31 March, 2016

"MANA MARUAH JIKA DAH SEBARIS PEMBANGKANG?"

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepimpinan dan ahli Umno supaya tidak mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, perjuangan politik yang berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan isu dalam negara.

"Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan huru-hara.

"Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM, Datuk Melati Ali.

Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan.

"Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti, dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi pemimpin) kita wajib sokong parti.

"Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris Umno lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan.

"Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis, anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang. Kita pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka kata.

"Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah," kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum.

Najib berkata, rakyat tidak akan membiarkan orang luar menentukan kepimpinan negara sebaliknya, menyokong usaha kerajaan dalam merencanakan pembangunan negara.

"(Oleh itu) jangan layan karenah puak-puak ini kerana kita ada banyak lagi kerja dan agenda untuk rakyat dan negara. Kita mesti istiqamah, fokus sebagai pemimpin kerajaan, kita mesti pastikan negara terus berjaya di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan Umno," katanya.

Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk mewariskan sebuah negara yang lebih kukuh kepada rakyat.

"Kalau ada kesilapan, kita betulkan sesama kita, jangan hancurkan negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayangkan. Kalau parti hancur, tiada lagi perjuangan. Sebab itulah, kita perlu kasihkan parti, kasihkan negara," katanya.

Terdahulu, kira-kira 5,000 anggota PBAKM yang diketuai Melati membaca ikrar taat setia dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib. - Bernama



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

22 March, 2016

HAMPIR 1.2 JUTA PERMOHONAN BR1M DITOLAK

KUALA LUMPUR: Hampir 1.2 juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2016 (BR1M 2016) ditolak tahun ini atas beberapa faktor utama, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu faktor pemohon individu mempunyai pendapatan melebihi RM2,000 mencatatkan peratusan tertinggi permohonan ditolak iaitu 24 peratus diikuti 21 peratus pemohon isi rumah berpendapatan melebihi RM4,000.

"Faktor lain ialah 15 peratus pemohon disenarai sebagai penerima Baucar Buku 2016, sebanyak 10 peratus pemohon atau pasangan telah wujud sebagai pemohon atau pasangan permohonan lain (dublikasi), maklumat pasangan berbeza dengan data Jabatan Pendaftaran Negara dan memerlukan pengesahan (10 peratus).

"Selain itu, 20 peratus pula disebabkan lain-lain faktor," kata kementerian itu.

Kementerian Kewangan berkata demikian, menjawab pertanyaan V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) yang meminta kementerian itu menyatakan apakah faktor lain selain pendapatan isi rumah yang menyebabkan seseorang itu hilang kelayakan mendapat bantuan BR1M.

Beliau juga ingin tahu jumlah permohonan yang ditolak tahun ini serta pecahan berdasarkan faktor penolakan permohonan.

Menurut Kementerian Kewangan, pemohon yang gagal, diberi peluang membuat rayuan di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan mengemukakan segala dokumen berkaitan mulai 15 Mac hingga 15 April ini.

"Perkara ini telah dinyatakan di dalam surat yang dihantar kepada pemohon yang gagal dan juga dimaklumkan menerusi sistem e-BR1M di laman sesawang LHDN,"menurut kementerian itu. – BERNAMA



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

19 March, 2016

USUL ORANG ASLI BANTAH TUN M

Cawangan UMNO Chenein, sebuah perkampungan Orang Asli yang bersidang hari ini sebulat suara meluluskan usul membantah Deklarasi Tun Mahathir-Kit Siang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. 

Usul UMNO Cawangan
Kampung Chenein
Bahagian Tanjong Malim

Menyedari bahawa parti keramat UMNO perlu terus dijunjung dan dipertahankan demi memastikan nasib bangsa dan tanahair terus terpelihara;

Mengakui bahawa jawatan Perdana Menteri itu adalah sebuah institusi yang dipilih secara demokratik melalui proses Pilihanraya Umum dan perlu dihormati;

Memahami bahawa parti-parti pembangkang, terutamanya DAP, telah lama melancarkan pelbagai serangan, tohmahan dan fitnah terhadap UMNO dan pemimpinnya dengan tujuan menimbulkan kebencian rakyat bagi membolehkan mereka mengambil alih pemerintahan negara.

Maka
UMNO Cawangan Kampung Chenein, satu-satunya cawangan Orang Asli dalam bahagian Tanjong Malim yang bersidang pada hari ini, 19hb Mac 2016 membuat usul berbunyi berikut :

Mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya tindakan mantan Perdana Menteri dan mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sanggup bersekongkol dan duduk satu meja dengan musuh utama UMNO, khususnya Lim Kit Siang dari parti DAP, dan berselindung atas nama rakyat  membentuk apa yang mereka namakan sebagai Deklarasi Rakyat, bertujuan hendak menjatuhkan Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dari jawatan Perdana Menteri secara tidak demokratik.

