09 October, 2011

DAP, PAS DAN ISU HUDUD

 


"Sebelum ini Berita Harian pernah melaporkan bahawa Nik Aziz mencabar DAP untuk keluar Pakatan jika tidak bersetuju dengan cadangannya untuk tetap melaksanakan hudud sekiranya Pakatan memerintah kelak.  Isu hudud dalam perjuangan PAS bukan isu yang baru, ianya telah dijadikan modal politik PAS sejak berkurun lamanya, hukum Allah ini dijadikan modal untuk meraih sokongan Islam semata-mata.

Selepas Nik Aziz mengeluarkan kenyataan ingin melaksanakan hudud di Kelantan tiba-tiba Anwar Ibrahim muncul dan menyokong hasrat Nik Aziz itu, tetapi apa yang dapat tindakan Anwar Ibrahim menyokong hasrat PAS jelas memperlihatkan bahawa perjuangan Pakatan hanyalah bersandarkan penipuan semata-mata.

Buktinya pada 29 September Anwar Ibrahim berkata bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan kerana ianya tidak menepati dasar bersama, perlembagaan Persekutuan dan hudud bukan agenda utama dalam Buku Jingga serta tidak menepati keputusan yang dibuat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Rakyat jangan terus jadi bodoh terpedaya dengan janji bohong Nik Aziz kerana kita tahu, walaupun Pakatan memerintah kelak, PAS tetap tidak mampu melaksanakan hudud kerana mendapat tentangan hebat daripada DAP sendiri.

Ikuti artikel dari Nanyang Siangpau yang disiarkan pada 7 Oktober 2011 :

Jika DAP Masuk BN - Nik Aziz Jangan Sebarang Cabar DAP 
Wong Zi
Nik Aziz yang begitu mendesak untuk wujudkan undang-undang kuno potong kaki potong tangan, isu ini sudah lama tenggelam ditimbulkan kembali, menggegarkan semua pihak sehingga "berbau hamis darah", pada masa PRU yang semakin hampir ini, kontrovesi yang berbau hanyir darah ini amat menakutkan orang.
DAP hampir muntah darah dibuatnya, sebaliknya PKR hanya terkena sedikit tempias cuba meredakan keadaan antara satu sama lain dalam gabungan itu, yang paling bahagia dan untung ialah MCA, Gerakan dan ahli-ahli komponen BN. Selepas tsunami politik pada Mac 2008, MCA dalam kedudukan kena belasah, kini akhirnya dapat peluang untuk menyerang balas.
Walaupun dikatakan potong kaki potong tangan itu amat menakutkan, tetapi keadaan orang-orang bukan muslim di Kelantan sudah tidak rasa takut lagi, dan orang-orang bukan Muslim di banyak kawasan di Semenanjung Malaysia, walaupun mereka takutkan hantu, namun rakyat lebih rasa benci terhadap keadaan semasa yang mereka lalui.
  Tiada Musuh Selamanya Dalam Politik
Liow Tiong Lai mencabar DAP keluar dari Pakatan Rakyat, kelihatan Liow Tiong Lai telah matikan permainan pertaruhan catur DAP. Tetapi caturan ini amat merbahaya, jika benar-benar DAP terima cabaran Liow Tiong Lai, berbuat baik dengan UMNO dan keluar dari Pakatan Rakyat.
DAP masuk Barisan Nasional, dengan syarat menggantikan MCA, sekurang-kurangnya jawatan menteri dan timabalan menteri akan diserahkan kepada DAP, adakah UMNO mahu membantahnya? Adakah UMNO dapat memikirkannya?
Kita jangan lupa, tidak kira apa cara untuk kebaikan negara ataupun untuk kebaikan UMNO itu sendiri, kerana UMNO sendiri membantah undang-undang potong kaki potong tangan.
Jika hukum hudud dilaksanakan, jika ada politikus yang akan dihukum potong kaki dan tangan, pasti orang-orang dalam parti Islam juga akan menerima akibatnya, akhirnya nanti orang-orang yang banyak lakukan kesalahan yang besar-besar yang berpanjangan termasuk politikus-politikus, pegawai dan menteri tidak akan terlepas dari hukuman itu.
Ahli parlimen golongan muda DAP, pasti membantah DAP masuk ke dalam BN, tetapi pada ketika dulu ada rekod mereka pernah berbincang berkaitan itu, jika keadaan politik akan datang tidak berubah, siapa tahu musuh akan jadi kawan? Nik Aziz pernah bercakap perkara yang sama. 
Jika Nik Aziz ikhlas- acap kali kita melakukan cabaran agar mengemukakan draf hudud ke dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, namun satu perkara yang perlu Nik Aziz ingat adalah jika draf dikemukakan sokongan cina akan hilang dan jika keputusan ini tidak dibawa ke dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bermakna Nik Aziz bukanlah ulama tetapi ular dalam semak...

