20 December, 2011

ANGKUHNYA ADAM ADLI


Buat pengetahuan mereka yang bercakap di atas ini, yang hadir demontrasi aman di UPSI pagi tadi bukan hanya Pemuda UMNO, tetapi turut disertai rakyat tempatan Tanjong Malim yang berbilang kaum dari pelbagai latarbelakang dan berbagai usia. Mereka merasa sungguh terkejut dengan sikap biadap seorang pelajar yang menuntut di UPSI, sebuah institusi yang namanya begitu harum dan telah melahirkan begitu ramai pendidik anak bangsa.

Biarpun bilangan yang hadir sekitar 200 orang (bukan 50 seperti yang didakwa), tetapi mereka ini warga Tanjong Malim yang begitu sayangkan nama baik UPSI, dan tidak pernah terlintas difikiran mereka bahawa di dalamnya ada seorang pelajar yang bersikap begitu buruk sehingga sanggup menurunkan bendera wajah Perdana Menteri di 'rumah' UMNO - PWTC.

Pelajar yang bersikap buruk seperti Adam Adli ini hanya segelintir di dalam UPSI. Majoriti yang lain masih tahu matlamat asal mereka menuntut di menara gading itu. Bak kata pemimpin Majlis Hal Ehwal Pelajar (MPP) yang hadir menemani Naib Censelor tadi, "jangan sebab nila setitik, rosak susu sebelanga". Nila setitik ini masih boleh disudu dan dikeluarkan daripada belanga supaya susu tidak menjadi rosak. Malahan susu ini bakal menghilangkan dahaga ilmu anak bangsa generasi akan datang. Janganlah beri anak bangsa kita minum susu yang telah rosak.

Adam Adli ini ibarat susu yang sudah rosak. Dari cara percakapannya yang angkuh dan enggan memohon maaf kepada Perdana Menteri itu sudah jelas menunjukkan kerendahan moral dan kebiadabannya. Maka menjadi tanggungjawab UPSI untuk mengambil tindakan sewajarnya mengeluarkan susu yang rosak ini. Gunakanlah AUKU yang masih boleh digunapakai, dan janganlah tunduk dengan ancaman segelintir kecil mahasiswa picisan ini. Tindakan tegas UPSI bukan sahaja akan melegakan hati majoriti rakyat, malahan hati pelajar UPSI yang lain.

Adam Adli dan kumpulannya bukanlah nak perjuangkan sangat isu kebebasan kampus, tapi lebih kepada memperjuangkan agenda parti pembangkang, PKR, PAS, DAP. Isi dan cara bercakap pun sudah jelas. Nak buat mini revolusi jika Adam Adli diambil tindakan? Kita nak tenguk macamana mini revolusi tu. UPSI jangan tunduk kepada sikap segelintir pelajar yang dah songsang matlamat ini. Majoriti mahasiswa masih bersama aspirasi kerajaan, hati mereka inilah yang perlu dijaga dan merekalah yang perlu dihormati.

Sama-samalah kita warga Tanjong Malim memelihara nama baik UPSI dan kebitaraannya.


19 December, 2011

DEMONTRASI AMAN DI UPSI - DESAK ADAM ADLI DISINGKIR


Demontrasi aman telah diadakan di pintu masuk utama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim pagi tadi bagi mendesak pentadbiran universiti itu menyingkirkan seorang pelajarnya, Adam Adli yang bertindak biadap menurunkan bendera yang tertera gambar Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak di PWTC pada 17 Disember lalu.

Seramai kira-kira 200 orang menyertai demontrasi aman itu terdiri daripada ahli UMNO Bahagian Tanjong Malim serta parti-parti komponen BN Bahagian, Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor serta badan-badan NGO.

Memorandum yang menyatakan desakan itu telah diterima oleh Naib Cancelor UPSI, Prof Dato' Dr. Zakaria Kasa. Sama-samalah kita lihat apakah tindakan yang bakal diambil oleh UPSI terhadap pelajarnya yang bersikap biadap ini. Tempoh yang diberi adalah 2 minggu untuk UPSI menyingkirkan pelajar ini.

Dr. Zakaria ketika berucap berkata, pihak universiti telah berusaha mencari Adam sejak semalam, termasuk menghubungi rumah keluarganya, tetapi beliau gagal dihubungi. Tindakan akan segera diambil terhadap Adam kerana telah mencemarkan nama baik UPSI.







