14 February, 2012

JADUAL LAWATAN KERJA MB PERAK KE TANJONG MALIM

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir akan melakukan lawatan kerja ke DUN Behrang dan DUN Slim pada 15-16 Februari ini. 

Antara jadual lawatan beliau pada 15 Februari ialah :
1. Mengadakan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Perak di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Tanjong Malim bermula jam 9.00 pagi.
2. Menyampaikan amanat kepada semua pemimpin dan masyarakat di Slim River/Tanjung Malim pada jam 2.00 ptg di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjong Malim di Behrang 2020.
3. Minum petang bersama penduduk Behrang Stesen jam 5.00 petang di Medan Selera Behrang Stesen.
4. Solat Maghrib dan Isyak berjemaah di Masjid Behrang 2020.
5. Perjumpaan tertutup dengan BN Bahagian Tanjong Malim di Dewan Auditorium MDTM pada jam 9.00 malam.
6. 'Program Lepak' bersama rakyat dan rakan Facebook di Restoran Wangsar, Tanjong Malim bermula jam 10.30 malam.
 
Program pada 16 Februari pula ialah :
1. Solat Subuh berjemaah di Masjid Tanjung Malim.
2. Sarapan pagi bersama rakyat di Medan Selera Tanjung Malim.
3. Klinik Dr. Zambry jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari di tempat letak kereta pasar awam Tanjung Malim.
4. Jamuan Rakyat untuk penduduk sekitar Slim River dan kampung dan taman perumahan berdekatan di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River bermula jam 12.30 tengahari.
5. Melawat Hospital Slim River dan ramah mesra bertama kakitangan hospital serta menziarah pesakit di wad kanak-kanak pada jam 2.30 petang.
6. Ramah mesra bersama rakyat di Trolak Pekan dan menziarah 3 buah rumah pada jam 3.30 petang.
7. Klinik bolasepak Dr. Zambry melibatkan 2 pelajar bagi setiap sekolah dalam Parlimen Tanjong Malim bermula jam 2.00-5.00 petang di Padang Awam Slim River.
8. Perlawanan bolasepak Team MB menentang Team Pilihan Slim River/Tanjung Malim di Padang Awam Slim River pada pada jam 5.00 petang.
Barisan Exco Kerajaan Negeri juga mempunyai jadual programnya sendiri di sekitar DUN Behrang sepanjang lawatan kerja MB pada tarikh berkenaan.

08 February, 2012

JADUAL LAWATAN TPM KE PERAK 11/2/2012


YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Seri Diraja Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan sehari ke Negeri Perak pada 11 Februari 2012. Beliau dan isteri dijangka tiba pada jam 8.00 pagi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh dan akan mengadakan pertemuan dengan YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di kediaman rasmi Menteri Besar.

Pada jam 9.00 pagi, TPM yang juga Timbalan Presiden UMNO Malaysia akan mendapatkan taklimat War Room UMNO Negeri Perak di Bangunan UMNO Negeri dan pada 11.00 pagi di tempat yang sama akan mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak.

Selepas itu TPM akan menghadiri majlis dialog dengan guru mentor Negeri Perak di Hotel Riverfront, Ipoh.

Pada jam 3.00 petang, TPM dijangka tiba di Teluk Intan menaiki helikopter dan terus menuju ke padang Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Bahagia untuk majlis bersama rakyat. Dijangka seramai 30,000 rakyat akan menghadiri program minum petang itu.

Dalam program berasingan sebelah pagi, isteri YAB TPM, Puan Sri Datin Seri Diraja Noorainee Abdul Rahman bersama Baiduri (Badan Amal Isteri-Isteri Wakil Rakyat BN Perak) akan mengadakan majlis Sambutan Tahun Baru Cina bersama Persatuan Ibu Tunggal Cina Perak di kediaman rasmi Menteri Besar Perak pada jam 9.00 pagi.

Pada jam 10.30 pagi pula, Puan Seri akan mengadakan lawatan ke Wad Wanita dan Kanak-kanak Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

TPM dan isteri dijangka berangkat pulang ke Kuala Lumpur  pada jam 5.30 petang.

02 February, 2012

TRAGEDI BOLASEPAK DI MESIR - 74 TERBUNUH (VIDEO DAN FOTO)

KAHERAH: Para peminat bolak sepak membuat rusuhan di padang selepas pasukan tuan rumah mendapat kemenangan yang tidak dijangkakan bersama skuad utama Mesir pada Rabu sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 73 orang manakala 1,000 lagi cedera di bandar pelabuhan Mediterranean itu, kata seorang pegawai.

(Laporan Berita TV1 sebentar tadi mengatakan 74 orang terbunuh dalam tragedi itu).

Ia merupakan insiden paling buruk dalam rusuhan bola sepak di Mesir dan paling dashyat di dunia sejak tahun 1996.

Rusuhan tersebut berlaku selepas para penyokong Al-Masry dikatakan menyerbu ke padang selepas pasukan tuan rumah itu memenangi 3-1 dalam perlawanan dengan Al-Ahly, pasukan utama Mesir.

Menurut seorang saksi, para penyokong Al-Masry dilemparkan kayu dan batu kerana mereka menyerbu pemain dan penyokong dari pasukan lawan yang berlari keluar untuk melarikan diri.

Stesen televisyen tempatan menunjukkan rakaman di mana pemain Al-Ahly kelihatan bergegas untuk ke bilik persalinan mereka apabila pergaduhan tercetus di kalangan para penyokong yang berkerumun di padang.

Segelintir lelaki terpaksa menyelamatkan seorang pengurus dari pasukan yang kalah yang dipukul.

Pendakwa negara Mesir mengarahkan siasatan segera dilakukan dalam rusuhan berkenaan dan Persatuan Bola Sepak Mesir diarahkan untuk menggantungkan kejuaran tahunan.

Parlimen berkata, pihaknya akan melakukan mesyuarat tergempar.

Stesen televisyen tempatan melaporkan yang memetik kenyataan seorang pegawaiKementerian Kesihatan bahawa jumlah mangsa meningkat.

Seorang pegawai perubatan di rumah mayat Port Said yang enggan dikenali kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan maklumat, memberitahu jumlah kematian yang sama dan beberapa mereka yang terkorban adalah di kalangan pegawai keselamatan.




Ia merupakan rusuhan bola sepak yang dahsyat berlaku sejak 16 Oktober 1996 apabila sekurang-kurangnya 78 orang meninggal dunia manakala 180 yang lain cedera dalam rusuhan di sebuah stadium di Bandar Guatemala sebelum Piala Dunia yang melayakkan perlawanan antara Guatemala dan Costa Rica.

Saksikan juga VIDEO di bawah yang dirakam dari Buletin TV3.


Seorang saksi berkata, orang ramai membalingkan batu, kayu dan botol-botol ke arah pasukan lawan sehingga mencederakan beberapa pemain.

Saksi yang tidak mahu namanya disiarkan memberitahu, suasana amat tegang di pandang sebelum salah seorang peyokong Al-Ahly mengangkat sepanduk menghina pasukan tuan rumah.

Pemain Ahly, Sayed Hamdi berkata kepada stesen televisten tempatan bahawa para pemain kemudiannya dibawa ke bilik persalinan sebagai perlindungan.

“Ia merupakan suasana yang mengganas,” kata Hamdi.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Hesham Sheiha memberitahu stesen televisyen tempatan, kebanyakan yang terkorban disebabkan oleh pendarahan dalaman akibat rusuhan yang berlaku. - AP

Kaitannya dengan negara kita, Malaysia boleh baca artikel di blog CIKGU LIN.

