06 April, 2013

PERAK KECEWA ANWAR TANDING DI PERMATANG PAUH


Akhirnya Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kembali bertanding di Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Keputusannya itu amat mengecewakan pengundi-pengundi di Perak, negeri yang Anwar sasarkan mahu bertanding.

Seperti dilaporkan Sinar Harian, Anwar mengumumkan keputusan itu di hadapan kira-kira 500 penyokongnya ketika menghadiri ceramah umum di Padang Awam Taman Pauh malam tadi, sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan hampir sebulan lalu.

Para pengundi di Negeri Perak sebelum ini begitu teruja dengan hasrat Anwar mahu bertanding di sana. Dari satu kawasan Parlimen ke satu Parlimen lain di Perak diwar-warkan mahu ditandingi oleh Anwar. Antaranya di Ipoh Timor, Lumut, Tambun, Bagan Datoh dan Tanjong Malim.

Kawasan yang menjadi idaman utama Anwar di Perak pada peringkat awal adalah Ipoh Timor. Semuapun faham kenapa beliau begitu berminat dengan kawasan berkenaan, yang majoriti besarnya terdiri daripada pengundi-pengundi kaum Cina. Apabila Lim Kit Siang mengumumkan akan berpindah dari Parlimen Ipoh Timor ke Gelang Patah di Johor, Anwar bersungguh-sungguh mahu mengisi tepat yang ditinggalkan pemimpin veteran DAP itu.

Keghairahan awal Anwar mahu bertanding di kawasan majoriti Cina di Perak begitu ketara. Anwar dilihat seolah-olah telah dapat menghidu bahawa sokongan pengundi Melayu dan India di negara ini telah merosot dengan begitu ketara terhadap dirinya dan parti pimpinannya. Malang bagi Anwar kerana DAP tidak merestui keghairahannya itu, malahan awal-awal telah menamakan mantan ADUN Pasir Pinji, Thomas Su sebagai calon parti itu di Parlimen Ipoh Timor.

Anwar kemudian membawa angan-angannya di beberapa kerusi lain di Negeri Perak yang menjadi tempat tokoh-tokoh penting UMNO. Beliau mahu bertanding di Bagan Datoh, kerusi Parlimen yang diwakili oleh Menteri Pertahanan dan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di Tambun yang diwakili Menteri Kewangan Kedua dan Bendahari Agung UMNO Dato' Seri Mohd Husni Hanazlah dan di Lumut, kerusi yang menempatkan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang juga ADUN Pangkor, salah sebuah kawasan dalam Parlimen Lumut.

Tanjong Malim juga menjadi sasaran Anwar, dengan alasan bagi memudahkan beliau mengawal dua negeri yang bersempadan iaitu Perak dan Selangor.

Maka ternanti-nantilah pengundi Perak, kawasan manakah yang mahu ditandingi Anwar. Cabaran demi cabaran oleh pemimpin-pemimpin UMNO Perak dilontarkan terhadap Anwar. Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Tajuddin Abdul Rahman mencabar Anwar datang bertanding di kawasannya.

Disebabkan Anwar juga ada menyebut Parlimen Tanjong Malim, saya secara peribadi juga telah membuat posting di twitter dan tagging beliau agar datang bertanding di sini. Lagipun Tanjong Malim adalah kerusi kuota bagi calon PKR, dan tidak perlu bagi Anwar merayu kepada DAP untuk bertanding di kerusi majoriti Cina seperti di Ipoh Timor.

Tweet saya pada 29 Mac 2013 menjemput Anwar bertanding di Tanjong Malim
Dengan pengumuman Anwar malam tadi untuk bertanding semula di Permatang Pauh, sudah pasti pengundi-pengundi di Bagan Datoh, Tambun, Lumut dan Tanjong Malim berasa kecewa. Kekecewaan mereka bukanlah kerana tidak berpeluang mendapatkan khidmat Anwar sebagai wakil rakyat, tetapi kerana tidak dapat 'memandikan' Anwar dalam pilihanraya nanti.

Harapan para pengundi Perak mahu menguburkan karier politik Anwar di bumi Perak kini tidak kesampaian. Anwar mungkin sudah menghidu sikap para pengundi di kawasan-kawasan yang disasarkannya di Perak. Mana mungkin untuk Anwar memperjudikan nasib dan rela menghadapi kekalahan, sedangkan cita-cita besarnya adalah untuk menjadi Perdana Menteri dan menguasai Putrajaya.

Jika Anwar kekal dengan keputusannya malam tadi untuk bertanding semula di Permatang Pauh, maka kempunanlah rakyat Perak mahu menamatkan angan-angan melangit pemimpin PKR itu. Bolehlah dikatakan bahawa rakyat Negeri Perak kini berputih mata.

Kini rakyat di seluruh negara yang cintakan kemakmuran dan keamanan menyerahkan tugas itu kepada para pengundi di Permatang Pauh pula, kawasan yang telah Anwar abaikan sejak sekian lama.

Ayuh kita kuburkan cita-cita politik Anwar Ibrahim!


No comments: