14 May, 2010

JAWAPAN TERHADAP NIZAR


KENYATAAN AKHBAR

Kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin yang menyifatkan Umno sebagai bahtera yang hampir karam boleh dianggap angkuh dan enggan menerima hakikat bahawa sokongan rakyat terhadap Pas semakin merosot ketika ini.

Nizar tidak perlu takut dengan bayang-bayang dan sewajarnya mengakui bahawa sokongan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Umno semakin meningkat berdasarkan keputusan beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini.

Keputusan pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dan Parlimen Hulu Selangor jelas menunjukkan sokongan rakyat, terutamanya pengundi Melayu semakin kuat terhadap Umno. Dari mana Nizar dapat fakta kononnya Umno hampir karam?.

Nizar hari ini menyifatkan pelawaan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir terhadap Pemuda Pas untuk menyertai Umno sebagai kekeringan modal, dan katanya, “mana mungkin Pas akan memasuki parti yang hampir karam ini" (Sinar Harian Edisi Perak 14 Mei 2010).

Nizar tidak boleh mendabik dada kononnya Pas semakin kuat khususnya dalam PRU12 lalu sehingga membolehkan beliau menduduki kerusi Menteri Besar, sedangkan partinya hanya menang 6 daripada 21 kerusi DUN Perak yang ditandinginya. Umno pula menang 27 daripada 34 kerusi.

Statistik ini jelas menunjukkan Umno masih diterima majoriti orang Melayu di Perak, walaupun bilangan kerusi yang dimenanginya merosot berbanding PRU11.

Kemampuan Nizar menduduki kerusi Menteri Besar selepas PRU12 lalu hanya disebabkan parti Pas bergabung dengan DAP yang memenangi 18 kerusi DUN dan 7 kerusi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).  

Apalah yang hendak dibanggakan dengan ihsan DAP dan PKR membolehkannya (Nizar) menjadi Menteri Besar. Kuat apakah Pas sebenarnya di Perak sekiranya parti itu sekadar dijadikan kuda tunggangan dan boneka kepada nafsu serakah dan politik chauvinis DAP?.

Jika Pas merasakan benar-benar kuat, saya mencabar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN Perak dalam PRU13 nanti bagi membolehkannya membentuk Kerajaan Negeri tanpa perlu bergantung kepada parti lain.

Umno Perak tidak akan mendabik dada dengan sokongan yang semakin bertambah dari rakyat ketika ini, sebaliknya akan terus fokus dengan matlamat untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Umno Perak juga tidak akan terpengaruh dan terperangkap dengan dakyah palsu Pas kononnya parti itu berjaya menarik ramai ahli Umno walaupun pada hakikatnya perkara sebaliknya sedang berlaku.

Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak
Ipoh, 14 Mei 2010

13 May, 2010

'ROYAL BELUM' - A. KADIR JASIN

Dipaparkan keunikan Royal Belum dari kacamata penulis A. Kadir Jasin yang mengikuti lawatan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir ke hutan khazanah negara itu baru-baru ini.

"KOMPLEKS rimba Belum di utara Perak mempunyai dua komponen iaitu Hutan Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor dengan keluasan 300,000 hektar atau hampir empat kali keluasan Singapura. Di tengah-tengahnya terletak Tasik Temengor yang diwujudkan oleh pembinaan empangan elektrik hidro TNB pada tahun 1975.

Keluasan Royal Belum yang terletak di utara Lebuh Raya Timur-Barat adalah 117,500 hektar. Di sini kegiatan membalak tidak lagi dibenarkan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak. Royal Belum diwartakan sebagai Hutan Negeri pada bulan Mei, 2007.

Saya terbabit dengan projek ini apabila akhbar New Straits Times pada tahun 1990-an melalui projek Alam Sekitar dan Projek Sekolah Dalam Taman mempromosi idea menjadikan Hutan Belum sebagai warisan yang kekal ke akhir zaman.

Bersama Ahmad A Talib (blogger Pahit Manis) dan Ketua Unit Pendidikan NST waktu itu, mendiang John Pillai, kami membuat kempen kesedaran. Kami berjumpa pembesar Perak bagi “menjual” idea itu.

Secara peribadi, saya terhutang budi kepada dua bekas Menteri Besar Perak – Ramli Ngah Talib dan Mohd Tajol Rosli Ghazali – kerana menyokong idea itu.

Ahmad dan saya juga terbabit dengan pembangunan Pulau Banding oleh Kumpulan Emkay dalam kapasiti kami sebagai ahli kumpulan pakar yang memberi nasihat mengenai pelbagai aspek projek swasta itu.

Royal Belum pasti tidak menjadi kenyataan tanpa komitmen Ramli dan Tajol serta Menteri-Menteri Besar selepas mereka, iaitu Mohd Nizar Jamaluddin dan kini Zambry Abdul Kadir.


Pemandangan waktu pagi di Royal Belum.

