11 December, 2011

HITAM METALIK : KOR MING BERDOLAK DALIH


Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming cuba menegakkan benang yang basah. Setelah terhantuk baru terngadah. Ceramahnya di atas menjelaskan segaja-galanya samada perkataan 'hitam metalik' itu merujuk kepada kerajaan Negeri Perak yang kononnya diambil alih secara haram, atau pun perkataan itu merujuk kepada warna kulit Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir. 

Dalam kenyataan akhbar Kor Ming ketika meminta maaf atas isu ini, ADUN Pantai Remis itu memadamkan perkataan 'jadah' dan hanya menyebut 'haram' sahaja. Perkataan 'haram jadah' begitu teruk bunyinya, makian yang jika si kena maki ada di depan, pastinya ketika itu juga yang memaki menerima penangan buku lima.

Tapi lihatlah wajah-wajah di atas di sekeliling Kor Ming. Mereka bertepuk sorak apabila warna kulit pemimpin sebangsa seagama dihina, dan dimaki pula dengan bahasa yang cukup kesat dalam khamus adab sopan orang Melayu.

Apa pula perasaan pemimpin-pemimpin DAP berbangsa India? Pemimpin-pemimpin NGO berkulit gelap? Rakyat Malaysia yang kulitnya tak secerah Kor Ming?

Samada permohonan minta maaf Kor Ming diterima atau tidak, terpulanglah kepada rakyat menilainya dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Apa yang jelas, sikap Kor Ming adalah manefistasi sebenar sikap rasis majoriti pemimpin DAP.

25 November, 2011

DAP ULTRA RASIS

"Di Negeri Perak Darul Kartun ini, kita ada Menteri Besar hitam metalik yang haram jadah itu masuk dari pintu belakang naik kapal selam dari Pangkor tapi kapal selam itu bawa dengan Monggolia bersama".

Begitulah ultra rasisnya DAP. Kenyataan itu diucapkan oleh Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming (foto) dalam satu ceramah di Kampung Bukit Jana, Kamunting, Taiping pada 9 September 2011. Program ceramah itu dianjurkan oleh PAS, dan Timbalan Presiden PAS Mat Sabu turut hadir.

Ketika saya membangkitkan perkara ini dalam Sidang DUN Perak sewaktu MB Zambry Abd Kadir menggulung Bajet 2012 Negeri Perak petang tadi, Nga Kor Meng nampak pasif, berbeza dengan sikap yang selalu ditunjukkannya.  

Kenyataannya di atas bukan sahaja menghina warna kulit Zambry, malahan mencerca rakyat negara ini yang majoritinya berkulit gelap dan sawo matang. Apa yang jelas, bagi Nga Kor Ming manusia berkulit gelap tidak layak memegang jawatan setinggi Menteri Besar Perak.

VCD yang mengandungi ceramah Nga Kor Ming menghina warna kulit Menteri Besar, Dr. Zambry Abd. Kadir
Baca seterusnya di SINI dan di SINI.

23 November, 2011

HARIMAU MUDA : DI MANA PATRIOTISME DAP?


Mulanya saya beranggapan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan kemenangan skuad Harimau Muda negara memungut pingat emas dalam acara bolasepak Sukan Sea menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia dalam perlawanan akhir malam semalam. 

Mengekalkan pingat emas, dan berdepan pula dengan sorakan lebih 100,000 penyokong tegar bolasepak Indonesia bukanlah perkara mudah, sebaliknya memerlukan kekuatan mental dan emosi yang cukup kuat daripada kesebelasan bawah 23 tahun negara.

Namun anggapan saya itu meleset. Rupanya ada juga rakyat warga Malaysia yang langsung tidak mempunyai semangat patriotik, tambah lagi mereka adalah merupakan pemimpin politik yang telah dipilih oleh pengundi rakyat Malaysia. Kemenangan skuad Harimau Muda itu tak ada nilai apa-apa bagi mereka.
   
