11 September, 2019

SUNGAI BERNAM, KL TEH DAN RUMAH

Masalah pencemaran Sungai Bernam sebelum ini yang dikatakan berpunca dari projek perumahan Taman Bernam Perdana, Tanjong Malim dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Saya telah bertemu dan berbincang dengan pihak pemaju, KL Teh Land & Development Sdn Bhd beberapa kali sejak isu ini timbul pada 30 Ogos lalu. Tumpuan adalah untuk mencari kaedah supaya aliran air buangan dari kerja-kerja projek berkenaan tidak dilepaskan terus ke Sungai Bernam.

Biarpun pelan pembangunan projek berkenaan sebelum ini telah mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), pihak pemaju telah bersetuju untuk mengubah pelan salirannya dengan kos tambahan hampir RM200,000.

Pelan baru dibentangkan oleh pihak pemaju dalam satu mesyuarat bersama MDTM dan JPS siang tadi, dan telahpun diluluskan.

KL Teh bukan asing dalam projek perumahan di Tanjong Malim sebelum ini. Pemaju ini telah membangunkan projek perumahan mampu milik sebanyak 900 unit di Taman Sekiah Makmur, Behrang Ulu dengan harga di bawah RM200,000 setiap unit. Saya dimaklumkan bahawa kesemua unit telah dijual, dan 95% pembelinya adalah Bumiputera.

Projek Taman Sekiah Makmur terletak dalam DUN Behrang, sama seperti Taman Bernam Perdana. Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tanjong Malim, saya memantau secara dekat perjalanan projek pembinaan rumah Taman Sekiah Makmur sejak awal. Salah satu syarat yang saya berikan kepada pihak pemaju sebelum pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) meluluskan penjualan tanah itu adalah kesediaan syarikat ini membina sebuah surau dan sebuah bangunan Tadika Kemas secara percuma untuk kegunaan masyarakat setempat. Kedua-duanya dipersetujui dan telahpun digunakan sejak beberapa tahun lalu.  Surau dibina dengan kos RM200,000 dan Tadika Kemas RM800,000.

Projek fasa pertama Taman Bernam Perdana pula melibatkan pembinaan 300 unit rumah mampu milik dengan harga sekitar RM230,000 seunit. Projek ini telah dimulakan sejak sebelum Pilihanraya Umum ke-14 lagi, dan dijangka siap untuk diduduki pada November depan. Untuk fasa kedua pula, KL Teh akan membina 500 unit rumah dengan harga antara RM180,000 ke RM190,000 seunit.

Saya harap masalah-masalah yang timbul seperti pelepasan air ke Sungai Bernam hendaklah segera diatasi supaya ianya tidak merencatkan projek-projek perumahan yang sedang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat pemaju di Parlimen Tanjong Malim.

Sebagai kawasan yang sedang pesat membangun, projek perumahan begitu penting bagi Daerah Muallim untuk menampung populasi penduduk yang semakin meningkat.

Syabas diucapkan kepada pihak pemaju KL Teh, MDTM dan JPS kerana telah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan aduan awam dan memastikan Sungai Bernam terus terpelihara.

Apa sahaja aktiviti di sepanjang Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri Perak dan Selangor ini perlu dipantau supaya tidak berlaku sebarang pencemaran, termasuk oleh pengusaha-pengusaha chalet dan pusat rekreasi. Sempurnakah sistem kumbahan dan aliran air buangan mereka?

Selain MDTM, peranan juga perlu dimainkan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor di sebelah Negeri Selangor. 

Cintailah sungai kita.

No comments: