09 January, 2012

PECAT HASAN ALI - PAS IKUT TELUNJUK PKR


Parti PAS menyingkirkan Dato' Dr. Hasan Ali sebagai ahlinya hanya selepas sehari Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengeluarkan 'gesaan berupa arahan' supaya parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu mengambil tindakan terhadap bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Jawatankuasa Pusat PAS mengambil keputusan memecat Dr. Hasan berkuatkuasa serta merta pada hari ini, atas tindakannya yang didakwa "menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS".

Ternyatalah kepimpinan PAS kini bukan sahaja hidungnya dicucuk oleh DAP, malah telinganya diikat dengan tali PKR. Disebabkan PKR tidak puas hati terhadap kenyataan Dr. Hasan yang menggesa supaya pelajar universiti menjauhkan diri daripada perhimpunan 901, maka PAS sanggup menendang pemimpinnya keluar parti.

Maka benarlah dakwaan banyak pihak bahawa prinsip perjuangan PAS kini tidak sama dengan prinsip asalnya. Dr. Hasan mempunyai prinsipnya sendiri yang disukai oleh kumpulan tertentu di dalam PAS, tetapi satu kumpulan lain yang disebut puak Anwaris pula menganggap Dr. Hasan sebagai liabiliti kepada parti itu, khususnya dalam usaha mereka hendak membela seorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Lalu terkorbanlah seorang pemimpin PAS yang tidak mahu mengikut arus pucuk pimpinan parti itu yang mahu menonjolkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

"Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang diambil oleh AJK PAS Pusat itu. Saya turut bersedih kerana perjuangan Islam saya selama ini dibalas sedemikian rupa," kata Dr. Hasan ketika meluahkan isi hatinya selepas mengetahui pemecatannya.

Beliau berkata akan merujuk kepada sahabat-sahabatnya untuk mengambil tindakan sewajarnya dan akan memanggil sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan kedudukannya berhubung perkara itu.

Tidak hairanlah jika dikhabarkan bahawa seramai 10,000 ahli PAS akan bertindak keluar dari parti itu sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pucuk pimpinannya memecat Dr. Hasan.

Sesungguhnya Azmin sedang meraikan keputusan pucuk pimpinan PAS kerana mengikut arahannya, biarpun beliau bukan ahli parti itu, sebaliknya ahli sebuah parti yang jauh lebih muda usia penubuhannya. Telinga PAS akan terus direntap oleh PKR untuk jangka masa panjang, selagi Anwar tidak dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

PAS kini sedang mentelaah sejarah Erdogan menjadi Perdana Menteri Turki sebagai persediaan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar yang mungkin akan dipenjarakan.


LAPORAN dari blogger yang mengikuti ucapan Dr. Hasan di kediamannya di hadapan lebih 1,000 penyokong :

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hassan Ali menjelaskan bahawa beliau dipecat sebagai ahli PAS kerana mengkritik Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Saya mempersoalkan mengapa isu peribadi Anwar Ibrahim dijadikan sebagai agenda Pakatan Pembangkang. Saya tidak mahu rakyat diheret ke dalam masalah peribadi dia. Saya sering mempersoalkan justifikasi mengapa Anwar dijulang sebegitu rupa”.

Dr. Hassan juga mempersoalkan tindakan PAS untuk mengugurkan slogan ‘Perjuangan Negara Islam’ dari parti dan sebaliknya tunduk kepada tekanan Pakatan Pembangkang, “‘Negara Berkebajikan’ ini sudah lari dari perjuangan asal PAS, iaitu menubuhkan negara Islam”.

Pemecatan Dr. Hassan dari PAS diputuskan Jawatankuasa Pusat PAS tengahari tadi. Beliau tidak diberikan untuk mempertahankan diri semasa JK Pusat PAS bermesyuarat dan membuat keputusan itu.