YY : So... Tok Guru tunggu gapo lagi...? Ambo sokong demo masuk hudud dalam manifesto 
pilihanraya!

Sumber - Blog DOUBLE - Y
 

03 September, 2011

FOTO-FOTO ARWAH NORAMFAIZUL DI SOMALIA

Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia malam ini (semalam).

Wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar berita telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia (Malaysia lima jam lebih awal dari Mogadishu), katanya.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur, dijangka pulang 8 September ini

Dalam perjalanan ke Somalia
Allahyarham Faizul (berdiri)
Sebelum berlepas dari TUDM Subang
Faizul, duduk 2 dari kiri
Tiba di Somalia
Faizul berdiri pegang kamera
Berbuka puasa dalam pesawat
Faizul yang pertama (sedang menyuap makanan)

Sumber : rbf online

29 July, 2011

RAMADHAN DATANG LAGI

Agak lama saya tidak update blog ini. Apabila membuka komputer, lebih banyak melayan Facebook dan Twitter, dan sekadar meninjau di sini sekiranya ada komen baru untuk disiarkan. Banyak sudah isu berlalu yang tidak dapat saya sentuh di blog ini.

Ramadhan akan menjelma beberapa hari lagi. Aktiviti sepanjang bulan yang mulia ini sudahpun disusun. Seperti juga Ramadhan sejak hampir 10 tahun lalu, insyaAllah saya akan menziarah warga uzur dan daif di sebelah petang dan menyampaikan serba sedikit sumbangan. Kemudian akan berbuka puasa bersama khariah masjid di sekitar kawasan Parlimen Tanjong Malim dan menunaikan solat Maghrib berjemaah dan selepas itu mengunjungi surau berdekatan untuk menunaikan solat Isya' dan solat sunat Tarawih berjemaah.

Semoga Ramadhan tahun ini memberi kita semua lebih kekuatan bagi merebut ganjaran yang Allah telah janjikan.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.

27 June, 2011

BERSIH 2.0 - SIAPA SEBENARNYA AMBIGA?



KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, terutama orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan (foto) sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat supaya mengadakan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak-tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam, terutama orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.

Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincang dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan orang Islam, Majlis Peguam yang diterajui Ambiga tetap meneruskan forum itu.

Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuainya. 
 
Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam, berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit polis, maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu, walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak,” katanya.

Tegasnya keperluan untuk menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik, bukannya mengadakan demonstrasi haram.

Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling pula menyifatkan semua golongan yang terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram itu adalah tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin, termasuk Ambiga.

Katanya, mereka terlampau mengikut parti politik tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing sedangkan mereka sendiri pun tidak ’bersih’.

“Mereka sebenarnya lebih baik melakukan tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan sebagai NGO.

“Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik), terutama orang awam mengenai kacau bilau dalam parti masing-masing seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka,” katanya.

Zainal turut menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi ‘kekotoran'’ yang sedang berlaku dalam parti pembangkang.

“Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau-bilau, huru-hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan mereka meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara,” katanya.

Rakyat patut mengambil iktibar dan memerhati perilaku serta taktik parti pembangkang yang menggunakan politik semata-mata untuk kepentingan kekuasaan mereka sendiri, katanya. – BERNAMA
 

05 June, 2011

KINI ENDORGAN KUASAI PAS


KUALA LUMPUR: Golongan bukan ulama menguasai kepemimpinan PAS Pusat apabila golongan terbabit menyapu bersih jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden serta lebih separuh daripada 18 Ahli Jawatankuasa Pusat (AJK) dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Taman Melewar di sini. 
Pemimpin akar umbi PAS, Mohamad Sabu tanpa diduga memenangi jawatan nombor dua dalam parti dengan merampas jawatan Timbalan Presiden daripada penyandang dua penggalnya, Nasharuddin Mat Isa. 


Mohamad yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan lebih dikenali sebagai Mat Sabu memperoleh 420 undi menewaskan dua calon ulama iaitu Nasharudin yang memperoleh 224 dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 399 undi.

Jawatan Naib Presiden juga dikuasai bukan ulama apabila Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar diisytiharkan menang pada pertandingan enam penjuru.

Ini sekali gus memberi gambaran kepemimpinan Jawatankuasa PAS Pusat 2011-2013 menyaksikan penguasaan besar golongan berfikiran agak liberal dan dilihat pro pembangkang yang diberi jolokan kumpulan Erdogan.