18 December, 2011

BIADAPNYA MAHASISWA - PERLUKAH AUKU DIKAJI?




KEBIADABAN mahasiswa menurunkan bendera Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri di Bangunan PWTC semalam perlu diberi pengajaran setimpal. Tindakan tidak bertamadun yang menular di kalangan segelintir mahasiswa ini menggambarkan kerendahan akhlak dan budi mereka, yang dicernakan dan diceduk daripada sikap pemimpin-pemimpin parti pembangkang DAP, PAS dan PKR.

Adakah wajar seorang Timbalan Menteri sambil tersenyum berucap di depan mereka setelah melihat bendera Presiden parti dihina sedemikian? Politik apakah yang hendak ditunjukkan kepada segelitir mahasiswa tidak bermoral ini? Apakah hendak menjadikan Malaysia ini sama seperti Korea yang mahasiswanya tandus rasa hormat kepada seorang Perdana Menteri?

Kalau inilah sikap yang ditunjukkan oleh mahasiswa, sewajarnya keterbukaan kerajaan mahu mengkaji semua Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilupakan sahaja. Sikap mereka ini tidak menggambarkan ketamadunan dan kebitaraan universiti. Lebih baiklah mereka menumpukan sepenuh masa terhadap ilmu yang perlu dituntut di menara gading, daripada bersikap liar dan kurang ajar di jalanan yang tak langsung menguntungkan diri, ibubapa dan negara.

11 December, 2011

HITAM METALIK : KOR MING BERDOLAK DALIH


Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming cuba menegakkan benang yang basah. Setelah terhantuk baru terngadah. Ceramahnya di atas menjelaskan segaja-galanya samada perkataan 'hitam metalik' itu merujuk kepada kerajaan Negeri Perak yang kononnya diambil alih secara haram, atau pun perkataan itu merujuk kepada warna kulit Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir. 

Dalam kenyataan akhbar Kor Ming ketika meminta maaf atas isu ini, ADUN Pantai Remis itu memadamkan perkataan 'jadah' dan hanya menyebut 'haram' sahaja. Perkataan 'haram jadah' begitu teruk bunyinya, makian yang jika si kena maki ada di depan, pastinya ketika itu juga yang memaki menerima penangan buku lima.

Tapi lihatlah wajah-wajah di atas di sekeliling Kor Ming. Mereka bertepuk sorak apabila warna kulit pemimpin sebangsa seagama dihina, dan dimaki pula dengan bahasa yang cukup kesat dalam khamus adab sopan orang Melayu.

Apa pula perasaan pemimpin-pemimpin DAP berbangsa India? Pemimpin-pemimpin NGO berkulit gelap? Rakyat Malaysia yang kulitnya tak secerah Kor Ming?

Samada permohonan minta maaf Kor Ming diterima atau tidak, terpulanglah kepada rakyat menilainya dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Apa yang jelas, sikap Kor Ming adalah manefistasi sebenar sikap rasis majoriti pemimpin DAP.

25 November, 2011

DAP ULTRA RASIS

"Di Negeri Perak Darul Kartun ini, kita ada Menteri Besar hitam metalik yang haram jadah itu masuk dari pintu belakang naik kapal selam dari Pangkor tapi kapal selam itu bawa dengan Monggolia bersama".

Begitulah ultra rasisnya DAP. Kenyataan itu diucapkan oleh Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming (foto) dalam satu ceramah di Kampung Bukit Jana, Kamunting, Taiping pada 9 September 2011. Program ceramah itu dianjurkan oleh PAS, dan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu turut hadir.

Ketika saya membangkitkan perkara ini dalam Sidang DUN Perak sewaktu MB Zambry Abd Kadir menggulung Bajet 2012 Negeri Perak petang tadi, Nga Kor Meng nampak pasif, berbeza dengan sikap yang selalu ditunjukkannya.  

Kenyataannya di atas bukan sahaja menghina warna kulit Zambry, malahan mencerca rakyat negara ini yang majoritinya berkulit gelap dan sawo matang. Apa yang jelas, bagi Nga Kor Ming manusia berkulit gelap tidak layak memegang jawatan setinggi Menteri Besar Perak.

