27 January, 2019

POS TITOM DAN PRK CAMERON HIGHLANDS



Saya memulakan tulisan ini ketika dalam perjalanan pulang dari Pos Titom keluar ke jalan utama Ringlet-Sungai Koyan. Bertolak dari tapak perkhemahan di tebing sungai yang terletak kira-kira 500 meter ke Pos Titom pada jam 11.30 pagi tadi setelah peti undi semakin reda dengan kehadiran pengundi sempena Pilihanraya Kecil Parlimen Cameron Highlands. Kini jam menunjukkan jam 1.31 tengahari, baru separuh jarak perjalanan.

Kira-kira 10 kilometer dari Pos Titom, kami singgah di kawasan mandi manda yang menarik terletak di belakang Homestay Jaya Gunung. Saya mandi di situ, sungainya berjeram namun tidaklah terlalu deras alirannya. Airnya sangat jernih, sedikit berbatu-batan dengan pasirnya keputihan. Amat asyik dan menyegarkan, setelah sibuk dari awal pagi memantau pergerakan pengundi sehingga tak sempat mandi.

Sudah empat hari kami berkampung di Pos Titom bermula 23 Januari lalu bersama 11 jentera pilihanraya dari UMNO Bahagian Tanjong Malim, dibantu oleh dua pemuda Orang Asli suku Semai, Muhacitto dan Hasyaruzy yang saya jemput dari Pos Betau. Kehadiran mereka amat membantu saya dan rakan-rakan.



Selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang ditugaskan membantu kempen BN di Pos Titom, saya berusaha untuk bertemu seramai mungkin pengundi Orang Asli dan mengingatkan terhadap betapa pentingnya mereka mengundi calon Barisan Nasional, Tuan Ramli Mohd Noor, seorang pesara polis berjawatan kanan. Tuan Ramli dari kalangan Orang Asli suku Semai, anak tempatan Cameron Highlands dari Pos Mansun.

Secara logiknya, Tuan Ramli wajar mendapat sokongan padu dari kaumnya sendiri, tambahan lagi ini adalah kali pertama kaum tersebut dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen. Inilah peluang pengundi Orang Asli menggunakan pena dan petak undi untuk mencipta sejarah yang tidak pernah berlaku di negara ini sejak pilihanraya pertama pada 1959. Sejarah untuk membuka pintu Dewan Rakyat kepada wakil Orang Asli.

Biarpun Orang Asli tergolong di kalangan kaum minoriti di negara ini, namun ada kaum lain yang lebih kecil bilangannya, khususnya di Sarawak, telah lama mencipta sejarah meletakkan kaum mereka di Parlimen. Malah bilangan kaum Sikh juga tidak seramai Orang Asli, namun mereka telah lama mempunyai wakil di kalangan kaum mereka. Siapa tidak kenal dengan mendiang Karpal Singh dari parti DAP?

Waktu menunjukkan jam 2.35 petang. Saya baru tiba di simpang utama jalan Ringlet-Sungai Koyan. Dari Ringlet nanti kami bercadang ke Tanah Rata untuk membeli sedikit sayur dan strawberry, kemudian singgah sebentar di Bilik Gerakan BN yang terletak di Bangunan UMNO Bahagian Cameron Highlands, sebelum pulang ke Tanjong Malim melalui jalan berliku-liku Ringlet-Tapah.

Lagenda Karpal Singh selaku pemimpin paling lama kaum Sikh di Parlimen diteruskan pula oleh anak-anak mendiang, terutamanya Gobind Singh Deo yang kini menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Sewajarnyalah Orang Asli diberi tempat di Parlimen untuk sama-sama membentuk undang-undang negara.

Di Ringlet sebentar tadi menerima berita kemenangan pertama calon BN di PDM Lemoi, majoriti pengundi Orang Asli. BN peroleh 159 undi, PH 11, Changkul 1 dan Buku 2. BN mendahului dengan 137 undi.

Keputusan akhir Ramli Mohd Noor dari BN menang dengan mendapat 12,038 undi, sementara Manogaran dari PH-DAP hanya 8,800 undi. YB Ramli mengekalkan kerusi BN ini dengan majoriti berkali ganda iaitu 3,238 undi, berbanding 597 undi pada PRU14 lalu.

Syabas saya ucapkan kepada para pengundi Cameron Highlands kerana memilih Tuan Ramli. Tahniah kepada semua Orang Asli kerana mempunyai seorang Ahli Parlimen buat pertama kalinya di kalangan kaum mereka.

Melihat cara kempen yang agak agresif dari puak-puak DAP dan NGO sehaluannya termasuk di kawasan majoriti Orang Asli, saya merasa agak gusar. Bendera Harapan serta poster calonnya Manogaran berada di mana-mana. Malahan ramai juga Orang Asli yang menyarung baju T parti Harapan berwarna merah.

Di beberapa kampung dalam Pos Titom seperti Kampung Serues, Kampung Cincing dan Kampung Sempar nampak seolah-olah telah ditawan warna merah. Malah jentera perayu undi BN dari Rompin yang terdiri daripada kaum Orang Asli suku Jakun merasa terlalu sukar untuk melangkah masuk ke situ. Malah terdapat batin yang nampak tegas menyokong Harapan dan mengukuhkan cengkaman terhadap anak buah mereka. Cuma semangat petugas BN kembali terubat setelah beberapa pengundi yang memakai baju T merah berkata, "luar saja merah, dalam biru"!

Apa yang dikatakan oleh pemakai warna merah itu ada benarnya. Berdasarkan keputusan PRK ini, ternyata Orang Asli di Cameron Highlands, terutamanya di DUN Jelai masih merupakan penyokong setia BN. Selain kekuatan pengaruh Menteri Besar Pahang Dato' Sri Wan Rosdy di kalangan kaum Orang Asli di situ, kehadiran mantan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak ke beberapa perkampungan kaum itu juga memberi impak luar biasa terhadap BN. Tagline #maluapabossku yang dikaitkan dengan Najib juga turut popular dan menjadi sebutan pengundi muda Orang Asli.

Pun begitu, beberapa strategi kempen BN di PRK ini ternyata berbeza daripada apa yang telah dilakukan dalam PRK Sungai Kandis sebelum ini. Sokongan padu PAS kepada calon BN dalam PRK kali ini juga menjadi antara ramuan utama kemenangan bergaya  ini. Para pemimpin kanan dan jentera PAS turut berkempen dengan bersungguh-sungguh di serata tempat, terutamanya di gugusan Felda Sungai Koyan.

Pengundi muda juga nampak jelas kembali menyokong BN. Saya terkejut apabila rakan menunjukkan data keputusan pengundian di satu peti undi, calon Harapan hanya dapat 8 undi berbanding lebih 300 diperolehi BN di saluran 3, saluran pengundi muda.

Semoga semangat baru BN yang dicetus melalui Lonjakan CH ini akan merebak pula ke PRK DUN Semenyih, dan beberapa PRK lain selepasnya yang ada tanda-tanda akan terjadi. Seterusnya lonjakan ini akan berpanjangan sehingga PRU15 nanti, yang hanya tinggal beberapa tahun saja lagi.
 
Foto-foto lain yang saya anggap menarik sepanjang kami berada di Pos Titom. Terima kasih kepada semua sahabat yang bersama di sana - Aznei, Murni, Nazri, Shahrir, Kuyin, Syam, CTZ, Jas, Syma, Kekek dan Suzita.

#postitom #prkcameronhighlands #teamtgmalim



























06 January, 2019

HADIAH TAHUN BARU PH KEPADA RIBUAN PEKERJA PENGAWAL KESELAMATAN DAN PEMBERSIHAN KAWASAN SEKOLAH

Jumaat lalu dua orang pekerja pembersihan kawasan sekolah datang menemui saya. Kedua-duanya berbangsa India, seorang lelaki dan seorang wanita.  

Dengan linangan air mata mereka memaklumkan kepada saya bahawa mereka dibuang kerja, setelah berkhidmat selama lebih 10 tahun. Mereka menerima berita malang itu sebaik sampai di sekolah pada pagi 2 Januari lalu.  

Dengan tanggungan anak yang masih bersekolah, sewa rumah, bil elektrik, bil air dan pelbagai komitmen asas yang perlu ditanggung, mereka merayu agar sesuatu dapat dilakukan supaya dapat terus menjalani kehidupan sekadar yang ada. 

Di wajah kedua mereka saya dapat melihat terpancar keresahan mengenangkan betapa gelapnya masa hadapan yang perlu ditempuh, seolah-olah telah putus harapan dengan kehidupan ini.

Saya difahamkan bahawa perkara ini berlaku di seluruh negara, dan di bawah pentadbiran baru Kerajaan Pakatan Harapan melibatkan ribuan pekerja pengawal keselamatan dan pembersihan kawasan sekolah yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Isunya,

1.  Tender permbersihan kawasan dan kawalan keselamatan sebahagian besarnya telah diambil alih oleh kontraktor baru.

2. Ramai pekerja yang terpaksa dibuang kerja. Kebanyakannya  tidak diambil semula kerana peruntukan dari Kementerian Pendidikan  yang diterima tahun ini lebih kecil dari tahun-tahun sebelumnya.

3. Terdapat sekolah yang sebelum ini pekerja pembersih kawasan seramai 8 orang, dikurangkan menjadi 3 orang sahaja. Contohnya SMK Methodist  Tanjung Malim.

4. Sama juga dengan pengawal keselamatan, sebelum ini 9 orang dikurangkan kepada 3 orang sahaja. Contohnya SMK Dato' Zulkifli Muhammad, Slim River.

5. Situasi lebih membingungkan di sekolah-sekolah kurang murid (SKM). Hanya seorang sahaja pengawal keselamatan dikekalkan. Pengawal ini bertugas dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Waktu malam tiada pengawal bertugas. Keselamatan sekolah-sekolah SKM amatlah terancam di waktu malam. Pengawal ini sudah pasti akan bekerja tanpa cuti. Contohnya SK Felda Besout 5 dan beberapa SJK Tamil.

6. Gaji pengawal keselamatan turut berkurangan dari RM1,800 menjadi RM1,100 sahaja sebulan. Dahulu mereka bekerja dua syif membolehkan mereka dibayar gaji lebih masa. Kini dengan bilangan pekerja semakin berkurangan, mereka melakukan tiga syif, tiada peluang untuk kerja lebih masa.

7. Pengetua dan guru besar pula menjadi serba salah, kerana kontraktor yang dilantik meminta pihak sekolah menentukan siapa yang perlu diberhentikan. Mereka tahu bahawa semua pekerja ini adalah dari kalangan masyarakat yang benar-benar susah.
Ada di kalangan mereka yang telah bekerja lebih dari 10 tahun, dan kini hilang sumber pendapatan.

Semoga nasib pekerja-pekerja am rendah ini diberikan pembelaan sewajarnya oleh Kementerian Pendidikan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, bukan dinafikan hak mereka untuk terus bernafas di muka bumi ini. Boleh dikatakan semua wang simpanan mereka telah habis menjelang hujung tahun lalu untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak yang semakin meningkat harganya, termasuk kasut hitam. Malah sistem cukai SST yang menggantikan GST sama sekali tidak mengurangkan beban mereka.