15 March, 2010

LAWATAN ZAMBRY KE TUARAN

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan ke bahagian angkat, Tuaran pada 13 Mac lalu disambut oleh Ketua Umno Bahagian yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Haji Nor.

Program itu dinamakan Gotong Royong 1 Malaysia dihadiri oleh lebih 3,000 masyarakat di sekitar Kampung Gayang, Tuaran tempat di mana program itu diadakan.

Dr. Zambry diiringi oleh isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli beserta beberapa Ketua Umno Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri.

Foto-foto oleh Haji Salim Haji Ibrahim (rakan FB dari Sabah) menceritakan segalanya.

10 March, 2010

SAIPOL JAWAB PEMUDA PAS PERAK


Jawapan kepada pertanyaan bertulis  Salman Saleh (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak) terhadap penggunaan masjid sempena program Juara Rakyat pada 5 Mac hingga 7 Mac 2010
(Rujukan : Sinar Harian- Selasa – 09 Mac 2010 – Edisi Negeri Perak – Halaman PK5 – Guna masjid: Salman minta Maipk beri penjelasan)

Dari:                      Saipol Bahrin b Hj. Sulaiman
                                Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhgn. Tg. Malim

1                     UMNO tidak mempolitikkan institusi masjid

Merujuk kepada pertanyaan Salman adakah UMNO telah membenarkan parti politik menggunakan  masjid, ia merupakan pertanyaan yang lebih cenderung kepada  dakwaan yang sengaja dibuat untuk mencari isu bagi menimbulkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan negeri setelah dibaca keseluruhan artikel tersebut.

Secara tepatnya program yang diadakan iaitu qiamulail merupakan salah satu pengisian program Perak Aman Jaya cetusan fikiran Dato` Seri Zambry – Menteri Besar Perak (MB). Program ini adalah kesinambungan kepada pelancaran Program Juara Rakyat yang telah dirasmikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia (TPM) pada 6.3.2010. Program qiamulail ini lebih merupakan ibadah kepada Allah s.w.t. tanpa ada niat untuk menunjuk-nunjuk kepada sesiapa. Ia bukanlah kali pertama  MB bersama rakyat mengikuti program qiamulail ini, bahkan rakyat telah sinonim dengan pengisian seperti ini di mana sahaja MB berkesempatan berbuat begitu.

MB Perak bersama Ketua Bahagian UMNO Tg. Malim Dato` Khusairi dan beberapa orang pemimpin UMNO peringkat negeri serta rakyat sekitar  menghadirkan diri ke Masjid Sultan Idris Shah II, Slim River mulai jam 12.00 tengah malam. Pada jam 3.00 pagi program Qiamullail dijalankan yang diketuai Al-Fadhil Utz Putra Tezzaruddin dari Intim, diikuti solat subuh dan kuliah subuh dijalankan seperti kebiasaan di masjid tersebut dan ia disampaikan oleh pensyarah dari UPSI. Selesai kuliah subuh MB Perak terus meninggalkan masjid untuk bertemu rakyat di kedai kopi di pekan Slim River dan di Pasar Minggu Slim River pada hari tersebut.

Jelas tiada langsung unsur-unsur penyebaran fahaman politik dimasukkan atau diselitkan sepanjang program tersebut. MB sendiri tidak berucap walau pun beliau boleh berbuat begitu.

        Untuk membuktikan ketelusan program ini Kita telah menjemput semua masyarakat tanpa  mengira fahaman politik  untuk turut bersama dalam program mengimarahkan masjid tersebut, namun   di kalangan ahli PAS  tidak hadir dan kemudian membuat dakwaan bahawa ia adalah program politik. Persoalannya, dimanakah lagi tempat yang paling sesuai untuk menjalankan program sebegitu jika tidak di masjid?

