30 July, 2012

LAJIM UKIN DALAM KENANGAN


Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Janang Gayuh kaum Bisaya di Beaufort, Sabah dengan jelas telah menunjukkan haluan politiknya menjelang Pilihanraya Umum Ke-13. Beliau tidak lagi akan berada dalam kapal Barisan Nasional (BN), sebaliknya akan bersama Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang ditubuhkannya bersama seorang lagi Ahli Parlimen yang meninggalkan BN, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing. PPS hampir pasti akan bersekongkol dengan Pakatan Rakyat (PR) pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Itulah politik Lajim sebenarnya. Bermula daripada 1985 ketika memenangi kerusi DUN Klias,sehinggalah semalam ketika Ahli Parlimen Beaufort itu mengumumkan perletakan jawatannya daripada beberapa posisi penting BN dan UMNO, Lajim adalah tokoh politik Sabah yang tidak punya rasa setia kepada parti politik yang dianggotainya.

Mengenali Lajim sejak 1986 dan pernah menghasilkan buku autobiografinya ketika saya di Sabah, beliau dilihat seorang ahli politik opportunis yang sentiasa mengambil kesempatan yang menguntungkan dirinya sendiri, tanpa menghiraukan kepentingan partinya.

Lajim bertanding atas tiket PBS di DUN Klias pada 1985 setelah hasratnya untuk menjadi calon parti Berjaya dipandang sepi oleh Datuk Harris Salleh yang menjadi Presiden parti dan Ketua Menteri Sabah ketika itu. Beliau menang dan kemudiannya menjadi anak emas kepada Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan (kini Tan Sri).

Pairin mengangkat Lajim ke jawatan penting bermula daripada Pembantu Menteri hinggalah Menteri penuh dalam Kerajaan PBS.  Sepanjang di dalam Kerajaan PBS, Lajim bercita-cita besar untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri yang mewakili kuota Bumiputera-Islam, tetapi hasrat beliau itu selalu dibayangi oleh seorang lagi anak emas Pairin, iaitu Datuk Bahrom Abu Bakar Titingan, pemimpin suku kaum Suluk dari Tawau. Kaum Suluk, yang hampir keseluruhannnya beragama Islam adalah suku kaum Bumiputera-Islam yang terbesar di Sabah, mengatasi kaum Bisaya.

Selepas Pilihanraya Negeri 1990, biarpun Bahrom tewas di Balung atas tiket PBS, tetapi Pairin masih melantiknya ke jawatan ADUN dan mengekalkan jawatannya selaku Timbalan Ketua Menteri  mewakili Bumiputera-Islam yang menyebabkan Lajim mengamuk semasa upacara angkat sumpah di Istana. Lajim ketika itu menang di Klias menewaskan calon USNO, Azizah Mohd Dun dengan majioriti 791 undi.

Sepanjang penguasaan PBS di Sabah, bukan rahsia lagi berlaku perebutan jawatan penting antara Lajim dan Bahrom bagi kuota Bumiputera-Islam, samalah keadaannya di antara Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Chau Tet On bagi kuota kaum Cina. Dalam setiap kali pertandingan, kemenangan berpihak kepada Bahrom. Teck Lee pula berjaya menewaskan Tet On yang kemudiannya mengerakkan MCA di Sabah.

Lajim memendam rasa sejak sekian lama di dalam PBS, walaupun beliau memegang jawatan Menteri dalam kabinet Pairin. Sebaliknya Teck Lee bertindak menjelang Pilihanraya Negeri Sabah pada 1994 dengan meninggalkan PBS dan menubuhkan Parti Maju Sabah (SAPP). Tindakan Teck Lee itu agak menghairankan kerana beliaulah antara individu yang kuat mempengaruhi Pairin supaya membawa PBS keluar daripada BN menjelang Pilihanraya Umum 1990.

Lajim, walaupun menang sekali lagi kerusi DUN Klias dalam Pilihanraya Negeri 1994, telah mula menunjukkan reaksi untuk mengkhianati PBS dan Pairin. Bukan rahsia lagi ketika ADUN-ADUN PBS berkampung di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri dalam peristiwa di luar pintu pagar Istana sebaik selesai pilihanraya itu, Lajim sudah menghantar mesej mahu meninggalkan PBS dan melompat ke BN. Dalam pilihanraya tersebut, PBS menang tipis dengan 25 kerusi, berbanding 23 dimenangi BN.

Ketika itu Pairin menunggu dalam kereta di luar pintu pagar Istana selama 36 jam bersama penyokong-penyokong PBS untuk masuk mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Yang Di-Pertua Negeri Sabah ketika itu, Tun Haji Said Keruak. Lajim yang berada di Sri Gaya dalam keadaan ‘terkurung’ bersama ADUN-ADUN PBS yang lain berjaya meloloskan mesej untuk mengkhianati partinya itu yang menjadi antara sebab upacara angkat sumpah Ketua Menteri tertangguh.

Ketika itu, Lajim sudah merasakan bahawa keinginannya untuk menjadi Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam tidak akan kesampaian kerana anak Tun Mustapha, Datu Amirkahar juga turut menang di DUN Banggi atas tiket PBS. Jelas, Pairin melantik Amirkahar selaku Timbalan Ketua Menteri bagi kuota Bumiputera-Islam yang meningkatkan api kemarahan Lajim terhadap Pairin dan PBS.

Biarpun Pairin berjaya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, kekuasaannya tidaklah kekal lama apabila Lajim bertindak melompat ke parti UMNO bersama dengan ADUN Kemabong, Rubin Balang dan ADUN lantikan, Haji Zaini Md Isa.

Biarpun jasa Lajim dilihat begitu besar hingga menyebabkan peralihan kuasa daripada PBS kepada BN di Sabah, tetapi dia menyimpan cita-cita pula untuk menjadi pemimpin nombor satu Sabah, iaitu sebagai Ketua Menteri dalam sistem penggiliran jawatan itu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Penggiliran pertama pastinya bukan milik beliau kerana Tun Sakaran Dandai lebih senior dan mempunyai hairaki kepimpinan yang lebih kanan dalam UMNO Sabah.  Selepas 11 bulan, atas faktor kesihatan, Tun Sakaran melepaskan jawatan itu tetapi kuota UMNO itu tidak singgah kepada Lajim, sebaliknya Datuk Salleh Tun Said Keruak dilantik.

Selepas Yong Teck Lee dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok mengambil giliran bagi kuota Cina dan Bumiputera Bukan-Islam, jawatan itu tidak jatuh juga kepada Lajim, tetapi kepada Datuk Osu Sukam.  Selepas digilirkan kepada Dato’ Chong Kah Kiat, kemarahan Lajim semakin membuak-buak apabila jawatan idamannya itu jatuh pula ke tangan Datuk Musa Aman yang menjadi Ketua Menteri Sabah sejak Mac 2003 hingga sekarang.

Ketika ini Lajim mempersalahkan semua pihak. Baik Musa yang dilihat menjadi musuh ketatnya dalam politik Sabah, mahupun Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang diwar-warkan tidak akan mencalonkan lagi Lajim dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Lajim tidak boleh menerima hakikat bahawa karier politiknya sudah sampai ke dinding.  Sikapnya yang tidak istiqamah kepada perjuangan parti sudah dapat dihidu sejak beberapa tahun lalu. Ugutan kepada pucuk pimpinan parti bukanlah cara yang baik bagi kelangsungan politik peribadi.

Lajim kini mahu mencari landasan lain untuk meneruskan kerier politiknya.  Bagi Lajim, sejak sekian lama hidup dan matinya adalah bergantung kepada politik. Selaku ahli politik opportunis, beliau sentiasa merangka langkah politik yang boleh menguntungkannya.

Perhitungan Lajim meninggalkan Berjaya dan bertanding atas tiket PBS terbukti mengena pada cita-cita politiknya apabila PBS menang dalam Pilihanraya Negeri 1985. Tindakannya meninggalkan PBS dan melompat ke UMNO juga ternyata mengena sehingga membolehkan BN mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah dari PBS pada 1994 dan seterusnya menyambung nasib politik beliau.