Dalam Sidang DUN Perak pagi semalam, ADUN Trong (BN), Datuk Rosli Husin bangun untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan muda bolasepak Malaysia, sebelum beliau mengemukakan soalan lisan ketiga. Belum sempat beliau menghabiskan ayat penghargaannya, ADUN Pasir Pinji (DAP), Thomas Su (foto bawah) bangun membantah dengan mendakwa tindakan ADUN Trong itu tidak mengikut peraturan mesyuarat. Suasana dewan tiba-tiba menjadi hangat, dengan sikap sebahagian besar Adun pembangkang yang turut menyokong bantahan Thomas Su itu.


Apalah salahnya Datuk Rosli mengucapkan tahniah di dalam Dewan yang mulia? Lagipun soalan ketiganya berkaitan prestasi sukan di negeri Perak. Malah saya dapat lihat di kaca TV malam tadi sebilangan besar Ahli Parlimen turut mengucapkan tahniah atas prestasi Harimau Muda mengalahkan Indonesia. Ahli Parlimen Kota Belud, Dato' Abdul Rahman Dahlan memulakan soalan lisannya dengan pantun mengucapkan tahniah kepada skuad bolasepak muda sebelum mengemukakan soalan dalam baris terakhir rangkap pantunnya itu.

Tidak juga cacat Sidang DUN Perak sekiranya penghormatan kepada skuad Harimau Muda diberikan secara begitu, berbanding dengan sikap sebahagian ADUN pembangkang yang memanjat meja, mematahkan mikrofon, menyerbu ruang pihak lawan, menjerit tak tentu pasal, memaki hamun, memukul Bentara Dewan dan lain-lain lagi suatu masa dulu. Sikap mereka ini lebih teruk dan merosakkan kesucian Dewan dan memberi gambaran buruk kepada dunia luar.

Tidak juga cacat Dewan Rakyat di Parlimen apabila Datuk Rahman membacakan pantun sebelum soalan lisan, berbanding jerit pekik Nizar Jamaluddin sebaik selesai membacakan watikah angkat sumpah selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang. 

Apa yang jelas, pakatan pembangkang khususnya DAP langsung tidak ada semangat patriotik. Majoriti rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar kehidupan merasa begitu berbangga dengan kejayaan Harimau Muda mengutip 'ibu segala pingat emas' di Sukan Sea buat negara. 

Atas kejayaan besar negara itu, tak kiralah cara apa kita menyatakan penghargaan samada memberikan ganjaran kewangan kepada pemain dan pegawai yang terlibat dengan skuad berkenaan, ataupun mengucapkan tahniah di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Tak kiralah samada sebelum mengemukakan soalan lisan ataupun dalam sessi soalan tambahan atau perbahasan. 

Thomas Su dan team pembangkangnya perlu sedar bahawa mereka menjadi wakil rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat semasa pilihanraya. Janganlah ketika rakyat bergembira kerana mencapai kejayaan, pemimpin pilihan mereka menghalang pihak lain berkongsi kegembiraan rakyat itu.

Apapun, tahniah skuad Harimau Muda dan selamat kembali ke tanahair setelah berjaya mengharungi 'peperangan' yang cukup sengit dengan pemain dan penyokong fanatik Indonesia di Tanah Jawa.

15 November, 2011

SOALAN SIDANG DUN PERAK


Sidang DUN Perak akan bermula pada 21 November ini dan dijangka akan berlangsung selama empat hari. Antara agenda utama persidangan kali ini adalah pembentangan Bajet 2012 Negeri Perak yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir.

Tiga soalan lisan dan lima soalan bertulis telahpun saya hantar untuk dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri. Soalan-soalan lisan adalah seperti berikut :

1) Sejauh manakah benarnya dakwaan seorang pemimpin pembangkang dari Sitiawan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan lebih 60,000 ekar tanah dengan harga RM375 seekar, dan kononnya berlaku amalan rasuah sehingga pemimpin berkenaan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)? Apakah tindakbalas Kerajaan Negeri terhadap tuduhan yang amat serius ini?

