Akhbar-akhbar hari ini melaporkan, ratusan penduduk di Segamat berkumpul di hadapan Restoran Siang Hai Kee di Kampung Abdullah petang ini (semalam) bagi membantah kedatangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng pada satu majlis makan malam anjuran DAP di restoran tersebut.
Itulah sebenarnya sikap pemimpin pembangkang, khususnya DAP. Dengan cara melawan arus dan menunjukkan kedegilan, mereka mengharapkan publisiti murahan. Mereka mahu menunjukkan kepada penyokong bahawa mereka pemimpin berani, biarpun keberanian itu menggadaikan maruah sebuah negeri beraja seperti Johor Darul Takzim. Apatah lagi maruah negeri itu dirobek di Singapura, sebuah negara yang cukup hampir dan mempunyai sejarah kontroversi sejak era penjajah lagi.
Tidak ada rasa bersalah bagi Guan Eng setelah Setiausaha Agung DAP itu memburuk-burukkan Johor di hadapan diplomat asing di Singapura baru-baru ini. Memohon maaf ke bawah DYMM Sultan Johor juga dibuat secara semberono. Dia enggan ke Johor mengadap Tuanku bagi menyatakan rasa kesal atas keceluparan yang telah dilakukan, sebaliknya lebih mengutamakan untuk berjumpa penyokong fanatik partinya di negeri itu.
Umum mengetahui bahawa rakyat Singapura suka melancong dan membeli aset di Johor atas faktor jarak. Tidak dinafikan juga bahawa ekonomi Johor meningkat hasil daripada industri pelancongan dan pelaburan yang melibatkan warga Singapura. Guan Eng berusaha untuk mengubah aliran ini dan baginya, rakyat Singapura sepatutnya lebih tertumpu ke Pulau Pinang atas faktor negeri itu kini dikuasai DAP yang mempunyai hubungan intim dengan PAP, parti pemerintah negara singa itu.
Tetapi pendekatan yang digunakan oleh Guan Eng untuk mengubah situasi tidak menggambarkan sikap profesional seorang Ketua Menteri di dalam sebuah negara. Dia mengambil pendekatan bersaing secara tidak sihat dengan memburuk-burukkan negeri lain, apatah lagi apabila menyentuh soal tahap keselamatan di negeri pesaingnya.
Guan Eng sepatutnya memperbetulkan semula hubungannya dengan majoriti rakyat negeri Johor yang kini terpalit, terutamanya dengan Sultan Johor yang sudahpun menyatakan rasa terkilan terhadap kenyataan pemimpin DAP itu memburuk-burukkan negeri baginda. Tetapi malangnya, Guan Eng lebih mengutamakan hati penyokong DAP yang minoriti di negeri itu. Entah benang basah apalah yang hendak ditegakkan oleh Guan Eng di hadapan penyokong-penyokong DAP di situ.
Jadi tidak hairanlah sekiranya setiap kali kehadiran Guan Eng ke Johor selepas ini akan disambut dengan bantahan majoriti rakyat negeri itu. Guan Eng tidak boleh lagi mempersalahkan rakyat Johor, tetapi dia perlu menyalahkan dirinya sendiri.

0 comments:
Post a Comment