01 February, 2012

VIDEO CERAMAH DR. HASAN ALI DI PULAU PINANG


Mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Dr. Hasan Ali mendapat sambutan hangat dalam setiap siri jelajahnya ke seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang, negeri yang diterajui oleh DAP Lim Guan Eng pada 28 Januari lalu. Beliau bercerita mengenai sebab beliau dipecat daripada PAS, kepincangan dalam Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat, kesungguhannya memperjuangkan isu murtad biarpun beliau dihalang oleh pemimpin-pemimpin PR, keredhaannya tanpa lagi mendapat habuan sebagai seorang Exco dan pelbagai isu. Yang paling tegas dalam isi ceramahnya, beliau menyeru rakyat supaya tidak mengundi Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Inilah contoh kezaliman dalam PAS dan pakatan pembangkang. Pemimpin berkaliber dizalimi hanya kerana tidak mahu terikut dengan kerakusan pembangkang mahu menawan Putrajaya dengan menghalalkan apa juga cara. 

Tonton juga di bawah bagaimana Dr. Hasan Ali dedahkan bukti kejadian murtad, yang PAS tidak percaya berlaku :





27 January, 2012

MEMANG TAK MUSTAHIL BAGI TUAN IBRAHIM


Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang mustahil di zaman Barisan Nasional (BN), tidak semestinya mustahil di zaman Pakatan Rakyat (PR) terutama masalah tanah. Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang itu. 

Ketika BN memerintah pun, Datuk Tuan Ibrahim dapat membuktikan bahawa sesuatu yang mustahil dilakukan terhadap tanah hak milik peneroka Felda boleh berubah jadi tidak mustahil hasil kebijaksanaan PR dan PAS mengambil kesempatan atas kesempitan.

Jika diikutkan syarat hak milik tanah oleh seseorang peneroka Felda, mereka tidak boleh menjual atau memindahkan nama kepada pihak lain, kecuali kepada waris terdekat. Mustahil peneroka boleh menjual tanah ladang mereka seluas 10 ekar dan tapak rumah seluas suku ekar kepada pihak lain.

Tapi atas semangat Datuk Tuan Ibrahim bahawa yang mustahil itu boleh direalisasikan, maka tergadailah hak seorang peneroka di Felda Jengka 13 ke atas tanah ladang, tapak rumah beserta rumahnya sekali dengan harga hanya RM80,000. Perkara ini terdedah ketika kempen Pilihanraya Kecil DUN Kerdau, Pahang pada Mac 2011. Boleh baca di SINI.

Apa yang mustahil menjadi tidak mustahil kerana peneroka itu diikat dengan satu perjanjian dengan peguam, dan membelakangkan syarat yang dikenakan oleh Felda dan Kerajaan Negeri kepada peneroka berkenaan. Peguam itu menerima pula bayaran sebanyak RM10,000 yang dipotong daripada bayaran RM80,000 itu. Maka peneroka malang itu hanya menerima RM70,000 bagi 10 ekar ladang sawitnya yang mengeluarkan hasil, serta rumah dan tapak rumah suku ekarnya di tanah rancangan Felda berkenaan.

Dulu peneroka itu memikirkan mustahil beliau boleh menjual tanah rancangan Felda yang disertainya sejak lebih 20 tahun, tetapi kemustahilan itu direalitikan oleh Datuk Tuan Ibrahim ketika peneroka itu dihimpit masalah kewangan dan mencari jalan untuk keluar dari masalahnya. Atas nama isterinya, Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah peneroka malang itu. Maka tidak ada yang mustahil bagi PR, biarpun ketika BN masih memerintah.

Jika ditakdirkan PR memerintah negara nanti, apakah mustahil lagi jika seluruh tanah peneroka Felda bertukar tangan kepada pemimpin-pemimpin pakatan itu yang sudah lama menunggu masa untuk menguasai sesuatu yang diidam-idamkan selama ini? Mereka bukan sekadar mengidamkan Putrajaya. Menawan Putrajaya itu hanya simbolik kepada usaha mereka yang lebih besar – menyambar apa sahaja peluang yang mustahil dilakukan di zaman BN memerintah, tetapi bakal tidak mustahil lagi apabila pakatan pembangkang menguasai negara.

Maka tergelaklah saya membaca beberapa ungkapan Datuk Tuan Ibrahim seperti diperbesarkan Harakah hari ini : 

"Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempohi dan dicari sehingga mencapai hasrat yang diinginkan. Jika tanpa niat dan kesungguhan, mustahil kini manusia dapat menikmati kemudahan kapal terbang dan juga menjelajah ke bulan,” 

KOMEN SAYA – Niatnya untuk membeli tanah peneroka Felda Jengka 13 itu dengan harga yang cukup murah dan mengelak daripada terikat dengan syarat pemilikan tanah Felda, dan niatnya itu tertunai hasil kesungguhan mengikat peneroka itu dengan satu perjanjian dengan pihak peguam. Maka terbanglah peneroka itu dari tanah dan rumahnya, tapi hajat nak menjelajah bulan tak juga kesampaian dengan berbekalkan wang RM70,000. Kasihan. 

Kata Tuan Ibrahim lagi : “…janji azam, niat ikhlas dan keyakinan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah tanah yang telah diusahakan puluhan tahun belum mendapat hak milik di Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi setelah hasil kajian mendalam oleh pelbagai pihak”. 

KOMEN SAYA – maka lot rumah peneroka di Jengka 13 itu bertukar tangan kepada isteri Tuan Ibrahim, begitu juga tanah 10 ekar yang telah diusahakannya selama berpuluh tahun. Itulah hasil kajian mendalam PAS Pahang bagaimana mahu menukar hak milik tanah peneroka. Kasihan. 

Banyak lagi gurauan Tuan Ibrahim boleh dibaca dan dimomokkan di SINI.

Tuan Ibrahim juga menyokong Anwar Ibrahim menyaman Utusan Malaysia RM50 juta, sebagai tindakan yang menurutnya tepat bagi mempertahankan maruah yang sering diperkotak-katikkan di dada akhbar terbabit dan mempertahankan maruah diri yang "telah dirosakkan dan diaibkan sebegitu rupa".

Tuan Ibrahim pula bila lagi nak ambil langkah yang sama terhadap Utusan? Bukankah dia juga ada kata nak saman Utusan kerana memainkan isu tanah peneroka di Felda Jengka 13 ini menjelang pembuangan undi di Kerdau dulu? Hingga kini beliau masih membisu.

26 January, 2012

AZIZ BARI SELAR MB PAS KEDAH

  •  
  • Menteri Besar Kedah dari parti PAS, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sepatutnya menyertai BN jika beliau terus menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kata bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Abdul Aziz Bari.

    Katanya, jika Azizan terus menyokong AUKU, maka beliau sepatutnya menyertai BN, kerana BN pro-AUKU.

  • Abdul Aziz Bari

  • Pakar perlembagaan itu menegaskan demikian dalam satu akhbar di Shah Alam hari ini sebagai mengulas pendirian menteri besar Kedah itu yang menyokong tindakan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) milik kerajaan negeri itu, menggantung pengajian lima pelajarnya mengikut AUKU kerana dituduh menyertai demonstrasi haram.

    Abdul Aziz juga menggesa Pakatan untuk mengambil tindakan tegas terhadap Azizan kerana pendirian menteri besar Kedah yang  jelas bertentang dengan pendirian parti.

    "... mereka mesti mengambil tindakan tegas terhadapnya, kerana ia (memansuhkan AUKU) disebut dalam Buku Jingga mereka," kata bekas profesor undang-undang UIA itu.
Sumber : Malaysiakini


KOMEN : Nampaknya semakin ramai pemimpin PAS yang akan disingkirkan. Selepas Dr. Hassan Ali, mungkinlah selepas ini Dato' Seri Azizan? Inikah konsep Islam yang diperjuangkan dalam PAS. Apakah wujud demokrasi di dalam parti itu? Tembelang PAS sudah semakin membusuk.