13 January, 2012

PEMUKIMAN ADUN BNBBC DI PERAK

Program Pemukiman ADUN anjuran BNBBC Malaysia. Bersama Pak Long Yussof Sulaiman, keluarga angkat di Parit 2A, Mukim Selinsing, Bagan Serai dari 12-14 Januari 2012. Seramai 134 ADUN BN dari seluruh negara berkampung di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri Perak.

11 January, 2012

ASTAGHFIRULLAH!!! MUSLIMAT PAS

Ketua Muslimat PAS Pusat (dalam bulatan)


Begini rupanya akhlak muslimat PAS sekarang? Astaghfirullahalazim!!! Daripada terkinja-kinja melalak dan menjerit di tepi jalan dan bersentuhan tangan pula dengan bukan muhrim, lebih baiklah muslimat-muslimat PAS ini duduk rumah hayun buaian dan dodoikan anak atau cucu. Tak pun nyanyi di telinga suami.

Ikutlah fatwa Tok Guru Nik Aziz - wanita haram ambil bahagian Tilawah Al-Quran. Takkan nak tunggu dia buat fatwa wanita haram menyanyi di tepi jalan pula.


Utusan Malaysia hari ini melaporkannya begini :

KUALA LUMPUR - Ketika muslimat Pas sering ditonjolkan sebagai kumpulan wanita Islam dengan akhlak terpuji, gelagat yang ditunjukkan sebahagian daripada mereka di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mencerminkan sebaliknya. Meskipun bertudung labuh dengan sebahagian besar daripada mereka berjubah, muslimat Pas itu mempertontonkan gelagat yang cukup memalukan sewaktu menunggu keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan dipimpin oleh seorang ketua yang memegang pembesar suara, muslimat Pas itu menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka. Lebih memalukan, muslimat Pas itu seolah-olah lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan perkataan ''UMNO mampus'' malah ada kalangan mereka yang gagal menjaga aurat dengan selamba bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.

Apa yang menjadi persoalan apabila kumpulan muslimat Pas itu turut disertai Ketuanya, Siti Zailah Mohd. Yusof yang bukan setakat tidak melarang gelagat tidak senonoh pengikutnya, malah kelihatan gembira dan bersama-sama meraikannya.Gelagat muslimat Pas itu dirakam dan dimuat naik dalam laman sosial Youtube hari ini dan dipaut oleh beberapa blog. 

Antaranya blog Sel13.com di http://sel13.com yang turut mempertikaikan akhlak muslimat Pas itu sedangkan menurut blog tersebut, Pas satu masa dahulu pernah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana suara wanita adalah aurat.''Jika dulu Pas sering mengutuk Wanita serta Puteri UMNO kerana tidak berakhlak dan bebas bersalaman dengan bukan muhrim. Adakah itu berakhlak?''

Walaupun Ketua Muslimah Pas berada di situ tetapi tiada langsung usaha untuk menghalang daripada menghentikan perbuatan tidak berakhlak ahli-ahlinya. Malah, beliau pula yang turut sama bergembira.''Kami tidak berhasrat menulis lebih panjang lagi. Kami pulangkan kepada rakyat untuk menilai akhlak sebenar muslimat-muslimat Pas yang selama ini memperjuangkan Islam melebihi orang lain," demikian menurut blog tersebut.

09 January, 2012

SYUKUR!! BN DAPAT BERDEPAN ANWAR PRU13


Syukur, keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan dibebaskan daripada tuduhan liwat membolehkan Barisan Nasional (BN) menghadapi Ketua Pembangkang itu secara berdepan dalam Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Keputusan Hakim, Dato' Mohamad Zabidin Mohd Diah itu juga membuktikan bahawa mahkamah bebas dari campurtangan politik parti pemerintah, tidak seperti yang sering didakwa oleh Anwar dan pengikutnya selama ini.

Maka tidak benarlah dakwaan pembangkang kononnya BN mahu menyumbatkan Anwar ke penjara dengan cara memanipulasi badan kehakiman, dengan harapan supaya pakatan pembangkang menjadi lemah dan rapuh tanpa kehadiran Anwar dalam siri kempen pilihanraya nanti.

Janganlah pula nanti jika hasrat pembangkang mahu menawan Putrajaya gagal dalam PRU13, maka disalahkan pula BN kerana tidak menyumbatkan Anwar ke penjara yang boleh meningkatkan simpati rakyat untuk memberi lebih undi kepada parti-parti pembangkang.

Malahan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak meninggalkan negara dan berangkat ke Afrika Selatan pada Sabtu lalu, dua hari sebelum Mahkamah Tinggi membuat keputusan, satu langkah yang dilihat seolah-olah kerajaan BN tidak mahu campurtangan terhadap apa juga keputusan mahkamah terhadap Anwar.

(Perdana Menteri ketika ini di dalam pesawat dan akan tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA jam 2.30 petang nanti).

Kini BN secara gentleman akan berdepan pakatan pembangkang dalam PRU13 nanti, dan berdepan 'face to face' dengan Anwar. 

PECAT HASAN ALI - PAS IKUT TELUNJUK PKR


Parti PAS menyingkirkan Dato' Dr. Hasan Ali sebagai ahlinya hanya selepas sehari Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengeluarkan 'gesaan berupa arahan' supaya parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu mengambil tindakan terhadap bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Jawatankuasa Pusat PAS mengambil keputusan memecat Dr. Hasan berkuatkuasa serta merta pada hari ini, atas tindakannya yang didakwa "menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS".

Ternyatalah kepimpinan PAS kini bukan sahaja hidungnya dicucuk oleh DAP, malah telinganya diikat dengan tali PKR. Disebabkan PKR tidak puas hati terhadap kenyataan Dr. Hasan yang menggesa supaya pelajar universiti menjauhkan diri daripada perhimpunan 901, maka PAS sanggup menendang pemimpinnya keluar parti.

Maka benarlah dakwaan banyak pihak bahawa prinsip perjuangan PAS kini tidak sama dengan prinsip asalnya. Dr. Hasan mempunyai prinsipnya sendiri yang disukai oleh kumpulan tertentu di dalam PAS, tetapi satu kumpulan lain yang disebut puak Anwaris pula menganggap Dr. Hasan sebagai liabiliti kepada parti itu, khususnya dalam usaha mereka hendak membela seorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Lalu terkorbanlah seorang pemimpin PAS yang tidak mahu mengikut arus pucuk pimpinan parti itu yang mahu menonjolkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

"Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang diambil oleh AJK PAS Pusat itu. Saya turut bersedih kerana perjuangan Islam saya selama ini dibalas sedemikian rupa," kata Dr. Hasan ketika meluahkan isi hatinya selepas mengetahui pemecatannya.

Beliau berkata akan merujuk kepada sahabat-sahabatnya untuk mengambil tindakan sewajarnya dan akan memanggil sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan kedudukannya berhubung perkara itu.

Tidak hairanlah jika dikhabarkan bahawa seramai 10,000 ahli PAS akan bertindak keluar dari parti itu sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pucuk pimpinannya memecat Dr. Hasan.

Sesungguhnya Azmin sedang meraikan keputusan pucuk pimpinan PAS kerana mengikut arahannya, biarpun beliau bukan ahli parti itu, sebaliknya ahli sebuah parti yang jauh lebih muda usia penubuhannya. Telinga PAS akan terus direntap oleh PKR untuk jangka masa panjang, selagi Anwar tidak dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

PAS kini sedang mentelaah sejarah Erdogan menjadi Perdana Menteri Turki sebagai persediaan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar yang mungkin akan dipenjarakan.


LAPORAN dari blogger yang mengikuti ucapan Dr. Hasan di kediamannya di hadapan lebih 1,000 penyokong :

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hassan Ali menjelaskan bahawa beliau dipecat sebagai ahli PAS kerana mengkritik Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Saya mempersoalkan mengapa isu peribadi Anwar Ibrahim dijadikan sebagai agenda Pakatan Pembangkang. Saya tidak mahu rakyat diheret ke dalam masalah peribadi dia. Saya sering mempersoalkan justifikasi mengapa Anwar dijulang sebegitu rupa”.

Dr. Hassan juga mempersoalkan tindakan PAS untuk mengugurkan slogan ‘Perjuangan Negara Islam’ dari parti dan sebaliknya tunduk kepada tekanan Pakatan Pembangkang, “‘Negara Berkebajikan’ ini sudah lari dari perjuangan asal PAS, iaitu menubuhkan negara Islam”.

Pemecatan Dr. Hassan dari PAS diputuskan Jawatankuasa Pusat PAS tengahari tadi. Beliau tidak diberikan untuk mempertahankan diri semasa JK Pusat PAS bermesyuarat dan membuat keputusan itu.


07 January, 2012

DEMO UPSI : BLOGGER ANWAR AKUI MAHASISWA PROVOKASI POLIS (VIDEO)


Sehingga kini pihak mahasiswa pro-SMM yang berdemontrasi di luar pintu pagar UPSI pada awal 1 Januari lalu masih tercari-cari bukti kononnya pihak polis telah mengasari mereka. Setelah gagal, mereka memberi pula alasan bahawa "semua bukti rakaman telah dikeluarkan sementara waktu atas nasihat peguam sebab sudah menjadi kes polis. Bukti perlu disimpan supaya tidak mengganggu mahkamah nanti".

Saya juga hairan sejak bila puak-puak pembangkang ini berhemah sangat menyimpan bukti supaya tidak mengganggu prosiding mahkamah. Mereka baru membuat laporan polis, bukannya memfailkan saman di mahkamah.

Apapun video di bawah ini amat menarik ditonton. Blogger pro-Anwar, Zainulfaqar (foto atas) juga mengakui wujudnya provokasi mahasiswa terhadap pihak polis semasa berdemontrasi malam itu. Tahniah blogger Dr MiM, Dr. Norvandri Hasan Basri yang mematahkan hujah blogger pembangkang ini.


Sumber video daripada blog PAPA GOMO


03 January, 2012

DEMO DI UPSI - LAPORAN POLIS TERHADAP YUSUP KAMARUDDIN


"Seluruh rakyat Perak harus turun ka tgmalim esok...anak2 anda sedang dibelasah didalam lokap..tadi disepak,ditendang, dipijak,dipukul...ada yabg pecah dikepala ada yg patah tulang rusok..muka berlumu ran darah! Ketua umno bahagian tg malim terpekik melolong mengarahkan polis membalasah anak2 kita biar sampai mampus... kushairi kamu harus bertanggung jawab!"

Itulah tulisan Yusup Kamaruddin (foto atas) di status facebooknya pada awal pagi 1 Januari 2012 yang mendapat pelbagai komen rakan-rakannya. Tulisannya ini jelas berbaur hasutan dan cuba mengelirukan orang awam berhubung kejadian demontrasi kumpulan SMM di pintu masuk UPSI baru-baru ini.

Tulisannya juga cuba memfitnah pihak polis dengan begitu teruk sekali. Beliau dengan sengaja mahu menceritakan kepada orang awam bahawa pihak polis yang mengawal demontrasi itu telah bertindak brutal terhadap mahasiswa-mahasiswa tersebut.

Yusup cuba pula mengaitkan diri saya kononnya saya 'terpekik melolong mengarahkan polis membelasah anak2 kita biar sampai mampus' - satu fitnah yang mempunyai niat yang amat jahat.

Saya sempat masuk ke wallnya dan membuat komen seperti di bawah. Tetapi beberapa minit selepas itu, saya tidak dapat masuk ke situ lagi kerana telah disekat.
  

Khusairi Talib Jangan buat fitnah. Banyak perakam video ketika demontrasi itu di setiap sudut. Sila siarkan di sini atau di mana2 blog pro kamu jika ada saya beri apa-apa arahan kepada polis. Jangan perlekehkan integriti polis seperti yang sering puak2 PR lakukan. Siapa saya nak arahkan polis? Fitnah ni dah jadi macam goreng pisang kepada Yusup Kamaruddin dan seangkatannya.
    • Khusairi Talib Siapa yang pecah kepala? Siapa yang patah rusuk? Dengarnya mereka sudah dibebaskan. Sila tunjukkan kepala yang dah pecah, tulang rusuk mana yang dah patah. Nak provoke dan menipu gunakanlah cara yang tak mendatangkan kemurkaan Allah wahai YK.
    • Khusairi Talib Apa yang kamu dengar YK? Wall ini sudah saya copy. Akan fikirkan apa tindakan yang sesuai atas penipuan kamu ini.

Setelah berbincang dengan rakan-rakan, saya mengambil langkah membuat laporan polis terhadap Yusup Kamaruddin di IPD Tanjong Malim di Slim River pada jam 1.20 tengahari tadi. 

Harapan saya, media maya termasuklah laman popular Facebook tidak dijadikan medium untuk menyebarkan hasutan-hasutan yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat.


Bersama Ketua Polis Daerah IPD Tanjong Malim, Supt Othman Nayan