Ini membawa mesej kemenangan tanpa bertanding Datuk Seri Hadi Awang untuk jawatan Presiden bagi penggal kelima tidak membayangkan golongan ulama dengan mudah dapat menguasai kepemimpinan ketika parti itu bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berkemungkinan diadakan tidak lama lagi. 


Pemilihan yang mencetuskan tsunami kepemimpinan PAS itu dilihat memecah tradisi apabila Mat Sabu menjadi pemimpin bukan ulama pertama menduduki jawatan nombor dua parti selepas 20 tahun jawatan itu diduduki golongan ulama.

Kekalahan Nasharudin dikaitkan dengan perpecahan undi golongan ulama antara Tuan Ibrahim yang difahamkan mendapat sokongan pucuk pimpinan dalam usaha mengekang kemaraan bukan ulama menduduki jawatan nombor dua parti.

Dua penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Salahudin, dikelompokkan dalam kumpulan profesional mendapat undi terbanyak dan Mah-fuz, digembar-gemburkan pro-Erdogan. Pengaruh Erdogan juga dapat dilihat apabila Husam memperoleh undi kedua terbanyak.

Keputusan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abd Rahman jam 10.20 pagi semalam.

Kejutan yang membayangkan kehendak akar umbi, diterjemahkan menerusi undi perwakilan juga dapat dilihat menerusi keputusan barisan AJK PAS Pusat apabila mereka yang memperoleh undi paling banyak terdiri daripada kumpulan Erdogan dan penyokongnya.

Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang dikatakan penyokong kuat Mat Sabu serta mendapat sokongan kuat kumpulan Erdogan memberikan kejutan apabila memperoleh undian terbanyak (804) daripada 1,036 undi sah. - Berita Harian Online

09 May, 2011

NEGARA KRISTIAN : TIADA PENAFIAN JEFF OOI


Jeff Ooi (tengah) bersama Lim anak beranak

Ahli Parlimen DAP kawasan Jelutong, Jeff Ooi sekadar menyifatkan laporan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian sebagai cerita dongeng, tanpa menunjukkan kesungguhan untuk menafikan dakwaan bahawa beliau telah mendalangi satu ikrar yang dilafazkan dalam jamuan makan malam di Hotel Red Rock, Jalan Macalister, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Sebaliknya Jeff Ooi yang terdesak itu menjadikan Utusan Malaysia dan dua blog yang melaporkan upacara ikrar itu sebagai ‘kambing hitam’ bagi menutup rahsia yang telahpun bocor ke pengetahuan umum.

Laporan muka depan Utusan Malaysia pada 7 Mei menyiarkan pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang antara lain dikatakan membawa agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, dan Perdana Menteri dari penganut agama Kristian.

Utusan Malaysia memetik pendedahan dua laman blog ‘bigdog’ di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk Making Christianity the official religion? Dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com.

Inilah sebenarnya sikap DAP yang sering menganggap perbuatan dan perancangannya tidak dapat dihidu oleh kaum dan penganut agama lain. Sama seperti PAS yang cuba memperalatkan Islam dalam menarik sokongan orang Melayu terhadap partinya, DAP pula nampak cenderung memperalatkan Kristian dengan tujuan mendapatkan laba politik di kalangan penganut-penganut agama itu.

Seperti mana strategi PAS, DAP juga mengambil pendekatan melacurkan agama untuk tujuan politik. Majoriti umat Islam menolak politik sempit keagamaan yang dibawa oleh PAS, begitu jugalah hendaknya sikap majoriti penganut beragama Kristian terhadap DAP yang cuba memperalatkan agama dalam mengejar cita-cita politiknya.

Pemimpin-pemimpin Kristian tempatan dari mazhab Kristian Evagelical, Katolik dan Protestan sudahpun menyatakan pendirian untuk mengakui agama Islam sebagai agama rasmi negara sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Dr. Eu Hong Seng.

Tumpuan pemimpin-pemimpin Kristian ini sewajarnya tidak terarah untuk menyalahkan laporan Utusan Malaysia atau dua blog berkenaan, tetapi lebih kepada menyelidik samada benar DAP telah mendalangi ikrar yang dilaporkan. Pepatah Melayu berkata, “kalau tak ada angin, takkan pohon bergoyang”.

Kita berharap supaya isu ini tidak menyemarakkan perasaan negatif di kalangan rakyat berbilang agama di negara ini. Kita mahukan sebuah negara yang aman damai dan ditadbir berpaksikan Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub.