29 September, 2019

KISAH MATC PKR TANJONG MALIM

Jika boleh saya tak nak ambil kisah sangat hal dalaman PKR Cabang Tanjong Malim. Siang tadi mereka mengadakan mesyuarat agung di pejabatnya di Jalan Ketoyong. Beberapa maklumat yang saya terima menyebabkan jari saya rasa gatal nak usik-usik keyboard telefon ni.

Pertama pasal korum. Ahli cabang PKR berdasarkan daftar tahun lalu sewaktu pemilihan ada 3,000 orang. Tak pastilah berapa korum kehadiran mesyuarat agung cabang PKR. Jika 1/3, sepatutnya korum 1,000 ahli. Yang daftar hadir 130 orang. Masuk mesyuarat 90. Cukup korum tak? Dengarnya ramai AJK Cabang dan Ketua Ranting tak hadir. Kenapa?

Kedua pasal usul-usul yang dibahas dan diluluskan. Tun Mahathir didesak tunai janji untuk memberi jawatan PM segera kepada Anwar Ibrahim. Bukankah Tun dah cakap di PBB beliau ada masa 3 tahun lagi sebelum serahkan jawatan PM pada orang lain (tak sebutpun nama Anwar). Harap PKR Cabang Tanjong Malim banyakkan bersabar.

Usul kedua dari Felda mendesak supaya Menteri Ekonomi Azmin Ali tak lagi jadi menteri yang menjaga Felda. Cabang minta Azmin digantikan orang lain, atau Felda diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya PM boleh selesaikan masalah Felda segera. Sebab usul tadi minta PM7 lepaskan jawatan kpd Anwar, kena tunggu 3 tahun lagilah untuk selesaikan masalah Felda. Itupun kalau Anwar jadi PM. Kalau Azmin? 🤔

Kenapa desak supaya Azmin tak lagi jadi Menteri Felda? Owhhh... Ahli Parlimen Tanjong Malim, YB Chang Lih Kang tak sokong Azmin, tapi berada dalam kem Rafizi dalam pemilihan Timbalan Presiden tahun lalu. Patutlah susah YB Chang yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR ni nak berurusan dengan Azmin untuk selesaikan masalah Felda. Berbuih sajalah mulut perwakilan berbahas tadi tegur kenapa Ahli Parlimen tak turun padang selesaikan masalah Felda dan persoalkan mengapa YB Chang selalu hantar wakil saja. Rupanya dia tak boleh mengadap Azmin. 

Nak selesaikan macam mana kalau isu tak sampai ke pengetahuan Menteri Felda kan? YB Chang kata akan bawa masalah Felda dalam sidang Parlimen 9 Oktober ini. Takkan nak tunggu sidang Parlimen baru nak bawa masalah Felda. Pergilah jumpa Azmin Menteri Felda. Ada berani?

Ada pula perwakilan Felda lahirkan rasa tak puas hati sebab parti Bunga kuasai Felda, bukan PKR. Aikkk... dah tak berpakat ke? Kan ke Pakatan Harapan? Haha

Cukuplah dulu. Saya nak tonton live bolasepak Perak vs Selangor suku akhir kedua Piala Malaysia di TV1. Agregate semasa Perak 1-0 Selangor. 

Saya harap orang lama PKR yang telah banyak berjasa berjuang bertahun-tahun di Tanjong Malim rasa lega sambil tonton bola kerana jasa mereka dihargai dengan sekampit beras siang tadi. Dah lama terpinggir, sekampit beras pun jadilah buat pengubat hati. 8 orang saja pun. 😢

11 September, 2019

SUNGAI BERNAM, KL TEH DAN RUMAH

Masalah pencemaran Sungai Bernam sebelum ini yang dikatakan berpunca dari projek perumahan Taman Bernam Perdana, Tanjong Malim dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Saya telah bertemu dan berbincang dengan pihak pemaju, KL Teh Land & Development Sdn Bhd beberapa kali sejak isu ini timbul pada 30 Ogos lalu. Tumpuan adalah untuk mencari kaedah supaya aliran air buangan dari kerja-kerja projek berkenaan tidak dilepaskan terus ke Sungai Bernam.

Biarpun pelan pembangunan projek berkenaan sebelum ini telah mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), pihak pemaju telah bersetuju untuk mengubah pelan salirannya dengan kos tambahan hampir RM200,000.

Pelan baru dibentangkan oleh pihak pemaju dalam satu mesyuarat bersama MDTM dan JPS siang tadi, dan telahpun diluluskan.

KL Teh bukan asing dalam projek perumahan di Tanjong Malim sebelum ini. Pemaju ini telah membangunkan projek perumahan mampu milik sebanyak 900 unit di Taman Sekiah Makmur, Behrang Ulu dengan harga di bawah RM200,000 setiap unit. Saya dimaklumkan bahawa kesemua unit telah dijual, dan 95% pembelinya adalah Bumiputera.

Projek Taman Sekiah Makmur terletak dalam DUN Behrang, sama seperti Taman Bernam Perdana. Selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tanjong Malim, saya memantau secara dekat perjalanan projek pembinaan rumah Taman Sekiah Makmur sejak awal. Salah satu syarat yang saya berikan kepada pihak pemaju sebelum pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) meluluskan penjualan tanah itu adalah kesediaan syarikat ini membina sebuah surau dan sebuah bangunan Tadika Kemas secara percuma untuk kegunaan masyarakat setempat. Kedua-duanya dipersetujui dan telahpun digunakan sejak beberapa tahun lalu.  Surau dibina dengan kos RM200,000 dan Tadika Kemas RM800,000.

Projek fasa pertama Taman Bernam Perdana pula melibatkan pembinaan 300 unit rumah mampu milik dengan harga sekitar RM230,000 seunit. Projek ini telah dimulakan sejak sebelum Pilihanraya Umum ke-14 lagi, dan dijangka siap untuk diduduki pada November depan. Untuk fasa kedua pula, KL Teh akan membina 500 unit rumah dengan harga antara RM180,000 ke RM190,000 seunit.

Saya harap masalah-masalah yang timbul seperti pelepasan air ke Sungai Bernam hendaklah segera diatasi supaya ianya tidak merencatkan projek-projek perumahan yang sedang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat pemaju di Parlimen Tanjong Malim.

Sebagai kawasan yang sedang pesat membangun, projek perumahan begitu penting bagi Daerah Muallim untuk menampung populasi penduduk yang semakin meningkat.

Syabas diucapkan kepada pihak pemaju KL Teh, MDTM dan JPS kerana telah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan aduan awam dan memastikan Sungai Bernam terus terpelihara.

Apa sahaja aktiviti di sepanjang Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri Perak dan Selangor ini perlu dipantau supaya tidak berlaku sebarang pencemaran, termasuk oleh pengusaha-pengusaha chalet dan pusat rekreasi. Sempurnakah sistem kumbahan dan aliran air buangan mereka?

Selain MDTM, peranan juga perlu dimainkan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor di sebelah Negeri Selangor. 

Cintailah sungai kita.

03 September, 2019

BERSARA 65 TAHUN? KERAJAAN PH BERPOLEMIK LAGI

Selepas puas berpolemik dengan isu tulisan khat, Kerajaan Pakatan Harapan kini mewujudkan pula satu polemik baru, had umur bersara pekerja awam.

Menteri Sumber Manusia dari DAP, M. Kula Segaran berkata di Ipoh semalam bahawa kementeriannya akan memperhalusi cadangan beberapa pihak, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk meningkatkan usia persaraan dari 60 ke 65 tahun seperti dilakukan beberapa negara maju termasuk Singapura.

Tak sampai 10 jam selepas itu, Menteri Belia dan Sukan dari Parti Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman membantah pula cadangan itu kerana menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada golongan muda untuk mendapat kerja dan dinaikkan pangkat mengikut merit, bukan sahaja faktor umur.

Kedua-dua menteri ini menghadiri mesyuarat kabinet setiap minggu, tetapi amat menghairan kenapa isu besar seumpama ini tidak dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat itu sebelum mereka membuat kenyataan umum?

Timbul tandatanya apakah kenyataan Kula Segaran itu adalah sebagai rentetan cadangan seorang taikun DAP Koon Yew Yin pada 13 Ogos lalu meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan?

Persaraan lebih awal akan membuka peluang kepada pengambilan pekerja baru di kalangan golongan muda untuk mengisi kekosongan. Apakah Kula Segaran berhasrat untuk mengambil masa supaya jawatan-jawatan sedia ada tidak diisi atau dihapuskan apabila penjawat awam yang sepatutnya bersara dilanjutkan pula perkhidmatan selama lima tahun lagi?

Kula Segaran berkata golongan tidak bekerja hanya 3.3 peratus, malah negara kekurangan pekerja hingga terpaksa mendapatkan pekerja dari negara asing. Syed Saddiq sebaliknya berkata kadar pengangguran di Malaysia adalah 10.7% dan terdapat 500,000  golongan muda yang menganggur. 

Manakah yang betul - 3.3% atau 10.7%? Statistik penting seperti kadar pengangguran negara yang ada dalam data para menteri kabinet juga bercelaru dan mungkin hanya ikut sedap mulut mereka sahaja.

Polemik demi polemik antara parti-parti Pakatan Harapan nampaknya mempunyai agenda tersirat untuk menonjolkan parti masing-masing. DAP begitu ketara mahu menonjolkan parti itu pejuang kepentingan bukan Melayu, sementara Bersatu yang kerdil itu mahu mengaburi mata orang Melayu kononnya parti itulah yang menjuarai isu Melayu.

Tun Mahathir tanpa berselindung membidas sikap rasis Dong Zong dan secara sinis mengungkapkan perkataan 'paria', sebaliknya sebilangan besar pemimpin DAP membela Dong Zong dan kalangan penyokongnya mengkritik kenyataan 'paria', walaupun apa yang dimaksudkan oleh Mahathir adalah tahap layanan kerajaan terhadap syarikat operasi Lynas.

Tun Mahathir nampak konsisten mempertahankan keberadaan penceramah Dr. Zakir Naik, sebaliknya DAP dan menteri-menteri kabinetnya termasuk di kalangan  menteri Melayu bercanggah pendapat dengan Perdana Menteri.

Maka untuk beberapa hari ini, berpolemiklah pemimpin kerajaan dalam soal had umur bersara. Maka kesatuan-kesatuan sekerja pun, termasuk CUEPACS segera mengambil peluang meletakkan diri pada pihak yang boleh memberikan keuntungan peribadi kepada mereka.

Betapa hairannya kita apabila Kula Segaran berkata soal menaikkan had umur bersara itu telah beliau serahkan kepada Kementerian Kewangan untuk membuat keputusan. Apakah hal yang begitu penting ini hanya diputuskan oleh satu kementerian tanpa dibawa ke kabinet? Besar sungguh kuasa Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan dalam Kerajaan PH.