Entah apalah pula perhitungan dan bacaan politik Lajim kali ini sehingga sanggup meninggalkan BN dan mahu bersekongkol pula dengan PR. Tetapi Lajim perlu akui pepatah Melayu akan tiba ke atas dirinya – sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Hari ini Kabinet akan membuat keputusan terhadap kedudukan Lajim, sebagaimana dinyatakan oleh Najib semalam. Setelah tokoh Bisaya itu mengumumkan perletakan pelbagai jawatannya dalam UMNO dan BN, apalah gunanya lagi beliau duduk di kerusi Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan. Apa gunanya juga beliau kekal menjadi ahli UMNO.

Pecatlah sahaja Lajim, kerana kaum Bisaya di Sabah selama ini menyokong Lajim bukan kerana dirinya, tetapi kerana parti yang diwakilinya. Lajim akan  menjadi seperti Yong Teck Lee, yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai paramount leader (pemimpin agung) kepada kaum Cina di Sabah, tetapi akhirnya tersungkur dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Batu Sapi, Sandakan yang majoriti pengundinya di kalangan kaum tersebut. Ironinya, Teck Lee tewas di tangan seorang wanita yang tidak menonjol dalam arena politik Sabah.

Akan muncul Janang Gayuh yang baru bagi kaum Bisaya di Beaufort. Lajim akan  menjadi kenangan dalam lipatan sejarah politik Sabah selepas PRU-13 nanti.

11 July, 2012

495 ISTERI PENEROKA FELDA BESOUT 2 KUMPULAN PERTAMA TERIMA DURIAN RUNTUH RM5,000


"SLIM RIVER - Seramai 495 isteri peneroka Felda Gunung Besout 2 dekat sini dipercayai menjadi kumpulan pertama dari seluruh tanah rancangan yang menerima durian runtuh Fasa 2 pagi ini.

Setiap mereka menerima cek RM5,000 yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Rata-rata mereka merasa terkejut kerana dalam ucapan pengurus Felda Besout 2, Encik Fadhil Mansor sebelum itu berkata cek durian runtuh itu hanya akan disampaikan beberapa hari lagi setelah mendapat keputusan mesyuarat antara Pengurus Besar Wilayah (RGM) seluruh negara hari ini.

Mohd Khusairi menyampaikan berita yang menggembira para isteri peneroka itu, setelah beliau mengetahui bahawa cek-cek berkenaan sudah ada di pejabat pengurus rancangan dan telah mendapat lampu hijau daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan sejurus sebelum memulakan ucapan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim hadir ke program perhimpunan bulanan peneroka (roll-call) tanah rancangan itu pagi ini bagi menyampaikan cek peruntukan RM100,000 untuk membina menara Masjid Saidina Umar Al-Khattab yang telah diluluskan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada April lalu.
Mohd Khusairi menyampaikan cek kepada Pengerusi Masjid Felda Besout 2
Dalam ucapannya, Mohd Khusairi berkata beliau bersimpati melihat kehadiran hampir keseluruhan isteri peneroka tanah rancangan itu, kerana beberapa hari lalu ada yang menghebahkan kononnya cek durian runtuh akan disampaikan dalam program berkenaan.

“Biarlah saya mendahulukan keputusan mesyuarat RGM dan bertanggungjawab atas perkara ini demi menggembirakan isteri-isteri peneroka yang begitu berharap untuk mendapatkan cek itu hari ini. Saya minta cek itu diserahkan hari ini juga,” katanya dalam ucapan disambut sorakan dan tepukan gemuruh.

Ketika berucap melancarkan prospektus saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) pada 31 Mei lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memberitahu bahawa penyampaian wang durian runtuh Fasa 2 kepada isteri-isteri peneroka akan dilaksanakan pada 7 Julai bersempena sambutan Hari Peneroka 2012 dan perasmian Menara Felda.
 
Seorang isteri peneroka Felda Besout 2, Puan Khatijah Awang Desa, 49 melahirkan rasa gembira dan terkejut apabila mendapat berita bahawa cek durian runtuh itu diserahkan hari ini.

“Terima kasih kepada wakil rakyat kami kerana berusaha supaya cek tu disampaikan kepada kami pada hari ini. Terima kasih juga kepada Perdana Menteri kerana telah mempertimbangkan supaya kami isteri peneroka juga menerima durian runtuh RM5,000 ini,” katanya yang juga Pengerusi GPW tanah rancangan berkenaan.

Puan Masnah Othman, 48 yang juga isteri peneroka turut bersyukur menerima cek durian runtuh itu hari ini dan berhasrat untuk menyimpan wang berkenaan dalam akaun Tabung Haji miliknya." - Berita Felda


08 July, 2012

ORANG ASLI SUNGAI TERAS 2004 DAN KINI

Tok Batin Kuloh A/L Bah Rintih menyambut tetamu dengan tarian sewang.
Tidak ada satu bangunanpun yang diperbuat berasaskan konkrit atau menggunakan batu dan simen di Kampung Orang Asli Sungai Teras yang terletak dalam DUN Slim, kira-kira 9 km dari Slim River. Rumah mereka dibina secara tradisional - kayu yang ditarah, buloh dan rumbia.

'Dewan' terbuka mereka juga dibuat dari bahan-bahan tradisional tersebut, dan lantainya adalah tanah tanpa simen. Tidak ada kerusi plastik seperti kebiasaannya, melainkan pangkin dahan kayu yang diikat ke tiang dengaan kulit pokok.

Itulah keadaannya ketika saya mula-mula menjejakkan kaki ke Kampung Sungai Teras ketika dalam kempen Pilihanraya Umum ke-11 pada Februari 2004 seperti digambarkan oleh dua foto di bawah.

2004 - Batin Kuloh menyampaikan cenderahati kepada saya. Lihatlah 'dewan'nya.
2004 - Anak-anak Orang Asli yang bercangkung di lantai tanah. Kini usia mereka sudah menjangkau 18 tahun.
Perkara pertama yang saya lakukan di kampung ini sebaik memenangi PRU-11 ialah membekalkan dua buah mesin memotong rumput jenis sandang dan peruntukan RM1,500 bagi membaikpulih enjin generator yang telah lama rosak bagi menerangi malam mereka yang suram.

Sebulan selepas itu mereka menerima binaan berasaskan batu yang pertama, iaitu jalan kampung bertar di sekitar kawasan penempatan dengan kos kira-kira RM30,000. Setahun kemudian, 20 buah rumah PPRT dibina daripada peruntukan kerajaan yang disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Pada 2006, penduduk Kampung Sungai Teras menerima sebuah dewan orang ramai dengan kos RM50,000 seperti dalam foto terawal di atas. Dewan itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang berkunjung di kampung tersebut.

Kini beberapa lagi program pembangunan diwujudkan di Kampung Sungai Teras. Namun projek pembangunan tidak berhenti di situ sahaja. Lebih banyak lagi kemudahan awam akan dinikmati oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Semai itu apabila siapnya projek pembinaan jalan Besout ke Kuala Slim sepanjang 11.2 km yang jajarannya berhampiran perkampungan berkenaan.

Tahniah kepada Tok Batin Kuloh a/l Bah Rintih yang memimpin Kampung Sungai Teras sejak 2004 lagi. Anak-anak berusia 10 tahun yang saya temui lapan tahun lalu kini sudah muda remaja dan ada yang sudah berumahtangga.

Beberapa bulan lalu sekumpulan pendokong parti PKR memasuki kampung ini. Dengan berbekalkan sekampit beras untuk setiap keluarga, kumpulan ini cuba meracuni pemikiran masyarakat orang asli dan memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya tidak berbuat apa-apa untuk masyarakat Orang Asli.

