu aliran tunai dalam dolar Amerika yang mempunyai nilai sama jika dilupuskan," katanya.

Ditanya adakah sentimen semasa akan menjejaskan keyakinan pelabur, Arul Kanda menjelaskan masalah tohmahan dan isu politik sememangnya merisaukan pelabur namun keadaan ekonomi juga penting dalam melaksanakan pelan-pelan rasionalisasi bagi mengurangkan beban hutang 1MDB.

"Aset 1MDB pada asasnya adalah kukuh dan kekukuhan itu menyakinkan pelabur. Kalau lihat ahli perniagaan dan pelabur, mereka fokus terhadap asas dan aset. Contohnya, Edra aliran tunainya lebih RM5 bilion setahun melalui penjanaan kuasa dan penjualan tenaga. Itu adalah aliran tunai yang dilihat jangka panjang sebagai mempunyai nilai," tambahnya.

Justeru cabaran utama 1MDB ketika ini adalah untuk menstabilkan kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya dan pada masa sama berharap dapat menjana pendapatan dan operasi serta keuntungan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak berkata beban hutang syarikat 1MDB mampu dikurangkan dalam tempoh lima bulan akan datang secara berperingkat.

Menurut Perdana Menteri, isu hutang 1MDB telah disensasikan di media dan media sosial sehinggakan ia menjadi isu panas biarpun tiada kerugian yang dicatat syarikat pelaburan negara itu.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

09 July, 2015

Maklumat Bocor - Gesaan BNBBC

KENYATAAN MEDIA 
KELAB PENYOKONG KERAJAAN BN (BNBBC) NEGERI PERAK 

Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri Perak hari ini menggesa pihak berkuasa supaya segera mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan seperti didedahkan oleh Peguam Negara dalam satu kenyataannya semalam.

Semua agensi yang terbabit dengan siasatan, iaitu Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menjejaki dan membawa individu yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan supaya tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang negara. 

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan. 

Menurutnya, membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana individu yang mepunyai akses pada dokumen siasatan atau maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan. 

Beliau juga berkata, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas. 

Menurut Abdul Gani, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan. 

Kelab BNBBC Perak menyokong penuh kenyataan Peguam Negara itu dan menggesa supaya tindakan segera diambil oleh ketiga-tiga agensi terbabit bagi menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan. 

Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu amat serius, tambahan lagi ianya disalurkan kepada pihak luar negara, khususnya Wall Street Journal dan Sarawak Report yang berpangkalan di London, dengan niat mahu menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya berlandaskan sistem demokrasi. 

Malahan Peguam Negara sendiri memaklumkan bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal, "Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib" bertarikh 7 Julai 2015 merupakan hal perkara suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam. 

 Individu yang membocorkan maklumat itu boleh dianggap sebagai dalang dan pengkhianat kerana terlibat dalam satu konspirasi di peringkat antarabangsa untuk meranapkan kerajaan sebuah negara dan juga mensabotaj siasatan yang sedang dijalankan. 

Pepatah yang paling tepat adalah 'harapkan pegar, pegar makan padi' kerana individu berkenaan berkemungkinan besar turut terbabit dalam pasukan petugas khas siasatan yang dibentuk. 

 Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia, PDRM dan SPRM perlu membekalkan maklumat secukupnya kepada Peguam Negara bagi membolehkan individu terbabit didakwa secepat mungkin. 

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB Pengerusi BNBBC Perak 
ADUN Slim, Perak 
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim 
9 Julai 2015 

05 July, 2015

WSJ: PENDIRIAN UMNO PERAK


Berikut adalah kenyataan media Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat petang tadi di Ipoh.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat pada hari ini memandang serius perkembangan muktakhir yang bersifat serangan terancang dan bertali arus kepada kepimpinan parti dan negara. 

Tuduhan-tuduhan keterlaluan ini bertujuan untuk menjejaskan kepercayaan rakyat kepada parti dan negara serta usaha untuk mensabotaj ekonomi negara dengan memberikan imej negatif kepada kerajaan dan kepimpinan di kalangan para pelabur.

