23 December, 2011

KENAPA TAK RAMAI HADIR DEMO PR DI UPSI?


Satu tanda soal - ke mana perginya penyokong PKR dan PAS yang diwar-war akan menyerbu pintu utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim dijadualkan pada jam 1.00 tengahari tadi bagi membela Adam Adli? 

Apa yang dilihat, hanya sekitar 30 orang yang hadir, tidaklah lebih seribu seperti yang dijangkakan oleh laman-laman pro-pembangkang. Mesej jemputan melalui SMS tersebar luas sejak pagi semalam (21 Disember), selain promosi melalui laman sosial. Lihat di SINI dan di  SINI.

Pada jam 1.05 minit saya menyusuri jalan di hadapan pintu utama UPSI bagi meninjau situasi di situ. Mulanya saya menjangkakan jalan sesak dan sukar dilalui. Tetapi apa yang saya dapat lihat adalah beberapa orang disyaki dari luar Tanjong Malim sedang mundar-mandir di pinggir jalan membawa belon berwarna hijau. Biarpun begitu, pintu utama UPSI ditutup mungkin bagi mengawal keadaan di luar jangkaan.

Pada jam 2.00 petang sekali lagi saya ke sana. Tidak ada apa-apa yang berlaku dan pintu pagar dibuka seperti biasa. 

Sumber dalaman UPSI memberitahu, sekitar tak lebih 20 orang datang di depan pintu utama institusi itu, dan mereka menghantar satu memorandum melalui ADUN Sungkai (DAP), A. Sivanesan bagi menggesa UPSI tidak terpengaruh dengan desakan UMNO dalam membuat keputusan terhadap pelajarnya, Adam Adli yang telah bersikap biadap menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri di PWTC pada 17 Disember lalu.

UPSI telahpun memberitahu Sivanesan bahawa pihak mereka tidak akan terpengaruh dengan mana-mana desakan, dan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Adam adalah berdasarkan peraturan yang telahpun ditetapkan oleh institusi itu terhadap pelajarnya. Saya menyokong pendirian UPSI ini.

Berdasarkan jumlah kehadiran siang tadi, mungkinkah PR sudah semakin kehilangan penyokong untuk turun berdemonstrasi di jalanan lagi? Jika begitu, saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana telah dapat menilai dengan baik sesuatu isu. Tambahan lagi apabila isu itu melibatkan tindakan biadap seorang pelajar terhadap Perdana Menteri yang tidak wajar berlaku di sebuah negara bertamadun, merdeka dan berdaulat ini.

Kepada warga Tanjong Malim, ayuh kita kekalkan keharmonian pekan bersejarah ini yang menempatkan sebuah institusi tertua dan telah banyak melahirkan tokoh nasionalisme negara.

22 December, 2011

PEMBANGKANG NAK DEMO DI UPSI?

Petang tadi saya terima beberapa sms memberitahu bahawa esok grup parti pembangkang akan mengadakan demontrasi di pintu utama UPSI kononnya bagi membantah campurtangan politik ke atas pentadbiran institusi itu dan kebebasan mahasiswa untuk bersuara. 

Blok UPSIkini pula mengesahkan kononnya 500 juak parti PAS akan turut serta seperti laporannya di SINI.

Cadangan saya, lebih elok jika demonstran itu bawa Adam Adli bersama mereka. Ramai warga Tanjong Malim nak mengenali pelajar ini dari dekat. Saya juga difahamkan ada satu kumpulan lain yang akan memerhatikan gerak geri kalian semua. Mereka nak tenguk macamana kalian nak huru-harakan Tanjong Malim yang aman damai ini, dan bagaimana kalian mahu mencemarkan nama baik UPSI yang amat mereka banggakan.

Nak desak pentadbiran UPSI supaya tidak mengambil tindakan terhadap Adam Adli? Tindakan itulah sebenarnya yang menunjukkan parti politik kalian cuba mencampuri urusan dalaman UPSI.

Kita jumpa esok.

20 December, 2011

ADAM ADLI - TAHNIAH MPP UPSI


Tahniah kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI yang menyatakan pendirian sebenar majoriti mahasiswa terhadap tindakan biadap Adam Adli menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Jadi tidak benarlah dakwaan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengatakan tindakan Adam itu mewakili masyarakat mahasiswa dan orang muda.

Berikut kenyataan akhbar MPP UPSI :

"Saya mewakili Yang di pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP UPSI), MPP UPSI dan seluruh mahasiswa UPSI membantah keras tindakan yang dilakukan oleh Adam Adli, mahasiswa UPSI yang menurunkan bendera PM di PWTC.

Beliau bukan membawa nama mahasiswa UPSI dalam tindakannya!!! Itu tindakan individu berkepentingan sendiri. Wajar diberi tindakan sepatutnya!!! Ia satu tindakan yg biadap dan mencalarkan imej MAHASISWA terutama Universiti sendiri... memalukan dan mencalarkan imej institusi pendidikan ulung, UPSI!!!


- Shahril Khasin, Setiausaha Agung MPP UPSI" - Sumber
MatKilau Penang

ANGKUHNYA ADAM ADLI


Buat pengetahuan mereka yang bercakap di atas ini, yang hadir demontrasi aman di UPSI pagi tadi bukan hanya Pemuda UMNO, tetapi turut disertai rakyat tempatan Tanjong Malim yang berbilang kaum dari pelbagai latarbelakang dan berbagai usia. Mereka merasa sungguh terkejut dengan sikap biadap seorang pelajar yang menuntut di UPSI, sebuah institusi yang namanya begitu harum dan telah melahirkan begitu ramai pendidik anak bangsa.

