SIARAN MEDIA
24 September 2016 - UMNO Bahagian Tanjong Malim menyambut baik langkah untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi mengkaji usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) baru-baru ini.
Langkah itu diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN petang semalam.
UMNO Bahagian saya juga tidak berpuas hati dengan persempadanan baru yang dicadangkan bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tanjong Malim.
Pembahagian pengundi ternyata tidak seimbang antara ketiga-tiga DUN, di mana daripada 64,065 pengundi dalam Parlimen Tanjong Malim, 30,796 pengundi atau 48.07 peratus diletakkan dalam DUN Muallim, atau ketika ini dikenali sebagai DUN Behrang.
Dua lagi DUN, iaitu DUN Besout (ketika ini dikenali DUN Slim) dan DUN Bidor (Sungkai) masing-masing hanya mempunyai 17,094 pengundi dan 16,175 pengundi.
Bilangan Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga tidak seimbang di mana DUN Muallim mempunyai 24 PDM, dan hanya 13 bagi DUN Besout dan 12 bagi DUN Bidor.
Saya dapati pihak SPR hanya berpandukan kepada sempadan daerah Muallim bagi menentukan sempadan DUN Muallim tanpa mengambil kira faktor keseimbangan jumlah pengundi bagi ketiga-tiga DUN.
Seminggu lalu, Jawatankuasa berkaitan pilihanraya UMNO Bahagian Tanjong Malim mengadakan bermesyuarat dan telahpun membawa setiap bantahan berkaitan persempadanan itu kepada Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Rabu lalu.
Pihak bahagian juga sedang melaksanakan beberapa prosedur bagi membolehkan bantahan-bantahan itu diterima oleh pihak SPR sebelum bantahan ditutup pada 14 Oktober depan.
Selaku Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim dan Ketua UMNO Bahagian, saya berasa kesal kerana tidak pernah dibawa berbincang oleh pihak SPR dalam soal menentukan persempadanan semula itu.
Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim ADUN Slim