2) Kerajaan Negeri pernah menyatakan hasrat untuk memberi wajah baru terhadap pekan-pekan lama yang diberi jolokan 'Pekan Koboi' di seluruh Negeri Perak.

          i) Di manakah program ini telah dan akan dilaksanakan? 

ii) Apakah komponen-komponen pembangunan yang dilakukan bagi mewujudkan wajah baru pekan-pekan lama ini?

iii) Adakah Pekan Trolak yang terletak di dalam DUN Slim disenaraikan, jika ada, bilakah akan dilaksanakan dan berapa kos yang terlibat?

3)  Kumpulan Felda akan menyenaraikan anak syarikatnya, Felda Global Venture Holding Sdn Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, dan akan turut membabitkan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang sebelum ini diserahkan kepada Felda dan kini ditanam kelapa sawit di bawah Felda Plantation tanpa membabitkan pengambilan peneroka sebagaimana hasrat asal Kerajaan Negeri. 

          i) Apakah status tanah-tanah ini yang telah dijadikan Felda Plantation?

          ii) Di manakah terletaknya tanah-tanah berkenaan dan berapakah keluasannya?

iii) Apakah langkah supaya penyenaraian FGVH ini turut memberikan manfaat kepada Kerajaan Negeri, khususnya daripada segi kewangan dan pegangan saham, memandangkan tanah-tanah yang diserahkan kepada Felda sebelum ini turut dijadikan aset dalam penyenaraian itu.

Ketiga-tiga soalan lisan di atas saya kekalkan di dalam soalan bertulis ditambah dua lagi soalan seperti berikut :

1)   Apakah perkembangan dan status projek pembinaan jalan baru Felda Besout ke Kuala Slim sejauh 11.2 kilometer memandangkan ianya telah terlewat selama 16 bulan daripada jadual asal yang sepatutnya siap pada Julai 2010?
2)   Berapa luaskah tanah milik Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang telah diteroka secara haram di Daerah Batang Padang dan di manakah lokasinya? Apa tindakan Kerajaan Negeri terhadap peneroka-peneroka haram ini?
Jika soalan lisan tak sempat dijawab semasa persidangan, Kerajaan Negeri masih tidak boleh mengelak untuk menjawabnya secara bertulis. Jadi tidak benarlah dakwaan Adun-Adun pihak pembangkang bahawa soalan-soalan mereka tidak dijawab oleh pihak kerajaan.
Selamat bersidang.

29 October, 2011

KETUA UMNO PARIT BUNTAR MENINGGAL DUNIA


 Al-Fatihah. Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Dato' Raman Suliman telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi kerana terjatuh dalam bilik air di rumahnya di Parit Buntar.

Beliau baru sahaja pulang daripada menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak di Ipoh yang berakhir pada kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Dalam mesyuarat itu, allahyarham nampak ceria walaupun wajahnya kelihatan agak pucat. Beliau telah dipilih sebulat suara untuk membahaskan usul politik dan ekonomi mewakili Badan Perhubungan UMNO Perak di Perhimpunan Agung UMNO Malaysia di Kuala Lumpur pada 1-3 Disember akan datang.

Jenazahnya ketika ini berada di Hospital Parit Buntar.

Didoakan rohnya ditempatkan di kalangan solehin dan semoga keluarga allahyarham tabah menghadapi dugaan ini. Amin

15 October, 2011

DAP MUFLIS ISU DI PERAK


Pembangkang di Negeri Perak ternyata sudah hilang modal untuk mengelirukan rakyat dalam ceramah-ceramah mereka. Setiap isu yang mereka tonjolkan sebelum ini dilihat sebagai satu siri penipuan, setelah rakyat dapat menilai dengan positif dasar-dasar pentadbiran yang dibawa oleh Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir selaku Menteri Besar.

Sebelum ini ternyata mereka gagal mempengaruhi rakyat terhadap isu-isu murahan rekaan sendiri semurah isu ‘ancak’ dan isu tanah yang menempatkan lebih 100 keluarga nelayan termasuk rumah ibu Dr. Zambry di Kampung Masjid, Pangkor.