Sehubungan itu Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian sudah sampai masanya tindakan perundangan diambil terhadap pihak-pihak terbabit yang terus menerus menyebarkan laporan mengelirukan dan berniat jahat. 

Justeru, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Abd Razak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang terbabit. 

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian, segala tuduhan dan laporan yang diterbitkan perlu disiasat secara terperinci dan telus bagi menjamin kewibawaan dan integriti kepimpinan, kerajaan dan parti. 

Sesuai dengan pendirian Perdana Menteri yang mendukung tinggi ketelusan, siasatan pasukan khas yang melibatkan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah seliaan Peguam Negara, diharapkan dapat merungkai permasalahan dan menjernihkan suasana. 

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat pemantauan laporan dan pengaliran maklumat yang bersifat serangan-serangan peribadi dan berunsur sabotaj di laman-laman media sosial yang boleh mencetuskan keresahan di kalangan rakyat. 

Mesyuarat turut melahirkan harapan agar semua pihak bertenang dan memberikan ruang kepada proses siasatan berjalan dan tidak terburu-buru untuk menjatuhkan hukuman. 

Dato Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak 5 Julai 2015 

(Kenyataan media ini turut ditandatangani Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri Perak)

WSJ : JAWAPAN PM NAJIB

SABTU, 4 JULAI 2015 - 12:00AM : DAKWAAN terbaharu kononnya Dato Sri Najib Razak menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi, dianggap sebagai satu lagi pembohongan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan kerajaan. Justeru, Perdana Menteri memberi amaran, pihak yang terus menggunakan taktik sedemikian bakal berdepan tindakan undang-undang. Berikut adalah kenyataan penuh Najib yang dikeluarkan malam ini. 1. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan - semuanya tidak berasas dan kebanyakannya mengarut - dilakukan terhadap saya dan keluarga. 2. Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar bagi Malaysia ditadbir secara proksi. 3. Tun kemudian mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion. 4. Dakwaan terbaharu ialah kononnya saya mengambil dana berkaitan kerajaan untuk kepentingan peribadi. Saya percaya Tun berada di belakang pembohongan ini, berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog politik Sarawak Report yang semakin diragui kredibilitinya. 5. Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik - baik daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh semua syarikat terbabit. 6. Jelas sekali, tuduhan palsu seperti ini adalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi. 7. Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar hanyalah dakwaan berasaskan kebocoran dokumen dan penyiasat tanpa nama. Tiada sekali pun sumber dokumen ini ditampilkan, manakala dokumen berkenaan juga tidak pernah dikemukakan untuk pengesahan pihak berkuasa. 8. Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikannya. Hakikat ini besar kesannya terhadap kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk memburuk-burukkan kerajaan serta negara kita. 9. Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk berdepan tindakan berikutan perbuatan mereka. Taktik kotor - termasuk taktik jenayah dalam beberapa keadaan - untuk menumbangkan kerajaan akan gagal. Dalam beberapa keadaan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang. 10. Malang sekali serangan palsu bertubi-tubi yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki pelbagai kelebihan unik - kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan status negara maju yang semakin hampir dicapai. Saya kekal dengan fokus untuk membangunkan negara demi rakyat.

10 December, 2014

BAJET PERAK DEFISIT : PEMBANGKANG TIDAK ADIL

PERBAHASAN BAJET NEGERI PERAK 2015
ADUN SLIM
10HB DISEMBER 2015

 
TERIMA KASIH DATO' SERI YANG DIPERTUA KERANA MEMBERI SAYA PELUANG MEMBAHASKAN BAJET NEGERI PERAK 2015 YANG DIBENTANGKAN OLEH YAB MENTERI BESAR PADA ISNIN LALU. DENGAN 5 FOKUS UTAMA YANG DISENARAIKAN, SAYA YAKIN BAHAWA BAJET INI MAMPU MEMACU EKONOMI NEGERI PERAK PADA TAHUN HADAPAN DAN DAPAT MEMBELA NASIB RAKYAT TANPA MENGIRA LATAR BELAKANG.
 