VCD yang mengandungi ceramah Nga Kor Ming menghina warna kulit Menteri Besar, Dr. Zambry Abd. Kadir
Baca seterusnya di SINI dan di SINI.

23 November, 2011

HARIMAU MUDA : DI MANA PATRIOTISME DAP?


Mulanya saya beranggapan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan kemenangan skuad Harimau Muda negara memungut pingat emas dalam acara bolasepak Sukan Sea menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia dalam perlawanan akhir malam semalam. 

Mengekalkan pingat emas, dan berdepan pula dengan sorakan lebih 100,000 penyokong tegar bolasepak Indonesia bukanlah perkara mudah, sebaliknya memerlukan kekuatan mental dan emosi yang cukup kuat daripada kesebelasan bawah 23 tahun negara.

Namun anggapan saya itu meleset. Rupanya ada juga rakyat warga Malaysia yang langsung tidak mempunyai semangat patriotik, tambah lagi mereka adalah merupakan pemimpin politik yang telah dipilih oleh pengundi rakyat Malaysia. Kemenangan skuad Harimau Muda itu tak ada nilai apa-apa bagi mereka.
   
Dalam Sidang DUN Perak pagi semalam, ADUN Trong (BN), Datuk Rosli Husin bangun untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan muda bolasepak Malaysia, sebelum beliau mengemukakan soalan lisan ketiga. Belum sempat beliau menghabiskan ayat penghargaannya, ADUN Pasir Pinji (DAP), Thomas Su (foto bawah) bangun membantah dengan mendakwa tindakan ADUN Trong itu tidak mengikut peraturan mesyuarat. Suasana dewan tiba-tiba menjadi hangat, dengan sikap sebahagian besar Adun pembangkang yang turut menyokong bantahan Thomas Su itu.


Apalah salahnya Datuk Rosli mengucapkan tahniah di dalam Dewan yang mulia? Lagipun soalan ketiganya berkaitan prestasi sukan di negeri Perak. Malah saya dapat lihat di kaca TV malam tadi sebilangan besar Ahli Parlimen turut mengucapkan tahniah atas prestasi Harimau Muda mengalahkan Indonesia. Ahli Parlimen Kota Belud, Dato' Abdul Rahman Dahlan memulakan soalan lisannya dengan pantun mengucapkan tahniah kepada skuad bolasepak muda sebelum mengemukakan soalan dalam baris terakhir rangkap pantunnya itu.

Tidak juga cacat Sidang DUN Perak sekiranya penghormatan kepada skuad Harimau Muda diberikan secara begitu, berbanding dengan sikap sebahagian ADUN pembangkang yang memanjat meja, mematahkan mikrofon, menyerbu ruang pihak lawan, menjerit tak tentu pasal, memaki hamun, memukul Bentara Dewan dan lain-lain lagi suatu masa dulu. Sikap mereka ini lebih teruk dan merosakkan kesucian Dewan dan memberi gambaran buruk kepada dunia luar.

Tidak juga cacat Dewan Rakyat di Parlimen apabila Datuk Rahman membacakan pantun sebelum soalan lisan, berbanding jerit pekik Nizar Jamaluddin sebaik selesai membacakan watikah angkat sumpah selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang. 

Apa yang jelas, pakatan pembangkang khususnya DAP langsung tidak ada semangat patriotik. Majoriti rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar kehidupan merasa begitu berbangga dengan kejayaan Harimau Muda mengutip 'ibu segala pingat emas' di Sukan Sea buat negara. 

Atas kejayaan besar negara itu, tak kiralah cara apa kita menyatakan penghargaan samada memberikan ganjaran kewangan kepada pemain dan pegawai yang terlibat dengan skuad berkenaan, ataupun mengucapkan tahniah di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Tak kiralah samada sebelum mengemukakan soalan lisan ataupun dalam sessi soalan tambahan atau perbahasan. 

Thomas Su dan team pembangkangnya perlu sedar bahawa mereka menjadi wakil rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat semasa pilihanraya. Janganlah ketika rakyat bergembira kerana mencapai kejayaan, pemimpin pilihan mereka menghalang pihak lain berkongsi kegembiraan rakyat itu.

Apapun, tahniah skuad Harimau Muda dan selamat kembali ke tanahair setelah berjaya mengharungi 'peperangan' yang cukup sengit dengan pemain dan penyokong fanatik Indonesia di Tanah Jawa.