KENYATAAN AKHBAR
Setelah mengambil kira pelbagai sudut, saya selaku anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak telah membuat keputusan untuk tidak hadir dalam sessi pendengaran awam esok, 26 November 2018.
Dalam pre council PAC pada Jumaat lalu, saya telahpun menyatakan bantahan terhadap langkah mahu memanggil mantan Menteri Besar, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang juga ADUN Pangkor dan mantan Ketua Eksekutif MB Incorporated, Dato' Aminudin Hashim untuk memberi penjelasan secara sessi pendengaran awam berkaitan akaun MBInc.
Saya masih berpegang kepada keputusan mesyuarat pertama PAC pada 5 Oktober, iaitu sebuah firma audit bebas hendaklah dilantik terlebih dahulu untuk membuat audit dalaman terhadap MBInc, sebelum sebarang langkah lanjut diambil, termasuk jika perlu memanggil Dr. Zambry dan Aminudin untuk memberikan penjelasan di hadapan Jawatankuasa PAC.
Keputusan untuk mengadakan sessi pendengaran awam bukanlah dicapai sebulat suara dalam jawatankuasa PAC, malah pandangan sudahpun saya nyatakan bahawa langkah itu boleh memberi kesan negatif terhadap kredibiliti PAC.
Malahan dua lagi anggota PAC, Adun Pengkalan Hulu Dato' Haji Aznel Ibrahim dan Adun Gunong Semanggol, Tuan Haji Razman Zakaria juga telah menyatakan bantahan terhadap cadangan mahu mengadakan sessi pendengaran awam atas alasan yang sama.
Bagi menjaga reputasi dan kredibiliti saya selaku ADUN yang dipilih oleh pengundi di kawasan saya, saya tidak akan hadir pada sessi pendengaran awam ini yang jelas tidak diperuntukkan di dalam Tatacara Dewan Undangan Negeri Perak, dan tidak pernah diadakan di mana-mana negeri atau di Parlimen di Malaysia, ataupun mana-mana negara Komanwel sebelum ini.
Saya juga membuat keputusan untuk tidak hadir sessi pendengaran awam itu kerana mahu mengelakkan diri daripada disabitkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekiranya Pengerusi PAC atau mana-mana anggotanya membocorkan sebarang dokumen kerajaan kepada pihak awam semasa sessi itu.
DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
ADUN SLIM
AHLI JAWATANKUASA KIRA-KIRA WANG NEGERI PERAK