26 October, 2010

TIGA PENJURU DI P185 BATU SAPI

 

Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datin Tsen Thau Lin (BN-PBS), Umsery @ Ansari Abdullah (PKR) dan Yong Teck Lee (SAPP).    

 

Seramai 25,582 pengundi akan menentukan nasib ketiga-tiga calon berkenaan di hari pengundian pada 4 November nanti, termasuk seramai 1,535 pengundi pos. Mengikut pecahan kaum, seramai 15,099 atau 59% adalah pengundi Bumiputera Islam, 9,737 (38%) pengundi Cina, 689 (2.69%) Bumiputera bukan-Islam dan 57 (0.22%) lain-lain. 


Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan kematian Datuk Edmund Chong Ket Wah pada 9 Oktober lalu akibat kemalangan jalanraya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Panglima Haji Musa Haji Aman yang juga Pengarah Pilihanraya Kecil P185 Batu Sapi mengiringi calon ke pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Sandakan bermula jam 9.00 pagi. 

Antara pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang kelihatan hadir ialah Dato' Seri Joseph Pairin Kitingan (PBS), Tan Sri Joseph Kurup (PBRS), Tan Sri Bernard Gilok Dompok (UPKO), Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek (MCA), Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Gerakan), Dato' Seri Samy Vellu (MIC) dan Dato' M. Kayveas (PPP).





















24 October, 2010

PERKARA 153 JADI 'GAJAH PUTIH'?


Kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera telahpun “terpateri kemas, terkunci dan tersimpul mati” dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipinda kecuali dengan persetujuan Raja-Raja Melayu. Itulah penegasan yang diluahkan sekali lagi oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO ke-61 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Penegasan Najib itu nampaknya ditujukan kepada banyak pihak – bukan sekadar kepada parti-parti pembangkang dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), tetapi juga kepada segenap lapisan rakyat berbilang kaum di negara ini dan ahli-ahli UMNO itu sendiri.  Bagi kumpulan yang suka mengambil pendekatan mahu meneutral dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu sebagai senjata kempen bagi memikat pengundi bukan Melayu, penegasan Najib itu ibarat lampu penyuluh realiti.

Ucapan dasar Najib itu boleh dianggap memperjelaskan lagi apa yang telah terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan, yang sebelum ini cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat politik masing-masing. Hakikatnya Najib sekadar mengangkat semula kitab yang telah disorokkan di bawah karpet sejak sekian lama. Tidak ramai yang memahami sepenuhnya isi kandung Perlembagaan Persekutuan, sehingga mendorong pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan semangat dan falsafah yang terkandung di dalam 'kitab' negara itu.

Kecenderungan pemimpin politik bukan Melayu, samada daripada parti-parti pembangkang mahupun dalam komponen BN sendiri yang menjaja soal hak istimewa Melayu dan Bumiputera untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu begitu ketara sejak kebelakangan ini. Malahan dalam banyak situasi, pemimpin DAP mewar-warkan bahawa hak istimewa orang Melayu itu akan dipinda dan dihapuskan sekiranya mereka mengambil-alih tampuk pemerintahan negara. Maka terkelirulah pengundi-pengundi bukan Melayu, khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-12 lalu.

Keyakinan pengundi bukan Melayu bahawa Perkara 153 itu boleh dihapus diperkuatkan lagi dengan pendirian tidak konsisten Anwar Ibrahim terhadap agenda Melayu. Dalam banyak ucapannya di pentas pengundi bukan Melayu, Anwar seolah-olah bersetuju dengan pendekatan DAP mahu menjadikan negara ini berkonsepkan Malaysian Malaysia dan berteraskan semangat “sama rata, sama rasa”, yang menjurus kepada penghapusan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Kekeliruan pengundi bukan Melayu dipancing lagi dengan pendekatan pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai DAP seperti Pulau Pinang dan Selangor (dan suatu ketika Perak) yang menampakkan seolah-olah kepentingan orang Melayu telah dapat diketepikan. Di Selangor, walaupun pucuk pimpinan diterajui Menteri Besar dari PKR, tetapi rata-rata rakyat dapat melihat parti manakah yang sebenarnya mendominasikan pentadbiran. Begitu juga sejarah 11 bulan pemerintahan pakatan DAP-PAS-PKR di Perak, apatah lagi dengan penguasaan total DAP di Pulau Pinang.

Mereka mewar-warkan lagi kempen mahu ‘menawan Putrajaya’, sebagai pelengkap kepada nafsu serakah mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan Malaysian Malaysia. Menawan Putrajaya bermakna mereka menawan Parlimen, tempat di mana rang undang-undang digubal dan perlembagaan negara dipinda dengan sokongan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat. Dalam banyak kempen, khususnya kalangan pemimpin DAP, mereka menanamkan keyakinan kepada pengundi bukan Melayu bahawa dengan penguasaan dua pertiga di Parlimen, mereka mampu mengubah perkara-perkara yang menyentuh hak istimewa orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 153.  Rakyat dikelirukan bahawa tiada pihak yang mampu menghalang usaha mereka itu.

Pendekatan DAP ini menarik pula minat sebilangan pemimpin bukan Melayu dari komponen BN untuk bersaing memenangi hati pengundi kaum mereka. Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek dalam Kongres Ekonomi Cina yang dianjurkan partinya pada Ogos lalu menggesa kerajaan memansuhkan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera. Beliau sekali lagi membangkitkan perkara yang sama pada Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini. Niatnya amat jelas – memenangi hati pengundi Cina yang telah ditawan oleh DAP kerana berjaya manipulasi isu yang sama, biarpun pemilikan 30 peratus ekuiti oleh bumiputera ini adalah antara soal pokok dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Penegasan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini membuka mata banyak pihak, terutamanya pengundi-pengundi bukan Melayu yang sudah sekian lama disogokkan dengan janji-janji manis pihak pembangkang. Kini semakin ramai yang sedar bahawa Perkara 153 dan perkara-perkara lain berkaitan kepentingan orang Melayu termasuk soal kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipinda semudahnya, tanpa restu Raja-Raja Melayu. Begitu juga dengan soal kerakyatan orang bukan Melayu yang turut terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak hairan jika DAP dan pemimpin yang sealiran dengan mereka akan mengambil pendekatan baru untuk terus mengelirukan rakyat, khususnya terhadap pengundi bukan Melayu. Mungkin mereka akan menyatakan tekad untuk menjadikan Perkara 153 sebagai ‘gajah putih’ dalam Perlembagaan Persekutuan jika mereka berjaya menguasai Putrajaya. Bermakna hak istimewa orang Melayu hanya tercatat di atas kertas Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang implimentasi.

Atau mungkin juga mereka menggunakan pendekatan lebih tidak bermaruah, dengan meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa mereka mampu untuk mempengaruhi Raja-Raja Melayu supaya menghapuskan Perkara 153 itu. Demi untuk meyakinkan pengundi bagi meraih kuasa, mereka sanggup menaburkan apa sahaja janji termasuk perkara yang berada di luar jangkauan kewarasan.

Penegasan Najib juga mengajak orang Melayu supaya terus bersatu menyokong perjuangan UMNO. “Sebab orang Melayu dan negara tak boleh harap pada orang lain melainkan UMNO sahaja,” tegasnya. 

Ada juga pihak yang cuba nak spinning kononnya orang Melayu tidak perlu lagi risau kerana tanpa menyokong UMNO, peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus bertahan kerana telah disimpul mati dan dipaterikan. Tanggapan ini bukan sahaja datangnya dari pemimpin pembangkang, malahan turut dibangkitkan oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri. 

Pemimpin pembangkang spin kenyataan Najib ini bertujuan meruntuhkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, sementara sekerat pemimpin UMNO pula beranggapan bahawa Najib telah melakukan kesilapan besar membawa perkara ini dalam ucapan dasarnya kononnya boleh menghilangkan rasa kebergantungan orang Melayu kepada UMNO.