07 January, 2012

DEMO UPSI : BLOGGER ANWAR AKUI MAHASISWA PROVOKASI POLIS (VIDEO)


Sehingga kini pihak mahasiswa pro-SMM yang berdemontrasi di luar pintu pagar UPSI pada awal 1 Januari lalu masih tercari-cari bukti kononnya pihak polis telah mengasari mereka. Setelah gagal, mereka memberi pula alasan bahawa "semua bukti rakaman telah dikeluarkan sementara waktu atas nasihat peguam sebab sudah menjadi kes polis. Bukti perlu disimpan supaya tidak mengganggu mahkamah nanti".

Saya juga hairan sejak bila puak-puak pembangkang ini berhemah sangat menyimpan bukti supaya tidak mengganggu prosiding mahkamah. Mereka baru membuat laporan polis, bukannya memfailkan saman di mahkamah.

Apapun video di bawah ini amat menarik ditonton. Blogger pro-Anwar, Zainulfaqar (foto atas) juga mengakui wujudnya provokasi mahasiswa terhadap pihak polis semasa berdemontrasi malam itu. Tahniah blogger Dr MiM, Dr. Norvandri Hasan Basri yang mematahkan hujah blogger pembangkang ini.


Sumber video daripada blog PAPA GOMO


03 January, 2012

DEMO DI UPSI - LAPORAN POLIS TERHADAP YUSUP KAMARUDDIN


"Seluruh rakyat Perak harus turun ka tgmalim esok...anak2 anda sedang dibelasah didalam lokap..tadi disepak,ditendang, dipijak,dipukul...ada yabg pecah dikepala ada yg patah tulang rusok..muka berlumu ran darah! Ketua umno bahagian tg malim terpekik melolong mengarahkan polis membalasah anak2 kita biar sampai mampus... kushairi kamu harus bertanggung jawab!"

Itulah tulisan Yusup Kamaruddin (foto atas) di status facebooknya pada awal pagi 1 Januari 2012 yang mendapat pelbagai komen rakan-rakannya. Tulisannya ini jelas berbaur hasutan dan cuba mengelirukan orang awam berhubung kejadian demontrasi kumpulan SMM di pintu masuk UPSI baru-baru ini.

Tulisannya juga cuba memfitnah pihak polis dengan begitu teruk sekali. Beliau dengan sengaja mahu menceritakan kepada orang awam bahawa pihak polis yang mengawal demontrasi itu telah bertindak brutal terhadap mahasiswa-mahasiswa tersebut.

Yusup cuba pula mengaitkan diri saya kononnya saya 'terpekik melolong mengarahkan polis membelasah anak2 kita biar sampai mampus' - satu fitnah yang mempunyai niat yang amat jahat.

Saya sempat masuk ke wallnya dan membuat komen seperti di bawah. Tetapi beberapa minit selepas itu, saya tidak dapat masuk ke situ lagi kerana telah disekat.
  

Khusairi Talib Jangan buat fitnah. Banyak perakam video ketika demontrasi itu di setiap sudut. Sila siarkan di sini atau di mana2 blog pro kamu jika ada saya beri apa-apa arahan kepada polis. Jangan perlekehkan integriti polis seperti yang sering puak2 PR lakukan. Siapa saya nak arahkan polis? Fitnah ni dah jadi macam goreng pisang kepada Yusup Kamaruddin dan seangkatannya.
    • Khusairi Talib Siapa yang pecah kepala? Siapa yang patah rusuk? Dengarnya mereka sudah dibebaskan. Sila tunjukkan kepala yang dah pecah, tulang rusuk mana yang dah patah. Nak provoke dan menipu gunakanlah cara yang tak mendatangkan kemurkaan Allah wahai YK.
    • Khusairi Talib Apa yang kamu dengar YK? Wall ini sudah saya copy. Akan fikirkan apa tindakan yang sesuai atas penipuan kamu ini.

Setelah berbincang dengan rakan-rakan, saya mengambil langkah membuat laporan polis terhadap Yusup Kamaruddin di IPD Tanjong Malim di Slim River pada jam 1.20 tengahari tadi. 

Harapan saya, media maya termasuklah laman popular Facebook tidak dijadikan medium untuk menyebarkan hasutan-hasutan yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat.