Pembabitan cergas serta proaktif badan-badan bukan kerajaan seperti Malaysian Nature Society (MNS), World Wildlife Fund (WWF), para penyelidik, pencinta alam semula jadi dan terulung sekali Baginda Sultan Perak, Raja Azlan Shah yang menganugerahkan taraf diraja kepada Royal Belum. Merekalah yang menjadi penggerak dan penentu kewujudan projek warisan (heritage project) ini.

Jadi tidak hairanlah jika Zambry memandang serius dan memberi perhatian mikro kepada projek sosio-ekonomi yang berlandaskan ekologi dan alam sekitar yang sangat unik ini.

Pada 9 dan 10 Mei, Zambry mengetuai ekspedisi dua hari satu malam yang membabitkan wartawan, blogger, jurukamera, jurugambar, wakil-wakil MNS dan WWF, agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat, wakil-wakil masyarakat Orang Asli dan Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temengor.

Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor adalah antara rimba hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya kepelbagaiannya yang masih kekal di Planet Biru kita ini. Ia dianggarkan berusia 130 juta tahun.

Zambry menyerahkan replika kunci rumah kepada penduduk Orang Asli.

Zambry bermesra dengan kanak-kanak Orang Asli
Destinasi Mutakhir Pencinta Alam

DENGAN ciri-ciri yang luar biasa ini, kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pelancongan biasa. Ia lebih tepat dianggap persada pertapaan dan pengembaraan mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah.

Jadi, pada pandangan saya, setelah tiga kali melayari Tasik Temengor dan masuk ke hutan Royal Belum-Temengor, ia bukanlah destinasi anda jika anda tergolong dalam kategori berikut:

1. Memerlukan tilam empuk, tidak boleh lekang daripada TV flat screen dan bilik tidur berhawa dingin;

2. Tidak gemarkan hutan belantara dengan flora dan faunanya (disebut fona bukan fau-na) yang termasuk pacat, pelbagai macam serangga dan haiwan liar;

3. Takut kepada kegelapan dan bunyi-bunyi rimba yang pelbagai dan penuh mistik; dan

4. Kurang disiplin diri, suka membuat kotor, merokok di mana-mana saja dan gemar berkaraoke hingga awal pagi.

Pendek kata, kalau tuan dan puan bukan jenis yang sukakan alam semesta, kurang tahan lasak dan takut pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pilihan anda.

Tetapi kepada sesiapa sahaja yang mencintai alam semula jadi, kompleks rimba Royal Belum-Temengor adalah antara destinasi mutakhir yang wajib dilawati.

Ekologi Yang Sensitif

HUTAN rimba hujan tropika adalah sistem ekologi dan kepelbagaian biologi (bio-diversity) yang sangat menakjubkan, tetapi amat sensitif kepada pencerobohan luar, sama ada oleh manusia atau flora dan fauna dari luar.

Tumbuh-tumbuhan (flora) dan hidupan (fauna) dari luar boleh membinasakan flora dan fauna asal. Inilah yang sangat ditakuti oleh MNS, WWF, ahli sains, agensi-agensi penguatkuasa dan aktivis alam sekitar.

Saya dimaklumkan oleh seorang pemandu pelancong bahawa ada bukti ikan tilapia telah dilepaskan atau terlepas ke dalam Tasik Temengor.

Ikan tilapia, sebagai ikan jenis yang menetaskan anak dalam mulut (mouth breeder) boleh membiak dengan pantas dan bersifat omnivorous, iaitu makan daging dan tumbuh-tumbuhan.

Ciri-ciri ini menyebabkan ikan seperti tilapia menjadi ancaman kepada ikan residen seperti kelah, temoleh, sebarau, tengas dan jelawat.

Tanpa ancaman spesis yang diperkenalkan (introduced species) seperti tilapia, ikan-ikan air tawar dan air jernih seperti disebutkan di atas sudah pun terancam, malah mungkin pupus tanpa kawalan dan restocking, akibat tangkapan berlebihan.

Saya dimaklumkan ada peniaga luar yang secara diam-diam dan haram mengupah Orang Asli menjala dan memukat ikan-ikan ini kerana harganya yang sangat tinggi.

Antara projek perintis yang sedang dilakukan adalah menangkap, membiak dan melepaskan anak-anak ikan daripada spesis yang terancam ini serta menggalakkan pemancing rekreasi mengamalkan kaedah tangkap dan lepas (catch and release).

Realitinya, haiwan paling gagah dan paling banyak makan seperti gajah dan seladang tidak akan memusnahkan Royal Belum.

Tetapi saya sangat bimbang dan amat dukacita apabila ada ahli ekspedisi sendiri merokok ketika hiking dan membuang sisa plastik di merata tempat.

Api boleh memusnahkan khazanah alam pemberian Allah ini dalam sekelip masa manakala sisa plastik tidak akan hancur hingga beratus tahun.