Semasa menggulung perbahasan, Najib berkata pandangan seumpama ini adalah tidak benar sama sekali. “Ini kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Dengan kata lain, orang Melayu hendaklah terus mempertahankan UMNO supaya Perkara 153 tidak menjadi ‘gajah putih’ dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang penterjemahan jika DAP dan kuncu-kuncunya berjaya menguasai negara.

04 October, 2010

TSUNAMI DI KOLAM DAP PERAK

WARLORDS DAP PERAK

Mulanya saya tidak mahu menangguk dalam kolam DAP Perak yang airnya semakin keruh. Tidak seperti pemimpin DAP yang suka menaburkan jala carik ke dalam tasik BN ketika airnya berkocak. Tetapi apa yang berlaku dalam kolam DAP Perak ini begitu merangsangkan kerana cerita seperti ini jarang terdedah kepada umum. Bukan sekadar kocakan, tetapi nampaknya kolam DAP Perak sudah dilanda tsunami.

Lama sebelum ini terdengar desas-desus DAP Perak bergolak kerana wujud team-team di dalamnya. Apabila Adun Jelapang, (Dato’) Hee Yit Foong berkata tindakannya meninggalkan DAP kerana berlaku kecelaruan kepimpinan dalam DAP Perak, alasannya itu disanggah oleh Ngeh Ko Ham dan Nga Kor Ming, dua sepupu yang menjadi warlord dalam Pakatan Rakyat Perak. Ngeh memegang jawatan Pengerusi sementara Nga selaku Setiausaha DAP Perak.

Hee dituduh oleh Ngeh dan Nga kononnya sudah dibeli oleh BN, khususnya UMNO. Diwar-warkan kepada pengundi Cina di Perak bahawa Hee telah mengkianati perjuangan kaumnya sehingga kata mereka ‘membawa kepada kejatuhan Kerajaan Cina Perak ditangan Kerajaan Melayu (merujuk kepada UMNO)’. Malahan mereka menuduh BN telah merampas kuasa di Perak, kata-kata yang sudah menjadi bahan dalam setiap ceramah pemimpin-pemimpin PR.

Apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran menunjukkan situasi sebenar dalam kolam DAP Perak, seperti yang dikhabarkan oleh Hee sebelum ini. Wujud team dan perebutan sengit sehingga mendedahkan taktik-taktik yang tidak menggambarkan demokrasi sedang berjalan dalam parti itu seperti diwar-warkan oleh mereka. 

Ngeh dan Nga yang menguasai DAP Perak melakukan strategi tidak demokratik bagi mengekalkan kuasa menjelang pemilihan jawatan pada November nanti. Sebanyak 100 cawangan baru DAP mereka tubuhkan, tetapi tidak membenarkan team Kula yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berbuat begitu. Setiap cawangan bakal memberikan 7 undi dalam pemilihan akan datang.

Itu cerita strategi kotor sepupu ini antara punca berlakunya tsunami dalam DAP Perak. Tetapi tidak terfikirkan sehingga ke tahap mereka menuduh Kula menjadi alat BN untuk mengucar-kacirkan DAP. Strategi ini sering mereka amalkan bagi menutup kelemahan dan kepincangan dalaman DAP Perak. Baik apa sahaja peristiwa buruk yang berlaku dalam parti mereka, maka BN dan UMNOlah yang dituduh menjadi dalangnya. Apabila Hee dan dua Adun PKR mengisytiharkan menjadi Adun bebas, mereka menuduh kononnya ini strategi BN untuk merampas kuasa, tetapi mereka tidak menerima hakikat bahawa masalah dalaman DAP dan PR di Perak begitu bercelaru dan meruncing. 

Apa yang berlaku sekarang mendedahkan tembelang DAP Perak. Jangan lagi mahu bercakap soal CAT (Clean, Accountability and Transparent), kerana di dalam diri dan parti mereka sendiri tidak berpegang kepada slogan itu. Nasib baiklah Perak kini ditadbir oleh BN, jika tidak tambah bercelarulah pentadbiran Kerajaan Negeri kerana sikap buruk kedua-dua Ngeh dan Nga, ditambah pula dengan sikap pak kadok Nizar Jamaluddin.

