Followers

15 April, 2011

'JIPPA' DI SIDANG DUN PERAK

LAPORAN NEW STRAITS TIMES
LAPORAN THE STAR
Saya agak terkejut hari ini membaca laporan dua akhbar perdana, New Straits Times dan The Star berhubung pakaian tradisional masyarakat India, jippa yang dipakai oleh ADUN Tronoh, V. Sivakumar dan ADUN Sungkai, A. Sivanesan ketika menghadiri Sidang DUN Perak semalam.

Berdasarkan laporan, seolah-olah saya membantah kedua-dua ADUN DAP itu memakai pakaian tradisional memasuki Dewan sempena Puthandu (Tahun Baru Tamil). Apa yang sebenarnya berlaku hanyalah satu salah faham spontan yang tidak disengajakan. 

Ketika Sivakumar bangun mencelah perbahasan ADUN Kampung Gajah, Dr. Wan Norashikin, secara spontan saya berasa hairan kenapakah mantan Speaker itu memakai baju lengan panjang tanpa mengenakan tali leher dan lounge suit. Saya langsung tidak perasan beliau memakai pakaian tradisional masyarakat India, sebaliknya seperti dia memakai baju putih berambu yang selalu beliau pakai semasa menjadi Speaker dahulu.

Ketika itu Sivanesan tidak berada di dalam Dewan. Maka nampak jelas pakaian Sivakumar berbeza sama sekali dengan ADUN-ADUN lain yang rata-rata memakai lounge suit bertali leher.

Fobia dengan sikap ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming yang enggan mengenakan pakaian No1 dress semasa istiadat pembukaan rasmi Sidang DUN Perak oleh DYMM Pemangku Raja pada Selasa lalu, saya merasakan seolah-olah Sivakumar sengaja mahu mengikut jejak Nga yang mahu menguji Speaker, Dato’ R. Ganesan.

Saya meminta laluan dari ADUN Kampung Gajah dan bertanya kepada Speaker kenapakah ADUN Tronoh tidak mengenakan pakaian mengikut etika Dewan dan sama ada beliau boleh dikenakan apa-apa tindakan.

Ketika Ganesan mula memberi penjelasan dengan berkata “hari ini adalah Tahun Baru masyarakat India”,  darah saya mula berderau dan lantas sedar bahawa pakaian yang Sivakumar kenakan adalah costume tradisional kaum India. Saya mula berasa serba salah, ditambah pula melihatkan ADUN Sungkai, A. Sivanesan melenggang masuk Dewan dengan pakaian yang sama, jippa dan dothi (kain putih dari pinggang ke kaki).

Setelah Speaker selesai memberikan sebab kenapa beliau membenarkan jippa dipakai hari itu, saya lantas bangun mengucapkan terima kasih atas penjelasan berkenaan.

Bukan mahu menyalahkan sesiapa, cuma ada sedikit rasa tidak puas hati kenapakah Speaker tidak memaklumkan perkara ini semasa aturcara pengumuman oleh Yang Dipertua. Saya pasti seisi Dewan tidak akan terkeliru jika dimaklumkan lebih awal.

Saya memohon maaf kepada S. Sivakumar dan seluruh rakan dan masyarakat India atas kekeliruan ini. Malahan saya juga masih menyimpan baju tradisional masyarakat India seperti jippa berwarna orange yang dihadiahkan oleh Ketua Pemuda MIC Tanjong Malim, S. Gunaselan beberapa tahun lalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Puthandu Valtukhal kepada seluruh masyarakat India di negara ini.

0 comments: