05 April, 2012

ISU VALE - NIZAR TERUS MENIPU

 “Lihat dan baca dengan teliti isi kandungan surat yang ditulis oleh Nizar kepada Vale”.

Demikian penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir setelah mendapati Nizar Jamaluddin cuba menegakkan benang yang basah selain menambah satu lagi penipuan berkaitan penglibatan beliau dalam projek Vale ketika Pakatan Rakyat memerintah.

Sebagai Menteri Besar ketika itu, setiap surat yang dikeluarkan oleh Nizar adalah menunjukkan sesuatu yang serius atau ia boleh dilihat sebagai keputusan rasmi.

“Bagaimana seorang pemimpin boleh membuat surat rasmi dan mengganggap ia sebagai satu surat kepada rakan atau ‘Pay Pal’ sahaja… ia adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

“Cuba anda teliti, apakah isi kandungan surat tersebut yang jelas menunjukkan Nizar sudah melakukan satu persetujuan antara kerajaan negeri dengan Vale,” katanya.

Daripada dokumen itu, ada dinyatakan bahawa Nizar selaku Menteri Besar ketika itu mengutus surat sokongan kepada Pengarah Pemasaran Komersial Vale, Renato Neves.

Selain itu, antara isi kandungan surat yang menyatakan hubungan dua hala antara kerajaan negeri ketika itu dengan Vale adalah seperti berikut:

“Let me reassure you again that the State Government of Perak will response accordingly to the decision of MITI on this project by providing all the necessary supports and assistance needed for it to be implemented successfully here”

“The state will process the transfer of the said land to Vale and conversion of the land to industrial use once the appropriate application received by the Department of Land and Mines” 

Inilah bukti Nizar bersetuju dengan pelaburan projek itu di Perak ketika beliau memerintah namun ia dibantah sekeras-kerasnya hari ini.

Sudahlah menipu, beliau masih lagi mahu menegakkan benang yang basah. Itulah sikap sebenar Nizar yang hanya pandai bercakap terlolong-lolong tanpa sebarang bukti.

Sumber : PERAK TODAY

Bernama pula melaporkan begini :

Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS diingatkan supaya menghentikan perbuatan hiprokrasi, kepura-puraan dan pendustaan berhubung projek pelaburan bijih besi oleh Vale International.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tindakan itu boleh memberi kesan buruk terhadap pelaburan, pertumbuhan negeri dan pembangunan rakyat.

"Jika kita berusaha untuk menegakkan benang yang basah ia tidak ke mana. Lagi kita cuba 'bersilat' lagi menampakkan kelemahan sebagai pemimpin," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di Ipoh.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohammad Nizar hari ini yang mendakwa surat bertarikh 17 Disember 2008 yang ditandatanganinya ketika menjadi menteri besar Perak bukan menandakan persetujuannya terhadap pelaksanaan projek berkenaan di Teluk Rubiah, sebaliknya bagi tujuan "public relations" (menjalin perhubungan awam) dengan pelabur.

Zambry menyifatkan alasan yang diberikan itu sebagai tidak munasabah kerana Mohammad Nizar pada ketika itu merupakan seorang menteri besar dan kandungan surat tersebut merupakan satu perkara yang serius.

"Ia satu alasan yang tidak munasabah. Beliau adalah seorang bekas menteri besar, beliau perlu tahu bahawa setiap surat yang ditulis oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah negeri adalah bukan surat 'pen pall' atau kawan biasa yang suka-suka tulis. Surat itu adalah surat berjadual dan berjilid...ini bukan surat bagi tujuan 'marketing' atau 'public relations'," katanya.

Semalam, semasa persidangan dewan, Mohammad Nizar mengakui menandatangani surat bertarikh 17 Disember 2008 itu berhubung sokongan terhadap projek pusat pengagihan bijih besi oleh Vale International dan mengakui kesahihan kandungan surat berkenaan.

Surat berkenaan telah dikelaskan semula oleh kerajaan negeri berikutan dakwaan pembangkang kononnya mereka tidak terlibat dan tidak menyokong pelaksanaan projek itu di Teluk Rubiah.

Zambry berkata kandungan surat itu yang menyebut bahawa kerajaan negeri akan memproses pemindahan tanah berkenaan dan mengubah statusnya menjadi tanah perindustrian selepas permohonan diterima oleh Jabatan Tanah dan Galian, jelas menunjukkan sokongan Muhammad Nizar terhadap projek itu.