Tetapi ternyata masyarakat Orang Asli di sini dengan jelas melihat jasa BN di sekitar mereka sejak lapan tahun lalu. Sebagai wakil yang telah mereka pilih sejak 2004, hati saya berasa puas melihat perubahan yang wujud di Kampung Sungai Teras sehingga kini.

Lihatlah kegembiraan mereka di bawah dalam kunjungan saya petang tadi bersama Ahli Parlimen Tanjong Malim, Dato' Seri Ong Ka Chuan.Tidak hairanlah jika lebih 80 pengundi di situ melaungkan ikrar akan terus menyokong BN dalam PRU-13 nanti.

Pertandingan menganyam atap
Pertandingan menyumpit
Anak-anak generasi Kampung Sungai Teras
Batin Kuloh sedang menerima sumbangan.


WISMA FELDA MENUTUP MULUT PEMBANGKANG


Kira-kira jam 9.00 malam tadi, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak merasmikan Wisma Felda, bangunan setinggi 50 tingkat terletak di wilayah segitiga emas ibukota Kuala Lumpur. Bangunan berhampiran menara berkembar KLCC itu dibina dengan kos RM700 juta, dan nilainya kini melebihi RM900 juta.

Mercu tanda baru di Kuala Lumpur ini menjadi kebanggaan warga Felda, khususnya para peneroka yang telah berpuluh tahun membanting tulang dan hidup serba marhaen pada peringkat awalnya. Inilah transformasi paling nyata yang dilakukan oleh Dato' Seri Najib terhadap Felda, selain penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH) di Bursa Saham Malaysia pada 28 Julai lalu.

Dato' Seri Najib ketika berucap merasmikan Wisma Felda sempena Sambutan Hari Peneroka 2012
Malam ini lebih 15,000 warga peneroka yang berkumpul di dataran berhampiran Wisma Felda dapat melihat dengan mata sendiri bagaimana gahnya bangunan milik mereka berdiri megah di celah-celah bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur, khususnya KLCC.

Wisma Felda adalah manifestasi ketekunan Felda, pelengkap kepada ilham Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengasaskan LKTP (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) 56 tahun lalu, lambang globalisasi Felda yang ingin dibawa oleh anaknya selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda dan lebih dari itu, ianya adalah ganjaran titik peluh dan kesabaran lebih 112,000 peneroka selama ini.

Gemerlapan pancaran bunga api mengiringi perasmian Wisma Felda
Gahnya Wisma Felda telah merudumkan keangkuhan pembangkang yang melemparkan pelbagai tohmahan kepada Felda selama ini. Mana mungkin bangunan sebegitu indah dan eksklusif dapat didirikan di tengah-tengah wilayah segitiga emas Kuala Lumpur jika Felda sudah bankrap seperti tuduhan melulu puak-puak pro-pembangkang.

Felda dibangunkan atas semangat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar dan memberi peluang mereka memiliki tanah. Idea asal ini telah berkembang begitu pesat di bawah kelolaan Dato' Seri Najib sehingga membawa Felda ke persada antarabangsa.

Idea inilah yang tidak wujud dalam parti pembangkang dan pakatannya. Idea yang berligar di kepala mereka adalah bagaimana mencari jalan untuk merudumkan Felda, lantas itu dijadikan sebagai senjata untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Pembangkanglah sebenarnya sudah bankrap. Mereka bankrap idea dan isu.

05 July, 2012

UNCLESEEKERS DITAHAN. SYABAS POLIS. DAULAT TUANKU!!


JOHOR BAHRU 5 Julai - Pengamal paranormal, Syed Abdullah Hussein Al-Attas atau dikenali sebagai Uncle Seekers yang didakwa mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di dalam blognya baru-baru ini ditahan di Plaza Tol Senawang malam tadi.

Difahamkan, dia ditahan oleh polis dari kontinjen Johor pada pukul 9.45 malam dan kini dibawa ke negeri ini dipercayai bagi siasatan lanjut ekoran laporan dibuat sekumpulan 30 individu mengenai tulisannya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, 1 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perkara itu hari ini. - UTUSAN