Mendesak pucuk pimpinan UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO supaya segera mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan mengenakan tindakan tegas, termasuk melucutkan keahlian beberapa pemimpin UMNO, termasuk mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang kini seolah-olah menjadi gunting dalam lipatan UMNO dan sanggup diri diperalatkan, apabila mereka juga bertindak duduk sebaris dengan pemimpin-pemimpin pembangkang menandatangani deklarasi tersebut bagi menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat.

Menyokong penuh kepimpinan Dato' Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan akan berdiri teguh bersama beliau memastikan UMNO dan BN memenangi Pilihanraya Umum ke-14.

Membantah setiap tindakan Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) yang kononnya mendapat sokongan majoriti Ketua UMNO Cawangan di seluruh negara bagi menjatuhkan Dato' Seri Najib selaku Perdana Menteri sedangkan anggota GKCM yang didalangi Tun Mahathir  hanya sekelumit kecil berbanding majoriti besar cawangan UMNO yang masih menyokong Dato' Seri Najib.

Mokhtar A/L Achek
Ketua UMNO Cawangan Kampung Chenein
Tanjong Malim


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

10 March, 2016

FINAS TUBUH PUSAT KREATIF DI SABAH

Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menubuhkan Pusat Kreatif Kinabalu (KCC) di Sabah bagi merancakkan lagi kegiatan industri kreatif di negeri ini.

Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata KCC akan menjadi pusat sehenti kepada pelbagai aktiviti berkaitan industri kreatif, khususnya perfileman di Sabah.

Menurutnya, hasrat itu telahpun disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dalam kunjungan hormat beliau di Sri Gaya dekat Kota Kinabalu, petang ini.

"Ketua Menteri berasa gembira dengan hasrat Finas ini dan telah menyatakan kesediaannya untuk membantu supaya KCC ini dapat diwujudkan segera," kata Mohd Khusairi.

Beliau juga bersetuju untuk mendapatkan tapak yang sesuai dan strategik untuk tujuan itu.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Datuk Deddy M. Borhan.

Mohd Khusairi berkata, kewujudan KCC di Sabah akan dapat membantu penggiat industri kreatif di sini supaya lebih mudah berurusan dengan pihak Finas yang menjadi peneraju industri kreatif negara.

Menurutnya, Finas telah wujud di Sabah sejak 1985, tetapi peranannya hanyalah dalam hal berkaitan penguatkuasaan dan perlesenan.

Kewujudan KCC boleh dianggap sebagai kemudahan terbaru di Sabah untuk membolehkan penggiat seni kreatif di negeri ini berurusan, khususnya dalam penilaian hasil karya sebagaimana yang diwujudkan oleh Finas melalui Content Malaysia Pitching Centre di KL Sentral, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, katanya lagi, penggiat seni tempatan tidak perlu lagi menghabiskan masa dan kewangan untuk ke Kuala Lumpur bagi melontarkan idea menghasilkan karya baru bagi mendapatkan pelbagai benduk dana yang disediakan oleh pihak Finas.

"KCC juga akan menjadi pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti industri kreatif di Sabah khususnya dalam bidang perfileman, serta menyelaras maklumat lokasi-lokasi pengambaran menarik kepada penerbit dari dalam dan luar negara."

"KCC juga boleh meningkatkan lagi industri pelancongan di Sabah melalui filem-filem yang dipasarkan," tambahnya.







Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

05 March, 2016

TG MALIM PERTAHAN NAJIB

KENYATAAN MEDIA
JAWATANKUASA UMNO BAHAGIAN TANJONG MALIM

1. UMNO Bahagian Tanjong Malim dalam mesyuarat Ahli Jawatakuasa malam ini (Jumaat 4hb Mac 2016) melafazkan taat setia tanpa berbelah bahagi terhadap Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Najib Tun Razak untuk terus menerajui kepimpinan negara.

2. UMNO Bahagian Tanjong Malim juga mengambil ketetapan untuk terus menyokong dan membantu YAB Presiden Parti dalam mengemudi parti UMNO.

3. Melahirkan rasa kesal dan kecewa atas sikap segelintir pemimpin dan bekas pucuk pimpinan parti UMNO yang hari ini bersekongkol dengan parti pembangkang dalam agenda untuk menjatuhkan Dato' Sri Najib dari jawatan Perdana Menteri secara tidak demokratik.

4. Menggesa Majlis Tertinggi UMNO untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi mengambil tindakan tegas terhadap pimpinan dan ahli parti yang telah melanggar etika parti kerana bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Presiden parti.

5. Mengemaskini seluruh jentera parti di semua peringkat supaya mempersiapkan segala kemungkinan dalam memperteguhkan parti.

Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.