08 May, 2014

KARPET MERAH BUAT MCA

Hari ini MCA buat hal lagi. Timbalan Presiden MCA, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong dengan nada mengugut telah menyatakan kesediaan untuk menilai semula kedudukan parti itu dalam BN, jika Umno bersetuju dengan pelaksanaan hudud yang ingin dilaksanakan Kelantan.

Wee bercakap demikian ketika Wacana Sinar yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita?, yang diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam petang ini.

Beliau yang merupakan salah seorang panelis wacana tersebut berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, Maszlee Malik samada MCA bersedia untuk menilai semula kedudukan dalam BN memandangkan Umno menyatakan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Wee juga berkata MCA mempertahankan seratus peratus asas perlembagaan persekutuan yang dipersetujui BN sejak merdeka.

"Jika begitu keadaannya, (Umno sokong hudud), sudah sampai masanya kita berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam BN untuk menilai semula kedudukan kita dalam BN," kata beliau pada wacana tersebut.

Inilah pendapat angkuh daripada sebuah parti yang sudah hampir ditolak ke penjuru oleh kaum Cina yang diwakilinya. Strategi MCA ini yang seolah-olah mahu menawan semula hati pengundi Cina, pastinya mengguris hati pengundi Melayu yang menjadi faktor utama kemenangan tujuh calon Parlimen parti itu dalam Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

Ka Siong dan MCA sewajarnya membuka mata seluas-luasnya sebelum menjadikan isu hudud sebagai senjata untuk meraih semula sokongan kaum Cina. Apa yang jelas, MCA membenarkan dirinya menjadi alat DAP untuk berdepan dengan isu ini, tanpa menyedari bahawa tindakan tersebut akan melunyaikan sokongan kaum Melayu terhadap parti itu, sebaliknya majoriti kaum Cina terus mentertawakan mereka.

MCA terikut-ikut dengan kebingungan dan ketakutan tanpa asas DAP terhadap hukum hudud yang tiada kena mengena dengan penganut bukan Islam di negara ini. DAP bimbang akan terlepas cengkaman ke atas sokongan padu kaum Cina apabila sekutunya, PAS, terus bertegas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. 

Pucuk pimpinan MCA perlu akui bahawa partinya sudah semakin hilang arah. Mungkin juga laluannya sudah semakin menjurus ke arah titik yang dituju oleh DAP, sebagaimana ditunjukkan oleh sebilangan besar ahli parti itu yang berpaling arah dalam PRU13 lalu. Ini bukanlah satu rahsia yang terlalu sukar dibocorkan.

BN tidak boleh terus terdedah kepada ugutan mana-mana pihak dari dalam. Jika amalan mengugut ini berterusan dan tidak dibendung, BN akan menemui jalan keluarnya dari Putrajaya.

Sebelum ditunjukkan jalan keluar itu, ada baiknya pintu BN dibuka untuk memberi laluan keluar kepada mana-mana anggotanya yang sudah mula betah menggunakan pendekatan mengugut.

Dalam kes MCA dan Ka Siong ini, sediakanlah karpet merah buat mereka. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang.



Sent from Samsung Mobile