Followers

09 January, 2012

PECAT HASAN ALI - PAS IKUT TELUNJUK PKR


Parti PAS menyingkirkan Dato' Dr. Hasan Ali sebagai ahlinya hanya selepas sehari Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengeluarkan 'gesaan berupa arahan' supaya parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu mengambil tindakan terhadap bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Jawatankuasa Pusat PAS mengambil keputusan memecat Dr. Hasan berkuatkuasa serta merta pada hari ini, atas tindakannya yang didakwa "menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS".

Ternyatalah kepimpinan PAS kini bukan sahaja hidungnya dicucuk oleh DAP, malah telinganya diikat dengan tali PKR. Disebabkan PKR tidak puas hati terhadap kenyataan Dr. Hasan yang menggesa supaya pelajar universiti menjauhkan diri daripada perhimpunan 901, maka PAS sanggup menendang pemimpinnya keluar parti.

Maka benarlah dakwaan banyak pihak bahawa prinsip perjuangan PAS kini tidak sama dengan prinsip asalnya. Dr. Hasan mempunyai prinsipnya sendiri yang disukai oleh kumpulan tertentu di dalam PAS, tetapi satu kumpulan lain yang disebut puak Anwaris pula menganggap Dr. Hasan sebagai liabiliti kepada parti itu, khususnya dalam usaha mereka hendak membela seorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Lalu terkorbanlah seorang pemimpin PAS yang tidak mahu mengikut arus pucuk pimpinan parti itu yang mahu menonjolkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

"Saya amat terkejut dengan tindakan drastik yang diambil oleh AJK PAS Pusat itu. Saya turut bersedih kerana perjuangan Islam saya selama ini dibalas sedemikian rupa," kata Dr. Hasan ketika meluahkan isi hatinya selepas mengetahui pemecatannya.

Beliau berkata akan merujuk kepada sahabat-sahabatnya untuk mengambil tindakan sewajarnya dan akan memanggil sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan kedudukannya berhubung perkara itu.

Tidak hairanlah jika dikhabarkan bahawa seramai 10,000 ahli PAS akan bertindak keluar dari parti itu sebagai tanda bantahan terhadap keputusan pucuk pimpinannya memecat Dr. Hasan.

Sesungguhnya Azmin sedang meraikan keputusan pucuk pimpinan PAS kerana mengikut arahannya, biarpun beliau bukan ahli parti itu, sebaliknya ahli sebuah parti yang jauh lebih muda usia penubuhannya. Telinga PAS akan terus direntap oleh PKR untuk jangka masa panjang, selagi Anwar tidak dinobatkan sebagai Perdana Menteri.

PAS kini sedang mentelaah sejarah Erdogan menjadi Perdana Menteri Turki sebagai persediaan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar yang mungkin akan dipenjarakan.


LAPORAN dari blogger yang mengikuti ucapan Dr. Hasan di kediamannya di hadapan lebih 1,000 penyokong :

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Hassan Ali menjelaskan bahawa beliau dipecat sebagai ahli PAS kerana mengkritik Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Saya mempersoalkan mengapa isu peribadi Anwar Ibrahim dijadikan sebagai agenda Pakatan Pembangkang. Saya tidak mahu rakyat diheret ke dalam masalah peribadi dia. Saya sering mempersoalkan justifikasi mengapa Anwar dijulang sebegitu rupa”.

Dr. Hassan juga mempersoalkan tindakan PAS untuk mengugurkan slogan ‘Perjuangan Negara Islam’ dari parti dan sebaliknya tunduk kepada tekanan Pakatan Pembangkang, “‘Negara Berkebajikan’ ini sudah lari dari perjuangan asal PAS, iaitu menubuhkan negara Islam”.

Pemecatan Dr. Hassan dari PAS diputuskan Jawatankuasa Pusat PAS tengahari tadi. Beliau tidak diberikan untuk mempertahankan diri semasa JK Pusat PAS bermesyuarat dan membuat keputusan itu.


1 comments:

budakbalun said...

YB Khusairi, sangat menghormati pandangan Tuan, tapi apabila seseorang ahli parti itu melanggar perlembagaan partinya sendiri dia wajar dikenakan tindakan bukan?
Jika Timbalan Presiden UMNO Anwar Ibrahim sendiri pernah dipecat bukan sahaja keahlian malahan jawatannya dalam kerajaan suatu masa dahulu, apa masalahnya dgn Hasan Ali yg jauh lebih kerdil?
Atau YB ingin mengelak bercakap isu NFC? Isu Jamil Khir yg memasukkan dirinya ke dalam golongan asnaf?