Jadi saya cadangkan agar kompleks Royal Belum-Temengor diisytiharkan “zon bebas rokok dan plastik” serta bilangan pelawat dihadkan kepada bilangan yang boleh ditampung oleh alam semula jadi.

Lentur Buluh Dari Rebung

BANYAK buluh dalam rimba Royal Belum. Saya cadangkan marilah kita melentur buluh dari rebungnya dengan menggesa agar ditubuhkan Briged Remaja Rakan Belum.

Anggota generasi muda inilah, khasnya di kalangan orang Asli yang mendiami bio-sfera Royal Belum-Temengor, akan mewarisi rimba belantara warisan sejagat ini.

Wajah  pewaris rimba.
 Justeru itu, usaha menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai pemegang saham (stakeholder) utama Royal Belum amat dialu-alukan.

Blogger dengan keluarga Orang Asli.
Sambil mempelbagaikan sumber pendapatan, Orang Asli yang arif mengenai hutan belantara boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, khasnya kepada agensi-agensi penguatkuasaan, dalam usaha menghalang pencerobahan luar.

Kesimpulannya, kita amat bernasib baik menjadi penerima anugerah Allah yang tidak ternilai harganya ini dan adalah kewajipan Fardu Kifayah kita menjaganya dengan sebaik yang terdaya". Dipetik dari blog The Scribe A Kadir Jasin.

03 May, 2010

MRSM FELDA - JANJI PERLU DIKOTA

MRSMF yang terletak di Felda Jaya Utara, Trolak 
yang menjadi mercu baru kejayaan warga Felda

Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) yang terletak di Felda Jaya Utara, Trolak dalam DUN Slim telahpun beroperasi sepenuhnya. Sekolah berasrama penuh ini dibina dengan kos RM128 juta yang ditanggung oleh Felda. Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan khidmat pengurusan dan tenaga pengajar, sama seperti MRSM lain.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengilhamkan penubuhan MRSMF ini akan merasmikannya pada 7 Julai 2010 serentak dengan program Hari Peneroka Kebangsaan. Majlis ini amat dinantikan oleh warga Felda di Wilayah Trolak, khususnya tanah-tanah rancangan dari seluruh negeri Perak.

Matlamat Felda mewujudkan MRSMF adalah untuk memberi lebih banyak tempat kepada generasi Felda menimba ilmu di sekolah berasrama penuh yang canggih dan moden.  Telahpun ditetapkan bahawa 80 peratus penuntut di MRSMF adalah terdiri daripada anak cucu peneroka atau kakitangan Felda, sementara selebihnya dibuka kepada pelajar cemerlang lain. Seramai 1,050 pelajar boleh ditempatkan di sini.

Matlamat murni Felda ini sewajibnya dijayakan. Saya merasa amat kecewa mendengar bahawa pengambilan pelajar baru ke Tingkatan Empat di MRSMF baru-baru ini hampir seratus peratus terdiri bukan daripada generasi Felda.

Patutlah ketika saya berucap di majlis menyambut pelajar baru MRSMF, tidak ada respon yang baik dari pelajar dan ibubapa yang hadir setiap kali saya menekankan peranan Felda memajukan pendidikan di kalangan generasi Felda. Wajah mereka tampak kosong, kerana semangat Felda tiada dalam jiwa mereka.

Saya telahpun memaklumkan perkara ini kepada YAB Perdana Menteri pada 1 Mei lalu di Janda Baik. Dari riak mukanya, beliau amat tidak bersetuju jika perkara ini benar-benar terjadi. "Itu tidak boleh berlaku. Kita dah tetapkan 80 peratus untuk generasi Felda," katanya.
 
Saya berharap pentadbiran Felda memantau perkara ini dengan serius, dan memastikan janji untuk menempatkan 80 peratus generasi Felda ke MRSMF ini dapat dikota. Jika tidak, MRSMF yang dibiaya hasil dari titik peluh warga peneroka akan sama statusnya seperti MRSM lain di seluruh negara.

Foto ketika saya melawat MRSMF sebelum menerima kemasukan pelajar baru

02 May, 2010

BANJIR LAGI DI KLAH BARU

Setibanya di Kalumpang dalam perjalanan pulang dari kursus di Janda Baik, seorang pemuda menelefon saya memberitahu Kampung Klah Baru yang terletak di sempadan Sungkai dan Trolak dilanda banjir. Hujan lebat yang turun sejak jam 3.00 petang tadi menyebabkan air Sungai Sungkai naik pada paras yang luar biasa mengakibatkan ban memisahkan sungai itu dengan kampung berkenaan pecah.

Sebanyak 19 buah rumah terlibat, sementara 14 keluarga dipindahkan ke dewan orang ramai. Ketika saya tiba, paras air sudah mula surut, tetapi semakin meningkat di beberapa tempat lain di kampung itu.

Foto di bawah menceritakan segalanya.