Kerja-kerja pembinaan jalan yang telah menelan belanja lebih
RM50 juta itu telah disambung semula oleh syarikat penyelamat, JJM Integrated
Sdn Bhd yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meneruskan kerja
ditinggalkan oleh syarikat sebelumnya, Azam Teknik Sdn Bhd.
JJM Integrated yang dibekalkan dana sejumlah RM23.84 juta, memulakan
kerja sejak 8 Februari 2013 untuk menyiapkan projek jalan terbengkalai itu dalam tempoh masa 19 bulan.
Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin
yang bertanggungjawab ke atas infrastruktur, Pengurus Besar Felda Wilayah
Trolak, Encik Moktar Lateh dan Pengarah Urusan JJM Integrated Sdn Bhd, Tuan Haji
Jamil.
Selain itu, taklimat itu turut diikuti oleh pengurus-pengurus,
ketua-ketua UMNO cawangan dan ketua-ketua peneroka dari Felda Gugusan Besout,
selain Ketua Kampung Kuala Slim.
Kerja-kerja pembinaan jalan Besout ke Kuala Slim itu dimulakan
pada Julai 2008 dan mengikut jadual asalnya, projek berkenaan sepatutnya siap
dalam tempoh dua tahun, iaitu pada Julai 2010. Namun pelbagai masalah teknikal
wujud, khususnya berkaitan kuantiti tanah yang tidak dimasukkan dalam skop kerja, menyebabkan pihak kontraktor asal, Azam Teknik Sdn Bhd telah gagal
meneruskan pembinaan.
Projek itu tertangguh beberapa kali, dan saya selaku ADUN
Slim sejak sekian lama telah berkali-kali mengajukan masalah kelewatan projek
ini samada dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak, mahupun dalam
mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Batang Padang.
Lawatan demi lawatan telah dilakukan oleh pelbagai pegawai
kanan jabatan berkaitan, termasuk Setiausaha Politik Menteri JKR, namun
sehingga akhir tahun 2012 perlaksanaan projek itu masih menemui jalan buntu. Akhirnya
JKR membuat keputusan yang tepat menamatkan kontraktor asal, dan melantik
kontraktor baru bagi menyiapkan projek tersebut.
Ketika ini, kemajuan fizikal kerja oleh syarikat baru itu
sudahpun mencapai 52 peratus termasuk kerja-kerja menambak, mengorek dan
memecahkan tanah (hardmaterial) dan batu, membina longkang dan pembentung, membaikpulih
cerun yang terhakis, membina jalan crusher run di hujung jajaran sebelah Besout, membina Simpang A dan membina
dua buah jambatan menyeberangi Sungai Telau dan Sungai Teras.
Semasa taklimat, saya telah membangkitkan keperluan
pembinaan bahu jalan kerana skop pembinaan ketika ini tidak memasukkan
keperluan itu. Bahu jalan amat penting bagi keselamatan penunggang-penunggang
motosikal. Pengarah JKR Negeri mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan
pertuntukan tambahan (VO) bagi tujuan itu.
Semoga jalan ini dapat disiapkan pada pertengahan Julai
nanti, bagi kemudahan penduduk Felda Besout dan warga yang tinggal di luar
untuk pulang berhari raya. Dengan siapnya jalan itu nanti, jarak perjalanan antara Felda Besout ke Slim River dapat dipendekkan daripada antara 40 hingga 50 kilometer kepada hanya 17 kilometer.
(Foto-foto lawatan semalam bersama Dato' Zainol Fadzi dan Dato' Dr. Safry bermula dari persimpangan Felda Besout 2 ke Kampung Kuala Slim).