24 June, 2018

BAGUSLAH GERAKAN KELUAR BN

Tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) semalam adalah dibuat atas kehendak parti itu sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak termasuk UMNO.

Pendapat saya, adalah bagus dan sewajarnya Gerakan berbuat demikian kerana telah gagal memberi sumbangan berkesan bagi membantu BN dalam kempen PRU14 dan beberapa pilihanraya umum sebelum ini.

Gerakan telah gagal memenangi sebarang kerusi dalam pilihanraya umum sejak PRU13.

Parti itu hanya nampak kembali bernafas apabila Presidennya, Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014, tetapi kembali lemas dalam PRU14 lalu.

Dengan keluar daripada BN, Gerakan boleh bebas merangka pembinaan semula kekuatan parti itu, terutamanya dalam menstrukturkan kembali kepimpinan di peringkat bahagian.

Gerakan sudah lama berkubur di kebanyakan bahagian. Di Tanjong Malim contohnya, hanya tinggal seorang pemimpin yang berjawatan Ketua Bahagian, itupun atas sebab mahu mengisi kuota jawatan Ahli Majlis Daerah.

Dalam PRU14 lalu, tidak ada sebarang komitmen yang ditunjukkan oleh Gerakan bagi membantu calon-calon BN yang bertanding di Tanjong Malim.

UMNO dan BN sudah lama menanggung parti Gerakan seperti 'biawak hidup', parti yang sudah hilang hala tuju, tidak mendapat sokongan masyarakat Cina yang mahu diwakilinya, dan berjuang semata-mata untuk mendapatkan kerusi semasa Pilihanraya Umum.

Semoga Gerakan lebih berjaya dan dapat memberikan saingan terhadap DAP selepas keluar dari BN. 

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
KETUA PENERANGAN BN DAN UMNO NEGERI PERAK
PENGERUSI BN BAHAGIAN TANJONG MALIM

13 June, 2018

GERAKAN IBARAT BIAWAK HIDUP DALAM BN

KENYATAAN AKHBAR

DATO MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB
PENGERUSI BN BAHAGIAN TANJONG MALIM
KETUA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM 
ADUN BN KAWASAN SLIM, PERAK

Kenyataan  Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong semalam yang mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk memutuskan sama ada perlu mengusir UMNO berbanding bertindak keluar daripada gabungan itu adalah amat biadap dan tidak mengenang budi.

UMNO telah banyak berbudi dan menyelamatkan parti Gerakan daripada keadaan nyawa nyawa ikan sejak sekian lama.

Andy perlu mencermin partinya sendiri yang lemah, malahan tidak punya sistem pentadbiran teratur, terutama di peringkat bahagian yang mampu menunjukkan Gerakan sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Cina.

Di Tanjong Malim, parti Gerakan langsung tidak berfungsi, hanya tinggal seorang ketua tanpa ahli dan gagal membantu kempen BN semasa Pilihanraya Umum yang lalu.

Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendung oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa. 

Pemimpin Gerakan di peringkat Pusat selama ini hanya pandai beretorik, bercakap seolah-olah parti itu terlalu hebat, sedangkan kenyataannya Gerakan hanya menunggu masa untuk berkubur.

Kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihanraya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah ketika Presidennya Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014.

Sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihanrayanya.

Oleh itu para pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan Pemudanya tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu.

Gerakan sudah lama menjadi parti politik jalanan jika tidak dibantu oleh UMNO yang menerajui BN selama ini.

Tanjong Malim
13hb Jun 2018