03 May, 2010

MRSM FELDA - JANJI PERLU DIKOTA

MRSMF yang terletak di Felda Jaya Utara, Trolak 
yang menjadi mercu baru kejayaan warga Felda

Maktab Rendah Sains Mara Felda (MRSMF) yang terletak di Felda Jaya Utara, Trolak dalam DUN Slim telahpun beroperasi sepenuhnya. Sekolah berasrama penuh ini dibina dengan kos RM128 juta yang ditanggung oleh Felda. Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan khidmat pengurusan dan tenaga pengajar, sama seperti MRSM lain.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengilhamkan penubuhan MRSMF ini akan merasmikannya pada 7 Julai 2010 serentak dengan program Hari Peneroka Kebangsaan. Majlis ini amat dinantikan oleh warga Felda di Wilayah Trolak, khususnya tanah-tanah rancangan dari seluruh negeri Perak.

Matlamat Felda mewujudkan MRSMF adalah untuk memberi lebih banyak tempat kepada generasi Felda menimba ilmu di sekolah berasrama penuh yang canggih dan moden.  Telahpun ditetapkan bahawa 80 peratus penuntut di MRSMF adalah terdiri daripada anak cucu peneroka atau kakitangan Felda, sementara selebihnya dibuka kepada pelajar cemerlang lain. Seramai 1,050 pelajar boleh ditempatkan di sini.

Matlamat murni Felda ini sewajibnya dijayakan. Saya merasa amat kecewa mendengar bahawa pengambilan pelajar baru ke Tingkatan Empat di MRSMF baru-baru ini hampir seratus peratus terdiri bukan daripada generasi Felda.

Patutlah ketika saya berucap di majlis menyambut pelajar baru MRSMF, tidak ada respon yang baik dari pelajar dan ibubapa yang hadir setiap kali saya menekankan peranan Felda memajukan pendidikan di kalangan generasi Felda. Wajah mereka tampak kosong, kerana semangat Felda tiada dalam jiwa mereka.

Saya telahpun memaklumkan perkara ini kepada YAB Perdana Menteri pada 1 Mei lalu di Janda Baik. Dari riak mukanya, beliau amat tidak bersetuju jika perkara ini benar-benar terjadi. "Itu tidak boleh berlaku. Kita dah tetapkan 80 peratus untuk generasi Felda," katanya.
 
Saya berharap pentadbiran Felda memantau perkara ini dengan serius, dan memastikan janji untuk menempatkan 80 peratus generasi Felda ke MRSMF ini dapat dikota. Jika tidak, MRSMF yang dibiaya hasil dari titik peluh warga peneroka akan sama statusnya seperti MRSM lain di seluruh negara.

Foto ketika saya melawat MRSMF sebelum menerima kemasukan pelajar baru

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah Dato'..post ini mempunyai nilai berita yg tinggi..generasi kedua dan seterusnya d kalangan anak2 peneroka perlu mendapat keutamaan hasil dari titk peluh ayahanda bonda mereka yg terdahulu..khaskan 80% utk anak anak peneroka dgn merit yg bersesuaian agar pengisian dpt dlaksanakan di MRSMF..penekanan bahawa MRSMF adalah berbeza dgn MRSM yg lain2 perlu di tekankan agar tujuan asal penubuhan nye akan di capai..MRSMF selari dgn penubuhan awal bagi ITM, MPSI dan yg sewaktu dgnnya yg mana ia mendukung cita cita murni penubuhan asalnya...teruskan perjuangan...

-anggun-
ppsk seri gala

khusairi talib said...

Memang betul Anggun. PM selalu berkata bahawa MRSMF adalah untuk anak-anak Felda. Niat PM kita amat murni bagi menyediakan tempat kepada lebih ramai anak dari generasi Felda menimba ilmu di pusat pengajian seumpama MRSM.

Beliau begitu bangga bercakap pasal MRSMF. Malahan setiap kali beliau bersua dengan saya, soalannya adalah berkaitan MRSMF, bertanyakan samada sudah siap atau belum.

Kita berharap harapan YAB PM itu dipenuhi oleh pihak yang ditugaskan membuat pemilihan terhadap pelajar yang bakal memasuki MRSMF ini.