19 October, 2019

PERAK FA DIHARAMKAN?

Surat terbuka kepada Persatuan Bolasepak Perak (PERAK FA)

Saya mengambil masa yang amat panjang bagi mengemukakan satu persoalan kepada Perak FA. Sudah bertahun ianya berligar di fikiran saya. Untuk makluman Perak FA, saya peminat setia sukan bolasepak tanahair, dan pendokong tegar team The Bos Gaurus. 

Setelah musim Piala Malaysia tahun ini berakhir, dan tidak lagi mengganggu kempen Negeri Perak mempertahankan piala berprestej itu, kini saya terpanggil untuk mengemukakan surat terbuka ini kepada Presiden Perak FA, YAB Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengurus Perak FA, Dato' Adly Shah.

Sudah hampir 10 tahun Persatuan Bolasepak Daerah Slim River (PBDSR) tidak mengadakan mesyuarat agungnya. Tetapi amatlah menghairankan bagaimana persatuan ini masih menganggotai Perak FA dan boleh pula menghantar wakil ke AGM Perak FA? Siapakah yang memilih perwakilan dari PBDSR yang sepatutnya dilakukan di dalam mesyuarat agung? Bukan sekadar menghantar perwakilan ke AGM Perak FA, malah perwakilan PBDSR yang disyaki haram itu dibenarkan pula bertanding dan menang jawatan dalam Perak FA sejak beberapa penggal lalu.

Adakah kepimpinan PBDSR menipu Perak FA dengan hanya sekadar membuat mesyuarat agung di atas kertas dan menghantar laporan dan minit mesyuarat palsu kepada pihak Perak FA? Adakah PAFA pernah menghantar pemerhati ke mesyuarat agung persatuan bolasepak daerah bagi memastikan mesyuarat itu berlaku?

Jika perkara menghantar perwakilan haram ini berlaku, Perak FA telah melanggar peraturan FAM kerana membenarkan persatuan daerah yang tidak sah menghantar perwakilan dalam AGMnya. Jika perkara ini diketahui lebih awal oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS), mungkin Perak FA telah diharamkan sejak bertahun-tahun lalu. Malah Perak FA juga tidak layak menjadi anggota FAM.

Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa PBDSR adalah kenalan saya. Mereka juga menjadi penggerak dan urusetia Liga Bolasepak Piala Dato' Khusairi (LBPDK), liga tahunan yang saya anjurkan di Slim River sejak lima tahun lalu. Mereka juga tertanya-tanya hal yang sama, biarpun berjawatan AJK persatuan.

Saya tidak pasti adakah persatuan daerah yang lain juga mengambil sikap sama, iaitu sambil lewa terhadap peraturan dan undang-undang FAM dan Perak FA. Saya dapati Persatuan Bolasepak Daerah Tanjong Malim, satu lagi persatuan dalam Daerah Muallim, juga terikut-ikut sikap begini, iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung, sebaliknya menghantar wakil ke AGM Perak FA, wakilnya bertanding dan menang pula jawatan kanan dalam Perak FA.

Saya pernah mengemukakan perkara ini kepada Dato' Adly kira-kira setahun lalu dan meminta beliau berbuat sesuatu bagi mengelakkan Perak FA diharamkan. Namun sehingga kini tidak ada tindakan konkrit diambil oleh pihak Perak FA.

Saya sayangkan Perak FA dan pasukan bolasepak Negeri Perak. Tetapi jangan pula disebabkan kegagalan individu melaksanakan tanggungjawab selaku Yang Dipertua dan Setiusaha persatuan bolasepak daerah, maka kesannya terpalit kepada Perak FA sehingga persatuan kesayangan rakyat Negeri Perak ini diharamkan.

Saya memberi muka kepada PBSR selaku penganjur bersama LBPDK sebelum ini, biarpun dalam hati saya tertanya-tanya samada persatuan itu masih sah atau tidak pendaftarannya. Penganjur bersama tanpa perlu persatuan itu mengeluarkan satu sen modal. Namun ada yang memberitahu saya kononnya persatuan ini pernah membuat tuntutan peruntukan daripada Perak FA kerana menganjurkan Liga Daerah Slim River, walhal itu adalah LBPDK yang telah saya taja sepenuhnya.

Janganlah ada pula yang menuduh saya menulis surat terbuka ini kerana inginkan apa-apa jawatan di dalam persatuan bolasepak daerah ataupun Perak FA. Saya tak mahukan jawatan-jawatan itu. Saya hanya peminat tegar bolasepak Negeri Perak, dan mahu melihat sukan ini berkembang pesat di peringkat daerah. Saya mahu lihat lebih ramai anak muda Perak menjadi pemain negeri hasil usaha mencungkil bakat mereka dari liga daerah.

Majulah bolasepak untuk Perak.


Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib

ADUN Slim

Penaung LBPDK

(19 Oktober 2019)


#FAM #PAFA #LIGAMALAYSIA

09 October, 2019

PILIHAN RAYA NEGERI PERAK?

Al kisah, sejak semalam tular sepucuk surat dari Kementerian Pendidikan Malaysia (Negeri Perak) yang memberi kebenaran kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak untuk membuat lawatan awal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi dalam Negeri Perak.

Semasa singgah makan tengahari di Restoran Pak Ya Bistro di Kampung Kuala Slim dalam perjalanan pulang melawat kawasan banjir di Felda Besout, seorang penyokong kerajaan menunjukkan kepada saya surat yang sama di layar telefonnya. 

Awal sungguh SPR mahu meninjau pusat mengundi di Negeri Perak. Tempoh akhir bagi mengadakan Pilihanraya Umum ke-15 ialah pada Mei 2023, iaitu 3 tahun 6 bulan lagi. Masih lama.

Kenapa di Negeri Perak? Rasanya SPR tidak memohon perkara yang sama di negeri-negeri lain. Istimewa sungguh Negeriku Perak ni.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak dibentuk selepas PRU14 pada Mei 2018 setelah dua ADUN Barisan Nasional (BN) dari parti UMNO keluar dan mengisytiharkan diri ADUN bebas dan menyokong Faizal Azumu menjadi Menteri Besar.

Kedudukan 59 kerusi DUN Perak selepas PRU14 ialah 29 PH, 27 BN dan 3 PAS. Untuk membentuk Kerajaan Negeri, perlu sejumlah 30 kerusi untuk majoriti mudah. Tindakan ADUN BN dari Sungai Manik dan Tualang Sekah menyeberang membolehkan PH membetuk kerajaan dengan 31 kerusi. BN kini tinggal 25 kerusi dan 3 PAS menjadikan jumlahnya 28 kerusi di pihak pembangkang. 

Kelebihan 3 kerusi bukanlah terlalu selamat buat sebuah Kerajaan Negeri dianggotai empat parti yang rapuh pakatannya. Tambah lagi ketua kerajaan, iaitu Menteri Besar, hanya mewakili satu kerusi dari partinya (kini menjadi dua apabila ADUN Sungai Manik diterima menyertai PPBM), selain iparnya ADUN Tualang Sekah yang masih kekal bebas pro-PH.

Bukan rahsia umum lagi empat parti kerajaan di Negeri Perak sedang berantakan sesama sendiri. Pengerusi PKR Perak secara terbuka mengkritik kepimpinan MB Faizal Azumu. 

Perantakan itu bukan sahaja antara parti, malah di dalam parti sendiri juga berganyang sakan. Paling ketara dalam kepimpinan DAP Perak, apabila ADUN Malim Nawar dan ADUN Pokok Assam melepaskan jawatan di dalam parti itu kerana tidak puas hati terhadap Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming. Kepimpinan Parti Amanah Nasional (PAN) Perak pula ibarat api di dalam sekam yang hanya menunggu masa merebak.

Ada ura-ura beberapa ADUN pihak kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku ADUN bebas. Dikhabarkan jumlahnya lapan orang, tetapi paling mendesak empat. Jika dua sahaja ADUN meninggalkan pihak kerajaan, ada dua kemungkinan akan berlaku iaitu samada Kerajaan Negeri Perak bertukar tangan seperti berlaku pada 2009, atau Pilihanraya Negeri (PRN) perlu diadakan.

Atas kemungkinan inilah maka SPR sudah mula menggerakkan jenteranya bagi meninjau pusat-pusat pembuangan undi di seluruh Negeri Perak, yang kebanyakannya di sekolah-sekolah. 

Sasaran Muafakat Nasional (MN) adalah untuk merampas Negeri Perak dari PH samada dalam PRU15 ataupun PRN yang mungkin diadakan pada bila-bila masa. 

40 kerusi DUN Perak insyaAllah milik MN.

05 October, 2019

KONGRES MARUAH MELAYU : TADAH JANGAN TAK TADAH!!!

INI sebahagian isi kandung kenyataan akhbar oleh Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Dr Muhammad Faiz Na'aman (foto), pada 29 September 2019 mengenai Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati esok yang akan turut dihadiri para pemimpin utama parti PAS dan wakil parti UMNO :

1. 'Amanat terakhir' Tun Mahathir
2. Ancaman golongan munafik yang menyebarkan fitnah dan provokasi untuk mengancam perpaduan negara,
3. Melayu-melayu munafik
4. Suapan politik
5. Pertumpahan darah
6. Ada pihak cetuskan provokasi
7. Pihak ditolak rakyat dlm PRU lalu kerana korup, khianat, belakangkan undang-undang negara
8. Terdesak berkuasa kembali
9. Berdekad hidup kenyang sesama kroni
10. Perkuda sentimen Melayu dan Islam
11. Paling kenyang Jho Low rakan niaga Bossku pujaan pentaksub parti keramat
12. Sebar mesej Melayu/Islam kehilangan kuasa
13. Tuduh kononnya DAP memerintah negara
14. Tuduh kononnya PH telah mungkir janji
15. Gunakan nama 'perpaduan ummah' sebagai perisai lindungi para pemimpin yang disiasat atas tuduhan rasuah dan jenayah
16. Kian lemas juarai isu-isu secara rasional
17. Melayu/Muslim diperbodoh oleh kelompok pejuang palsu
18. Dr Mahathir akan jelaskan cabaran-cabaran ini pada kongres tersebut.

Selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya hormati keputusan parti untuk menghantar Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa sebagai wakil parti bagi memenuhi jemputan.

Saya yakin Tan Sri SUA UMNO berkredibiliti tinggi, seorang ahli politik yang cukup matang dan tidak akan mudah melatah menghadapi sebarang situasi. Jika itulah mauduk ucapan Tun Mahathir esok, Tan Sri SUA pasti sudah sedia untuk menebalkan kulit pipi dan menadah telinga dengan tenang.

Demi Melayu, TADAH JANGAN TAK TADAH!!!.

https://m.malaysiakini.com/news/493771