09 July, 2015

Maklumat Bocor - Gesaan BNBBC

KENYATAAN MEDIA 
KELAB PENYOKONG KERAJAAN BN (BNBBC) NEGERI PERAK 

Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri Perak hari ini menggesa pihak berkuasa supaya segera mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan seperti didedahkan oleh Peguam Negara dalam satu kenyataannya semalam.

Semua agensi yang terbabit dengan siasatan, iaitu Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera menjejaki dan membawa individu yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan supaya tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang negara. 

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak akan teragak-agak mendakwa mana-mana individu yang membocorkan maklumat siasatan. 

Menurutnya, membocorkan maklumat sulit yang berkaitan siasatan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mana-mana individu yang mepunyai akses pada dokumen siasatan atau maklumat berhubung hal ehwal akaun mana-mana pelanggan. 

Beliau juga berkata, adalah menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203 A Kanun Keseksaan untuk mana-mana individu menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehnya semasa melaksanakan tugas. 

Menurut Abdul Gani, kesalahan juga tertakluk pada individu yang sedang dan pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan berkaitan yang bertindak mendedahkan kepada seseorang apa-apa dokumen atau maklumat akaun yang disebutkan dalam siasatan. 

Kelab BNBBC Perak menyokong penuh kenyataan Peguam Negara itu dan menggesa supaya tindakan segera diambil oleh ketiga-tiga agensi terbabit bagi menjaga integriti siasatan yang sedang dijalankan. 

Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu amat serius, tambahan lagi ianya disalurkan kepada pihak luar negara, khususnya Wall Street Journal dan Sarawak Report yang berpangkalan di London, dengan niat mahu menjatuhkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya berlandaskan sistem demokrasi. 

Malahan Peguam Negara sendiri memaklumkan bahawa dokumen yang didedahkan dalam artikel Wall Street Journal, "Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib" bertarikh 7 Julai 2015 merupakan hal perkara suatu siasatan dan menekankan kepentingan menjaga integriti siasatan itu agar tidak timbul kemusykilan di kalangan orang awam. 

 Individu yang membocorkan maklumat itu boleh dianggap sebagai dalang dan pengkhianat kerana terlibat dalam satu konspirasi di peringkat antarabangsa untuk meranapkan kerajaan sebuah negara dan juga mensabotaj siasatan yang sedang dijalankan. 

Pepatah yang paling tepat adalah 'harapkan pegar, pegar makan padi' kerana individu berkenaan berkemungkinan besar turut terbabit dalam pasukan petugas khas siasatan yang dibentuk. 

 Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia, PDRM dan SPRM perlu membekalkan maklumat secukupnya kepada Peguam Negara bagi membolehkan individu terbabit didakwa secepat mungkin. 

DATO' MOHD KHUSAIRI ABDUL TALIB Pengerusi BNBBC Perak 
ADUN Slim, Perak 
Ketua UMNO Bahagian Tanjong Malim 
9 Julai 2015 

05 July, 2015

WSJ: PENDIRIAN UMNO PERAK


Berikut adalah kenyataan media Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat petang tadi di Ipoh.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak yang bermesyuarat pada hari ini memandang serius perkembangan muktakhir yang bersifat serangan terancang dan bertali arus kepada kepimpinan parti dan negara. 

Tuduhan-tuduhan keterlaluan ini bertujuan untuk menjejaskan kepercayaan rakyat kepada parti dan negara serta usaha untuk mensabotaj ekonomi negara dengan memberikan imej negatif kepada kerajaan dan kepimpinan di kalangan para pelabur.

Sehubungan itu Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian sudah sampai masanya tindakan perundangan diambil terhadap pihak-pihak terbabit yang terus menerus menyebarkan laporan mengelirukan dan berniat jahat. 

Justeru, Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyokong pendirian Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Abd Razak yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang terbabit. 

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berpendirian, segala tuduhan dan laporan yang diterbitkan perlu disiasat secara terperinci dan telus bagi menjamin kewibawaan dan integriti kepimpinan, kerajaan dan parti. 