Biarpun bilangan yang hadir sekitar 200 orang (bukan 50 seperti yang didakwa), tetapi mereka ini warga Tanjong Malim yang begitu sayangkan nama baik UPSI, dan tidak pernah terlintas difikiran mereka bahawa di dalamnya ada seorang pelajar yang bersikap begitu buruk sehingga sanggup menurunkan bendera wajah Perdana Menteri di 'rumah' UMNO - PWTC.

Pelajar yang bersikap buruk seperti Adam Adli ini hanya segelintir di dalam UPSI. Majoriti yang lain masih tahu matlamat asal mereka menuntut di menara gading itu. Bak kata pemimpin Majlis Hal Ehwal Pelajar (MPP) yang hadir menemani Naib Censelor tadi, "jangan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga". Nila setitik ini masih boleh disudu dan dikeluarkan daripada belanga supaya susu tidak menjadi rosak. Malahan susu ini bakal menghilangkan dahaga ilmu anak bangsa generasi akan datang. Janganlah beri anak bangsa kita minum susu yang telah rosak.

Adam Adli ini ibarat susu yang sudah rosak. Dari cara percakapannya yang angkuh dan enggan memohon maaf kepada Perdana Menteri itu sudah jelas menunjukkan kerendahan moral dan kebiadabannya. Maka menjadi tanggungjawab UPSI untuk mengambil tindakan sewajarnya mengeluarkan susu yang rosak ini. Gunakanlah AUKU yang masih boleh digunapakai, dan janganlah tunduk dengan ancaman segelintir kecil mahasiswa picisan ini. Tindakan tegas UPSI bukan sahaja akan melegakan hati majoriti rakyat, malahan hati pelajar UPSI yang lain.

Adam Adli dan kumpulannya bukanlah nak perjuangkan sangat isu kebebasan kampus, tapi lebih kepada memperjuangkan agenda parti pembangkang, PKR, PAS, DAP. Isi dan cara bercakap pun sudah jelas. Nak buat mini revolusi jika Adam Adli diambil tindakan? Kita nak tenguk macamana mini revolusi tu. UPSI jangan tunduk kepada sikap segelintir pelajar yang dah songsang matlamat ini. Majoriti mahasiswa masih bersama aspirasi kerajaan, hati mereka inilah yang perlu dijaga dan merekalah yang perlu dihormati.

Sama-samalah kita warga Tanjong Malim memelihara nama baik UPSI dan kebitaraannya.


19 December, 2011

DEMONTRASI AMAN DI UPSI - DESAK ADAM ADLI DISINGKIR


Demontrasi aman telah diadakan di pintu masuk utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim pagi tadi bagi mendesak pentadbiran universiti itu menyingkirkan seorang pelajarnya, Adam Adli yang bertindak biadap menurunkan bendera yang tertera gambar Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di PWTC pada 17 Disember lalu.

Seramai kira-kira 200 orang menyertai demontrasi aman itu terdiri daripada ahli UMNO Bahagian Tanjong Malim serta parti-parti komponen BN Bahagian, Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor serta badan-badan NGO.

Memorandum yang menyatakan desakan itu telah diterima oleh Naib Cancelor UPSI, Prof Dato' Dr. Zakaria Kasa. Sama-samalah kita lihat apakah tindakan yang bakal diambil oleh UPSI terhadap pelajarnya yang bersikap biadap ini. Tempoh yang diberi adalah 2 minggu untuk UPSI menyingkirkan pelajar ini.

Dr. Zakaria ketika berucap berkata, pihak universiti telah berusaha mencari Adam sejak semalam, termasuk menghubungi rumah keluarganya, tetapi beliau gagal dihubungi. Tindakan akan segera diambil terhadap Adam kerana telah mencemarkan nama baik UPSI.







18 December, 2011

BIADAPNYA MAHASISWA - PERLUKAH AUKU DIKAJI?




KEBIADABAN mahasiswa menurunkan bendera Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri di Bangunan PWTC semalam perlu diberi pengajaran setimpal. Tindakan tidak bertamadun yang menular di kalangan segelintir mahasiswa ini menggambarkan kerendahan akhlak dan budi mereka, yang dicernakan dan diceduk daripada sikap pemimpin-pemimpin parti pembangkang DAP, PAS dan PKR.

Adakah wajar seorang Timbalan Menteri sambil tersenyum berucap di depan mereka setelah melihat bendera Presiden parti dihina sedemikian? Politik apakah yang hendak ditunjukkan kepada segelitir mahasiswa tidak bermoral ini? Apakah hendak menjadikan Malaysia ini sama seperti Korea yang mahasiswanya tandus rasa hormat kepada seorang Perdana Menteri?

Kalau inilah sikap yang ditunjukkan oleh mahasiswa, sewajarnya keterbukaan kerajaan mahu mengkaji semua Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilupakan sahaja. Sikap mereka ini tidak menggambarkan ketamadunan dan kebitaraan universiti. Lebih baiklah mereka menumpukan sepenuh masa terhadap ilmu yang perlu dituntut di menara gading, daripada bersikap liar dan kurang ajar di jalanan yang tak langsung menguntungkan diri, ibubapa dan negara.