NAMUN SEBAGAIMANA BIASA, PIHAK PEMBANGKANG SUKAR UNTU BERPUAS HATI DAN SENTIASA MENCARI KELEMAHAN APABILA BAJET DIBENTANGKAN OLEH PIHAK KERAJAAN. WAKIL CHANGKAT JERING DAN KEPAYANG SAMADA DALAM DEWAN INI ATAU DALAM SIDANG MEDIA MEMBESARKAN ISU BAJET DEFISIT NEGERI PERAK 2015 YANG DIJANGKA BERJUMLAH RM50.06 JUTA .  SAYA INGIN MEMETIK APA YANG DILUAHKAN OLEH CHANGKAT JERING KEPADA MEDIA, BAHAWA KENAIKAN KADAR DEFISIT NEGERI PERAK TAHUN DEPAN SEBANYAK HAMPIR RM8 JUTA BERBANDING TAHUN LALU, MEMPERLIHATKAN KERAJAAN NEGERI TIDAK MENGURUSKAN PERBELANJAAN SECARA BERHEMAH. TAMBAHNYA LAGI, KENAIKAN ITU MEMBUKTIKAN ADA PELBAGAI MASALAH YANG DIHIDU BERLAKU KHUSUSNYA DARI SUDUT URUS TADBIR.
 
DATO' SERI YANG DIPERTUA,
 
ADALAH AMAT TIDAK ADIL SEKIRANYA PIHAK PEMBANGKANG, KHUSUSNYA CHANGKAT JERING DAN KEPAYANG HANYA MELIHAT SOAL DEFISIT BAJET DALAM NEGERI PERAK SEMATA, TANPA MEMBANDINGKANNYA DENGAN BAJET DEFISIT DI TIGA LAGI NEGERI LAIN YANG DITADBIR OLEH PARTI PEMBANGKANG, IAITU SELANGOR, PULAU PINANG DAN KELANTAN. JIKA DEFISIT YANG DIJADIKAN KAYU UKUR KEJAYAAN URUS TADBIR KEWANGAN SESUATU NEGERI, ADAKAH CHANGKAT JERING DAN KEPAYANG MAHU MENAFIKAN BAHAWA BAJET DEFISIT YANG DIBENTANGKAN OLEH SELANGOR, PULAU PINANG DAN KELANTAN JAUH LEBIH BURUK DAN LEBIH TINGGI BERBANDING NEGERI PERAK?
 
BAJET 2015 NEGERI SELANGOR YANG DITERAJUI OLEH PKR DIANGGARKAN AKAN BERLAKU DEFISIT SEBANYAK RM450 JUTA, DI NEGERI PULAU PINANG YANG DITERAJUI DAP SEBANYAK RM230.31 JUTA SEMENTARA KELANTAN YANG DITADBIR OLEH PAS SEBANYAK RM70.69 JUTA. SECARA PERBANDINGANNYA DENGAN RM50.06 JUTA BAJET DEFISIT DI NEGERI PERAK, JUMLAH DEFISIT YANG DIJANGKA BERLAKU DI SELANGOR ADALAH LEBIH TINGGI SEBANYAK RM399.94 JUTA, PULAU PINANG LEBIH RM180.25 JUTA DAN DI KELANTAN LEBIH RM20.63 JUTA. ADAKAH CHANGKAT JERING, KEPAYANG DAN ADUN-ADUN PAKATAN PEMBANGKANG LAIN DARI PARTI DAP, PKR DAN PAS TIDAK MAHU MELEMPARKAN TUDUHAN BAHAWA KETIGA-TIGA NEGERI INI TELAH TIDAK MENGURUSKAN PERBELANJAAN SECARA BERHEMAH DAN BERLAKUNYA MASALAH URUS TADBIR?
 
KEPAYANG JUGA MEMPERTIKAIKAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN DI BAWAH BAJET NEGERI TERLALU KECIL, IAITU HANYA 30% ATAU RM342.71 JUTA DARIPADA KESELURUHAN RM1.05 BILLION. SEDARKAH KEPAYANG BAHAWA NEGERI PULAU PINANG YANG KETUA MENTERINYA ADALAH PEMIMPIN NOMBOR SATU PARTI DAP TELAH MENGUMUMKAN DALAM BAJETNYA TAHUN DEPAN BAHAWA PERUNTUKAN BAGI TUJUAN PEMBANGUNAN DI NEGERI ITU HANYALAH SEBANYAK 22.7 PERATUS (RM225.58 JUTA) DARIPADA SEJUMLAH RM992.82 JUTA? APAKAH KEPAYANG SENGAJA MENUTUP MATA DAN ENGGAN MENGKRITIK PERUNTUKAN PEMBANGUNAN DI PULAU PINANG YANG LEBIH KECIL JIKA DIBANDINGKAN DENGAN APA YANG DIBENTANGKAN DALAM BAJET NEGERI PERAK?
 