Sebagai perbandingan, dua bulan yang lalu, Nizar sendiri telah dinaikkan sebagai imam solat Jumaat oleh pengikut PAS yang menjadi AJK di masjid yang sama di Slim River secara mengejut tanpa ada perbincangan dengan sesiapa..  Setelah selesai solat Jumaat seluruh makmum tertanya-tanya mengapa Nizar yang mengimamkan solat tersebut?  Tiada apa istimewanya Nizar sama ada dari segi bacaan, kedudukan atau keutamaan untuk dijadikan imam pada hari itu, bahkan dari segi bacaan imam tempatan lebih baik dari Nizar sendiri.

Tapi UMNO tidak mahu mempolitikkan isu tersebut demi menjaga keharmonian kawasan Slim River.  Mengapakah apabila UMNO mengadakan program untuk mengimarahkan masjid Salman mendakwa UMNO mempolitikkan masjid?

 MB Perak hadir ke masjid Jamek Kuala Slim, bukan atas permintannya tetapi atas inisiatif penduduk kampung yang memikirkan ia adalah tempat terbaik untuk menyambut pemimpin tertinggi peringkat negeri dan pusat.

Kehadiran MB mulai jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari hanya untuk  majlis makan tengahari secara santai bersama ratusan penduduk. Sebelum itu MB telah bersama masyarakat setempat untuk membina rumah warga miskin dan bertemu dengan penduduk kampung yang uzur. Tiada pembesar suara, tiada ucapan dari mana-mana pemimpin. Hanya yang ada program ramah mesra pemimpin bersama rakyat dan makan tengahari.

3.            Sangsi sama ada Salman benar-benar mahu bertanya atau sebagai cara ingin menimbulkan rasa kebencian rakyat terhadap kerajaan BN.

                Saya merasa agak janggal melihat pertanyaan bertulis Salman apabila ia turut memuatkan kenyataan bahawa semasa Pakatan DAP, PKR dan PAS memerintah dahulu penggunaan institusi masjid dilarang dari sebarang aktiviti politik. Apa yang diketahui oleh umum semasa mereka berkuasa, mimbar-mimbar masjid digunakan secara berterusan memaksa jemaah Jumaat yang tiada pilihan untuk terus mendengar khatib mereka membacakan khutbah yang secara terang tanpa berselindung berkenaan politik. Sedangkan perkara ini tidak dilakukan dibawah pemerintahan kerajaan BN sekarang.

                Dakwaan Salman bahawa rakyat cukup terkejut kerana UMNO menggunakan masjid  juga menggambarkan daya pemikiran Salman dan kepimpinan DPPNP yang telah didik untuk berhujah  dan mengeluarkan kenyataan secara  sewenangnya tanpa bersandarkan pada fakta yang  sahih. Pertanyaan Salman lebih didorongi mendengar khabar dari jauh. Salman sepatutnya hadir sendiri ke program tersebut, barulah beliau mempunyai autoriti untuk bertanya atau memberi komen berkenaan program tersebut.

 UMNO secara jelas dan konsisten tidak mahu masjid dijadikan medan politik. UMNO mahu melihat masjid diimarahkan dan disuburkan dengan roh Islam, dipenuhi dengan majlis-majlis ta`mir dan sebagainya.  Semua rakyat dapat menjalankan ibadah dengan selesa tanpa perasaan syak wasangka sesama masyarakat.

                Saya kurang pasti rakyat mana yang terkejut seperti dakwaan Salman. Apa yang dapat disimpulkan bahawa yang buat-buat terkejut hanyalah ahli-ahli PAS sahaja kerana mereka merasakan bahawa rakyat semakin menerima kepimpinan UMNO dan BN yang diterajui oleh YAB Dato` Seri Dr. Zambry. Pada saya   Maipk tidak perlu untuk menjawab apa yang dilontarkan oleh Salman, kerana apa yang dilakukan oleh UMNO  hanyalah tugas manusia sebagai hamba Allah, dan tugas pemimpin menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada orang yang dipimpinnya.

TPM DAN JUARA RAKYAT NEGERI PERAK

Program Juara Rakyat Peringkat Negeri telah berlangsung pada 5-7hb Mac lalu di Taman Tasik YDP, Slim River. Perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6hb Mac dihadiri lebih 10,000 pengunjung. Pelbagai aturcara telah dijalankan.

Tan Sri Muhyiddin nampak ceria sepanjang program berlangsung. Selepas menyempurnakan pelancaran program di pentas utama, beliau mengunjungi konti RTM dan diwawancara secara langsung oleh Perak FM.

Kemudian beliau melawat gerai-gerai pameran yang kesemuanya berjumlah 70 buah. Antara booth yang dikunjungi TPM adalah booth Barisan Nasional, 1Malaysia, Ikon Malaysia, Wanita Umno, Pemuda Umno, Puteri Umno, agensi-agensi Kerajaan Negeri, Umno Bahagian-Bahagian dalam Negeri Perak dan parti-parti komponen BN (MCA, MIC, Gerakan dan PPP).
Beberapa booth Umno Bahagian menjadi tarikan pengunjung. Antaranya booth Umno Pasir Salak yang secara percuma menyediakan mee rebus 'Mastan Ghani' yang begitu popular di Teluk Intan sejak sekian lama. Difahamkan Ketua Bahagian Pasir Salak, Dato' Tajuddin Rahman terpaksa membuat tempahan tambahan mee rebus itu langsung dari Teluk Intan setelah tempahan awal sebanyak 2,000 bungkus habis dalam masa yang singkat.

TPM kemudian mengunjungi khemah yang mengadakan pertandingan aspek wanita, yang menampilkan keunikan pelbagai kaum apabila wanita kaum Cina mengambil bahagian dalam pertandingan membuat lemang, wanita Melayu membuat bunga malai dan wanita India memasak kuih bakul.

Semasa jamuan makan tengahari, TPM diajak makan bersila di atas tikar mengkuang dan juadah dihidang di atas pinggan polisterin. Ini sebagai memenuhi permintaan beliau sendiri yang tidak mahu disediakan makanan yang berlainan daripada apa yang diberikan kepada orang ramai dalam majlis itu, dan tidak mahu makan terasing dari rakyat, tidak mahu disediakan khemah khas dengan meja beralas kain, jadah dalam dome atau pinggan bernapkin. Nampaknya TPM seronok makan bersila, dan dalam masa sama rakyat mengambil peluang bergambar dengan beliau dalam suasana penuh mesra itu.

Turut makan bersila bersama TPM adalah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pertahanan Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Penerangan Umno Dato' Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, Timbalan Presiden Parti Gerakan Dato' Chang Ko You  dan beberapa pemimpin parti komponen lain.
Petangnya selepas pertemuan khas dengan pemimpin parti komponen BN Perak, ahli jawatankuasa Umno Perak dan Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT angkat), TPM dibawa pula ke Kampung Baru Slim Village untuk bergotong royong membina rumah sebuah keluarga daif, Encik Loh Koi dan beramah mesra dengan masyarakat berbilang kaum di pekan kecil itu.

Selain bersalaman dengan orang ramai yang berbaris panjang dalam keadaan hujan renyai-renyai, TPM juga sempat singgah minum petang bersama rakyat di sebuah restoran, meninjau perniagaan yang dijalankan di kedai-kedai pekan itu termasuk yang menarik, membantu seorang peniaga kedai basikal mengepam angin ke sebuah basikal yang sedang dibaiki.


TPM juga meninjau rumah UMNO yang telah dibina pada 1948 dan dikatakan yang pertama di negara ini. Keadaan bangunan bersejarah itu sudah lama uzur dan tidak boleh digunakan dengan selamat. Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden Umno telah meminta Dato' Ahmad Maslan (Ketua Penerangan Umno Malaysia) supaya mencari jalan bagi membaikpulih bangunan tersebut.

Di bawah ini disiarkan foto-foto sepanjang TPM bersama Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak pada 6hb Mac lalu di Taman Tasik YDP, Slim River dan Kampung Baru Slim Village.