Sila baca isu KULA atau dalam blognya di SINI.

29 September, 2010

ANWAR DAN PKR LEBIH TERUK!!


1. Mengata dulang paku serpih, mengata orang sendiri yang lebih. Itulah bidalan paling tepat terhadap apa yang berlaku dalam pemilihan PKR sekarang. Jika dulu menuduh UMNO/BN mengamalkan kronisme dan nepotisme, kini PKR lebih dahsyat! 3 sekeluarga bakal mengisi jawatan tertinggi PKR.

2. Jika dulu mengatakan pemilihan UMNO/BN tidak telus serta SPR memihak kepada kerajaan, kini pemilihan PKR 'teramat' telus. Insiden baling kerusi, tendang meja, koyak kertas undi, nama calon ketua cabang hilang mewarnai pemilihan PKR. Badan bebas yang dilantik memantau pemilihan PKR 'amat adil dan telus' dengan berpihak kepada AnWAR dan Azmin.

3. Jika dulu AnWAR menyatakan pemilihan UMNO bergelumang dengan politik wang, kini perkara sama berlaku dalam pemilihan PKR. AnWAR dilaporkan telah memanggil ketua-ketua cabang tertentu di Pulau Pinang selepas jamuan rumah terbuka beliau di sana. AnWAR dilaporkan mengagihkankan sejumlah nilai wang tunai.

4. Konon atas nama perjuangan, wang diberi kepada ketua-ketua cabang tertentu bagi mengadakan Majlis Rumah terbuka cabang-cabang PKR dan menjemput Azmin atau wakil khas sebagai tetamu kehormat. Memang AnWAR sangat berkesan sebagai Pengurus kempen bagi Azmin yang sangat disayanginya.

5. Perlu diingat, ketua-ketua cabang yang langsung tidak menunjukkan minat terhadap Azmin akan di ketepikan dan wang diagihkan kepada pesaing mereka. Contoh terbaik ialah bagaimana Mustafa Kamil Ayub tersungkur di cabang sendiri kepada orang Azmin yang telah umumkan 'bersara' dari PKR.

6. Kesimpulannya, AnWAR memang pengamal rasuah tegar dulu dan kini. Jika dulu memperkenal dan menyemarakkan politik wang dalam UMNO dan kerajaan, kini AnWAR terus mengamalkannya dalam PKR, malahan telah memperkenalkan budaya ini dalam PAS! AnWAR tidak peduli kerana bagi beliau, matlamat menghalalkan cara, dan yang lebih penting lagi ialah cita-citanya tercapai biar apapun cara yang akan digunakan.........

Sumber : The Unspinners

05 September, 2010

NIZAR, BUKTIKAN SEGERA TUDUHAN, ATAU KE MAHKAMAH


KENYATAAN AKHBAR

UMNO Negeri Perak mendesak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin segera menunjukkan bukti bahawa parti UMNO terlibat mengubahsuai gambar yang memaparkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu.

Dalam kenyataannya yang dipetik dan disiarkan oleh akhbar Sinar Harian Edisi Perak pada 3 September lalu, Nizar secara jelas menuduh UMNO terlibat menukarkan wajahnya yang sedang menyembelih lembu kepada wajah Guan Eng.

Akhbar itu melaporkan, "Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengakui gambar memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyembelih lembu itu adalah wajahnya yang telah diubah suai dengan teknik superimpose oleh UMNO."

Nizar juga dipetik sebagai berkata, "Saya yakin gambar itu sengaja diubah oleh UMNO dan penyokongnya yang terdesak untuk mendapat sokongan masyarakat dan cuba memburuk-burukkan hubungan PAS dan DAP."

Kenyataan itu dinyatakan oleh Nizar kepada wartawan akhbar Sinar Harian di Masjid Aziziah, Batu 20, Bagan Datoh pada malam 1 September lalu.

Secara jelas, Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak dan ADUN Pasir Panjang telah menamakan parti UMNO sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak beretika itu.

Oleh itu, UMNO Negeri Perak meminta Nizar segera menunjukkan bukti penglibatan UMNO dalam mengubahsuai gambar itu, atau beliau bersedia diheret ke mahkamah jika enggan atau gagal berbuat demikian.

Perbuatan Nizar yang secara langsung menundingkan jari kepada UMNO dalam isu ini adalah sangat mengelirukan dan merupakan satu tuduhan yang berat terhadap sebuah parti politik berperlembagaan, berperaturan dan bermaruah.

Nizar nampaknya sudah ketandusan modal untuk mengheret Umno dalam polemik, sehinggakan sanggup menuduh parti itu melakukan sesuatu tidak beretika yang lumrah dilakukan oleh cyber-troopher di dalam internet.

Apakah beliau terlalu yakin UMNO melakukan perbuatan itu, atau apakah tidak ada kemungkinan ianya dilakukan sendiri oleh penyokong-penyokong parti pembangkang dari PAS, DAP atau PKR bertujuan mahu menjadikannya sebagai modal untuk memancing sokongan rakyat dan memburuk-burukkan UMNO?

Terlalu banyak gambar yang diubah suai menggunakan teknik superimpose yang tersiar di laman-laman internet, termasuk oleh penyokong parti-parti pembangkang khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-12 lalu sehingga menimbulkan keresahan rakyat. 

Tetapi adalah tidak wajar menuduh sesebuah parti politik terlibat secara langsung dalam pembikinannya, sebagaimana dilakukan oleh Nizar terhadap UMNO.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak
Tanjong Malim, 5 September 2010

03 September, 2010

MAIS DAN RUANG SOLAT DI SELANGOR



Mungkin ramai tidak tahu pada 14 Oktober 1989, Ratu Elizabeth dan suami, Putera Philip melawat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan diiringi oleh Raja Muda Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kini Sultan Selangor.

Menariknya, walaupun Ratu Elizabeth nama yang cukup tersohor, baginda tetap mematuhi peraturan ketika melawat masjid negeri itu.
Baginda memakai jubah khas menutup aurat dan hanya menyaksikan kubah masjid dari pintu utama ruang solat.
Itu seorang yang bergelar Ratu tetapi bagai kata Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguek”.
Maksudnya, seseorang itu kena patuh kepada peraturan di sesuatu tempat beliau berada.


Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching sengaja mencetuskan kontroversi dengan masuk ke ruang solat Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.
Beliau hanya berbaju kebaya, bukannya memakai jubah menutup aurat bahkan tidak memakai tudung kepala.


Tidak hairanlah tindakan itu mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama negeri namun Nie Ching sengaja buat hal lagi dengan muncul di sebuah surau di Bukit Mahkota Ahad lalu.
Cuma yang berbeza, beliau tidak lagi berada di ruang solat sebaliknya di khemah luar surau.
Beliau juga memakai baju kebaya dan bertudung kepala.
Namun, selepas ini jika ada sesiapa bukan Islam ingin masuk ke ruang solat atau mengadakan apa-apa acara mahupun majlis di ruang itu sama ada di surau-surau serta masjid di Selangor, lupakan saja.
Ekoran kontroversi tindakan Nie Ching Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengeluarkan peraturan menegah bukan Islam memasuki ruang solat, dalam masa terdekat ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa memberitahu Agendadaily, peraturan itu bagi menjelaskan larangan kepada bukan Islam masuk ke ruang solat atau melakukan apa-apa aktiviti di ruang berkenaan.
Menurutnya, memang sudah ada peraturan kepada bukan Islam untuk masuk ke masjid tetapi ekoran tindakan Nie Ching serta kekeliruan sesetengah pihak berhubung peraturan itu, MAIS akan menjelaskan peraturan baru dalam beberapa hari ini.
Beliau berharap penjelasan peraturan baru itu akan difahami semua pihak dan dipatuhi.
Sementara itu ditanya mengenai cadangan Dr Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor yang mahu mencadangkan beberapa peraturan baru memasuki masjid dan surau, Mohamad Adzib berkata, Exco itu boleh mengemukakan cadangan kepada MAIS.
“Kita tiada masalah,” katanya.- Agendadaily