Sesuai dengan pendirian Perdana Menteri yang mendukung tinggi ketelusan, siasatan pasukan khas yang melibatkan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah seliaan Peguam Negara, diharapkan dapat merungkai permasalahan dan menjernihkan suasana. 

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat pemantauan laporan dan pengaliran maklumat yang bersifat serangan-serangan peribadi dan berunsur sabotaj di laman-laman media sosial yang boleh mencetuskan keresahan di kalangan rakyat. 

Mesyuarat turut melahirkan harapan agar semua pihak bertenang dan memberikan ruang kepada proses siasatan berjalan dan tidak terburu-buru untuk menjatuhkan hukuman. 

Dato Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak 5 Julai 2015 

(Kenyataan media ini turut ditandatangani Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Negeri Perak)

WSJ : JAWAPAN PM NAJIB

SABTU, 4 JULAI 2015 - 12:00AM : DAKWAAN terbaharu kononnya Dato Sri Najib Razak menggunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi, dianggap sebagai satu lagi pembohongan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan kerajaan. Justeru, Perdana Menteri memberi amaran, pihak yang terus menggunakan taktik sedemikian bakal berdepan tindakan undang-undang. Berikut adalah kenyataan penuh Najib yang dikeluarkan malam ini. 1. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai tuduhan - semuanya tidak berasas dan kebanyakannya mengarut - dilakukan terhadap saya dan keluarga. 2. Serangan bermula apabila saya enggan melaksanakan tuntutan peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya enggan kerana berasa adalah tidak wajar bagi Malaysia ditadbir secara proksi. 3. Tun kemudian mencipta krisis apabila tanpa usul periksa mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan hakikatnya ia adalah hutang yang diaudit dan disokong oleh aset diaudit bernilai RM51 bilion. 4. Dakwaan terbaharu ialah kononnya saya mengambil dana berkaitan kerajaan untuk kepentingan peribadi. Saya percaya Tun berada di belakang pembohongan ini, berganding bahu dengan pihak asing termasuk blog politik Sarawak Report yang semakin diragui kredibilitinya. 5. Saya ingin berterus terang: Saya tidak pernah mengambil dana demi kepentingan peribadi seperti didakwa seteru politik - baik daripada 1MDB, SRC International atau entiti lain, seperti mana disahkan oleh semua syarikat terbabit. 6. Jelas sekali, tuduhan palsu seperti ini adalah sebahagian daripada kempen terancang sabotaj politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi. 7. Mereka yang membuat dakwaan itu tidak pernah mengetengahkan sebarang bukti. Apa yang kita dengar hanyalah dakwaan berasaskan kebocoran dokumen dan penyiasat tanpa nama. Tiada sekali pun sumber dokumen ini ditampilkan, manakala dokumen berkenaan juga tidak pernah dikemukakan untuk pengesahan pihak berkuasa. 8. Seperti diketahui, beberapa dokumen yang menjadi asas dakwaan kebelakangan ini dilaporkan telah diubah. Individu yang membocorkan dokumen ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa di luar negara kerana cuba memeras ugut bekas majikannya. Hakikat ini besar kesannya terhadap kesahihan dokumen berkenaan dan mereka yang menggunakannya untuk memburuk-burukkan kerajaan serta negara kita. 9. Mereka yang terus melancarkan serangan ini perlu bersedia untuk berdepan tindakan berikutan perbuatan mereka. Taktik kotor - termasuk taktik jenayah dalam beberapa keadaan - untuk menumbangkan kerajaan akan gagal. Dalam beberapa keadaan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut peruntukan undang-undang. 10. Malang sekali serangan palsu bertubi-tubi yang didorong kepentingan peribadi ini berlaku pada ketika Malaysia memiliki pelbagai kelebihan unik - kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan status negara maju yang semakin hampir dicapai. Saya kekal dengan fokus untuk membangunkan negara demi rakyat.