Bersama Ketua Polis Daerah IPD Tanjong Malim, Supt Othman Nayan

UPSI TETAP BICARAKAN ADAM ADLI



SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kekal dengan pendirian 9 Januari ini untuk sesi pendengaran hukuman tatatertib terhadap pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim (foto) yang menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 17 Disember lalu. 

Walaupun desakan pelbagai pihak supaya Adam Adli tidak diambil tindakan tatatertib oleh Upsi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk  Dr Junaidi Abu Bakar berkata, ia akan tetap diadakan jam 3 petang, 9 Januari ini. 

Menurutnya, meskipun perhimpunan di perkarangan Upsi pada malam tahun baru lalu bertujuan  mendesak supaya Adam Adli dibebaskan, pihaknya tidak berganjak dengan keputusan tindakan tatatertib terhadapnya. 

“Adam Adli sedia maklum bahawa pendengaran hukuman akan diadakan pada 9 Januari ini atas tindakannya menurunkan bendera, namun penyertaannya pada demonstrasi di hadapan perkarangan Upsi juga akan dikenakan tindakan tatatertib sekali lagi oleh pihak Upsi ,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, notis tindakan tatatertib kepada Adam Adli akibat penyertaannya pada demonstrasi itu akan diserahkan dalam tempoh 10 ke 14 hari lagi. 

Junaidi berkata, selain Adam Adli, seorang lagi mahasiswi Upsi, yang turut ditahan polis pada malam kejadian itu, Siti Nurul Piteriah Abdul Halim, pelajar tahun ketiga juga tidak terlepas dengan hukuman tatatertib. 

Dalam pada itu katanya, Upsi kini sedang menyiasat pembabitan beberapa mahasiswanya pada demonstrasi menuntut pembebasan Adam Adli  dan penghapusan Akta Universiti dan Kolej (Auku) pada malam tahun baru lalu. 

Junaidi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman video dalam kejadian terbabit bagi memastikan identiti mahasiswa yang terlibat.

“Kami dimaklumkan terdapat beberapa mahasiswa Upsi yang terlibat. Jika terdapat bukti sahih pembabitan itu, mereka juga tidak akan terlepas dengan tindakan tatatertib oleh pihak Upsi,” katanya.

01 January, 2012

11.15 PM - UPSI NAMPAK TENANG

Lengang jalan di depan UPSI, tempat SMM berdemontrasi dan berbaring di atas jalan awal pagi tadi

Klinik Syifa ditutup rapat

Pintu utama UPSI

Pintu masuk di belakang UPSI

Walaupun dikhabarkan kumpulan mahasiswa pro-SMM mahu berdemontrasi dan menyerbu UPSI lagi malam ini, namun tinjauan di sekitar pusat pengajian tinggi terulung negara yang terletak di Tanjong Malim itu nampak tenang pada jam 11.15 tadi.

Suasana di sekitar pintu utama UPSI agak sepi. Begitu juga di pintu masuk belakang.  Klinik Syifa, klinik keluarga saya, yang dipecah masuk oleh penunjuk perasaan awal pagi semalam ditutup rapat, biarpun kebiasaannya dibuka selama 20 jam setiap hari.

Harapan kita semua supaya tidak ada lagi demontrasi seumpamanya di sekitar UPSI yang sebelum ini sentiasa damai. Semoga siswa-siswi yang berdemontrasi awal pagi tadi telah sedar bahawa sikap mendesak keterlaluan seperti itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. 

Kembalilah kepada tujuan hakiki sebagai mahasiswa, menimba ilmu secukupnya di menara gading dan keluar sebagai graduan cemerlang dan bermaruah bagi sama-sama membangunkan negara di bawah kepimpinan Barisan Nasional yang sentiasa adil dan saksama.

Jauhkan diri daripada menjadi alat pemimpin pembangkang yang sudah lemas dengan isu dalaman parti dan peribadi. 

Salam TSB untuk semua!!

VIDEO PANAS DEMO DI UPSI - SIAPA GANAS?


Ganaskah polis atau sebaliknya aktivis mahasiswa SMM yang didalangi pembangkang ini melakukan provokasi-provokasi seperti skrip yang telah diajarkan?