Akibat kering modal, pemimpin pembangkang di Perak khususnya dari parti DAP kini mereka-reka pula cerita dogeng untuk dijadikan halua telinga penonton dalam siri ceramah mereka. Gagal membawa isu berkaitan corak pentadbiran BN di Perak, pihak parti pembangkang cuba pula menyelak kain UMNO Negeri. Maka diciptalah cerita kononnya ada di kalangan pemimpin UMNO negeri yang tidak sebulu dengan Dr. Zambry dan mahu melihat beliau digulingkan daripada jawatan Menteri Besar.

Tweet ADUN Teja (PKR), Chang Lih Kang yang membantu menyebarkan idea keji Thomas Su

Cerita rekaan DAP dan PKR ini dibawa dalam ceramah mereka, dan disebarkan melalui laman Twitter. ADUN Pasir Pinji, Thomas Su kini sedang rancak menjuarai isu baru rekaannya. Beliau yang sedang bermasalah dengan taiko DAP Perak, Ngeh Ko Ham dan sepupunya Nga Kor Meng nampak seolah-olah mahu mencari nyawa untuk kekal sebagai calon DAP dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Maka dijuarailah oleh Thomas Su cerita kononnya beliau terpandang kurap di betis UMNO Perak. Digendanglah segenap pelosok pentas mengharapkan cerita karut yang dibawanya membuka rasa simpati Ngeh dan Nga terhadap nasibnya yang semakin berada di hujung tanduk.

Di pihak pemimpin DAP dan PKR pula, mereka sememangnya mengharapkan Dr. Zambry tidak lagi menjadi Menteri Besar. Dr. Zambry dilihat sebagai ‘hantu’ yang menghalang cita-cita mereka untuk menguasai Negeri Perak dalam PRU13 nanti. Selagi Dr. Zambry duduk di kerusi Menteri Besar, selagi itulah harapan mereka sukar dicapai.  

Dasar-dasar pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dr. Zambry ternyata semakin dapat menambat hati rakyat. Program turun padang dan bermesra dengan rakyat begitu disenangi oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Setiap isu yang dibawa oleh pembangkang dapat dipatahkan di dalam dan di luar Sidang Dewan Negeri dengan begitu mudah. Itulah sebenarnya yang menggusarkan DAP dan rakan pakatannya.

Sebelum ini tindakan pembangkang hendak menggulingkan Dr. Zambry melalui proses mahkamah ternyata tidak berjaya. Setelah gagal, mereka mempertikaikan pula keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, sehingga yang terbaru mendakwa perlantikan hakim dalam perbicaraan itu tidak mengikut prosedur. Dakwaan seumpama ini juga tidak cukup kuat untuk mencapai cita-cita mereka merentap Dr. Zambry turun dari kerusi Menteri Besar yang didudukinya.

Maka Thomas Su yang tersepit itu mendapat idea baru. Dengan idea itu, niat pertamanya mahu memenangi semula hati Ngeh dan Nga, dan niat lainnya mahu membantu DAP mengurangkan kredibeliti Dr. Zambry sebagai Menteri Besar di mata rakyat Negeri Perak.  Mungkin juga ideanya itu memberi modal baru kepada Ngeh dan Nga untuk dibawa dalam siri ceramah mengaburi fikiran pengundi.

Apa yang pasti, betis dan peha DAP Perak kini dipenuhi kudis buta yang semakin membusung. Masalah dalaman parti itu sudah hampir sampai ke puncak untuk meletup. Kumpulan sepupu Ngeh dan Nga yang menguasai DAP Perak sudah tidak sebulu dengan kumpulan Kula dan satu lagi kumpulan yang diterajui Thomas Su sendiri. Pemilihan parti sebelum ini menggambarkan segala-galanya.

Oleh itu, lebih baiklah Thomas Su menjaga tepi kain sendiri daripada menyelak kain orang lain. Jika rezekinya di Perak hanya sekadar tamat penggal ini, terima sahajalah hakikat. Bukankah Kedah negeri asalnya masih ada kerusi yang dikhaskan untuk DAP. Itupun kalau dia dapat berpaut kepada dua beranak pula, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.