Zambry berkata kerajaan negeri tidak akan mendedahkan semua dokumen dan surat berkaitan projek berkenaan seperti yang diminta oleh pakatan pembangkang kerana ia bukan amalan pentadbiran yang baik.

Mengenai desas desus kononnya Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, dan Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming, kedua-duanya daripada DAP, ada berjumpa beliau untuk meminta maaf dan mengatakan mereka tidak mengetahui tentang kewujudan surat bertarikh 17 Dis 2008 itu, Zambry hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, pada sidang media berasingan, Mohammad Nizar meminta kerajaan negeri mendedahkan semua dokumen berkaitan projek berkenaan.

Pada Sabtu lepas, Mohammad Nizar, Ngeh dan Adun Tronoh, V. Sivakumar, menyertai 100 anggota Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak mengadakan bantahan terhadap operasi syarikat bijih besi Vale SA di Teluk Rubiah yang didakwa akan memusnahkan alam sekitar di kawasan itu.

04 April, 2012

NIZAR TERPERANGKAP DI DUN PERAK - ZAMBRY JAWAB ISU VALE TELUK RUBIAH


Dalam soalan No. 3 sessi Soalan Lisan di Sidang DUN Perak hari ini, Adun Sitiawan (DAP), Dato' Ngeh Koo Ham bertanya Menteri Besar, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengenai projek pusat pengagihan bijih besi oleh Syarikat Vale International di Teluk Rubiah, dan kenapa tidak di Tanjung Hantu seperti dicadangkan oleh Pakatan Rakyat semasa memerintah Perak.

Ketika ini MB memulakan jawapannya dengan menempelak sikap mantan MB, Dato' Seri Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) yang memutarbelitkan fakta dan sengaja mengapi-apikan isu berkenaan, termasuk ketika berceramah dan disiarkan di dada-dada akhbar dan blog pembangkang.

Penjelasan MB, Vale telah membuat kajian samada untuk menempatkan projeknya di Thailand, Filipina, Indonesia atau di Malaysia. Pada 2007, Syarikat Vale membuat keputusan untuk memilih Malaysia atas faktor kestabilan politik dan meninjau Teluk Rubiah di Lumut atas banyak faktor, khususnya kedalaman laut di kawasan berkenaan yang sesuai untuk kapal-kapal besar yang akan berlabuh.

Pada Mei 2008 ketika PR memerintah Kerajaan Negeri, Syarikat Vale dimaklumkan bahawa kawasan berkenaan adalah milik persendirian, syarikat Harta Makmur. Pada Ogos 2008, Vale membuat susulan dengan Kerajaan Negeri Perak untuk meneruskan projek pengagihan bijih besi itu di Teluk Rubiah. Pada November 2008, syarikat itu memaklumkan Kerajaan Negeri bahawa rundingan antara mereka dengan Harta Makmur menunjukkan tanda-tanda positif.

Kerajaan PR Perak ketika itu mengeluarkan surat sokongan bertarikh 17 Disember 2008 yang ditandatangani oleh Nizar selaku Menteri Besar yang antara lain mengalu-alukan cadangan Syarikat Vale dan sukacita mengenai rundingan positif dengan Harta Makmur, dan akan memproses pindah milik dan tukar syarat tanah di Teluk Rubiah dari pelancongan ke industri sebaik saja perjanjian antara Vale dan Harta Makmur dibuat.

Dr. Zambry kemudian membacakan sepenuhnya isi kandungan surat yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu, dan cuba dihalang oleh Ngeh Koo Ham.

Dr. Zambry juga berkata tidak ada bukti menunjukkan bahawa Kerajaan PR pernah mencadangkan supaya projek berkenaan dilaksanakan di Tanjong Hantu sebagaimana yang diwar-warkan oleh pihak pembangkang. PR ada mencadangkan kawasan Bagan Datoh, tetapi cadangan itu tidak menarik minat Syarikat Vale.

Dalam sidang DUN tadi, Nizar mengaku bahawa surat itu sebenar-benarnya dibuat dan ditandatangani oleh beliau selaku Menteri Besar ketika itu. Sebelum itu Ngeh meminta Dr. Zambry menunjukkan bukti bahawa surat itu ditulis oleh Kerajaan PR.

