16 July, 2014
MUDAH PULANG BERAYA KE BESOUT
Projek pembinaan jalan baru Felda Besout ke Kuala Slim kini memasuki fasa penurapan dan dijangka boleh digunakan oleh pelbagai kenderaan sebelum Hari Raya Aidil Fitri ini.
Tinjauan terbaru saya mendapati hampir 80 peratus jalan sejauh 11.8 km itu telah diturap dengan lapisan pertama (first layer), sementara 20 peratus lagi yang belum diturap lebih kepada kerja-kerja di bahagian berbukit.
Seorang penyelia Syarikat Perunding Jati berkata, menjelang hari raya puasa nanti kerja-kerja penurapan bagi lapisan pertama akan siap dan membolehkan semua jenis kenderaan melaluinya.
"Penurapan lapisan kedua pula menggunakan bahan tar yang lebih halus," kata Encik Yaakub ketika ditemui di tapak projek.
Dengan siapnya jalan baru ini, penduduk Felda Besout akan lebih mudah ke pekan Slim River yang menjadi pusat pentadbiran daerah kecil Tanjong Malim. Sebelum ini jarak dari Felda Besout ke Slim River adalah antara 40 hingga 60 kilometer, sementara jalan baru ini akan mendekatkan jarak perjalanan kepada hanya sejauh 17 kilometer.
Projek ini bermula pada Julai 2008 dan mulanya dijangka siap dalam tempuh dua tahun, iaitu pada 2010. Namun pelbagai masalah teknikal dilalui sebelum ini, sehingga menyebabkan ianya tertangguh beberapa kali. Kontrak syarikat pembinaan yang asal, Azam Teknik Sdn Bhd telah ditamatkan pada hujung 2012 dan syarikat penyelamat JJM Integrated Sdn Bhd menyambung kerja bermula pada Februari 2013.
Sementara itu, Pengarah JJM, Haji Jamil Haji Ariffin yang saya hubungi sebentar mengesahkan bahawa jalan baru itu akan dibuka sementara bagi membolehkan pengguna pulang berhari raya. Namun seminggu selepas hari raya, jalan berkenaan akan ditutup untuk kerja-kerja akhir penurapan premix yang lebih halus.
"Kerja fasa akhir itu dijangka akan siap dalam tempoh seminggu," kata Haji Jamil.
Kepada anak-anak Besout di perantauan, selamat pulang berhari raya dalam suasana perjalanan yang baru dengan pemandangan lebih menarik.