WAKIL KEPAYANG JUGA MEMBANDINGKAN JUMLAH PERBELANJAAN PEMBANGUNAN NEGERI PERAK DENGAN NEGERI SELANGOR, SEDANGKAN FORMULA PENGIRAAN ANTARA KEDUA NEGERI ADALAH AGAK BERBEZA, DI MANA NEGERI SELANGOR MEMASUKKAN PERBELANJAAN MENGURUS KE DALAM PERBELANJAAN PEMBANGUNAN MENYEBABKAN BELANJA PEMBANGUNAN DI SELANGOR LEBIH TINGGI BERBANDING PERAK, IAITU SEBANYAK 46.81% (RM342.71 JUTA).
 
JIKA KERAJAAN BN MAHU DIANGGAP TIDAK BERHEMAH DAN GAGAL MEMBELANJA DAN MENGURUSTADBIR KEWANGAN NEGERI, ADALAH WAJAR PEMIMPIN PEMBANGKANG  MENGAMBIL KIRA JUGA BAJET NEGERI SARAWAK YANG DIPERINTAH OLEH BARISAN NASIONAL YANG DIJANGKA AKAN BERLAKU LEBIHAN (SURPLUS) SEBANYAK RM365 JUTA TAHUN DEPAN DARIPADA SEJUMLAH RM6.36 BILLION YANG DIBENTANGKAN BARU-BARU INI.
 
BERLAKU ADILLAH TERHADAP NEGERI SENDIRI KETIKA MENGKRITIK. MELIHAT GAJAH DI SEBERANG SUNGAI, JANGAN HANYA KUMAN DI DEPAN MATA MAHU DITEROPONG.
 
 
DATO' SERI YANG DIPERTUA,
 

DAERAH BARU MUALIM
 
SELAKU WAKIL RAKYAT SEBUAH KAWASAN DALAM TANJONG MALIM, SAYA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA KERAJAAN NEGERI YANG TELAH BERUSAHA BAGI MEWUJUDKAN SEBUAH DAERAH BARU BERNAMA MUALIM. DENGAN WUJUDNYA DAERAH BARU INI, IANYA AKAN DAPAT MERANCAKKAN LAGI PROSES PEMBANGUNAN DAN MENINGKATKAN LAGI KECEKAPAN PENTADBIRAN DI KAWASAN KORIDOR SELATAN NEGERI PERAK.
 
HARAPAN SAYA SUPAYA PERSEMPADANAN BAGI DAERAH BARU INI TURUT MEMASUKKAN KAWASAN-KAWASAN YANG SEBELUM INI TERLETAK DI BAWAH PENTADBIRAN PEJABAT DAERAH BATANG PADANG YANG BERPUSAT DI TAPAH. KAWASAN-KAWASAN YANG SAYA MAKSUDKAN ADALAH SEBAHAGIAN BESAR FELDA GUGUSAN BESOUT, FELDA GUGUSAN TROLAK, SEBAHAGIAN PERKAMPUNGAN YANG TERLETAK DALAM MUKIM SUNGKAI SEPERTI KAMPUNG CHANGKAT SULAIMAN, KAMPUNG TIANG BERTARAH, KAMPUNG KLAH BARU, KAMPUNG PEKAN LAMA SUNGKAI, KAMPUNG GUNTUNG, KAMPUNG MENDERANG, FELDA SUNGAI KLAH, KAMPUNG AA TIN, KAMPUNG MUHIBAH, TAMAN PERMAI DAN BEBERAPA KAWASAN LAIN.
 
DENGAN SIAPNYA JALAN BARU ANTARA FELDA BESOUT KE KUALA SLIM YANG MENYAMBUNGKAN PERJALANAN KE SLIM RIVER DENGAN JARAK HANYA 17 KM, ADALAH LEBIH MUDAH UNTUK RAKYAT DI FELDA GUGUSAN BESOUT UNTUK BERURUSAN DI PEKAN SLIM RIVER DAN TANJONG MALIM YANG BAKAL MENJADI PUSAT PENTADBIRAN DAERAH BARU MUALIM, BERBANDING KE PEKAN TAPAH SEPERTI SEKARANG.
 
PAIP AIR DI FELDA BESOUT
 
BERKAITAN BEKALAN AIR KE FELDA GUGUSAN BESOUT, SAYA MENGHARAPKAN AGAR KERAJAAN NEGERI DAN LEMBAGA AIR PERAK (LAP) DAPAT MENGGANTIKAN PAIP-PAIP AIR YANG TELAH TERLALU LAMA, IAITU BERUSIA LEBIH 40 TAHUN SEJAK KAWASAN ITU DIDUDUKI. TERLALU BANYAK ADUAN YANG SAYA TERIMA DARIPADA PENDUDUK DI FELDA BESOUT BERKAITAN MASALAH TERPUTUS BEKALAN AIR AKIBAT KEBOCORAN DAN TEKANAN AIR YANG TERLALU RENDAH.
 
TANAH TAPAK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA BESOUT
 
MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (MMK) PADA TAHUN 2011 TELAHPUN MEMBERI KELULUSAN SEBIDANG TANAH SELUAS 150 EKAR DI HUTAN SIMPAN GUNUNG BESOUT UNTUK TUJUAN TAPAK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA GUGUSAN BESOUT. KERAJAAN NEGERI TELAHPUN MENULIS SURAT KEPADA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PERAK UNTUK MENGELUARKAN 150 EKAR DARIPADA 2,000 EKAR YANG TELAH DILULUSKAN KEPADA MAIPK UNTUK TUJUAN WAKAF MASJID DI SELURUH NEGERI PERAK.
 
MALAHAN YAB MENTERI BESAR JUGA TELAH HADIR MELAKUKAN PECAH TANAH SEBAGAI TANDA PERASMIAN PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA BESOUT ITU. MALANGNYA APA YANG BERLAKU KETIKA INI, KESELURUHAN 150 EKAR TANAH YANG TELAHPUN DILULUSKAN UNTUK PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA ITU TELAHPUN DITEROKA DAN DITANAM DENGAN TANAMAN POKOK SAWIT. BARU-BARU INI SAYA DIFAHAMKAN PULA BAHAWA PIHAK MAIPK MAHU MENDIRIKAN BANGUNAN PEJABAT BAGI PENTADBIRAN LADANG DI TAPAK YANG TELAH DILULUSKAN KEPADA PROJEK PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA ITU.
 
UNTUK MAKLUMAN, PIHAK FELDA YANG DIPERTANGGUNGJAWABKAN MEMBANGUN TANAH SELUAS 150 EKAR ITU TELAHPUN MENYEDIAKAN PERUNTUKAN BAGI MEMBINA KIRA-KIRA 700 BUAH RUMAH UNTUK GENERASI KEDUA FELDA, SELAIN BAKAL MEWUJUDKAN KAWASAN INDUSTRI KECIL DAN TAPAK UNTUK KEMUDAHAN AWAM SEPERTI PEMBINAAN SEBUAH MASJID, BANGUNAN KEDAI DAN KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR AWAM YANG LAIN.
 
SAYA MEMOHON KEPADA PIHAK KERAJAAN NEGERI AGAR DAPAT MENYELESAIKAN ISU INI, DEMI KEPENTINGAN WARGA KEDUA FELDA BESOUT YANG BEGITU BERHARAP UNTUK MEMILIKI RUMAH DI KAWASAN BERKENAAN.
 
AKTA HASUTAN 1948
 
BERKAITAN AKTA HASUTAN 1948, SAYA DAN MAJORITI RAKYAT DUN SLIM DAN NEGERI PERAK MENGALU-ALUKAN LANGKAH PERDANA MENTERI UNTUK MENGEKALKAN AKTA BERKENAAN DEMI MENJAMIN KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN RAKYAT BERBILANG KAUM DI NEGARA INI.
 
SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH PERDANA MENTERI DUA HARI LALU, PENGEKALAN AKTA HASUTAN BUKANLAH UNTUK MENYEKAT DEMOKRASI ATAU MENCENGKAM PEMBANGKANG, NAMUN BAGI MEMASTIKAN TIDAK BERLAKU KONFLIK ANTARA KAUM DAN AGAMA DI NEGARA INI. KEPUTUSAN ITU DIBUAT KERANA MASIH TERDAPAT PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, TIDAK MENGAMALKAN DEMOKRASI DAN TIDAK MENGHORMATI ANTARA KAUM DAN AGAMA SEHINGGA MEMBAWA TAHAP KETEGANGAN YANG SEMAKIN MENINGKAT.
 
KITA TIDAK FAHAM KENAPAKAH SEGELINTIR RAKYAT MALAYSIA BERSUNGGUH-SUNGGUH MAHUKAN SUPAYA AKTA HASUTAN 1948 INI DIHAPUSKAN. APAKAH SEBENARNYA TUJUAN MEREKA? MAJORITI RAKYAT MENRASAKAN BAHAWA AKTA HASUTAN YANG DIWUJUDKAN SEJAK TAHUN 1948 PERLU DIPERTAHANKAN SEBAGAI BENTENG AKHIR TERHADAP KESEJAHTERAAN RAKYAT MAJMUK DI NEGARA INI. APA YANG DITONJOLKAN DI DALAM MEDIA SOSIAL SEJAK KEBELAKANGAN INI AGAK MENGGERUNKAN, KERANA BANYAK PERKARA YANG TELAH DIPERSETUJUI SEWAKTU MALAYSIA MENCAPAI KEMERDEKAAN PADA TAHUN 1957 TELAH DIPERSENDAKAN OLEH PIHAK-PIHAK TERTENTU, SEHINGGA MENCETUSKAN KERESAHAN DI KALANGAN RAKYAT. RUKUN NEGARA TIDAK LAGI DIHORMATI OLEH INDIVIDU-INDIVIDU YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB. KEDUDUKAN AGAMA ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI DAN SOAL KEBEBASAN BERAGAMA, KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU, HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA, HAK KEWARGANEGARAAN DAN BEBERAPA PERKARA YANG TELAH DIPERSETUJUI SEBELUM INI DIPERTIKAIKAN TANPA RASA BERSALAH.
 
SEHUBUNGAN ITU, SAYA MENYOKONG PENUH SEBARANG TINDAKAN TEGAS PIHAK KERAJAAN PERSEKUTUAN, TERMASUK YANG DIAMBIL OLEH KEMENTERIAN DALAM NEGERI TERHADAP INDIVIDU-INDIVIDU YANG CUBA MENGHASUT DAN MEMECAHBELAHKAN KEHARMONIAN HIDUP BERNEGARA DI MALAYSIA. SYABAS KEPADA KDN YANG MENARIK BALIK DAN MEMBATALKAN PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (PMA) MILIK DUA BLOGGER KONTROVERSI BARU-BARU INI. SEMOGA TINDAKAN TEGAS KDN INI DIJADIKAN TELADAN KEPADA PIHAK-PIHAK LAIN.
 
SAYA JUGA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA KENYATAAN NAIB PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT, JOE BIDEN DALAM TWEETNYA YANG MEMPERTIKAIKAN KEWUJUDAN AKTA HASUTAN DI MALAYSIA. SIKAP JOE BIDEN ITU AMATLAH KETERLALUAN DAN TIDAK BERADAB KERANA CUBA MENCAMPURI HAL EHWAL DALAMAN SEBUAH NEGARA LAIN YANG BERDAULAT, MERDEKA DAN BERMARUAH SEPERTI MALAYSIA. JIKA JOE BIDEN DAN AMERIKA SYARIKAT TIDAK BERPUAS HATI DENGAN AKTA HASUTAN DI MALAYSIA, ADALAH WAJAR MEREKA JUGA MENGKAJI SEMULA DAN MEMANSUHKAN AKTA PATRIOT (PATRIOT ACT) YANG WUJUD DI NEGARA ITU SEJAK SEKIAN LAMA, YANG TUJUANNYA JUGA DILIHAT ADA PERSAMAAN DENGAN KEWUJUDAN AKTA HASUTAN 1948 DI MALAYSIA, IAITU UNTUK MEMELIHARA KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT.
 
