Followers

10 April, 2011

DUN PERAK : NASIB HASBULLAH, KHALIL IDHAM SELASA INI

Nasib Adun Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dijangka diketahui pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadual bermula Selasa ini.
 
Sebelum ini, pengerusi jawatankuasa itu yang juga merangkap Speaker, Datuk R Ganesan, berkata keputusan jawatankuasa akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-12 sebelum dibahas dan dibuat undian dalam dewan sebelum mana-mana tindakan boleh diambil terhadap kedua-dua wakil rakyat terbabit.

Pada awal Mac lalu, kedua-dua wakil rakyat itu dipanggil untuk memberi keterangan tetapi Khalil Idham tidak hadir tanpa memberi alasan kepada jawatankuasa terbabit. Namun, keputusan sudah dibuat selepas meneliti secara mendalam isu yang dirujuk kepada jawatankuasa terbabit.

“Keputusan sudah diambil hari ini dan ia akan dilaporkan pada dewan yang akan bersidang mengikut mengikut Fasal 72 (2) Perintah-Perintah Tetap sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap wakil rakyat berkenaan.

“Khalil Lim dirujuk kepada jawatankuasa ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2011 pada 2 Disember lalu apabila mengeluarkan kenyataan ada bomoh dibawa masuk ke dewan pada sidang Mei 2009,” kata Ganesan.

Selain Ganesan, jawatankuasa itu turut dianggotai Adun Bota; Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Slim; Datuk Khusairi Talib; Adun Hulu Kinta; Datuk Rusnah Kasim manakala dua lagi ahli jawatankuasa iaitu Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Adun Tebing Tinggi, Ong Boon Piow tidak hadir.

Hasbullah yang hadir memberi keterangan pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas mengeluarkan kenyataan ada exco Selangor menerima rasuah pada tarikh, masa dan tempat sama.

“Pada 2 Disember itu juga, selepas usul dirujuk pada jawatankuasa itu, Khalil Lim mengatakan beliau akan memberi keterangan kepada jawatankuasa itu berhubung kenyataannya tetapi saya hairan kenapa beliau tidak hadir,” katanya.

Adun Titi Serong, Khalil Lim ketika sesi perbahasan Bajet 2011 mengeluarkan tuduhan ada di kalangan adun tertentu membawa masuk bomoh ke dalam dewan persidangan pada Mei 2009.
Namun, wakil rakyat PAS itu gagal mengemukakan sebarang bukti apabila diminta berbuat demikian oleh Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Ini menyebabkan Adun Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid bangun dan membuat usul supaya Khalil Idham dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan kerana melanggar peraturan mengikut Perintah Tetap 36 (3) (a) dan disokong oleh Adun Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Adun Temenggor pula dirujuk kepada jawatankuasa itu selepas membuat tuduhan seorang exco di Selangor terbabit dengan gejala rasuah.

Beberapa wakil pihak pembangkang menggesa Hasbullah supaya menarik balik kenyataan itu tetapi beliau enggan lalu Adun Teja, Chang Lih Kang tampil membuat usul supaya wakil rakyat BN itu dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan dan disokong oleh Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai.

Sumber PERAK TODAY


3 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum YB,

saya orang felda besout..
Bila jalan baru besout ke slim nak siap??..
lama dah dok buat x siap2...
harapnya dapat la disiapkan before PRU..takut2 nanti sbb tu je BN kalah kat slim...
Mohon tindakan segera...

Anak besout(Doctor to be)

TQ

khusairi talib said...

Waalaikumsalam. Saya mengikuti secara dekat projek pembinaan jalan ini. Malahan beberapa kali melawat tapak projek, dan membawa perkara ini dalam DUN Perak dan berbincang dengan JKR, kontraktor dan konsultan.

Jawapan terbaru yang saya terima daripada pihak JKR melalui soalan bertulis yang saya hantar ke Dewan Negeri adalah jalan ini akan siap pada 1 Julai 2011.

Sama-samalah kita berdoa supaya kerja-kerja pembinaan jalan ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah lagi.

Anonymous said...

InsyaAllah...smoga usaha YB untuk perkara ni dinilai oleh Allah sebagai perkara baik disisinya...

Anak Besout (Doctor to be) -USM-