NAH BUKTINYA

RUPANYA NIZAR DAN PR YANG BERSETUJU SUPAYA TELUK RUBIAH DISERAHKAN UNTUK PROJEK PUSAT PENGUMPULAN BIJIH BESI OLEH SYARIKAT VALE. PANDAI MEREKA MENIPU RAKYAT. RUPANYA ADA KEPUTUSAN BESAR YANG DIBUAT SEMASA PR DI PERAK DIBUAT TANPA PENGETAHUAN EXCO. HARI INI NIZAR CANANG KONONNYA KERAJAAN NEGERI DI BAWAH PIMPINAN DR. ZAMBRY TELAH MEMBUAT KEPUTUSAN SILAP KONONNYA AKTIVITI VALE BOLEH MENCEMARKAN ALAM SEKITAR. ADAKAH SEMASA NIZAR MENULIS SURAT DI ATAS DIA ADA MEMIKIRKAN TELUK RUBIAH AKAN TERCEMAR? ADAKAH DIA ADA MEMIKIRKAN KETIKA ITU BAHAWA TANAH REZAB MELAYU AKAN TERGADAI KEPADA SYARIKAT ASING SEPERTI YANG DIJADIKAN ISU HARI INI?

"JANGAN LANGGAR SEMPADAN AGAMA" - RAJA DR. NAZRIN


Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah kecewa kerana garis sempadan menyentuh agama Islam mula dilanggar malah ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan aqidah umat Islam.

Baginda mahu supaya perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka ini dihentikan dan dicegah secara tegas kerana ia boleh mencetuskan tragedi buruk dalam negara.

"Bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri, kelak nanti terhangus negeri," titah baginda semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Menurut baginda perkara menyentuh syariat dan aqidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam terutama bagi menasihati umat Islam, kini dipersoalkan dan diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.

"Perbuatan tersebut nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain, tidak mencampuri urusan agama lain adalah merupakan tatasusila yang wajib dipatuhi," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah perkara utama mengenai Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah sebaliknya ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan lain yang berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar peruntukan itu tidak dimanipulasi hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

"Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain, tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam," titah baginda.

Baginda bertitah majoriti umat Islam di negara ini dididik untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan.

"Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri daripada membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan namun agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di negara ini.

"Perkataan-perkataan agama Persekutuan, aman dan damai adalah tiga kata kunci yang wajib dijadikan kompas panduan dalam budaya beragama di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum dan kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak, keistimewaan, kuasa prerogatif raja-raja.

"Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini," titah baginda.

Raja Nazrin juga meminta ulama dan pentadbir kerajaan negeri Perak supaya mentafsir senario semasa ekonomi dan politik secara bijaksana sama ada di peringkat dunia, serantau dan negara.

"Keupayaan mentafsir secara tepat senario-senario yang sedang berlaku akan mengupayakan barisan ulama dan barisan umara yang diamanahkan mentadbir urus Kerajaan Beta melaksanakan langkah-langkah strategik, memajukan sumber negeri secara optimum, mengurangkan pembaziran demi kelestarian pembangunan demi kesejahteraan warga," titah baginda.

Baginda bertitah dasar yang betul dan baik, penggunaan sumber yang bijak, modal insan berkualiti dan pimpinan yang amanah, ikhlas, jujur dan berwawasan adalah merupakan ramuan penting resipi kejayaan negeri.

Mengenai pelaburan asing ke Perak, Raja Nazrin bertitah pemindahan teknologi tinggi, peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan di peringkat tenaga mahir dan profesional, tidak berintensif buruh yang bergantung pada buruh asing, tahap piawai keselamatan yang tinggi, sifar pencemaran dan tidak sekadar mahu mengambil kesempatan daripada tarif kuasa yang bersubsidi, merupakan kriteria yang wajib dihalusi pentadbir ketika menimbang kelulusan.

"Kerajaan Beta jangan sama sekali mengizinkan negeri ini menjadi pilihan terakhir pelabur, dianggap tempat buangan atau 'dumping ground' setelah sesuatu hasrat pelaburan itu tidak diterima di tempat lain. Kepentingan jangka panjang rakyat Beta dan kelangsungan kelestarian negeri ini, tidak harus sama sekali dikompromikan," titah baginda. - Bernama