DALAM MASA YANG SAMA, AMERIKA SYARIKAT JUGA WAJAR SEGERA MENUTUP PUSAT TAHANAN TANPA BICARA YANG WUJUD DI TELUK GUANTANAMO. WALAUPUN PENTADBIRAN PRESIDEN BARRACK OBAMA BERHARRAT MENUTUP PENJARA ITU, NAMUN MASIH RAMAI TAHANAN YANG MASIH TERPERANGKAP SEJAK SEKIAN LAMA TANPA DIBERIKAN HAK BICARA, MALAHAN DILAYAN SECARA TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN.
 
DATO' SERI YANG DIPERTUA, SLIM MOHON MENYOKONG.

13 November, 2014

WAJARKAH RM6 JUTA BEBASKAN MANGSA CULIK?

Alangkah dangkalnya pemikiran pembangkang yang mahu pihak Kerajaan membayar RM6 juta bagi membebaskan dua rakyat negara ini yang menjadi tebusan di Selatan Filipina.

Sekiranya kerajaan melayan tuntutan bayaran itu, pelbagai kemungkinan akan berlaku pada masa hadapan.

Pertama, lebih banyak kejadian penculihan akan berlaku di Sabah selepas ini, termasuk kemungkinan dirancang sendiri oleh individu yang merelakan dirinya diculik.

Kedua, penculikan juga boleh berlaku di mana-mana, bukan sahaja di perairan Pantai Timur Sabah. Ianya boleh berlaku di Pantai Barat Sabah, Kuching, Kuala Terengganu, Cameron Highland, Pulau Pangkor malah di ibukota Kuala Lumpur.

Penculik juga tidak terhad di kalangan puak-puak tertentu di Selatan Filipina, tetapi juga terdiri daripada semua kaum, dan semua bangsa di dunia.

Warga Afrika yang berkeliaran tanpa haluan di ibu kota Kuala Lumpur boleh bertukar profesyen menjadi penculik, dengan anggapan kerajaan mempunyai dana yang begitu besar untuk membebaskan mangsa culik!

Keselamatan pelancong, pelajar dan petugas warga Malaysia di luar negara juga bakal terancam. Contohnya, kelibat mereka sentiasa diperhatikan di Arab Street London. Kenapa? Kerana mereka adalah warga negara Malaysia yang kerajaannya bersedia membayar wang tebusan jika diculik.

Tumpuan penjenayah bukan lagi kepada waris mangsa culik, tetapi lebih kepada kerajaan dengan mengemukakan jumlah tuntutan yang tak masuk akal.

Apakah kerajaan bersedia untuk melunaskan setiap tuntutan yang pastinya menjangkau jutaan ringgit bagi menyelamatkan seorang mangsa culik?

Maka tepatlah pendirian kerajaan seperti dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak melayan tuntutan bayaran RM6 juta untuk membebaskan dua mangsa culik di Selatan Filipina, termasuk seorang pegawai polis.

Aktiviti pemerdagangan mangsa culik ini tidak lagi perlu dilayan, kerana jika dilayan, ianya akan menjadi barah dalam sistem keselamatan negara.

Untuk popular jangka pendek, eloklah pembangkang mencadangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau Menteri Besar Selangor, Azmin Ali masing-masing mengeluarkan dana RM3 juta untuk membebaskan kedua-dua mangsa culik di Selatan Filipina itu.

Selepas popular, kita lihat apa yang bakal berlaku pula di Georgetown, Bukit Bendera, Jelutong, Damansara, Seputih, Semenyih atau di Pulau Carey.

Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor pasti akan merangka bajet khas setiap tahun untuk membebaskan mangsa culik, yang pastinya bajet itu datangnya daripada wang rakyat.

Cubalah.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.