Sidang DUN Perak akan bermula pada 21 November ini dan dijangka akan berlangsung selama empat hari. Antara agenda utama persidangan kali ini adalah pembentangan Bajet 2012 Negeri Perak yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir.
Tiga soalan lisan dan lima soalan bertulis telahpun saya hantar untuk dijawab oleh pihak Kerajaan Negeri. Soalan-soalan lisan adalah seperti berikut :
1) Sejauh manakah benarnya dakwaan seorang pemimpin pembangkang dari Sitiawan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan lebih 60,000 ekar tanah dengan harga RM375 seekar, dan kononnya berlaku amalan rasuah sehingga pemimpin berkenaan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)? Apakah tindakbalas Kerajaan Negeri terhadap tuduhan yang amat serius ini?
2) Kerajaan Negeri pernah menyatakan hasrat untuk memberi wajah baru terhadap pekan-pekan lama yang diberi jolokan 'Pekan Koboi' di seluruh Negeri Perak.
i) Di manakah program ini telah dan akan dilaksanakan?
ii) Apakah komponen-komponen pembangunan yang dilakukan bagi mewujudkan wajah baru pekan-pekan lama ini?
iii) Adakah Pekan Trolak yang terletak di dalam DUN Slim disenaraikan, jika ada, bilakah akan dilaksanakan dan berapa kos yang terlibat?
3) Kumpulan Felda akan menyenaraikan anak syarikatnya, Felda Global Venture Holding Sdn Bhd (FGVH) di Bursa Malaysia, dan akan turut membabitkan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang sebelum ini diserahkan kepada Felda dan kini ditanam kelapa sawit di bawah Felda Plantation tanpa membabitkan pengambilan peneroka sebagaimana hasrat asal Kerajaan Negeri.
i) Apakah status tanah-tanah ini yang telah dijadikan Felda Plantation?
ii) Di manakah terletaknya tanah-tanah berkenaan dan berapakah keluasannya?
iii) Apakah langkah supaya penyenaraian FGVH ini turut memberikan manfaat kepada Kerajaan Negeri, khususnya daripada segi kewangan dan pegangan saham, memandangkan tanah-tanah yang diserahkan kepada Felda sebelum ini turut dijadikan aset dalam penyenaraian itu.
Ketiga-tiga soalan lisan di atas saya kekalkan di dalam soalan bertulis ditambah dua lagi soalan seperti berikut :
1) Apakah perkembangan dan status projek pembinaan jalan baru Felda Besout ke Kuala Slim sejauh 11.2 kilometer memandangkan ianya telah terlewat selama 16 bulan daripada jadual asal yang sepatutnya siap pada Julai 2010?
2) Berapa luaskah tanah milik Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang telah diteroka secara haram di Daerah Batang Padang dan di manakah lokasinya? Apa tindakan Kerajaan Negeri terhadap peneroka-peneroka haram ini?
Jika soalan lisan tak sempat dijawab semasa persidangan, Kerajaan Negeri masih tidak boleh mengelak untuk menjawabnya secara bertulis. Jadi tidak benarlah dakwaan Adun-Adun pihak pembangkang bahawa soalan-soalan mereka tidak dijawab oleh pihak kerajaan.
Selamat bersidang.
1 comments:
Salam sejahtera, mohon link blog KLBOYZ.
Blog anda telah dilink di blog KLBOYZ.
http://klboyzwangsa.blogspot.com/
Post a Comment