Kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera telahpun “terpateri kemas, terkunci dan tersimpul mati” dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipinda kecuali dengan persetujuan Raja-Raja Melayu. Itulah penegasan yang diluahkan sekali lagi oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semasa menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO ke-61 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Penegasan Najib itu nampaknya ditujukan kepada banyak pihak – bukan sekadar kepada parti-parti pembangkang dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), tetapi juga kepada segenap lapisan rakyat berbilang kaum di negara ini dan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Bagi kumpulan yang suka mengambil pendekatan mahu meneutral dan menghapuskan hak istimewa orang Melayu sebagai senjata kempen bagi memikat pengundi bukan Melayu, penegasan Najib itu ibarat lampu penyuluh realiti.
Ucapan dasar Najib itu boleh dianggap memperjelaskan lagi apa yang telah terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan, yang sebelum ini cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat politik masing-masing. Hakikatnya Najib sekadar mengangkat semula kitab yang telah disorokkan di bawah karpet sejak sekian lama. Tidak ramai yang memahami sepenuhnya isi kandung Perlembagaan Persekutuan, sehingga mendorong pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan semangat dan falsafah yang terkandung di dalam 'kitab' negara itu.
Kecenderungan pemimpin politik bukan Melayu, samada daripada parti-parti pembangkang mahupun dalam komponen BN sendiri yang menjaja soal hak istimewa Melayu dan Bumiputera untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu begitu ketara sejak kebelakangan ini. Malahan dalam banyak situasi, pemimpin DAP mewar-warkan bahawa hak istimewa orang Melayu itu akan dipinda dan dihapuskan sekiranya mereka mengambil-alih tampuk pemerintahan negara. Maka terkelirulah pengundi-pengundi bukan Melayu, khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke-12 lalu.
Keyakinan pengundi bukan Melayu bahawa Perkara 153 itu boleh dihapus diperkuatkan lagi dengan pendirian tidak konsisten Anwar Ibrahim terhadap agenda Melayu. Dalam banyak ucapannya di pentas pengundi bukan Melayu, Anwar seolah-olah bersetuju dengan pendekatan DAP mahu menjadikan negara ini berkonsepkan Malaysian Malaysia dan berteraskan semangat “sama rata, sama rasa”, yang menjurus kepada penghapusan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Kekeliruan pengundi bukan Melayu dipancing lagi dengan pendekatan pentadbiran di negeri-negeri yang dikuasai DAP seperti Pulau Pinang dan Selangor (dan suatu ketika Perak) yang menampakkan seolah-olah kepentingan orang Melayu telah dapat diketepikan. Di Selangor, walaupun pucuk pimpinan diterajui Menteri Besar dari PKR, tetapi rata-rata rakyat dapat melihat parti manakah yang sebenarnya mendominasikan pentadbiran. Begitu juga sejarah 11 bulan pemerintahan pakatan DAP-PAS-PKR di Perak, apatah lagi dengan penguasaan total DAP di Pulau Pinang.
Mereka mewar-warkan lagi kempen mahu ‘menawan Putrajaya’, sebagai pelengkap kepada nafsu serakah mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan Malaysian Malaysia. Menawan Putrajaya bermakna mereka menawan Parlimen, tempat di mana rang undang-undang digubal dan perlembagaan negara dipinda dengan sokongan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat. Dalam banyak kempen, khususnya kalangan pemimpin DAP, mereka menanamkan keyakinan kepada pengundi bukan Melayu bahawa dengan penguasaan dua pertiga di Parlimen, mereka mampu mengubah perkara-perkara yang menyentuh hak istimewa orang Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 153. Rakyat dikelirukan bahawa tiada pihak yang mampu menghalang usaha mereka itu.
Pendekatan DAP ini menarik pula minat sebilangan pemimpin bukan Melayu dari komponen BN untuk bersaing memenangi hati pengundi kaum mereka. Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek dalam Kongres Ekonomi Cina yang dianjurkan partinya pada Ogos lalu menggesa kerajaan memansuhkan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera. Beliau sekali lagi membangkitkan perkara yang sama pada Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini. Niatnya amat jelas – memenangi hati pengundi Cina yang telah ditawan oleh DAP kerana berjaya manipulasi isu yang sama, biarpun pemilikan 30 peratus ekuiti oleh bumiputera ini adalah antara soal pokok dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Penegasan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini membuka mata banyak pihak, terutamanya pengundi-pengundi bukan Melayu yang sudah sekian lama disogokkan dengan janji-janji manis pihak pembangkang. Kini semakin ramai yang sedar bahawa Perkara 153 dan perkara-perkara lain berkaitan kepentingan orang Melayu termasuk soal kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipinda semudahnya, tanpa restu Raja-Raja Melayu. Begitu juga dengan soal kerakyatan orang bukan Melayu yang turut terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tidak hairan jika DAP dan pemimpin yang sealiran dengan mereka akan mengambil pendekatan baru untuk terus mengelirukan rakyat, khususnya terhadap pengundi bukan Melayu. Mungkin mereka akan menyatakan tekad untuk menjadikan Perkara 153 sebagai ‘gajah putih’ dalam Perlembagaan Persekutuan jika mereka berjaya menguasai Putrajaya. Bermakna hak istimewa orang Melayu hanya tercatat di atas kertas Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang implimentasi.
Atau mungkin juga mereka menggunakan pendekatan lebih tidak bermaruah, dengan meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa mereka mampu untuk mempengaruhi Raja-Raja Melayu supaya menghapuskan Perkara 153 itu. Demi untuk meyakinkan pengundi bagi meraih kuasa, mereka sanggup menaburkan apa sahaja janji termasuk perkara yang berada di luar jangkauan kewarasan.
Penegasan Najib juga mengajak orang Melayu supaya terus bersatu menyokong perjuangan UMNO. “Sebab orang Melayu dan negara tak boleh harap pada orang lain melainkan UMNO sahaja,” tegasnya.
Ada juga pihak yang cuba nak spinning kononnya orang Melayu tidak perlu lagi risau kerana tanpa menyokong UMNO, peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus bertahan kerana telah disimpul mati dan dipaterikan. Tanggapan ini bukan sahaja datangnya dari pemimpin pembangkang, malahan turut dibangkitkan oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri.
Pemimpin pembangkang spin kenyataan Najib ini bertujuan meruntuhkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, sementara sekerat pemimpin UMNO pula beranggapan bahawa Najib telah melakukan kesilapan besar membawa perkara ini dalam ucapan dasarnya kononnya boleh menghilangkan rasa kebergantungan orang Melayu kepada UMNO.
Semasa menggulung perbahasan, Najib berkata pandangan seumpama ini adalah tidak benar sama sekali. “Ini kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan,” katanya.
Dengan kata lain, orang Melayu hendaklah terus mempertahankan UMNO supaya Perkara 153 tidak menjadi ‘gajah putih’ dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang penterjemahan jika DAP dan kuncu-kuncunya berjaya menguasai negara.